Friday, October 30, 2009

Anak dan Harta



Firman Allah:
Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal salih yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. 
-Surah Al-Kahfi:46

Thursday, October 29, 2009

Neraka buat Abu Lahab, Ummu Jamil

PADA suatu masa di Kota Mekah, di satu kawasan yang dikenali Shafa yang tidak berapa jauh dari Kaabah, tinggal sepasang suami isteri di sebuah rumah yang sentiasa dihias cantik dan lebih mewah berbanding jiran-jirannya yang lain.

Namun rumah pasangan ini sentiasa tertutup pintu dan tingkapnya yang memberikan gambaran penghuninya mempunyai sifat dengki, tamak haloba, sombong dan egoistik.

Pasangan suami isteri itu tidak lain tidak bukan ialah Abu Lahab dan isterinya, Ummu Jamil.

Nama sebenar Abu Lahab ialah Abdul Uzza, putra tokoh Quraisy yang disegani, Abdul Mutalib yang juga saudara tokoh-tokoh yang disegani di kalangan kaum itu iaitu Abdullah, Abu Talib dan Abbas.

Akan tetapi, Abu Lahab memiliki sifat yang tidak sama dengan saudara-saudaranya itu, baik dalam hal kesopanan, keberanian mahupun yang lain. Abu Lahab (perkataan Arab yang bermakna mempunyai kulit yang putih dan cerah) mungkin kebetulan boleh disamakan dengan perkataan Melayu kita 'lahab.'

Ini kerana Abu Lahab memang terkenal sikap rakus dan tamak dalam banyak hal. Perbuatan beliau yang dianggap paling melampaui batas apabila Abu Lahab dikatakan pernah mencuri emas-emas yang terdapat di Kaabah.

Isterinya, Ummu Jamil juga seorang yang ego, suka berdengki dan pelbagai perangai buruk yang lain. Sifat-sifat buruk itu sebagai menutup kekurangan yang ada pada dirinya, iaitu sebelah daripada matanya, buta.

Cacat pada matanya itu membuatkannya selalu merasa iri kepada sesiapa sahaja.

Sehinggalah pada suatu Subuh yang hening, Ummu Jamil hampir-hampir bergaduh dengan suaminya apabila tidur mereka terganggu dek satu suara yang melaung-laung dan memanggil orang ramai untuk berkumpul.

Abu Lahab begitu memarahi isterinya kerana dia masih mahu tidur dan pening kerana mabuk.

"Celaka aku keranamu wahai perempuan jahat!" kata Abu Lahab terhadap isterinya itu.

Lalu dibalas juga oleh Ummu Jamil dengan kata-kata yang kesat. "Aku pun celaka kerana kau wahai pemalas yang suka tidur! Demi kebenaran berhala, jika kamu tidak memberitahuku (siapa yang melaung-laungkan suara itu) nescaya tidak akan ku biarkan kamu tidur dengan tenang walau sekejap!" katanya.

Akhirnya Abu Lahab bingkas bangun dan mahu menyertai perhimpunan setelah beliau dapat mengenalpasti suara yang memanggil-manggil itu iaitu tidak lain tidak bukan anak saudaranya sendiri, Nabi Muhammad.

"Pasti itu Muhammad yang memanggil kita kerana ada suatu hal yang penting," kata Abu Lahab.

"Barangkali ada harta yang akan diberi olehnya kepada kita," sampuk Ummu Jamil.

Abu Lahab pun segera menyertai anak saudaranya yang ketika itu telah berada di atas Bukit Safa dan menyeru kepada seluruh yang hadir.

"Apakah kamu akan percaya seandainya ku katakan kepadamu bahawa seekor keldai telah keluar dari kaki bukit ini?" teriak Nabi Muhammad kepada semua yang hadir.

"Kamu tidak pernah mendustai kami, kami mempercayai kamu!" ujar mereka hampir serentak.

Lalu Nabi Muhammad pun berkata; "Sesungguhnya aku adalah seorang pemberi peringatan kepadamu sebelum kamu menghadapi azab yang pedih!"

Abu Lahab yang mendengar kata-kata anak saudaranya itu terus pergi meninggalkan kaki Bukit Safa itu dengan marah-marah.

Abu Lahab sangat marah lalu berteriak dengan suara yang nyaring; "Celakalah kamu untuk selama-lamanya. Hanya untuk itukah kamu kumpulkan kami di sini?".

Daripada peristiwa inilah, Allah mengutuk Abu Lahab kerana sikapnya yang degil dan begitu memusuhi Islam dengan diturunkan-NYA surah al-Masaad (Bernyala-nyala), ayat 1 hingga 5, bermaksud: Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Hartanya dan segala yang diusahakannya tidak dapat menolongnya. Dia akan masuk ke dalam api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya (Ummu Jamil) seorang pemunggah kayu api. Dilehernya ada tali daripada tali-tali yang dipintal daripada sabut.

(Sesetengah riwayat mengatakan ayat itu diturunkan sebagai mengecam tindakan Ummu Jamil yang suka menyakiti Rasulullah di kemuncak penentangan pasangan suami isteri ini terhadap baginda)

Setibanya di rumah, Abu Lahab disambut oleh isterinya yang kehairanan melihat kepulangan suaminya itu.

"Celakalah kamu wahai perempuan! Mengapa aku harus lama di sana. Kalau yang aku dapat hanyalah si Muhammad yang hendak mengajak kita semua supaya menerima ajaran baru dia itu," jawab Abu Lahab.

Mereka suami isteri semakin tidak senang duduk dengan perkembangan Islam yang semakin diterima oleh masyarakat Arab Quraisy. Mereka menjadi semakin dengki namun tahukah anda apakah faktor sebenarnya yang menjadikan mereka begitu benci kepada Islam?

Adakah semata-mata kerana menyembah berhala itu satu ajaran yang sangat mulia dan mesti dipertahankan?

Kata Abu Lahab kepada Ummu Jamil: "Kini kita perlu sedar setelah melihat kenyataan yang terjadi. Bahayanya mengenai Islam semakin diterima ramai apabila tidak akan ada lagi utusan atau orang Arab yang akan datang untuk mempersembahkan korban mereka kepada berhala-berhala kita.

"Kita tidak akan mendapat manfaat dengan seruan (Islam) Muhammad itu. Bukankah demikian wahai Ummu Jamil?" kata Abu Lahab.

Ternyata merekalah yang selama ini berkongsi hasil daripada penyembahan dan segala macam objek yang dijadikan korban kepada berhala-berhala.

Bukan kerana mempertahankan agama nenek moyang seperti yang selalu mereka laung-laungkan.

Sejak itu mereka suami isteri sentiasa berusaha untuk menyekat perkembangan Islam secara lebih serius.

Ini termasuklah Abu Lahab akan mengekori anak saudaranya yang keluar untuk menyampaikan dakwah Islamiah dan kemudian akan memburuk-burukkan Nabi di hadapan orang ramai dengan pelbagai kata yang menghina dan menyakitkan hati.

Sementara apa yang dilakukan oleh Ummu Jamil adalah lebih dahsyat lagi. Setiap hari beliau akan keluar untuk mengumpulkan kayu-kayu yang tajam dan penuh duri untuk ditaburkan di hadapan rumah dan sepanjang jalan yang sering dilalui oleh Nabi Muhammad.

Dikatakan tidak ada ruang sedikit pun di permukaan jalan tersebut kecuali semua penuh dengan duri yang pelbagai bentuk yang menyebabkan tanpa baginda sedari, baginda akan terpijak dan melukakan kakinya.

Maka itulah yang dilakukan oleh Ummu Jamil setiap hari kerana dia merasakan satu kebahagiaan dan kepuasan yang luar biasa setiap kali meletakkan duri-duri itu dan menyakiti anak saudaranya itu.

Untuk bertindak lebih jahat, dia kemudiannya melaksanakan satu lagi misi terhadap Rasulullah dan kali ini melibatkan hubungan kedua-dua buah keluarga.

Ummu Jamil segera menemui anaknya, Uthbah yang mengahwini anak perempuan Rasulullah yang bernama Ruqayyah dan seorang lagi anaknya, Mukhtab yang juga berkahwin dengan seorang lagi anak perempuan baginda yang bernama Ummu Kalsum.

Benar, Abu Lahab dan isterinya itu selama ini bukan sahaja mempunyai hubungan bapa saudara dan anak saudara dengan Nabi Muhammad malah mereka sebenarnya adalah berbesan.

Dek kerana bencinya Ummu Jamil terhadap besannya itu, beliau kemudiannya memaksa anak-anak lelakinya itu supaya menceraikan isteri masing-masing. Sehingga ke tahap itu sekali sehingga sanggup memutuskan hubungan yang suci semata-mata memenuhi nafsu syaitannya itu.

Pastinya Uthbah dan Mukhtab tidak dapat memenuhi kehendak ibu mereka yang melampau itu kerana selama ini mereka tidak menghadapi sebarang masalah dan bahagia dengan pasangan hidup masing-masing.

"Baiklah, jika itu keputusan kalian ibu akan pergi Kaabah dan akan bersumpah di hadapan berhala-berhala yang ada di situ, bahawa kamu semua bukan anak ibu lagi kerana kamu telah derhaka!" ancam Ummu Jamil.

Walaupun terkejut namun demi seorang ibu, mereka terus menemui bapa mertua, Nabi Muhammad.

Lalu melafazkan di hadapan baginda; "Mulai saat ini, kami menceraikan puteri-puteri anda yang kami kahwini selama ini dan mula menentang agama yang anda cuba sebarkan demi maruah berhala-berhala yang mulia!"

Rasulullah yang terkejut dengan tindakan menantu-menantu baginda itu tidak mampu melakukan apa-apa kecuali berdoa moga balasan yang setimpal ditimpakan terhadap keluarga Abu Lahab ini.

Ummu Jamil benar-benar bersorak kegembiraan atas tekanan demi tekanan yang beliau lakukan terhadap Rasulullah.

Namun semua itu masih tidak menghentikannya daripada terus menyakiti Rasulullah. Sehingga di akhir hayatnya, Ummu Jamil dalam usia lanjut akhirnya menemui ajal kerana keletihan menaburkan duri-duri di atas jalan bagi melukakan Nabi Muhammad itu.

Kisah Abu Lahab dan keluarganya ini merupakan kisah yang dikutip dari sebuah buku lama yang bertajuk Profil Di Balik Cadar - Kisah Wanita Dalam al Quran, karya Jabir Asy-syal (terbitan tahun 1986). Penulis memegang ijazah kedoktoran dalam Sastera Cum Laude dari Universiti Iskandariah Mesir, 1961

Walaupun pernah diceritakan mengenai kedua-dua mereka sebelum ini tetapi menerusi buku ini rasanya masih banyak mengenai Ummu Jamil dan Abu Lahab yang hendak dikongsi bersama.

Baca: ASB on loan untung atau rugi?

Untung atau rugi buat ASB loan ini? Jadi izinkan saya berkongsi sedikit pengetahuan saya samada elok atau tidak elok buat ASB loan ini.

