Friday, January 8, 2010

Takut hanya kepada Allah

AL-MARAGHI berkata: Kesempatan ini diterangkan motivasi yang dapat merangsang jihad pada jalan Allah SWT. Disebutkan bahawa orang yang mati syahid pada jalan Allah adalah mereka yang masih hidup di sisi Tuhan-Nya dengan dikurniakan keistimewaan, kemuliaan, rezeki yang terbaik, dan ditempatkan pula pada tingkat yang paling menyenangkan.

Ayat ke-173

Firman Allah SWT yang bermaksud:Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadanya segala urusan kami)".

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Mujahid, Muqatil, Ikrimah dan al-Kali berkata: Orang yang berkata dalam ayat ini ialah Nu'im bin Mas'ud al-Asyjai. Lafaznya am tetapi maknanya khusus.

ii. Al-Qurtubi berkata: Allah menambahkan iman mereka kebenaran dan keyakinan pada agama mereka. Begitu juga dengan kekuatan dan keberanian.

iii. Al-Maraghi berkata: Ucapan yang menakutkan itu sebaliknya telah menambahkan lagi keyakinan mereka terhadap Allah SWT dan mereka tidak akan lari kerana berasa takut.

Bahkan tekad mereka semakin memuncak untuk memerangi kaum kafir dan mentaati Rasulullah SAW dalam segala perintah dan larangan-Nya.

Ternyata ucapan yang diharapkan melemahkan semangat mereka itu sebaliknya telah menambah kesedaran mereka mengenai keagungan Allah SWT dan kekuasaan-Nya, serta keyakinan mereka terhadap janji dan ancaman Allah SWT.

iv. Al-Sonhaji berkata: Kata-kata yang diucapkan oleh musuh dengan tujuan untuk melemahkan pendirian orang-orang Islam, sebenarnya telah menambahkan lagi keimanan mereka.

Apalagi jika mereka meyakini yang sebenar-benarnya, bahawa Allah cukup menjadi pemelihara dan pemimpin kepada orang-orang mukmin dan Dialah sebaik-aik pemimpin

Ayat ke-174

Firman Allah SWT yang bermaksud: Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah. Dan ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: Ketika mereka benar-benar bertawakal kepada Allah SWT, maka mereka pun diberikan berbagai ujian yang membuat mereka gelisah dan dihindarkan dari serangan orang yang menipunya, sehingga mereka kembali ke negerinya sendiri.

ii. Ibn Jarir meriwayatkan daripada al-Suddi katanya: Rasulullah SAW ketika keluar ke Badar kecil, telah memberi beberapa dirham kepada para sahabat. Lalu mereka membeli pada musim itu juga. Kemudian dijual sehingga mendapat keuntungan yang banyak sekali.

iii. Al-Maraghi berkata: Mereka mematuhi setiap perkataan atau perbuatan yang diredai oleh Allah SWT.

Melalui keredaan Allah SWT inilah mereka memperoleh kemenangan dan keuntungan di dunia dan juga akhirat. Oleh yang demikian, taatilah Rasulullah SAW dalam segala bentuk perintah dan larangannya.

iv. Mujahid dan as-Suddi berkata: kurnia yang besar itu, ialah pertama kesihatan badan, tidak kurang suatu apa; kedua tidak jadi berperang, kerana musuh tidak bertemu; ketiga mendapat keuntungan berniaga yang berlipat ganda; dan di atas semua itu ialah teguhnya iman dan gembira hati di dalam memperjuangkan agama Allah.

Ayat ke-175

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku (jangan cuaikan perintah-Ku), jika betul kamu orang-orang yang beriman.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: Syaitan itu menakut-nakutkan manusia serta menanamkan perasaan pada diri manusia bahawa mereka memiliki kekuatan dan pengaruh.

ii. Al-Qurtubi berkata: Ayat ini kembali kepada Auliya Allah yang sentiasa takut kepada-Nya. Mereka tidaklah takut kematian tetapi apa yang berlaku selepas kematian

iii. Al-Maraghi berkata, ayat ini mengandungi beberapa pengajaran:

l Iman sejati tidak akan menjadikan seseorang itu pengecut. Keberanian adalah watak sebenar seseorang mukmin. Tidak akan ada orang lain yang mampu menandingi keberaniannya. Sebab si pengecut itu hanyalah kerana perasaan takut mati dan cinta terhadap kehidupan.

Dalam hati seorang mukmin tidak akan mempedulikan kedua-duanya. Dunia pada hari ini sering menyaksikan keberanian tentera Islam, walaupun umat Islam telah mengalami kelemahan iman dan kejahilan dalam urusan agama.

l Setiap orang sebenarnya mampu mengatasi punca yang mendatangkan perasaan takut dan melatih dirinya menjauhkan darinya melalui latihan pendidikan dan membiasakan diri dengan perkara yang menakutkan.

l Jika menghadapi situasi hal yang menakutkan, janganlah kamu menyimpannya selama-lamanya sehingga perasaan takut ini mempengaruhi jiwanya serta mengkhayalkannya secara berterusan.

Sebaliknya, bayangan ketakutan ini hendaklah dibuang jauh dari ingatan dan hendaklah menyibukkan diri dengan hal-hal yang lain bagi mengatasi perasaan sedemikian.

iv. Hamka berkata: maksud kata-kata Nu'aim bin Mas'ud dan Nu'aim itu sebagai syaitan yang mempertakuti. Nescaya yang dapat ditakutinya itu tidak lain daripada orang yang percaya kepadanya.

Orang yang percaya kepada rayuan syaitan nescaya pengikutnya manakala orang yang beriman tidak dapat dipengaruhi syaitan lantaran beriman kepada Allah. Percaya bahawa pertolongan Allah pasti datang kepada orang yang benar-benar percaya kepada-Nya.

Rasulullah SAW menyatakan dengan tegas, beliau mesti pergi menghadapi Abu Sufyan dengan tenteranya walaupun akan pergi sendirian berbekalkan keimanan kepada Allah yang kuat.

Semoga kita mempunyai iman yang sejati dan bukan yang pengecut kerana keberanian adalah watak sebenar orang yang beriman.

Anas mencium keharuman Syurga Firdaus

ANAS bin Nadhar adalah pemuda Muslim yang sangat cekal dan kuat dalam menghadapi apa jua rintangan. Beliau merupakan salah seorang pengikut Rasulullah di medan peperangan.

Beliau sangat gagah ketika bertempur di medan perang ibarat seekor singa yang garang. Semua musuh yang datang akan ditentang dan dibunuh habis-habisan.

Anas pernah melakukan kesilapan pada masa lampau iaitu tidak dapat bersama Rasulullah untuk pergi berjuang di medan peperangan Badar. Apabila mengenang kembali zaman yang lampau itu, beliau betul-betul terasa menyesal dan ingin menebus kembali kesilapannya itu.

Anas ingin terus berjuang menentang musuh pada peperangan yang akan datang. Betapa bersungguh-sungguhnya niat Anas itu, sehingga beliau menemui Rasulullah dan berkata: "Saya tidak menyertai engkau, ya Rasulullah ke medan perang Badar, sewaktu mula pertama kali engkau berhadapan dengan musuh Allah. Sekarang saya berhasrat benar, semoga nanti Allah akan memperkenankan saya memerangi kaum musyrik dan membuktikan betapa besarnya keimanan saya".

Apabila sampai masanya, pergilah Anas bersama-sama tentera Muslimin ke medan pertempuran di Bukit Uhud. Maka berlakulah pertempuran antara tentera Muslimin dengan tentera Quraisy.

Mereka saling berasak-asak, tikam menikam, panah memanah, sehingga lari bertempiaran musuh-musuh Allah itu dalam keadaan ketakutan. Di saat yang sangat kritis itu, Anas berteriak dengan suara yang lantang,

"Tuhanku, ampunilah aku daripada kesalahan yang telah diperbuat oleh mereka yang telah lari dan sucikanlah diriku daripada kekejian yang diperbuat oleh kaum Musyrikin."

Pada peringkat pertama, tentera Muslimin telah menemui kemenangan. Tetapi disebabkan kesalahan yang mereka lakukan iaitu dengan turun dari Bukit Uhud untuk mengutip harta yang ditinggalkan pihak musuh menyebabkan pihak musuh berpatah balik dan menyerang hendap mereka dari belakang.

Keadaan yang tidak bersedia ini menyebabkan tentera Muslimin ditentang habis-habisan.

Dalam keadaan begitu, Anas terus maju ke hadapan menentang pihak musuh yang datang secara mengejut itu.

Lalu beliau menghampiri Saad bin Muaz dan berkata: "Lihat ya Saad, itulah sayap-sayap syurga yang telah kelihatan. Aku telah mencium keharuman kasturinya di bawah tanah Uhud".

Anas sudah mengetahui bahawa ajalnya sudah hampir menjemputnya di perang Uhud. Beliau terdengar seolah-olah bidadari syurga sedang memanggil-manggilnya. Kemudian Anas terus mengayunkan pedangnya ke kiri dan ke kanan memerangi musuh sedaya upaya.

Ketika itu, Anas berada di tengah-tengah pasukan musuh dan api peperangan semakin hebat membakar. Tiba-tiba terdengar satu suara daripada tentera Quraisy mengatakan Rasulullah telah dibunuh.

Mendengar laungan itu, Anas menjadi lemah dan hancurlah hatinya. Malah menambahkan lagi hasratnya untuk syahid di medan peperangan. Beliau semakin marah dan terus menentang musuh sambil hatinya berkata, "Muhammad telah pergi dan tidak kembali lagi. Muhammad telah berangkat ke hadrat Tuhan-Nya, dan biarlah aku orang yang mulamula mengikuti jejaknya dan berjuang di bawah kibaran benderanya".

Setelah itu, gugurlah pahlawan Anas dengan luka-luka pada jasadnya lebih daripada 80 tempat kerana terkena pedang, panah dan tombak musuh.

Hancur berkecai jasadnya sehingga tidak dikenali lagi, kecuali adik perempuannya yang dapat mengecam mayat Anas melalui jari-jari tangannya. Begitulah nasib Anas bin Nadhar yang telah syahid sebagai pahlawan Islam yang berani.

Takwa pelindung daripada sebarang perkara buruk

SABAN minggu kita diingatkan khatib dalam khutbahnya supaya meningkatkan ketakwaan kepada Allah. Dalam peringatan itu khatib berkata, takwa boleh dicapai dengan melaksanakan semua perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya.