Analisis yang saya buat ini cuma ringkas saja dan tidak berniat memburuk-burukkan pihak tertentu. Hanya sekadar untuk pertimbangan anda sebelum membuat keputusan untuk membuat ASB Loan (melabur ke ASB dengan duit pinjaman bank).

Dari contoh simpanan ASB RM 100,000 yang terdiri dari Deposit RM 5,000 manakala RM 95,000 pinjaman bank mengikut kadar BLR + 0.5% (iaitu 6.9% setahun) ==> Bayaran bulanan RM 731 untuk tempoh 20 tahun.

Seperti yang diiklan, dividen akan diberi terus kpd anda.
Contoh: dividen 7% setahun, anda akan dapat RM 7,000 setiap tahun. Boleh dibelanjakan apa saja anda suka dan at the end of 20 years, anda akan terima RM100,000 yang boleh digunakan untuk beli rumah, pendidikan anak dan sebagainya.
Cara A - Gunakan dividen untuk bayar semula pinjaman

Hasil pengiraan saya menggunakan software Optimoney, jika dividen 7% setahun atau RM 7,000 itu dibayar semula kpd bank untuk mengurangkan baki pinjaman anda, loan ASB anda dijangka selesai dalam masa 7 tahun 6 bulan dengan jumlah pembayaran penuh hampir RM 120,827 (termasuk deposit RM5,000 dan dividen RM7,000 yg dibayar semula setiap tahun)
Ini bermakna, anda terpaksa membayar RM 120,000 untuk mendapatkan RM100,000 selepas 7 hingga 8 tahun. Untung atau rugi?

Jika anda labur RM 731 ke dalam ASB setiap bulan selama 8 tahun pun, simpanan anda akan menjadi RM 94,260. Campur deposit RM 5,000 yang disimpan utk 8 tahun juga,future value adalah RM 8,590. Total nilai pelaburan anda = 102,850. Dah lebih 100,000 dah.
Cara B - Belanjakan Dividen setiap tahun dan maintain membayar bulanan kpd loan
Bagi loan RM 95,000 untuk 20 tahun pada kadar 6.9% setahun, jumlah pembayaran penuh selepas 20 tahun adalah RM 175,359 (kos)
Dengan dividen RM 7,000 untuk 20 tahun = RM 140,000 dan duit
ASB selepas 20 tahun = RM 100,000 (+)
Duit Yang Diterima => RM 240,000

Secara kasar, nampak macam anda untung sebab anda perolehi RM 240,000 dalam masa 20 tahun sedangkan kos pinjaman anda berjumlah RM175,359 shj.
Untung pada mata kasar ==> RM 64,641
Tetapi, bila mengambil kira kesediaan dan keupayaan anda maintain bayaran bulanan RM 731 selama 20 tahun, anda sebenarnya rugi besar.
Ini kerana dengan simpanan RM 731 ke dalam ASB untuk tempoh 20 tahun, nilai pelaburan anda akan menjadi RM 383,018 !

Ini bermakna, oleh kerana anda ambil ASB loan dari bank, anda kehilangan ‘potential gain’
Total Value jika anda simpan sendiri => RM 383,018 Total gain kalau anda ambil loan = RM 240,000 (-)
Kehilangan Keuntungan RM143,018
Siapa yang untung sebenarnya? ==> Bank !
Dengan modal pinjaman RM 95,000, bank terima RM 175,359 dari anda sepanjang 20 tahun itu.

Ini bermakna mereka untung lebih RM 80,000 dari keuntungan ASB yang anda boleh dapat jika anda simpan guna duit sendiri. Masalahnya, bank tidak boleh melabur dalam ASB kerana ASB adalah untuk individu bumiputra. Dengan ASB loan, mereka dapat buat untung hasil dividen ASB yang mereka ambil dari pelaburan anda.

Yang Rugi ==> Anda sebenarnya!!!.
Oleh itu, lebih baik anda simpan ASB menggunakan duit sendiri.

Moralnya, jangan melabur dengan duit hutang.




-petikan moneymarket.

Monday, October 26, 2009

Renung dan perhati

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu memberi salam kepada penduduknya, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).

28.       Maka sekiranya kamu tidak mendapat sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu "baliklah", maka hendak kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.

29.       Tidaklah menjadi salah kamu memasuki (dengan tidak meminta izin mana-mana rumah yang tidak didiami orang yang ada keperluan kamu padanya; dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.

 

30.       Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerja kan.

 

31.       Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka meperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua meraeka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

Surah An-Nur

 

Friday, October 23, 2009

Menarik today: remaja dan Arak


Kisah 1

SEORANG rakan wartawan, N menceritakan pengalaman benarnya ketika bertugas di luar negara apabila di hadapan mata kepalanya sendiri, dua pemuda Melayu sepuas-puas hati meneguk arak seperti kehausan yang amat sangat di padang pasir!

Menerima arahan bertugas keluar negara biasanya memang mengujakan kerana pelbagai pengalaman baru bakal dirasai dan tempuhi. Walaupun saya selalu juga menghabiskan masa bercuti di luar negara namun bertugas atas nama wartawan akan ada cabaran yang tersendiri.

Pada Ogos lalu, saya dihantar ke Bangkok, Thailand untuk satu liputan pelancaran kamera terbaru oleh sebuah syarikat pengeluar produk pengimejan yang terkenal.

Lazimnya untuk tugasan seperti ini, saya akan bersama dengan rakan-rakan setugas yang bukan berbangsa Melayu atau Islam dan saya juga akan membawa bekalan makanan sendiri kerana sukar untuk mendapatkan makanan yang halal.

Tetapi dalam tugasan kali ini saya rupa-rupanya turut ditemani dengan dua lagi rakan media iaitu dua pemuda Melayu.

Ini menyebabkan saya rasa sungguh lega kerana pihak penganjur pastinya akan cuba menyediakan makanan yang halal berikutan ramainya petugas yang beragama Islam. Atau sekurang-kurangnya berasaskan vegetarian.

Tetapi apa yang berlaku lebih memeranjatkan. Iaitu sejurus tiba di Bangkok, tanpa membuang masa saya terus berkenalan dengan dua pemuda Shamsul dan Shah (bukan nama sebenar) dan terus berborak banyak perkara kerana kami tidak pernah bertemu sebelum ini sehinggalah di Bangkok ini pertama kali bertemu.

Semasa acara perasmian yang diadakan di sebuah hotel bertaraf lima bintang di tengah-tengah kota Bangkok itu, kami kemudiannya diajak untuk menikmati hidangan dalam satu jamuan.

Menyedari mengenai status halal haram pelbagai juadah yang dihidangkan saya hanya mampu meneguk segelas minuman ringan berjenama yang dihulurkan kepada saya. Satu-satunya minuman yang halal walaupun saya kurang menggemari minuman berais dan bergas ini.

Minuman yang sama dihulurkan kepada Shamsul dan Shah, "Anda boleh minum ini," katanya.

Tetapi tanpa saya sangka, Shamsul dan Shah dengan tanpa rasa bersalah atau lebih tepat muka yang selamba mereka terus mencapai gelas kaca berkaki tinggi yang telah diisi arak ke dalamnya.

Tanpa segan silu mereka terus meneguk arak yang dituang separuh gelas itu sehingga habis.

Sambil mengesat mulut dengan tangan mereka kemudiannya seperti berpuas hati. Seolah-olah mereka telah menunggu lama untuk menikmati arak itu. Akhirnya apabila peluang tersebut tiba, tanpa perlu menunggu lama dari satu gelas ke satu gelas yang lain mereka berpesta arak pada malam itu.

Dalam keadaan terkejut itu saya merenung tajam perbuatan mereka sambil mengerling mata, namun Shamsul dan Shah tidak boleh ditahan-tahan lagi untuk mereka terus menikmati 'air kencing syaitan' itu.

Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu, kecewa dan sedih melihatkan perlakuan aib dan mungkar yang dilakukan oleh anak Melayu yang beragama Islam itu.

Dalam usia lewat 20-an tidak mungkin mereka jahil soal haram halal minuman yang diharamkan oleh Islam itu.

Lainlah kalau mereka mungkin pernah belajar di luar negara sebelum ini menyebabkan ada tabiat buruk yang mereka hendak dikekalkan.

Tabiat buruk mereka semakin menjadi-jadi apabila makanan yang pastinya tidak halal turut dijamah mereka dengan begitu berselera, sambil diselang seli dengan arak yang dikatakan antara terbaik pernah mereka minum.

Semua ini menjadikan tekak saya semakin mual melihat tabiat buruk pemuda-pemuda Islam ini. Di masa-masa lain, Shamsul dan Shah juga tidak melepaskan peluang untuk memesan bir. Bir-bir gelas besar dengan buih-buih yang memenuhi permukaan gelas itu dinikmati oleh mereka dengan tanpa sedikit pun rasa bersalah!

Saya tidak nafikan mereka mempunyai kemahiran meminum arak! Apa jenis arak dan bir sekalipun mampu mereka minum dalam jumlah yang besar dan tidak mabuk! Ini bermakna mereka telah lama terjebak dalam aktiviti terkutuk ini.

Tinggal lagi kini segala-galanya terhidang dengan percuma, pelbagai jenis iaitu sama ada wain putih atau merah dan berjenama antarabangsa, ini menjadikan misi sebenar Shamsul dan Shah ke Bangkok ini benar-benar untuk menikmati arak.

Di hari akhir tugasan di satu majlis penutup yang diadakan di sebuah restoran kapal terapung, Shamsul dan Shah seperti tidak sanggup berpisah dengan minuman dan makanan yang haram.

Lalu merekalah yang paling kenyang dan sendawa dengan bau busuk arak pada malam itu!

Baru-baru ini kami bertemu semula dalam satu majlis berbuka puasa di sebuah hotel di tengah-tengah Kuala Lumpur, Shamsul seolah-olah cuba menyindir saya: "Akak, halalkah ke kita makan di sini?," katanya. Mereka benar-benar kurang ajar!

Arak....kisah yang perlu di baca


Seorang lagi rakan M pula turut mengalami pengalaman pedih sindrom orang Islam yang lupa daratan baru-baru ini. Iaitu di sebuah hotel lima bintang di sebuah pulau yang terkenal sebagai syurga pelancongan di utara Semenanjung.

M ketika itu menerima jemputan tugasan sebuah syarikat elektronik terkenal yang hendak melancarkan sebuah produk terbaru mereka.

Yang turut bersama dengan M ramainya kalangan bukan Islam dan beberapa jemputan lain yang berbangsa Melayu.

Sehinggalah ketika berada di lobi hotel untuk berehat selepas penat menghabiskan masa untuk membeli belah di Pekan K, tiba-tiba muncul Azman (bukan nama sebenar) yang juga salah seorang jemputan untuk ke majlis itu.

Sambil mengesat peluh di dahi kerana kepenatan, Azman berkata dengan nada suara bangga, "Tak sangka, murah gila!," katanya berulang kali.