Persoalannya sekarang, adakah kita benar-benar faham apa itu takwa atau disebabkan sering kali diingatkan lantas membuatkan kita menganggap takwa sebagai perkataan yang tidak membawa sebarang erti mendalam serta tidak berkaitan dengan iman.

Kepentingan takwa sebenarnya jelas apabila ia menjadi antara rukun khutbah yang perlu diberi perhatian. Meninggalkan peringatan untuk bertakwa kepada Allah dalam teks khutbah akan menyebabkan ia tidak sempurna.

Sebenarnya bagi mencapai takwa yang hakiki, bukan sekadar menghendaki kita melaksanakan perintah Allah serta meninggalkan larangan-Nya. Takwa memerlukan kita melakukan lebih daripada itu kerana ia membabitkan amalan roh dan jiwa.

Takwa membawa maksud berwaspada, berjaga-jaga dan takut kepadaNya dengan menjauhi segala laranganNya. Asal kepada perkataan 'ittaqa' itu juga membawa maksud menjadikannya pelindung daripada sesuatu perkara.

Jelaslah takwa bukan saja membawa maksud takut kepada Allah, malah sebagai pelindung dan pemelihara daripada sebarang perkara buruk, lebih-lebih lagi perkara yang boleh membawa kita tergolong di kalangan hambaNya yang rugi di akhirat nanti.

Ketinggian tahap takwa apabila ia dijadikan kayu ukur kepada pemilihan hamba Allah yang dipandang mulia di sisi-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya), sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Sebagai satu cara untuk mencapai takwa bagi kita yang mungkin boleh dikategorikan dalam golongan bawahan jika dimuhasabah dari segi tahap keimanan, beberapa perkara yang dikaitkan dengan takwa menerusi ayat al-Quran perlu diteliti antaranya:

  • Berbuat baik sesama insan serta bermaaf-maafan

    Ayat ini berkaitan dengan hubungan suami dan isteri yang bercerai.

    Firman Allah yang bermaksud: "Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada takwa. Dan janganlah kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jgua yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah, ayat 237)

  • Sentiasa berlaku adil

    Allah menjelaskannya menerusi firman yang bermaksud: "Wahai orang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Ma'idah, ayat 8)

  • Melakukan amalan dengan keikhlasan

    Allah menjelaskan perkara ini serta mengambil ibadah korban sebagai contoh, dalam firman yang bermaksud: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa dari kamu." (Surah al-Hajj, ayat 37)

  • Melaksanakan perintah Allah dengan penuh kesabaran

    Hal ini dijelaskan Allah melalui perintah solat bagi menggambarkan bahawa ibadat yang diperintahkan sememangnya memerlukan kesabaran dalam pelaksanaannya.

    Gangguan syaitan dan dorongan nafsu manusia yang mengarah kepada keburukan akan sentiasa menjadi penghalang utama kepada pelaksanaan ibadat dan perintah Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan perintahlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa." (Surah Toha, ayat 132)

  • Menjaga hak orang lain dan memenuhi janji

    Firman Allah yang bermaksud: "Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertakwa." (Surah Ali-Imran, ayat 76)

    Dapat disimpulkan sifat mahmudah atau terpuji haruslah sentiasa disemai dalam diri setiap individu Muslim bagi mencapai ketakwaan yang sebenar kepada Allah. Berbaik sangka sesama manusia, mudah memberi dan meminta maaf, sabar, adil, ikhlas, memenuhi janji, berkasih sayang, reda adalah amalan hati yang boleh membentuk peribadi terpuji serta prasyarat mencapai martabat golongan bertakwa.

    Tanpa takwa yang sebenar dalam diri, segala perintah Allah yang dilaksanakan tidak membawa sebarang faedah dan manfaat kepada diri dan kehidupan dunia serta akhirat. Allah secara jelas menyatakan takwa seharusnya dijadikan pakaian diri setiap Muslim dan ia sebaik-baik pakaian.

    Firman Allah bermaksud: "Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami sudah menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya." (Surah al-A'raaf, ayat 26) 
  • Monday, December 28, 2009

    Syiah, Karbala dan Assyura


    ARI ini, dua bandar yang dianggap suci oleh penganut fahaman Syiah di Iraq iaitu Karbala dan Najaf akan menjadi tumpuan.

    Ia kerana di kedua-dua bandar berkenaan akan diadakan perayaan menyambut Assyura sempena 10 Muharram. Pengikut Syiah menjadikan tarikh berkenaan sebagai hari memperingati kematian Saidina Hussein. Mereka akan menyambutnya dengan cara memukul badan sendiri sehingga berdarah.

    Berikutan itu pihak berkuasa Iraq sudah menetapkan akan mengerahkan hampir 50,000 anggota tentera dan polis bagi mengawal keamanan di kedua-dua bandar berkenaan. Ia bertujuan bagi mencegah sebarang serangan yang dikatakan melibatkan puak Sunni. Di Iraq, penentangan dan perbalahan antara dua puak Islam ini masih berterusan sehingga kini.

    Perbalahan mereka dikatakan semakin memuncak apabila Saddam Hussein disingkirkan daripada jawatan Presiden melalui pencerobohan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2003.

    Langkah kawalan keselamatan yang ketat itu terpaksa dilakukan apabila pada Rabu lalu, dua terbunuh manakala 24 lagi cedera apabila sebutir bom meletup ketika mereka menghadiri salah satu acara sempena sambutan Assyura.

    Komander tentera Iraq di Karbala, Jeneral Usma al Ghameni menyatakan, sebanyak 20,000 anggota keselamatan akan ditempatkan di bandar itu.

    Berikutan serangan berani mati yang kerap kali dilakukan oleh kaum wanita, Usman juga telah mengerahkan 600 anggota tentera wanita untuk bertugas.

    Apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa Iraq itu adalah bagi memastikan peristiwa pengeboman yang terjadi ketika sambutan Assyura di Baghdad dan Karbala pada tahun lalu tidak berulang.

    Dalam kejadian berkenaan lebih 170 pengikut Syiah terkorban sehingga ia menambahkan lagi ketegangan hubungan kumpulan itu dengan puak Sunni.

    ''Kita juga akan memastikan helikopter membuat pengawasan daripada udara bagi menghalang sebarang serangan mortar,'' kata Usman.

    Bagi mengelakkan ketegangan, Komandan Polis Karbala, Al Jassim Mohammed menegaskan bahawa pihaknya tidak akan membenarkan sebarang tindakan yang dilihat berunsur politik.

    Ia memandangkan mereka tidak mahu sambutan itu dijadikan medan untuk berkempen memandangkan Iraq akan mengadakan pilihan raya Parlimen pada Mac nanti.

    ''Kami tidak akan membenarkan gambar calon atau mana-mana pemimpin politik dipamerkan. Ini adalah acara keagamaan maka ia tidak boleh dicemari dengan unsur politik,'' katanya.

    Gabenor Karbala, Amal Adin al Her pula menjangkakan lebih sejuta pengikut Syiah akan mengunjungi bandar itu mulai semalam hingga hari ini.

    ''Jumlah ini termasuklah 60,000 orang dari negara-negara Teluk, Iran, Pakistan,'' katanya. Menyiksa Tubuh Badan Sempena 10 Muharram.

    Pandangan ulama

    Apa yang lebih menjadi perhatian kepada ulama-ulama besar ialah perbuatan pengikut Syiah yang mengadakan upacara memukul dada dan menyiksa tubuh sempena 10 Muharram bagi menangisi kematian Saidina Hussein.

    Dalam Kitabnya al-Syiah Wa al-Tashih al-Sira', Baina al-Syiah Wa al-Tasyayyu', seorang ulama Musa al-Musawi menyatakan;

    ''Perlu kami asingkan satu pasal yang khas mengenai memukul dengan rantai besi ke atas bahu, mengetuk kepala dengan pedang dan menyiksa badan pada hari kesepuluh Muharram sebagai berkabung di atas kematian Saidina Hussein.

    ''Amalan yang masyhur ini sentiasa diadakan sebagai satu bahagian daripada musim-musim perayaan sempena kematian Saidina Hussein. Amalan ini berlaku di Iran, Pakistan, India dan sebahagian di negara Lebanon pada setiap tahun. Dengan sebab itu berlaku pertempuran darah di antara Syiah dan Ahli Sunnah di beberapa tempat di Pakistan menyebabkan beratus-ratus nyawa yang tidak bersalah terkorban daripada kedua-dua belah pihak yang tidak dapat tidak banyak diperkatakan.

    Perayaan

    ''Sebagaimana yang kami telah katakan pada pasal yang lalu bahawa Syiah mengadakan perayaan pada hari Asyura semenjak berabad-abad lagi. Selain daripada itu bacaan ziarah yang banyak diperkatakan sebelum ini di mana para pujangga telah menasyidkan beberapa qasidah di hadapan kubur sehingga seorang penyair Arab yang bernama Syarif Reda semasa menyampaikan qasidahnya yang mulia di hadapan kubur Husain yang mana terdapat diawal qasidah tersebut iaitu "Karbala sentiasa kamu berada di dalam kesusahan dan bala' hingga sampai kepada bait ini iaitu:

    ''Berapa ramai orang yang telah berperang di atas tanah ini, sehinggalah darah yang mengalir dan mereka yang terbunuh.''

    ''Penyair tersebut menangis sehingga ia pitam. Yang pastinya bahawa imam-imam Syiah merayakan hari kesepuluh Muharram, mereka duduk di rumah-rumah dengan menerima ucapan takziah daripada orang-orang yang memberikan takziah dan mereka mengadakan majlis jamuan pada hari itu. Imam mereka memberi khutbah dan qasidah bagi mengingati Saidina Husain dan Ahli Bait Rasulullah SAW. dan kelebihan-kelebihan mereka.''

    Kesimpulannya, puak Syiah mungkin alasan tersendiri tetapi sebagai umat Islam, marilah kita memahami sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

    ''Bukanlah daripada golongan kami, orang yang menampar-nampar pipi dan mencarik-carikkan baju dan memekik-mekik seperti mana yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliah'' (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

    Penetapan Sasaran Kerja Tahunan

    Bil

    Ringkasan aktiviti/ projek

    (Senaraikan Aktiviti/ Projek)

    Petunjuk Prestasi

    (Kuantiti/ Kualiti/ Masa/ kos)

     

    1

     

     

    Bertanggungjawab mengurus permohonan Nikah, Cerai dan Ruju’

     

     

    -Meluluskan 505 kebenaran berkahwin Dalam Wilayah, Luar Wilayah dan Luar Negara

     

     

    -Menandatangan 227 Surat Perakuan Nikah Januari

      hingga Disember 2009

     

     

    2

     

     

    Mengurus program, kursus, seminar, forum, bengkel yang berkaitan dengan kekeluargaan.