M yang tidak tahu menahu apa-apa, lantas bertanya apa yang dimaksudkan oleh Azman itu.

Wajah Azman yang asalnya tadi begitu ceria terus berubah dan tidak semena-mena beliau terus meminta maaf dari M sebelum memberitahu perkara sebenar.

"Kau jangan marah tau, saya minta maaf. Saya baru sahaja membeli arak ini, tak sangka pula harganya murah di sini," katanya sambil menunjukkan beberapa tin bir daripada sebuah beg plastik.

"Arak?," jerit M dengan terkejut.

"Arak Jepun, tak sangka di sini harganya murah sangat, saya apa lagi tak lepaslah dari membelinya," kata Azman lagi.

M terkedu dengan kata-kata Azman itu yang terus berlalu sambil meneguk arak tersebut.

Di majlis lain, Maria juga dapat melihat seorang wanita Melayu yang di hadapan mejanya terdapat beberapa gelas minuman keras.

Maria tidak mahu menyangka buruk kerana tidak melihat wanita itu seperti gaya kaki minum.

Tetapi M kemudiannya difahamkan wanita Melayu itu juga gemar menghabiskan masa dengan meneguk arak.

Apakah hikmah di sebalik isu Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, yang minta hukuman rotan atas kesalahan beliau meminum arak tetap dilaksanakan terhadapnya?

Kes beliau ini sebenarnya telah membuka mata banyak pihak dan mengakui pada hari ini bukan sahaja Kartika tetapi telah terdapat ramai di kalangan umat Islam di negara ini menderhaka terhadap hukum dengan meminum arak dengan sengaja!

Sedangkan hukum haram minum arak telah mereka ketahui dengan jelas dan mereka tahu bahawa ayat berikut tidak pernah berubah sehingga kiamat.

Firman Allah SWT yang maksud-Nya: Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar (arak), berjudi, (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. (al-Maidah: 90)

Mantan Imam Besar Masjid Negara, Datuk Kamaruddin Zakaria berkata, ayat tersebut tidak akan mengalami sebarang penafsiran baru untuk apa tujuan sekalipun.

Sehingga kiamat arak tetap dihukumkan haram dan sesiapa yang meminumnya dengan sengaja dikategorikan melakukan dosa-dosa besar.

"Lebih malang lagi, 40 hari amalannya selepas meminum arak itu tidak akan diterima oleh Allah hatta sekalipun dia melakukan pelbagai ibadat yang khusus, melakukan amal kebajikan terhadap orang lain, menasihatkan orang lain dan sebagainya semua itu sudah tidak ada maknanya lagi," katanya.

Beliau cukup kecewa pada hari ini apabila semakin ramai umat Islam yang minum arak tanpa segan silu lagi terhadap Allah dan pandangan mata umat Islam yang lain.

"Malah menunjuk-nunjuk dan menganggap mereka yang tidak minum arak sebagai kolot dan ketinggalan zaman sedangkan arak sangat membabitkan satu perundangan dan hukum yang sangat jelas.

"Arak adalah ibu kepada segala kejahatan, manusia menjadi tidak waras, tidak tenang hati, kosong jiwanya malah lebih teruk lagi penyaksiannya tidak boleh dipakai sekalipun pada masa itu si polan tersebut tidak meminum arak," tegasnya.

Menurut Kamaruddin, jika seawal usia 17 tahun, remaja Islam sudah pandai meminum arak, semua ini tidak bezanya andai si awal usia itu mereka menagih rokok, dadah, judi dan sebagainya, maka gelaplah masa depan mereka.

Namun sesetengah peminum arak ini tadi merujukkan perbuatan kalangan berbangsa Arab beragama Islam yang dikatakan kuat meminum arak, ini menjadikan alasan kepada umat Islam hari ini untuk menjadi kaki botol.

"Dalam soal ini perbuatan yang buruk tentunya tidak boleh dijadikan contoh. Orang Arab ini tahu mengenai soal pengharaman arak tetapi mereka pandai berdalih.

"Sedangkan Saidina Omar al Khattab ketika mula-mula memeluk Islam, terus membuang isi kandungan dan botol-botol arak yang selama ini turut menjadi kegemaran beliau. Dihempas botol-botol itu sehingga berkecai," katanya.

Menurut Zakaria, sudah tiba masanya negara tidak sahaja kini memerlukan pusat pemulihan dadah tetapi pemulihan terhadap minum dan ketagihan arak.

"Pusat seperti ini sangat perlu dan ia juga bukan sahaja untuk umat Islam tetapi semua kaum dan agama yang mahukan kegemaran dan ketagihan arak ini perlu dihentikan.

"Kita sayangkan semua orang, kita sayangkan masyarakat majmuk kita agar semuanya sihat dan waras agar negara yang kita diami bersama bertambah makmur maka pusat seperti ini perlu ditubuhkan segera," katanya.

Tambah beliau penubuhan ini tidak bertujuan menafikan hukuman rotan dan denda terhadap peminum arak di kalangan umat Islam.

"Aspek penguatkuasaan itu memang penting tetapi sebelum hukuman itu dijalankan si pesalah perlu dipulihkan dahulu.

"Andai jika mereka masih degil dan masih mahu meminum arak, maka hukuman yang berat perlu dijalankan terhadapnya," jelasnya.

Kamaruddin meminta umat Islam yang terjebak supaya segera berhenti sebelum arak teruk merosakkan diri mereka.

"Hijab hidayah dari Allah akan tersingkap, nur atau cahaya Islam tidak akan masuk dan mereka tidak akan mencapai kemenangan walaupun mempunyai perjuangan yang suci dan murni dalam hidup," katanya.

Justeru beliau berharap agar perbuatan minum arak ini mesti dicegah oleh semua pihak.

"Untuk pencegahan yang berkesan memerlukan usaha yang bijak dan penuh berhikmah. Di samping perlu tabah dan berterusan," katanya.

Beliau menegaskan umat Islam yang minum arak adalah satu tragedi ummah yang membawa petanda kelemahan dan boleh dijajah oleh kejahatan dan akhirnya Islam mampu tinggal hanya pada nama!

Dalam salah satu kisah diceritakan, bahawa Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah mendera orang-orang yang minum arak dan yang ikut menyaksikan perjumpaan yang terhidang arak di dalamnya.

Sekalipun orang yang menyaksikan itu tidak turut minum bersama mereka.

Dan diriwayatkan pula, bahawa pernah ada suatu kaum yang mengadu kepadanya mengenai ada kalangan ahli kaumnya yang minum arak.

Umar kemudiannya memerintahkan agar semuanya didera.

Lantas ada orang yang berkata: "Bahawa di antara mereka itu ada yang berpuasa wahai Umar".

Maka jawab Umar: "Dera dulu dia (yang berpuasa ini)!"

Apakah kamu tidak mendengarkan firman Allah yang mengatakan: Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepadamu dalam al-Quran, bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah ditentangnya dan diejeknya. Oleh kerana itu jangan kamu duduk bersama mereka, sehingga mereka itu tenggelam dalam omongan lain, sebab sesungguhnya kamu kalau demikian keadaannya adalah sama dengan mereka. (an-Nisa': 140)," kata Umar dengan tegas.

Bongkar keajaiban sedekah

Surah al-Baqarah ayat 261 adalah antara ayat suci al-Quran yang popular dalam membuktikan kelebihan bagi mereka yang bersedekah. Allah berfirman yang bermaksud: Perumpamaan nafkah yang dikeluarkan oleh orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir dan daripada setiap butir, tumbuh pula 100 butir benih. Allah melipatgandakan ganjaran bagi sesiapa yang yang dikehendakinya. Allah Maha Luas Kurnianya lagi Maha Mengetahui.

akan jadi bersih hatra-panjang umur dan banyak lagi kebaikan2nya.....yang penting ikhlas dalam amalan yang kita lakukan.

Cara jawab salam bukan Islam

Soalan
SAYA selalu mengalami masalah di dalam pergaulan dengan rakan-rakan yang bukan Islam. Mohon penjelasan ustaz pendekatan terbaik yang disyorkan Islam seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW agar kekurangan yang ada tidak menimbulkan salah sangka terhadap agama yang suci ini akibat dari kejahilan saya.

Apa yang perlu dilakukan bila bertemu dengan sahabat yang bukan Islam, selalu kedengaran ucapan assalamualaikum tidak dibolehkan dan ucapan selamat dalam bahasa orang bukan islam tidak dibolehkan contohnya Vanakam (Tamil) Sastriakal (Punjabi) dam sebagainya?

Jawapan:

Seperti yang dijelaskan oleh para ulama di antaranya Sheikh Muhammad bin Shalih Al-Uthaimin menjawab: Mendahului ucapan salam kepada orang bukan Islam adalah haram hukumnya.

Sebab Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Janganlah kamu memulai salam kepada orang Yahudi dan Nasrani. Apabila kamu bertemu mereka di suatu jalan, maka paksalah mereka kepada jalannya yang paling sempit. (riwayat Muslim)

Tetapi apabila mereka mengucapkan salam kepada kita, maka kita wajib menjawabnya, berdasarkan kepada umumnya firman Allah yang bermaksud: Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (An-Nisa': 86).

Soalnya, salam yang diucapkan oleh orang bukan Islam adalah lafaznya bermaksud baik, bukan cercaan dan bukan pula doa kehancuran seperti yang ucapkan oleh segelintir yahudi terhadap Rasulullah SAW.

Orang Yahudi mengucapkan salam kepada nabi SAW dengan ucapan: As-Samu 'alaika ya MuhammadAs-samu maksudnya kematian. Bererti mereka mendoakan mati kepada baginda. Lalu baginda menjawab: wa alaikum yang maksudnya, "dan ke atas kamu jugalah kematian".

Hari ini hampir kebanyakan orang bukan Islam fasih memberi salam. Sehingga kadang-kadang orang Islam yang mendengar menjawab secara spontan tanpa berfikir panjang akan hukumnya.

Kadang-kadang dah jawab baru perasaan yang bagi salam itu kawannya yang bukan beragama Islam.

Apabila bukan Muslim mengucapkan salam: Assalamualaikum, maka kita harus membalasnya dengan ucapan: Wa'alaikum. Perkataan beliau: Wa'alaikum, merupakan dalil bahwa apabila mereka mengucapkan: Assalamualaikum, yang bererti pada diri mereka ada keselamatan, maka kita juga membalas dengan ucapan yang sama.

Maka sebahagian ulama berpendapat apabila orang-orang Yahudi dan Nasrani mengucapkan secara jelas: As-salaamu 'alikum, maka kita juga boleh membalas dengan ucapan: Alaikum salam.

Kesimpulan jawapan ini dapat saya katakan: "Orang muslim tidak boleh memulai ucapan salam kepada bukan Muslim. Sebab Nabi SAW melarang hal itu, di samping hal itu merendahkan martabat orang muslim bila harus mengagungkan orang bukan Islam".