     

     

    -Seminar Kekeluargaan ( Hatiku Milikmu)

    -Kursus Motivasi Wanita Cemerlang

    -Seminar Kekeluargaan Suami Nusyuz Isteri Curang

     

     

     3

     

     

     

     

    Bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendamai yang di lantik oleh Mahkamah Rendah Syariah Putrajaya

     

    -Sebanyak 3 kes telah di rujuk kepada Jawatankuasa

      Pendamai pada tahun 2009

     

     

    4

     

     

    Bertindak sebagai Wali Hakim yang di berikuasa oleh Mahkamah Rendah Syariah Putrajaya

     

     

    -Sebanyak 11 kes Wali hakim bagi tahun 2009

     

    -Membuat laporan kepada Mahkamah Rendah

     Syariah kes yang melibatkan Wali Enggan, Wali  

     ghaib, anak tak sah taraf dan saudara baru

     (muallaf).

     

    5

     

     

    Bertanggungjawab, sessi rundingcara, bimbingan, pandangan dan menjawab soal jawab agama berkaitan dengan nikah, cerai, ruju’ melalui telefon, membuat temujanji,

     

     

    -Semua kes dapat di selesaikan kecuali yang melibatkan Mahkamah Rendah Syariah/ Mahkamah Tinggi Syariah.

     

    KEGIATAN DAN SUMBANGAN DI LUAR TUGAS RASMI

     

    Bil

     

    Senarai kegiatan/ aktiviti/ sumbangan

     

    Peringkat kegiatan/ aktiviti/ sumbangan

    (Nyatakan jawatan atau pencapaian)

     

     

    1

     

    Pengerusi Surau Al-Jabbar Taman Emas Dengkil

     

     

    Pengerusi

    2

    Pengerusi Jawatankuasa Pendamai

    Pengerusi/ Kes Mahkamah

     

    3

    Timbalan Bendahari Surau Ar-Rahman Presint 16

     

    Timbalan Bendahari

    4

    Ahli Pasukan Integrasi Sistem dan Perkhidmatan

    Pelan Strategik ICT JAWI 2010-2014

     

    Ahli

    5

    Ketua Amil Putrajaya

     

    Ketua Amil

    6

    Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam

     

    Ahli AKRAM

    7

    Khatib dan Iman Khutbah Jumaat

     

    Khatib dan Imam / Surau Jumaat Putrajaya

    8

    AJK Khairat Kematian Taman Emas Dengkil

     

    Wakil Taman

    9

    Pengacara Majlis- Majlis Rasmi

     

    Jabatan/ Komuniti

     

    10

    Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Putrajaya

    Pendaftar Nikah

     

    11

     

     

    Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU)

     

    Ahli

     

    12

     

    Jawatankuasa Penasihat Pembangunan Kemahiran (JPPK) Islamic Reasearch

     

    Ahli  / Kementerian Sumber Manusia

    LNPT/ SKT Kursus yang di hadiri

    Bil

    Nama Latihan

    Tarikh/ Tempoh

    Tempat

     

    1

     

     

    Bengkel Penyelarasan Isu Pendaftar Perkahwinan Yang Tidak Mengikut Undang-undang dan isu Perkahwinan Di Luar Negara.

     

     

    10hb.  Feb 12hb. 2009

     

     

    Hotel Quality Shah Alam.

     

     

    2

     

    Bengkel Fail Meja

     

    27hb. Februari – 01hb.  Mac 2009

     

    Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

     

     

    3

     

    Bengkel Latihan Gerbang SMS JAWI

     

    06hb. Mac – 13hb. April 2009

     

     

    Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

     

    4

     

    Kontinjen Perarakan majlis Sambutan Maulidur Rasul S.A.W Peringkat Kebangsaan Tahun 1430H / 2009M

     

     

    09hb. Mac  2009

     

    Dataran Merdeka,

    Kuala Lumpur

     

    5

     

    Kursus Intensif Pengurusan Jenazah

     

    09hb. Mei – 10 Mei 2009

     

    Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

     

     

    6

     

    Kursus Pembangunan Jurulatih (TOT) Kepada Penceramah Modul bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam ( MBKPI II )

     

     

    15hb. Jun – 18hb. Jun 2009

     

    Hotel Cititel Ekspress,

    Kuala Lumpur

     

     

    7

     

    Seminar Ibu Bapa Mithali

     

    13hb. Julai 2009

     

    Auditorium Kompleks E, Putrajaya

     

     

    8

     

    Kursus Protokol & Etiket Sosial

     

    17hb. Julai – 19hb Julai 2009

     

    Hotel Putra, Kuala Lumpur

     

     

    9

     

    Kursus Tahsin Bagi Imam & Bilal Tahun 2009

     

     

    07hb.Ogos – 9hb Ogos 2009

     

    Hotel Cozzi, Teluk Kemang, Port Dickson

     

     

    10

     

    Bengkel Kamus Data Islam Sektor Awam

    ( Skop Sosial – Tahun 2008/2009 )

     

    22hb. Okt – 24hb. Okt 2009

     

    Jabatan Kehakiman Syariah

     

    11

    Ahli Pasukan Integrasi Sistem dan Perkhidmatan

    Pelan Strategik ICT JAWI 2010-2014

     

    April 2009- Oktober 2009

    Masjid Wilayah Persekutuan

    Monday, December 21, 2009

    Tidak batal solat makmum tegur imam

    SOALAN:

    KETIKA sembahyang berjemaah, imam selepas bacaan fatihah membaca satu surah yang agak panjang. Semasa membaca surah tersebut ada ketikanya bacaannya terhenti-henti atau tersangkut-sangkut kerana sesekali terlupa akan bacaannya.

    Beberapa orang makmum di belakang imam cuba menyebut atau membaca beberapa patah ayat tersebut dengan harapan si imam dapat mengingati dan terus menyambung semula bacaan surah tersebut.

    Pertanyaan saya, apakah hukum perbuatan makmum itu dan adakah ia membatalkan solat si makmum tersebut ataupun tidak?

    Jawapan:

    Perbuatan makmum yang mengingatkan imam dengan ayat yang dilupainya dalam tidak membatalkan solat berjemaah. Ini kerana adalah tanggungjawab makmum mengingatkan imam dengan ayat yang tertinggal atau terlupa.

    Namun jika keadaan berterusan akan menjadi makruh kerana mengganggu makmum yang lain. Adalah sangat dituntut ke atas imam untuk membaca surah yang lancar sahaja.

    Tidak salah kalau membaca surah panjang tapi harus dipastikan bahawa dia (imam) benar-benar lancar supaya perjalanan solat lebih bermakna dan mencapai objektifnya.

    Berdasarkan kepada pengalaman saudara, dapat saya faham bahawa makmum juga menghafal surah yang sama. Makmum lagi lancar daripada imam, ini akan menjadikan makmum hilang hormat terhadap imam.

    Setiap imam yang bertugas hendaklah berusaha memastikan makmum dapat mencapai tahap khusyuk yang maksimum.

    Jika imam asyik lupa ayat dan makmum sibuk membetulkan bacaan akan mencacatkan solat secara keseluruhannya.

    Sebagai seorang imam tugas dia bukan sekadar menjadi imam solat tetapi bertanggungjawab memastikan para jemaah mahu datang lagi dan dapat merasakan solat di belakang imam tersebut terasa seronok dan khusyuk.

    Oleh itu para imam hendaklah membaca surah yang benar-benar kemas hafalannya dan bukan menjadikan solat fardu berjemaah sebagai ulang kaji hafalan.

    Biar surah yang dihafal hanya pendek, tetapi dia lancar dan mampu membacanya dengan baik. Para makmum dalam menegur biarlah seorang sahaja, yang lain hanya diam.

    Dalam persoalan menegur imam dalam solat siapa yang paling layak menegur? Adakah semua dalam masjid atau surau boleh menegur imam serentak?

    Inilah yang kita seringkali dapati, apabila imam terlupa mana-mana ayat al-Quran habis satu masjid menegurnya, kadang-kadang yang berada di saf yang hujung pun nak tegur juga. Sedangkan orang yang paling berhak ke atas imam ialah orang yang betul-betul berada di belakang imam, orang yang di sebelah kanan dan yang sebelah kiri.

    Sekiranya yang berhampir dengan imam yang berada di belakang imam tidak hafal maka barulah makmum yang berada di saf-saf yang di belakang boleh menegur.

    Dan jangan tergopoh-gopoh nak tegur imam, seeloknya diberi beberapa saat untuk imam ingat kembali. Sekiranya telah pasti imam tidak ingat barulah makmum tolong.

    Sebab itulah para fuqaha (ahli fiqh) mengafdalkan yang berada benar-benar di belakang imam hendaklah mereka yang sama hebat atau lebih hebat daripada imam.

    Ini bermaksud tidak semua boleh solat belakang imam, hanya orang yang memahami persoalan-persoalan fiqh solat sahaja yang seharusnya berada dibelakang imam.

    Soalan 2:

    Ketika solat berjemaah juga, imam telah terbatal solatnya akibat dari satu di antara perkara yang membatalkan solat berlaku ke atas dirinya.

    Siapakah yang afdal di antara para jemaah mengambil alih tugas si imam itu untuk meneruskan solat tersebut dan bagaimanakah cara?

    Jawapan:

    Sama ada menjadi makmum mahupun menjadi imam mestilah berilmu. Setiap ibadat yang difardukan dalam Islam sebelum dilaksanakan hendaklah dipelajari, rukun dan syaratnya supaya ibadat itu diterima Allah SWT.

    Apabila imam terbatal solatnya lalu imam harus meninggalkan tempat solatnya dengan menyebut subhanallah. Ini secara tidak langsungnya memaklumkan kepada makmum bahawa solatnya sudah terbatal.

    Jadi orang yang selayaknya menggantikan imam ialah imam-imam yang lain yang biasanya berada betul-betul di belakang imam. Jika imam-imam lain tiada di belakang imam, maka orang yang berada di belakang imam hendaklah ke hadapan menggantikan imam yang terbatal solatnya.