Orang muslim lebih tinggi kedudukannya di sisi Allah. Maka tidak selayaknya dia merendahkan diri dalam hal ini. Tetapi apabila mereka yang lebih dahulu mengucapkan salam kepada kita, maka kita boleh membalasnya seperti salam yang mereka ucapkan.

Namun di sini saya mempunyai cadangan salam diharus diucapkan kepada kawan-kawan kita yang bukan beragama Islam. Ucapan salamnya adalah: Assalamulaikum man ittaba' al-Huda' yang bermaksud: salam sejahtera ke atas mereka yang menurut (mengikut) petunjuk (Islam).

Maksudnya salam sejahtera yang diucapkan itu tertangguh sehingga dia mendapat hidayah dalam masa yang sama kita memohon hidayah daripada Allah SWT.

Salam inilah yang menjadi pembuka bicara dalam surat-surat yang dihantar oleh Rasulullah SAW kepada pembesar-pembesar negara dalam misi menyebarkan empayar Islam. Cuma di negara kita dan mana-mana negara Islam yang lain juga tidak digunakan ucapan ini.

Saya pernah mengucapkan demikian kepada seorang kawan yang bukan beragama Islam, lalu dia tanya. Apa maksudnya, dan kenapa lain?

Saya jelaskan bahawa kesejahteraan sebenarnya bagi seseorang itu ialah apabila dia menjadikan agama Islam sebagai cara hidup, dan itu satu-satunya jalan selamat bagi kesejahteraan.

Saya dapati dia berfikir panjang dan meneruskan soalan berkaitan Islam dengan penuh minat. Hari ini dia bergelar seorang muslim.

Manakala ucapan good morning dan selamat sejahtera tidaklah haram hukumnya. Kita juga tiada ucapan lain dalam uruf (suasana atau kebiasaan) hari ucapan selain itu.

Ada segelintir ulama mengharamkan ucapan salam sejahtera dan hampir sama maknanya dengan alasan orang Islam lebih mulia dan tinggi dari orang bukan Islam maka kita tidak seharusnya merendahkan diri dengan memberi ucapan kepada orang bukan Islam.

Mungkin ada benarnya dari konteks hukum tapi tidak dari konteks dakwah. Maka tidak salah dan harus kita mengucapkan salam sejahtera, very good morning dan seumpamanya, mudah-mudahan kerahmatan Islam lebih menyerlah.

Orang bukan Islam juga berhak menerima ucapan-ucapan yang baik dari orang Islam sebagai jambatan keharmonian dan kesejahteraan.

Ketabahan Ibu Musa dibalas kebaikan


YUKABID adalah ibu kepada Nabi Musa. Yukabid mengandungkan Musa ketika Firaun memerintahkan anak lelaki kaum Bani Israel dibunuh kerana bimbang anak lelaki akan menentang dan mengambil kekuasaannya.

Suatu ketika, Yukabid mendengar perintah Firaun itu. Alangkah sedihnya hati Yukabid kerana dia sedang sarat mengandung waktu itu. Yukabid terpaksa bersembunyi sahaja di rumah agar kandungannya tidak diketahui orang.

Sehinggalah tiba masanya, Yukabid pun melahirkan anaknya. Alangkah terkejutnya dia apabila anak yang dilahirkannya itu adalah anak lelaki.

Walaupun berasa takut dengan perintah Firaun, seboleh-bolehnya dia mahu mempertahankan nyawa anaknya itu. Dia tidak mahu anaknya itu menjadi korban undang-undang yang diperintahkan oleh Firaun yang zalim dan kejam.

Yukabid berjaya merahsiakan kelahiran Musa selama tiga bulan daripada pengetahuan Firaun dan tentera-tenteranya.

Walau bagaimanapun, hatinya tidak pernah tenteram melihat anaknya yang semakin membesar. Dia risau akan keselamatan Musa. Dalam kerisauan itulah, Allah Yang Maha Berkuasa telah memberi ilham kepada Yukabid agar membuat sebuah peti. Lalu Allah SWT memerintahkan agar Musa dimasukkan ke dalam peti dan dihanyutkan ke Sungai Nil.

Dengan hati yang tenang dan sabar, maka Yukabid pun menghanyutkan Musa ke sungai Nil seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT kepadanya. Peti itu dihanyutkan oleh arus sungai sehingga sampai ke istana Firaun.

Kebetulan pada hari itu, Asiyah permaisuri Firaun sedang bersiar-siar bersama dayang-dayangnya. Ketika sedang bersiar-siar itu, Asiyah menyuruh dayang-dayangnya mengambil sedikit air dari Sungai Nil. Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati ada sebuah peti di sisi kaki mereka. Lalu diambil peti itu dan dibawakan kepada Asiyah.

Maka Asiyah terus membuka peti itu dan dilihatnya da seorang bayi di dalamnya. Apabila melihat akan wajah bayi itu, timbul rasa cinta dan kasih dalam hatinya terhadap bayi itu. Asiyah mengambil bayi itu dan dibawanya pulang istana.

Tiba sahaja di istana, Asiyah meminta keizinan Firaun untuk membela bayi itu. Pada mulanya Firaun tidak mengizinkan Asiyah mengambil bayi itu tetapi setelah dipujuk, akhirnya Firaun bersetuju.

Setelah mendengar tangisan kehausan bayi itu, Asiyah berasa kasihan lalu disuruhnya Firaun mencarikan seorang wanita yang dapat menyusukan bayi itu. Akan tetapi seorang demi seorang wanita yang datang untuk menyusukan bayi itu telah ditolak oleh bayi tersebut.

Bayi itu tidak mahu disusukan oleh mereka sehinggalah berita ini diketahui oleh saudara Musa, Mariam. Lalu Mariam datang ke istana dan memberitahu kepada dayang-dayang Asiyah bahawa dia boleh membawakan seorang ibu yang boleh menyusukan bayi itu.

Mendengar sahaja berita daripada dayang-dayang itu, Asiyah memerintahkan agar bayi itu dibawa ke rumah Yukabid.

Yukabid menyambut anaknya itu dengan penuh kasih sayang. Bayi itu terus minum susu ibunya sehingga kenyang. Alangkah seronoknya hati Yukabid. Allah SWT telah mengembalikan anaknya, Musa kepadanya kerana kesabaran dan ketabahan mengikut perintah-Nya

Jangan zalim sesama manusia

DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI (siri 57)

Al-Maraghi berkata: "Dalam perbincangan sebelum ini, telah membicarakan tentang Perang Uhud dan peristiwa-peristiwa penting. Kemudian dinyatakan juga kisah Perang Badar dan kemenangan umat Islam, walaupun jumlah tentera Islam dan persiapan mereka amat kecil.

"Sehubungan itu, ayat-ayat ini dan berikutnya, Allah SWT mengingatkan mereka bahawa adanya peraturan Ilahi yang berlaku kepada makhluk-Nya".

Iktibar dan fiqh ayat ke-137

i. Ibn Kathir berkata: "Allah berfirman dengan berucap kepada hamba-hamba-Nya apa yang terjadi musibah pada hari peperangan Uhud dan yang terbunuh seramai 70 orang".

ii. Al-Maraghi berkata: "Berjalanlah kamu di atas muka bumi. Perhatikanlah beberapa kejadian yang telah berlaku kepada beberapa umat sebelum kamu supaya kamu memperoleh ilmu yang benar didasari oleh kenyataan dan pengalaman dan ambillah pengajaran daripada kejadian itu. "Sesungguhnya pertentangan di antara kebenaran dan kebatilan sering terjadi kepada beberapa umat terdahulu. Walau bagaimanapun kebenaran akan memihak kepada mereka serta berjaya mengalahkan kebatilan.

"Sesungguhnya kemenangan ini diperoleh mereka kerana semangat yang teguh berjuang dengan sabar dan takwa".

iii. Hamka berkata: "Dalam ayat yang lalu Tuhan menerangkan sekiranya mereka berpegang teguh pada kesabaran, takwa dan tawakal malaikat pun akan datang membantu. Menang dan kalah suatu perjuangan tidaklah bersangkut dengan benar dan salahnya suatu pendirian atau cita-cita.

"Allah SWT mempunyai Sunnah atau undang-undang terhadap sebarang perkara yang berlaku secara langsung atau tidak".

iv. Al-Sonhadji berkata: "Ayat ini mengingatkan kepada mereka bahawa sebelum kamu telah ada beberapa sunatullah pada umat-umat yang telah lalu. Ada yang binasa dan terhapus dari muka bumi kerana mereka menyalahi pengajaran yang dibawa oleh para Nabi yang diutuskan oleh Allah kepada mereka.

"Bahkan mereka utamakan kenikmatan dan kelazatan dunia semata-mata".

Iktibar dan fiqh ayat ke-138

i. Ayat ini merupakan penolakan yang kuat terhadap kaum musyrikin dan munafik yang masih diserang perasaan ragu-ragu terhadap Rasulullah SAW.

Mereka mengatakan, sekiranya baginda itu seorang rasul yang benar, tentu baginda tidak akan kalah dalam Perang Uhud. Maka petunjuk dan penjelasan ayat ini member bimbingan bahawa peraturan Ilahiyyah itu berlaku pada semua nabi dan rasul sebagaimana yang berlaku kepada semua makhluk Allah SWT.

Berhubung ayat ini, ia merupakan petunjuk dan nasihat kepada orang yang bertakwa khususnya sebab mereka sahaja yang berpegang dengan kebenaran seperti ini.

Mereka juga mahu menjadikan segala hal yang telah terjadi sebagai pengajaran dan berpegang dengan petunjuk al-Quran dan mematuhi nasihat-nasihatnya.

ii. Muhamamd Quraish Shihab berkata: "Ayat ini memerintahkan untuk mempelajari sunnah iaitu kebiasaan-kebiasaan atau ketetapan Ilahi dalam masyarakat. Sunnatullah adalah kebiasaan Allah SWT dalam memperlakukan masyarakat".

iii. Hamka berkata: "Mempelajari sejarah umat-umat terdahulu dan melihat bekas tapak sejarah peninggalan mereka memberi manfaat dan pengajaran yang sempurna menghadapi mehnah cabaran dan dugaan yang sangat hebat di akhir zaman ini.

"Ilmu kita akan bertambah-tambah tentang perjuangan hidup manusia di alam ini".

iv. Al-Sonhadji berkata: Perkataan yang bermaksud 'ini' dimaksudkan al-Quran, ataupun isyarat kepada yang telah lalu daripada suruhan-suruhan dan tegahan-tegahan Allah yang menyebabkan beroleh pahala atau seksa, adalah ia merupakan penerangan bagi semua manusia. "Penerangan tersebut mengandungi hidayah (petunjuk) bagi manusia supaya ia jangan sampai tersesat. Dan penerangan tersebut mengandungi mauizah (pengajaran) bagi orang yang takwa (takut) supaya ia jangan sampai mengerjakan yang tidak patut".