    Makmum yang akan menggantikan imam itu hendaklah bergerak perlahan ke hadapan dan meneruskan rakaat dan memimpin solat hingga ke penghujungnya.

    Untuk itu makmum yang berada di belakang imam mesti bersedia untuk mengambil tempat imam sekiranya sesuatu berlaku ke atas imam.

    Oleh itu, sebelum solat di saf belakang imam, pastikan ilmu fiqh solat difahami terlebih dahulu.

    Kafir Quraisy memujuk Abu Talib

    SEBAGAI penganut Kristian, Raja Habsyah sangat mengetahui dengan mendalam selok belok agamanya itu. (Raja Habsyah tersebut dipercayai bernama Ashamah al Najashi)

    Lalu beliau menguji pengetahuan mengenai Nabi Isa dari Jaafar Abdul Mutalib yang menjadi wakil rombongan penduduk Islam Mekah yang mencari perlindungan di negaranya itu.

    "Apakah Nabi kamu mengajar sesuatu (mengenai Isa a.s) dari firman Allah," tanya Raja Habshah kepada Jaafar.

    Tanpa sebarang ragu-ragu Jaafar pun membacakan beberapa ayat dari permulaan surah al-Maryam.

    Raja Habsyah dan para uskup Gereja Kristian yang ada yang pada mulanya terkejut dengan ayat-ayat yang dibaca oleh Jaafar tetapi terus leka mendengarkan keindahan ayat-ayat al-Quran yang dibacakan itu.

    Mereka semua akhirnya menjadi sebak dan terharu malah ada yang menangis tersedu-sedu.

    Sebaik selesai Jaafar membacakan ayat-ayat itu, Raja Habsyah membuat keputusan kepada dua wakil kafir Quraisy yang ditugaskan membawa pulang rombongan penganut Islam itu.

    "Kamu pulanglah ke negeri asalmu dan beta tidak akan menyerahkan kepada kamu, umat Islam yang sanggup bersusah payah datang ke Habsyah dan meminta perlindungan daripada beta ini!," kata Raja Habsyah dengan tegas.

    Apabila merasakan misi mereka mula menampakkan kegagalan, maka Amru al As mencelah dan berkata: "Wahai paduka baginda, sesungguhnya mereka menuduh Isa (Nabi) dengan perkataan-perkataan yang tidak baik".

    Lalu Raja Habsyah bertanya kepada Jaafar: "Apakah pendapat kamu mengenai Isa, benarkah dakwaan wakil Quraisy itu wahai Jaafar"?

    Lalu Jaafar pun menjawab: "Nabi Muhammad SAW mengajarkan kami bahawa Isa adalah hamba Allah yang diutuskan oleh Allah untuk menyampai risalah-risalah-NYA kepada kaum Nabi Isa. Baginda diciptakan dengan penuh kekuasaan-NYA lewat kandungan Maryam (Siti Maryam, ibu Nabi Isa) yang perawan itu".

    Mendengarkan keterangan Jaafar itu, maka Raja Najasyi bangkit sambil menghentak-hentakkan tongkatnya ke atas lantai dan berkata: "Demi tuhan, apa yang dikatakan oleh mereka adalah sama dengan apa yang kami percayai, tidak ada yang lebih mahupun kurang sedikitpun seperti apa yang diajarkan oleh agama kami".

    Lalu Raja Habsyah itu mengambil sebatang dahan kayu dan membuat garisan di atas tanah sambil berkata: "Demi Tuhan, apa yang kamu kata mengenai Isa bin Maryam tidak lari dari garisan ini".

    Lalu para pembesarnya menarik nafas dan baginda berkata lagi: "Walaupun kamu menarik nafas, demi Tuhan!"

    Baginda pun memerintahkan wakil-wakil kafir Quraisy itu supaya pulang sahaja ke Mekah sedangkan kaum Muslimin yang datang meminta bantuan dari Raja itu dijanjikan perlindungan dan penghormatan yang besar sebagai tetamu-tetamu Diraja.

    Kata baginda kepada rombongan umat Islam tersebut: "Bertenanglah kamu, kamu adalah shuyum di negeriku. Shuyum dalam bahasa Habsyah membawa maksud orang yang selamat. Barang siapa yang menganggu kamu akan dihukum! barang siapa yang menganggu akan dihukum! barang siapa yang menganggu kamu akan dihukum!

    "Sungguh beta tidak akan senang kalaupun mendapat segunung emas tetapi beta menyakiti salah seorang dari kamu," titah baginda berulang-ulang kali dengan tegas.

    Sambil menujukan titahnya kepada Amru al As dan Abdullah Abi Rabiah yang menjadi wakil Quraisy itu, baginda mengarahkan segala hadiah yang dibawa supaya dipulangkan semula.

    "Kembalikan hadiah mereka berdua. Aku tidak memerlukannya. Demi Tuhan, Allah tidak pernah mengambil rasuah daripadaku ketika Dia mengembalikan kerajaanku, maka apakah aku hendak mengambil rasuah pada jalan-Nya?

    "Allah tidak pernah tunduk kepada manusia dengan mengangkatku, maka apakah aku hendak tunduk kepada manusia pada jalan Allah," kata baginda lagi.

    Maka wakil-wakil Quraisy itu akhirnya terpaksa pulang dengan tangan kosong atau dengan lain perkataan misi mereka gagal. Malah amat malu kerana cubaan untuk mendapatkan perintah ekstradisi yang pada asalnya dianggap mudah rupa-rupanya ia tidak semudah yang disangka.

    Ummu Salamah (antara yang mengikuti rombongan ke Habsyah) yang meriwayatkan kisah ini berkata: "Maka mereka berdua pun keluar dalam keadaan yang moyok dan sugul sambil membawa pulang segala macam jenis hadiah-hadiah yang mereka bawa sebelum ini.

    "Dan kami pun menetap di Habsyah di sisi Raja Habsyah yang baik hati itu dengan mendapat tempat tinggal yang baik dan diterima baik oleh para penduduk Habsyah itu sendiri".

    Walaupun dalam konteks mencari perlindungan terhadap keselamatan diri dan agama yang baru dianuti bukannya hendak mencari kehidupan yang lebih baik malah berhijrah untuk mencari pasangan hidup.

    Namun antara intipati utama hijrah dalam Islam iaitu dapatkan perlindungan sekalipun yang difahami dalam konteks hari ini ialah suaka politik.

    Disaat pengikut-pengikut awal yang memeluk Islam menerima pelbagai seksaan yang pedih itu, maka turunlah surah al-Kahfi sebagai jawapan yang antara lain satu isyarat daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya itu supaya berhijrah.

    Maka kisah Ashabul Kahfi menunjukkan jalan kepada hijrah dari pusat kekufuran dan musuh apabila dibimbangi keselamatan agama mereka sambil berserah kepada Allah.

    Ini sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah maka pergilah kamu berlindung di gua itu supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada kamu dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menjayakan urusan. (al-Kahfi: 16)

    Begitu juga pengajaran daripada ayat Allah yang turut memberikan gambaran mengenai hijrah dan mengisytiharkan bahawa bumi Allah ini bukannya sempit: ...Ingatlah mereka yang berbuat di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat) dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya mereka yang bersabar sahajalah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira. (al-Zumar: 10)

    Walaupun berhijrah dilihat sebagai satu perpindahan yang menuntut segenap pengorbanan, terdedah kepada pelbagai risiko di samping memerlukan satu strategi dan perancangan yang baik namun berhijrah itu adalah jauh lebih baik dari duduk berdiam dari tidak berbuat apa-apa.

    Hatta jika terpaksa meminta perlindungan dari negara yang diperintah oleh bukan Islam seperti yang dilakukan oleh pengikut-pengikut awal yang memeluk Islam ini.

    Ini kerana hasilnya sama sekali tidak diduga, bahkan pemimpin bukan Islam juga sanggup menawarkan perlindungan jika diizinkan Allah.

    Malah ia cukup menjadi satu pukulan kepada pihak yang menindas seperti yang berlaku kepada golongan kafir Quraisy dalam peristiwa hijrah pertama umat Islam ke Habsyah.

    Yang menganggap dengan nama dan kuasa yang mereka ada, golongan yang lemah dan tidak sealiran dapat ditundukkan.

    Kini mereka menyedari Nabi Muhammad yang masih berada di Mekah wajar menjadi sasaran utama. Peluang mesti diambil sementelah baginda masih lagi berada di kota itu.

    Namun mereka tetap menyedari bahawa penghalang utama untuk mencederakan Nabi SAW adalah bapa saudara baginda, Abu Talib.

    Abu Talib yang merupakan bangsawan terkemuka dan terhormat Mekah menjadi perisai utama kepada Nabi Muhammad. Selagi bapa saudara Nabi itu berada di samping anak saudaranya itu, tiada sesiapa yang berani melakukan apa-apa.

    Justeru individu yang perlu ditundukkan ialah Abu Talib itu sendiri. Tidaklah sehingga ke tahap membunuh Abu Talib tetapi golongan kafir Quraisy dalam satu misi mereka, secara beramai-ramai datang menemui Abu Talib.

    Bagi menunjukkan betapa besarnya hajat yang mereka bawa, betapa menggunung tingginya harapan dan betapa Abu Talib mesti memenuhi semua itu demi bangsa Arab yang kononnya kini diperbodoh-bodohkan oleh anak saudaranya itu.

    Begitu berat tanggungjawab yang terpaksa dipikul oleh Abu Talib sebagai bapa saudara Nabi Muhammad.

    Namun beliau menyedari anak saudaranya sama sekali tidak bertujuan untuk memberi susah dalam hidupnya.

    Oleh kerana beliau yang membela dan membesarkan Nabi SAW sedari kecil, beliau amat kenal dan masak akan anak saudaranya itu. Yang beliau dapati bahawa baginda seorang yang sangat jujur dan sangat dipercayai.

    Jadi bagaimanakah Abu Talib dapat menahan anak saudaranya itu sedangkan beliau mengetahui apa yang dilakukan oleh Nabi SAW adalah perkara yang benar?

    Namun, apabila sudah berhadapan dengan sekumpulan manusia yang sebegitu ramai dan berhimpun di hadapannya dengan wajah yang begitu mengharap, Abu Talib menjadi gugup!

    Tuesday, December 8, 2009