Iktibar dan fiqh ayat ke-139

i. Al-Maraghi berkata: "Janganlah kamu berasa lemah untuk berperang dan melengkapkan diri disebabkan oleh kecederaan dan kegagalan kamu dalam Perang Uhud.

"Janganlah kamu menjadi sedih dengan adanya beberapa orang yang meninggal pada hari itu. Adakah wajar kamu berdukacita dan berasa hina padahal kedudukan kamu lebih tinggi daripada mereka?

"Sesungguhnya telah menjadi peraturan Ilahi bahawa setiap hasil yang baik itu akhirnya akan berada di tangan orang yang bertakwa kerana inilah golongan yang tidak menyalahi segala peraturan Ilahiah.

"Bahkan mereka ini akan tetap membela orang yang mahu menegakkan kebenaran dan keadilan".

ii. Hamka berkata: "Setelah selesai peperangan Uhud yang telah mengorbankan 70 syahid antaranya Hamzah bin Abdul Muthalib, pakcik Rasulullah SAW.

"Baginda SAW sangat kecewa dan berdukacita di atas perkembangan yang melanda mereka semua. Allah SWT mengetahui segalanya dan yakin dengan perkembangan yang berlaku di sana".

iii. Al-Sonhadji berkata: "Dan ayat ini merupakan perangsang atau galakan memberi semangat kepada mereka".

Iktibar dan fiqh ayat ke-140

i. Al-Qurtubi berkata: "Ayat ini menjadi dalil bahawa kehendak bukanlah perintah sebagaimana kata ahli sunnah. Allah SWT melarang orang kafir membunuh orang beriman seperti Hamzah r.a dan sahabatnya tetapi menghendaki pembunuhan tersebut".

ii. Al-Maraghi berkata: "Jika dalam Perang Uhud, senjata telah melukai kamu, sesungguhnya pada hari itu kaum musyrik juga mengalami nasib yang sama. Antara mereka ada juga yang terbunuh seperti keadaan yang menimpa kamu. Mereka juga tidak memperoleh kemenangan. "Kesimpulannya, kamu tidak boleh berhenti daripada berjihad. Sebenarnya kamu tidak ada sebarang alasan untuk berhenti daripada berjihad disebabkan kecederaan yang menimpa kamu.

"Ini kerana musuh-musuh kamu turut sama mendapat luka seperti kamu sebelum Perang Uhud lagi. Walaupun mereka berada dalam kebatilan, tetapi mereka tidak sedikit pun berputus asa atau berasa lemah semangat untuk berperang.

"Seharusnya kamu lebih wajar mempunyai semangat yang membara kerana kamu telah mengetahui adanya janji baik pada kemudian hari, dan kamu berpegang dengan kebenaran".

iii. Hamka berkata: "Meskipun perjuangan di medan Uhud, kamu ditimpa kekecewaan bukan bermaksud Allah SWT menyukai orang kafir dan zalim tetapi keluarga yang selalu mengikuti perkembangan dan sebagainya tidak akan leka dan cuai".

iv. Al-Maraghi berkata: "Peredaran hari itu merupakan sunnatullah (ketetapan-Nya) bagi kepentingan pergaulan sesama manusia yang digambarkan-Nya seperti sebuah pemerintahan. "Maka pemerintahan itu terkadang beredar kepada golongan orang-orang yang memperjuangkan kebatilan dan terkadang pula beredar kepada golongan orang-orang yang memperjuangkan kebenaran atau yang hak, tetapi biasanya kesudahan kemenangan itu berada di pihak yang hak dan benar".

Iktibar dan fiqh ayat ke-141

i. Al-Alusi berkata: "Supaya Allah membersihkan mereka dari sebarang dosa dan mensucikan mereka daripada maksiat dan kejahatan".

ii. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Gugur dalam peperangan di jalan Allah SWT dinamakan mati syahid kerana para malaikat menghadiri pengebumiannya.

"Syahid bererti objek atau subjek. Ada juga yang mengumpamakan kesaksian atau penyaksian. Setiap yang syahid sudah dijanjikan ganjaran syurga untuk mereka kerana ikhlas dalam perjuangan di jalan Allah SWT".

iii. Hamka berkata: "Di dalam kejadian ini kita melihat betapa pentingnya satu-satu kejadian sejarah yang kadang-kadang menjadi kuat untuk terbitan dan permintaan orang ramai supaya memutuskan hak dan batil.

"Orang Islam dilarang mengumpat dan mengeji sesiapa sahaja melainkan keizinan dari seseorang atau pada perkara yang munasabah".

iv. Al-Sonhadji berkata: "Allah memperedarkan hari-hari itu sebagai hari ujian yang perit dan payah gunanya ialah supaya dapat dibersihkan keimanan orang-orang yang masih lemah daripada kekotoran sifat nifak atau dosa yang mereka lakukan, dan dibinasakan orang-orang kafir itu dengan meletakkan perasaan putus asa yang menakluki hati mereka".

Marilah sama-sama kita mengambil iktibar dengan merenungi kisah lampau. Mudah-mudahan kita menjadi golongan yang berbahagia. Amin.

Thursday, October 22, 2009

Khutbah Jumaat: Maulidur Rasul

Khutbah Jumaat Bertajuk Mauladur Rasul. Siaran Langsung di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, Kuala Lumpur. Mohon pandangan dan komen anda dalam penyampaian khutbah ini. Segala teguran dan komen diucapkan terima kasih.

Akta Kesalahan Jenayah Syariah 559

AKTA 559
AKTA KESALAHAN JENAYAH SYARIAH (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1997

BAHAGIAN IV - KESALAHAN YANG BERHUBUNGAN DENGAN KESUSILAAN



Seksyen 27. Khalwat.


Mana-mana- 
    (a) orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya; atau

    (b) orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya,
di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 29. Perbuatan tidak sopan di tempat awam.


Mana-mana orang yang bertindak atau berkelakuan tidak sopan bertentangan dengan Hukum Syarak di mana-mana tempat awam adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

An-Nur :61 Beli salam

Tidak ada salahnya bagi orang buta, dan tidak ada salahnya bagi orang tempang, dan tiada ada salahnya bagi orang sakit (jika masing-masing tidak menjalankan sesuatu perintah disebabkan keuzurannya menghendaki ia berlaku demikian) dan juga tidak ada salahnya bagi kamu (temasuk orang-orang yang tersebut turut sama) makan di rumah kamu sendiri, atau di rumah bapa kamu, atau di rumah ibu kamu, atau di rumah saudara kamu yang lelaki , atau di rumah saudara kamu yang perempuan, atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah bapa), atau di rumah emak saudara kamu (sebelah ibu), atau di rumah yang kamu kuasai kunci nya, atau di rumah sahabat kamu; tidak juga menjadi salah bagi kamu, maka bersama-sama atau berasing-asing. Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukumNya), supaya kamu memahaminya.

Menarik today: Khas utk askar dan polis...

Daripada Salman R.A katanya , Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda"Askar yang duduk bertugas dalam markasnya selama sehari semalam kerana mempertahankan agama islam dari serangan musuhnya adalah lebih baik dari berpuasa sebulan dan beribadat lainnya. Sekiranya dia meninggal dunia maka akan di beri pahala semua amalan yang telah dikerjakan dan juga diberikan rezkki kepadanya, kemudian dimasukkan dia ke dalam syurga dan matinya adalah mati syahid, serta terlepas dari seksaan kubur"

- Hadis riwayat Muslim 

Pengajaran Hadis:
1-Orang yang berjuang dengan niat yang ikhlas kerana Allah untuk mempertahakan islam dari serangan musuh kana mendapat pahala yang besar dan istemewa daripada Allah s.w.t. Pahalanya tidak akan terputus walaupun mereka telah meninggal dunia.

2-Orang yang mati semasa berjuang untuk menegakkan Islam dan kebenaran hukum Islam akan terlepas dari soal jawab kubur dan siksaannya dan mereka akan dimasukkan kedalam syurga.

3-Orang yang bertugas untuk mempertahankan Islam walaupun sehari semalam lebih besar pahalanya dari merekan yang berpuasa sebulan ibadat lain-lainnya.

Ruj: Riyadul Solihin Jilid 6 ms 174

Wednesday, October 21, 2009

Adab masuk bilik - An-Nur : 58

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang 'isyaa'; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah 'aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat Nya (yang menjelaskan hukum-hukumNya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Monday, October 19, 2009

Pendidikan iman mesti diterap sejak peringkat kanak-kanak lagi

SETIAP perbuatan mestilah disertai dengan iman. Iman menjadi pagar dalam kehidupan. Setiap perbuatan yang disertai dengan iman akan diberkati oleh Allah SWT. Penyatuan antara ilmu dan iman adalah penting begitu juga ilmu dan amal.

Pendidikan keimanan mestilah berpandukan al-Quran dan Sunnah. Al-Quran adalah kitab petunjuk yang sentiasa memberi pendidikan dan pengajaran bagi manusia agar dapat membentuk keimanan yang sempurna.

Proses pendidikan iman manusia haruslah diterapkan sejak manusia mengenal perkara baik dan buruk iaitu pada peringkat kanak-kanak lagi.

Pendidikan iman juga harus diterapkan sejak manusia mengenal perkara yang baik dan buruk iaitu pada peringkat kanak-kanak lagi. Pendidikan keimanan bertujuan mengajar manusia mengenal dan meyakini adanya perkara ghaib yang wajib dipercayai melalui rukun iman, hari akhirat dan qada dan qadar serta syariat Islam.

Tujuan pendidikan keimanan adalah untuk memberi keyakinan bahawa manusia perlukan pertolongan Allah SWT dalam segala urusan hidup di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT yang bermaksud; “Hanya Engkaulah (ya Allah) yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami minta pertolongan. Tunjukkanlah (hati) kami ke jalan lurus” (Al-Fatihah:5).

Selain itu, pendidikan iman juga untuk mengambil peringatan mengenai hukum Allah dan kewajipan mentaatinya. Firman Allah SWT yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu daripada azab neraka” (At-Tahrim: 6).

Pendidikan iman juga mendidik manusia supaya mencintai Allah SWT, Rasulullah SAW dan keluarganya serta membiasakan diri dengan membaca al-Quran. Ia juga mendidik manusia meyakini mengenai kekuasaan dan segala ciptaan-Nya, menanam keyakinan bahawa setiap amalan manusia akan mendapat balasan sewajarnya dari Allah SWT.

Hal ini dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud; “Iman yang paling afdal ialah apabila kamu mengetahui bahawa Allah selalu menyertaimu di mana kamu berada” (Riwayat Ath Thabrani).

Tokoh Islam Abul Hasan an-Nadwi berkata, “Mereka yang tidak disertai iman adalah buta; hati yang tidak disertai iman adalah segumpal bangkai daging; manakala masyarakat yang tidak disertai iman adalah kumpulan binatang yang dihimpunkan.

Sementara itu, Dr ’Aidh Abdullah Al-Qarni berkata, nyanyian yang tidak disertai iman adalah kata-kata yang sia-sia; tulisan yang tidak disertai iman adalah kata-kata kosong; dan pidato yang tidak disertai iman adalah pekikan yang mendatangkan sebarang faedah.

Berkaitan dengan benteng iman Imam Muslim berwasiat yang bermaksud; “Iman mempunyai bentengnya seperti yakin, ikhlas, istiqamah, memperbanyak amalan sunat, khusyuk dan berakhlak mulia, Oleh itu, kuatkan benteng keimanan itu dengan meningkatkan kualiti ibadah”.

Sesungguhnya, melalui ibadah iaitu semakin banyak kita sembahyang kita akan dekat dan beriman kepada Allah SWT. Seperti janji kita dalam doa iftitah, “Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku, matiku adalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam.” Oleh itu, laksanakan apa yang kita ucapkan dari hati dengan penuh keimanan dalam kehidupan.

Ketegasan mufti jadi contoh


ALLAHYARHAM Said Ibrahim adalah seorang mufti dan ulama yang telah memperlihatkan sumbangan yang besar dalam menegakkan syiar Islam di negara ini. Rekod perkhidmatannya menampilkan ciri-ciri beliau sebagai seorang pemuka atau pemimpin agama yang giat membimbing dan memandu umat Islam dalam masalah-masalah agama mahupun masalah sehari-hari yang diperlukan baik dari sisi keagamaan ataupun sosial kemasyarakatan.

Sungguhpun telah hampir sedekad meninggal dunia, Haji Said Ibrahim masih diingati kerana dua sifat dan sikapnya, iaitu seorang mufti yang tegas dan ulama terbilang. Ketegasannya amat ketara terutama apabila menetapkan sesuatu hukum, atau semasa menjawab apa juga persoalan dan kemusykilan yang dikemukakan kepadanya. Beliau tidak ragu-ragu menyatakan pendapatnya sungguhpun apa yang dilafazkannya itu memang disedarinya tidak menyenangkan beberapa pihak.

Ulama kelahiran Kelantan pada 1923 ini kemudian mendapat pendidikan di Jambi, dan Tanah Suci Mekah. Jambi adalah tanah tumpah darah kedua-dua orang tuanya yang kemudian merantau hingga ke Kelantan. Apabila orang tuanya kembali ke Jambi, Said mengambil peluang mengaji di pondok di Sumatera khususnya di Jambi. Dari Jambi Said belayar ke Mekah dan mengaji ilmu agama di Masjidil Haram.

Beliau kemudian memulakan kegiatan dakwahnya dengan mengajar di pondok di Kelantan sebelum merantau ke Singapura. Said bersama isteri dan anak sulungnya singgah di Lipis dan menjadi tukang jahit beberapa ketika di situ sementara menunggu tawaran bekerja di Singapura. Di Singapura beliau mengajar di Madrasah al-Hidayah pada sekitar 1954-56 serta menjadi pegawai agama tentera British. Beliau sempat juga menjadi Yang Dipertua, Persatuan Guru-guru Agama Singapura (PERGAS) antara 1963-68. Banyak kegiatan yang dianjurkan oleh PERGAS sewaktu dipimpin oleh Said.

Dari Singapura Said terbang pula ke Brunei dan mengajar di Sekolah Menengah Arab di Brunei. Beliau turut terlibat dalam menyusun sukatan pelajaran untuk Maktab Perguruan Agama Brunei ketika itu. Selepas berkhidmat tiga tahun di Brunei antara 1968-71, Said dilantik pula menjadi Pegawai Penerangan Agama di Sabah dan bergerak bersama-sama Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA). Antara 1972-75 Said menjadi Imam Masjid Negara.

Kerana pengetahuannya yang luas dalam hal keagamaan dan hukum-hakam, Said kemudian dilantik pula menjadi Mufti Negeri Sabah antara 1975-78. Ketika itu Said berkhidmat di bawah pentadbiran Datuk Harris Salleh sebagai Ketua Menteri Sabah. Dari Sabah beliau terbang dan kembali berkhidmat dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebagai Pakar Rujuk berkaitan syariat Islam. Kemudian semasa pentadbiran Datuk Pairin Kitingan, Said dilantik bagi kali kedua sebagai Mufti negeri Sabah antara 1985-89.

Haji Said sepanjang usianya berdakwah tidak langsung menunjukkan minatnya untuk terjun ke dalam arena politik. Meskipun ada sahabat karibnya seperti Tok Jiring yang terjun ke dalam dunia politik dan berjaya mendapat kedudukan yang baik dan kemudiannya dikenang dan diabadikan namanya pada sebuah sekolah di Terengganu, Said langsung tidak pernah terlibat dengan bidang tersebut. Walau bagaimanapun, apabila menyatakan pandangannya tentang hukum hudud beliau tidak pula menyembunyikan pandangannya yang agak kritikal adn berterus terang.

berterus-terang

Sebagai seorang mufti dan pakar rujuk kerajaan, ada ketika pendirian dan pandangannya yang berterus-terang itu menimbulkan polemik dalam kalangan pentadbir dan pemimpin politik dan ada juga yang tidak disenangi. Kadang-kadang kenyataannya yang bersifat politik itu digunakan pula sebagai hujah oleh pihak pembangkang. Said sedar bahawa di pihak kerajaan juga terdapat kesedaran bagi melaksanakan hukum Allah dan kerana itulah beliau berkata benar. Said juga insaf akan kedudukannya sebagai penjawat awam yang terikat dengan pelbagai peraturan.

Pendapat yang dikemukakan oleh Said dalam tulisan-tulisannya terutamanya tentang hukum hudud bukanlah semata-mata bermaksud menyebelahi pembangkang tetapi demi menegakkan kebenaran. Oleh yang demikian pendirian Haji Said ini tidak sepatutnya dilihat sebagai bersikap anti establishment. Pendiriannya yang tidak popular ini lebih didorong oleh sikapnya yang sentiasa berpegang pada kebenaran. Bagi Haji Said, apabila beliau mengkritik kerajaan bukanlah bermakna beliau menentang kerajaan. Tidak ada gunanya jika kita menjadi sokong yang membawa rebah. Memang dalam banyak keadaan kita mesti memilih untuk berubah, jika tidak, kita pasti akan rebah.

Tidak pernah sama sekali kita lihat arwah mengambil jalan tengah semata-mata mahu menyedapkan hati orang tertentu. Beliau menyatakan apa saja kebenaran meskipun pahit untuk ditelan. Demikianlah tegasnya Allahyarham Haji Said Ibrahim dalam menegakkan kebenaran.

Ketegasan Haji Said juga dapat kita lihat dalam beliau menjalani perancangan hidupnya. Setiap kali apabila beliau sudah membuat keputusan, beliau akan menurut apa saja kata hatinya asalkan keputusannya itu diyakininya berada pada landasan syarak. Ketegasannya inilah yang telah menghantarnya jauh hingga ke Makkah meskipun beliau bukanlah datang dari keluarga yang berada.

Demikianlah juga apabila menetapkan hendak ke Singapura dan singgah di Kuala Lipis, beliau mengharunginya dengan yakin dan tabah. Semasa menjadi imam Masjid Negara, beliau pernah memohon cuti untuk mengerjakan haji di Mekah tetapi permohonannya tidak diluluskan atas alasan pentadbiran. Oleh sebab telah memutuskan hendak menunaikan haji sebaik mengetahui permohonannya ditolak dan ini dapat menahan niatnya ke tanah suci, maka, Haji Said terus mengutus surat meletakkan jawatan sebagai imam Masjid Negara. Tidak ada apa yang dapat menghalang niat dan hajatnya kecuali kuasa Allah. Demikianlah ketegasan Said Ibrahim dalam meniti kehidupannya.

Beliau tidak pernah bimbang akan kehilangan pekerjaan kerana Said penuh yakin pintu rezekinya berada pada ketentuan Allah. Tuhan tidak akan melupakan hamba-Nya yang murah hati dengan ilmu. Dengan sedikit sebanyak wang sagu hati yang berikan kepadanya apabila menyampaikan ceramah, wang hasil jualan buku dan honorariumnya menulis di akhbar dan majalah lebih dari cukup untuk beliau menyara hidup lapan orang anaknya dengan serba sederhana.

Sikap kedua yang kental pada Allahyarham Haji Said memang amat langka pada kebanyakan ulama ialah kebolehannya berbahasa Arab dengan fasih, iaitu salah satu bahasa utama di dunia. Beliau juga memiliki pelbagai minat dan kebolehan selain menjadi mufti beliau juga terus menjadi pendakwah bukan sekadar menjalankan kerja pentadbiran di pejabat. Masanya yang cukup padat diisinya juga dengan menulis dan kemudian menjadi editor, melakukan penterjemahan dan juga menjadi penerbit. Jiwanya mendesak Said agar tekun dan rajin menulis tanpa mempedulikan jadual kerjanya yang memang sudah ketat dengan kuliah, ceramah selain urusan pentadbiran di pejabat. Jika terlalu sibuk, Said menulis berdikit-dikit. Sehari sesuku, lama-lama menjadi buku.

Beliau menguasai ilmu mantik dan ilmu logik, ilmu fikah dan tauhid selain bukunya menunjukkan beliau juga memiliki kepakaran dalam ilmu perbankan. Sepanjang hayatnya beliau telah menulis dan menerbitkan lebih dua puluh judul buku dan kitab. Pada hari ini memang boleh dibilang dengan jari seorang ulama yang memiliki kesemua kebolehan ini. Dengan setiap kebolehan inilah yang menjadi ramuan lengkap menghasilkan resipi terbaik yang melengkapkan peribadi Allahyarham Haji Said Ibrahim muncul sebagai seorang ulama terbilang.

Dalam zaman yang serba moden ini, dengan segala kemudahan berkomunikasi dan jalinan pengangkutan yang serba pantas belum tentu setiap orang bersedia meninggalkan kampung halamannya bertahun-tahun untuk menuntut ilmu di tempat yang jauh. Dengan kemudahan penulisan yang serba mudah berbantukan komputer, belum tentu dapat menjadikan semua orang penulis yang prolifik seperti Said Ibrahim.

terbilang

Kerana sifatnya yang terbilang itulah Said Ibrahim dihargai dan diberikan pengiktirafan. Said yang hanya lulus daripada pondok pengajian di Jambi dan kemudian ke Mekah dianugerahkan sarjana kehormat Universiti Kebangsaan Malaysia, sesuatu yang tidak pernah diimpikannya. Pada hujung perjalanan hidupnya beliau berdiri dengan rendah diri di hadapan para sarjana dan cendekiawan pengajian Islam dan pakar pelbagai bidang ilmu yang lain. Pada 1991 Said Ibrahim dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Wilayah Persekutuan.

Selain rumahnya yang sebuah di Gombak, Said Ibrahim tidak meninggalkan harta benda dan kekayaan dunia. Beliau meninggalkan anak-anaknya yang soleh. Sedekah jariahnya yang kita ketahui adalah dalam bentuk bukunya yang dirompak lanun penerbitan. Karyanya disalin dan diulang cetak. Haji Said menghalalkan semua itu demi ilmu dan amalnya. Ilmunya juga banyak sudah ditaburkan selama beliau hidup dan kebanyakannya ditulis dan diterbitkan. Itulah harta peninggalannya yang paling berharga. Said Ibrahim berharap ilmu yang ditinggalkannya itu akan dimanfaatkan oleh umat Islam dan generasi akan datang selepas putus hubungannya dengan dunia yang serba fana ini.

Friday, October 16, 2009

Az-Zummar: 55 Renung dan fikir

"Dan turutlah - Al-Quran - sebaik-baik (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.

Tuesday, October 13, 2009

Perhati dan renung...

Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.

Surah Lukman:6

 

Saturday, October 10, 2009

Wali Hakim...

Pada hari ini jam 10.30 pagi saya nikahkan pasangan berwalikan Hakim kerana pasangan ini Mualaf dari Sabah manakala pengantin lelaki dari Jempol Negeri Sembilan. Alhamdulillah majlis berjalan dengan lancar. Semoga Pasangan ini di kurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Saksi pernikahan ialah Us Kusini dan Us Fakrul. 

SELAMAT PENGANTIN BARU.

*esok saya pergi ShaH Alam rumah terbuka geng2 umrah 2008. En Azly 

Rapper bertukar Muslim


JIKA kita menyebut nama Amir Junaid Muhadith, mungkin ramai yang bertanya, siapa dia? Nama itu mungkin indah namun siapa yang miliki nama itu, tiada siapa yang tahu.

Tetapi berbeza jawapannya jika kita menyebut nama Loon atau Rapper Loon. Seluruh dunia terutama kalangan peminat muzik dan remaja tidak sahaja mengenali Loon, malah begitu memuja-muja beliau.

Manakan tidak, Loon merupakan anggota kumpulan muzik terkenal Bad Boy dan yang penting beliau merupakan anak didik rapper terkenal dunia, Puff Daddy.

Sedangkan hakikat yang mereka perlu tahu kini, nama Amir Junaid Muhadith dan Rapper Loon itu adalah individu yang sama!

Pada Disember tahun lalu, dunia dikejutkan dengan berita Loon memeluk agama Islam!

Ramai yang tidak percaya seorang penyanyi rap terkemuka yang hidupnya begitu mengejar populariti, wang dan nama akhirnya boleh berubah.

Dua dunia yang dikatakan cukup berbeza, dunia hiburan barat kepada Islam? Hedonistik kepada holistik?

Sukar bagi mereka untuk mempercayai walaupun Loon telah menampakkan perbezaan yang cukup ketara dalam soal imej. Dia kini memilih untuk berjubah dan kopiah putih serta menyimpan jambang dan janggut!

Iaitu satu imej Islam yang sama sekali tidak boleh dikaitkan lagi dengan gaya seorang rapper.

Amir merupakan artis kulit hitam Afrika Amerika yang dikatakan begitu berjaya mencipta pelbagai kejayaan dan rekod. Terutama sebagai artis yang bernaung di bawah syarikat muzik terkenal milik penyanyi Rap terkemuka Puff Diddy (dahulunya Daddy), P. Diddy Bad Boy Records.

Loon atau nama asalnya Chauncey Lamont Hawkin yang lahir pada Jun 1975 dari keluarga Kristian dibesarkan dalam suasana kehidupan ghetto di Harlem New York.

Amir memulakan karier sebagai artis dengan menganggotai kumpulan Harlem World dan menghasilkan koleksi lagu-lagu Rap Mase. Dia turut mengembangkan bakat dalam bidang lakonan dengan membintangi dua buah filem arahan Damon Dash yang bertajuk State Property 2 dan Death Of a Dynasty.

Ketika bersama Syarikat Bad Boy itu beliau menghasilkan album single Loon yang begitu melonjakkan namanya dan menjadikan beliau berada di puncak persada kerjaya sebagai rapper untuk muzik-muzik genre R&B dan hip hop yang terkemuka di dunia muzik Barat.

Namun pada 2004, Amir keluar dari syarikat tersebut dengan menubuhkan syarikat bagi menghasilkan label album beliau sendiri, iaitu Boss Up Entertainment.

Beliau dikatakan tertarik memeluk Islam ketika mengadakan siri jelajah persembahan di Dubai. Pengalaman sepanjang berada di negara itu menyebabkan Amir akhirnya memeluk Islam secara rasmi.

Berasal dan dibesarkan dalam suasana kehidupan sesak kulit hitam di lorong-lorong gelap Harlem New York, Amir sebagaimana anak muda kulit hitam yang lain, terlibat dalam pelbagai aktiviti yang kurang sihat.

Namun mujur sahaja Amir tidak berakhir menjadi seorang yang ganas atau penjenayah yang dikehendaki. Ini kerana minat yang mendalam, beliau belajar dan menguasai lagu dan tarian rap di setiap lorong dan sudut jalanan.

Ini membolehkan Amir memilih untuk serius dalam dunia muzik rap sebagaimana yang kebanyakan dilalui oleh anak-anak muda kulit hitam yang lain.

Segala penat dan usaha gigih beliau dalam dunia hiburan rap itu akhirnya menjanjikan apa yang selama ini beliau idam-idamkan. Kemasyhuran, gemerlapan cahaya kejayaan dan peminat-peminat keliling pinggang.

Namun yang jelas beliau menikmati satu kehidupan yang bebas, bebas tanpa sebarang had dan batasan.

Kebebasan memakan diri

Boleh melakukan apa sahaja, bebas dalam pergaulan dan bebas menentukan hala tujunya sendiri. Yang terkadang akibatnya ada kebebasan yang memakan diri sendiri. Namun semua itu dilalui oleh Amir bagi menciptakan kebahagiaan dalam diri.

"Begitu saya menyedari walaupun pelbagai nikmat dunia ini saya kuasai dan rasai namun kedamaian dalam hati ini langsung tidak ada.

"Hati saya tidak pernah senang dan tenang. Sentiasa ada sahaja yang tidak kena, resah gelisah tidak menentu dan masih tercari-cari makna hidup yang sebenar dan apakah arah matlamat hidup ini sebenarnya," katanya.

Akhirnya kunjungan untuk mengadakan persembahan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu memberikan jawapan kepada yang dicari selama ini.

"Hidup semewah mana pun tetapi jika tidak berpandu dan berasaskan kepada agama dan ajaran tuhan, semua itu tidak memberikan makna.

"Namun saya secara peribadi, mempercayai kewujudan dan menyerahkan diri kepada Allah memberikan saya seribu satu ketenangan kerana Dia memberikan saya inspirasi, hidup seseorang manusia itu adalah kerana dan untuk-Nya yang bakal memberikan kehidupan yang lebih abadi dan sempurna di akhirat kelak," jelas Amir.

Walaupun dia pernah mempercayai sepenuhnya ajaran Kristian namun ruang akalnya tidak mampu menerima terutama dalam kepercayaan trinity iaitu Nabi Isa itu sebagai anak Tuhan.

"Jika agama itu mempercayai Nabi Isa itu sebagai anak Tuhan, bererti Tuhan itu berkahwin bagi membolehkan 'isteri Tuhan' melahirkan anak, iaitu Nabi Isa.

"Tetapi mengapa di kalangan paderi-paderi itu sendiri menolak institusi perkahwinan dengan mengharamkan diri mereka untuk berkahwin. Jadi apa hinanya institusi itu sedangkan tuhan itu sendiri berkahwin?," katanya.

Walaupun Islam itu sendiri dimomokkan dengan pelbagai gelaran dan panggilan yang jahat dan tidak benar malah beliau sendiri pernah menaruh prejudis terhadap agama itu sebelum ini. Amir akhirnya mengakui bahawa Islam itu tidak sahaja sempurna malah begitu indah.

"Ajarannya cukup cantik, begitu mencintai kedamaian dan kehidupan yang adil dan sama rata untuk dinikmati oleh setiap golongan di muka bumi.

"Warna kulit bukan tiket untuk berlakunya pemisahan dan diskriminasi terhadap bangsa serta ia sama sekali tidak sebagaimana yang sering diperkatakan terutama mengaitkan agama itu dengan peperangan, keganasan dan pembunuhan.

"Malah pengebom berani mati pun sebenarnya tidak ada dalam ajaran agama itu," katanya.

Dalam temuramah dengan televisyen Al Jazeera pada Julai lalu, Amir tanpa ragu-ragu menyatakan hasratnya untuk melupakan dunia hiburan yang selama ini dikuasai, muzik rap!

"Saya tahu keputusan ini seperti membunuh diri saya sendiri kerana muzik itu sudah menjadi sebahagian besar dalam hidup saya selama ini.

"Saya tidak mampu melakukan perkara lain selain menghiburkan peminat menerusi lagu dan tarian rap ini.

"Tetapi sejak melakukan ibadat umrah di Mekah baru-baru ini, tanpa ragu lagi saya mengambil keputusan mendalami Islam bagi membolehkan saya beralih tugas yang lebih murni iaitu pendakwah," katanya.

Tugas pendakwah yang tidak mustahil dengan menjadikan muzik sebagai strategi dan metod terhadap kumpulan sasaran beliau kelak.

Namun seperti yang disebutkan, pengislaman Amir benar-benar mengejutkan dunia. Walaupun ada yang menganggap perkara itu bukan sesuatu yang luar biasa bagi seorang yang berkulit hitam dari Amerika.

"Kerana kecewa dalam hidup, individu bangsa Afrika Amerika akan lari kepada Islam, begitulah caranya mereka meneruskan hidup," antara kata-kata yang sering dilemparkan kepada golongan kulit hitam di Barat.

Malah ada yang menuduh tindakan Amir itu semata-mata kerana popularitinya kian merosot dan dengan memeluk Islam akan melonjakkan kembali namanya ke persada hiburan dan terus di puja peminat.

Tidak kurang juga sebagai satu cara kepada Amir untuk mendapat kewangan atau wang ringgit dari kalangan kaum kerabat diraja Arab bagi membolehkan beliau terus hidup dalam kemewahan.

Amir juga dilemparkan dengan gelaran baru; 'Black Osama Bin Laden'? Namun semua itu tidak diendahkan oleh Amir.

Larangan makan riba



Umat Islam wajib mengelak terlibat dalam unsur riba termasuk dalam urusan pembelian kereta.

SHEIKH Sya'rawi berkata: Kita dapati firman Allah SWT berkenaan dengan penjagaan solat lima waktu dan solat pertengahan datang pada tempatnya. Begitu juga ayat berkenaan dengan riba datang pada tempatnya supaya orang yang menghendaki duit riba yang tidak disyariatkan Allah akan mengetahui berkenaan bala yang akan ditimpa ke atasnya dianggap sebagai menentang Allah dan juga rasul.

Ayat ke-130

Firman Allah SWT yang bermaksud:Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Ibn Jarir berkata: "Janganlah kamu memakan harta riba' berlipat kali ganda selepas kamu menganut agama Islam. Sebab Allah SWT telah memberi hidayah kepadamu, mengenai larangan perbuatan kamu pada zaman jahiliah dahulu".

ii. Al-Razi berkata: "Pada zaman jahiliah, apabila seseorang memberi hutang kepada orang lain dengan wang yang bernilai 100 dirham untuk jangka masa tertentu, bila tiba waktunya orang yang berhutang tidak mampu membayarnya, maka pemiliknya akan berkata: Berikan bunganya, nanti aku akan tangguhkan waktunya. Boleh jadi dia akan menetapkan menjadi 200 dirham.

"Bila sampai tempoh yang dijanjikan, si berhutang belum juga mampu membayarnya, lalu ditunda lagi sampailah beberapa kali.

Penundaan yang kerap kali menyebabkan wang yang 100 dirham menjadi berlipat kali ganda banyaknya. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya perkara berganda-ganda itu".

iii. Al-Maraghi berkata: "Hendaklah kamu takut kepada Allah SWT mengenai hal-hal yang kamu dilarang mengerjakannya, termasuklah riba".

iv. al-Biqa'i berpendapat sebab utama malapetaka yang terjadi dalam perang Uhud adalah langkah para pemanah meninggalkan posisi mereka di atas bukit untuk turun mengambil harta rampasan perang sedangkan Nabi SAW telah melarang mereka.

Harta yang mereka ambil itu serupa dengan riba kerana keduanya merupakan sesuatu bahagian yang lebih dari hiasan dunia.

Ayat ini mengajak orang-orang beriman agar tidak memakan riba sebagaimana yang sering terjadi dalam masyarakat jahiliah ketika itu.

Mereka diajak untuk menghindari seksa Allah SWT di dunia dan di akhirat dengan perintah-Nya. Neraka disediakan untuk orang-orang kafir, antara lain mereka yang menghalalkan riba, orang-orang yang derhaka yang mengkufuri nikmat Allah SWT.

v. Hamka berkata: "Menurut ahli tafsir, inilah ayat mengharamkan riba yang mula-mula turun dan mengandungi bermacam-macam hikmah.

"Riba adalah suatu pemerasan hebat dari yang memberi hutang kepada si penghutang. Umumnya, telah diketahui riba adalah kehidupan yang paling jahat dan meruntuhkan segala bentuk persaudaraan sesama Muslim.

"Konsep takwa telah dianjurkan khusus untuk menghalang perbuatan riba menguasai pentas kehidupan manusia".

Ayat ke-131

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan peliharalah diri kamu dari api neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Jauhkanlah dirimu daripada meniru perbuatan tukang riba kerana memakan harta riba hanya akan menjerumuskan dirimu ke dalam neraka, yang telah disediakan kepada orang kafir.

Tidak diragukan lagi bahawa ayat ini mengandungi ancaman keras. Golongan beriman yang diperintahkan diharap dapat menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan maksiat.

Apabila mereka menyedari bahawa dengan meninggalkan amalan takwa akan membawa mereka ke neraka, nescaya perasaan rasa takut mereka untuk melakukan perbuatan maksiat akan lebih menebal.

ii. Imam Abu Hanifah r.a berkata: "Ayat ini adalah antara ayat al-Quran yang paling menakutkan. Ini kerana Allah SWT mengancam orang mukmin bahawa mereka akan dimasukkan ke dalam neraka yang memang disediakan untuk orang kafir sekiranya tidak mahu menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan haram".

iii. Sayid Qutub berkata: "Sebelum ayat dari surah ini menghuraikan yang berkaitan dengan perang Uhud dipaparkan segala yang berkaitan dengan pertempuran dahsyat iaitu pertempuran dalam diri manusia dan lingkungan hidupnya. Huraian tentang riba, takwa dan ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya".

iv. Hamka berkata: "Allah SWT memberi peringatan kepada hamba-Nya yang beriman tidak terjebak dan melakukan riba seperti orang kafir.

"Ini kerana orang kafir yang melakukan riba telah terang-terangan jahil, akan tetapi jika dilakukan oleh orang yang beriman amatlah malang kepadanya kerana menjauhkan rahmat Allah SWT ke atasnya dan kemurkaaan-Nya menyebabkan azab yang amat pedih menanti di akhirat kelak".

Ayat ke-132

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, supaya kamu diberi rahmat.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Ibn Kathir berkata: "Allah perintahkan hamba-Nya supaya bertakwa, mudah-mudahan mereka berjaya di dunia dan di akhirat".

ii. Al-Qurtubi berkata: "Maksud taat pada Allah di sini dengan melaksanakan yang fardu termasuk meninggalkan pengharaman riba".

iii. Al-Alusi berkata: "Supaya kamu mendapat rahmat Allah dan mengharapkannya".

iv. Al-Maraghi berkata: "Taatlah kamu kepada Allah SWT dan Rasul-Nya meskipun dalam perkara yang dilarang-Nya, seperti memakan riba.

"Patuhilah segala perintah-Nya, termasuk bersedekah agar kamu mendapat rahmat di dunia ini, seperti memperoleh hidup yang baik dalam masyarakat dan menerima pembalasan yang baik berdasarkan amalan di akhirat kelak.

"Orang yang memiliki perasaan belas kasihan terhadap orang lain akan mendapat rahmat Tuhan Yang Maha Pengasih".

v. Hamka berkata: "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Jauhilah perbuatan riba dan banyakkanlah bersedekah. Sesungguhnya Allah SWT bersifat Maha Pemurah yang sentiasa mendengar rintihan hamba-Nya tidak kira yang beriman mahupun orang kafir".

Marilah sama-sama kita mentaati Allah dan Rasul-Nya, kerana dengan mentaatinya kita beroleh rahmat. Amin.

Tuesday, October 6, 2009

Menarik today: Fikir dan renungkanlah....


Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya. Dan mereka (yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak kekal, berbanding dengan kesenangan hari akhirat. Surah ar-Rad' 26

Monday, October 5, 2009

Tanggungjawab kepada ibu susuan

SOALAN 1:


Saya ingin tahu adakah tanggungjawab saya terhadap ibu susuan sama seperti ibu kandung seperti makan pakainya dan perbelanjaannya?

JAWAPAN:

Kewajipan anak susuan terhadap ibu susuan tidak seperti tanggungjawab anak kandung terhadap ibu kandungnya. Namun ini tidak bermaksud ibu susuan tidak berhak mendapat layanan atau perhatian dari anak susuan.

Berbuat baik kepada ibu susuan sangat dituntut sedang dialah yang mengenyangkan saudara di kala saudara perlukan susu.

Di dalam masyarakat arab zaman permulaan dan sebelumnya orang arab akan menghantar anak mereka menyusu dari wanita-wanita kampung yang memang mengambil upah menyusukan bayi dalam masa yang sama mendedahkan anak di awal usia dengan budaya mahmudah (pekerti yang terpuji). Serta membiarkan anak membesar di dalam suasana dan persekitaran yang harmoni.

Dalam sebuah kisah diriwayatkan pada suatu hari ketika Rasulullah SAW sedang bersama para sahabat tiba-tiba muncul seorang wanita tua menuju ke arah baginda. Melihat kepada wanita itu Rasulullah SAW meminta para sahabat memberi laluan kepada wanita itu. Lalu para sahabat membuka laluan memudahkan wanita itu menghampiri Rasulullah SAW.

Apabila wanita itu sampai di sisi Rasulullah SAW baginda yang asalnya duduk berdiri menghormati wanita tersebut, lantas membuka abaya (jubah yang biasa disarung di atas tubuh) baginda dan menghamparkanya sambil meminta wanita tua itu duduk di atasnya.

Para sahabat yang berada di sisi baginda merasa hairan. Baginda meminta wanita itu duduk di atas hamparan abaya baginda dengan berkata: "Duduklah wahai ibu susuanku".

Selepas itu barulah para sahabat tahu wanita tua itu adalah ibu susuan Rasulullah SAW iaitu Halimah al-Sa'diyyah.

Ulama yang memerhatikan kisah ini mengungkapkan: "Sekiranya ibu susuan Rasulullah SAW, Halimah al-Sa'diyyah menerima layanan yang begitu istimewa bayangkan sahaja kalau ibunya masih hidup".

Sebenarnya ada pengajaran yang perlu diambil dari kisah ini, iaitu petunjuk Rasulullah dalam menghormati ibu susuan. Lihat sahaja bagaimana Rasulullah sanggup menghamparkan abaya baginda atas lantai pasir demi menghormati dan menyanjung ibu susuan baginda.

Justeru, tidak apa yang perlu dipertikaikan oleh ibu kandung saudara sekiranya saudara ingin berbuat baik kepada ibu susuan saudara. Sepatutnya ibu saudara bersyukur anaknya menghormati ibu susuannya tanpa disuruh.

Saya juga yakin bahawa saudara mempunyai pertalian bukan sahaja kerana susu yang diminum dari tubuh ibu susuan tetapi sentuhan kasih sayang ibu susuan, setiap dakapan ibu susuan ketika saudara masih kecil lagi tidak ada seorang pun yang dapat menterjemahkannya melainkan melalui perasaan yang saudara lalui.

---------------------------------------------

SOALAN 2:

Berdosakah saya sekiranya ingkar pada katanya?

JAWAPAN:

Sebagai anak susuan saudara berdosa mengingkari katanya, lebih-lebih lagi apabila saudara disuruh berbuat baik.

Menghormati ibu susuan tidak ubah seperti mana saudara menghormati ibu kandung saudara. Ibu susuan juga mahukan anak susuannya menjadi anak yang baik. Mungkin atas dasar itulah ibu susuan menasihati anak susuanya.

Sebenarnya manusia perlukan nasihat dan tunjuk ajar, maka tidak salah kalau ibu susuan saudara yang mendahuluinya berbanding orang lain.

--------------------

SOALAN 3:

Ibu kandung pernah melarang saya memberi wang kepada ibu susuan saya kerana katanya dia bukan ibu kandung saya. Saya serba salah kerana fikiran saya tidak salah saya memberinya wang.

JAWAPAN:

Memang tidak salah memberi wang kepada ibu susuan, memang itulah yang sepatutnya. Ibu saudara mungkin tidak faham, betapa Islam menggalakkan berbuat baik kepada orang pernah berjasa, pengorbanan ibu susuan juga tidak boleh diketepikan.

Cuma janganlah sampai saudara melebihkan ibu susuan berbanding dengan ibu kandung sendiri. Mungkin ibu kandung saudara merasakan saudara melebihkan ibu susuan berbanding dirinya.

Walau apa pun saudara perlu mengutamakan ibu kandung saudara dalam semua hal. Untuk mengelakkan hati ibu kandung tersinggung eloklah difahamkan bahawa apa yang saudara lakukan adalah salah satu tanggungjawab saudara kepada ibu susuan.

Pada masa yang sama tidak mengabaikan tanggungjawab yang hakiki terhadap ibu kandung.