Friday, May 14, 2010

Rumah yang kosong

Perumpamaan rumah yang tidak di baca dgn ayat2 suci alquran ialah di ibaratkan seperti sebuah rumah yang kosong. Sebagai ummat islam lazimkanlah kita dan keluarga kita membaca ayat2 suci di dalam kediaman kita. Para malaikat akan memenuhi ruang rumah kita jika kita selalu lazimkan diri membaca ayat2 suci dalam kediaman kita.

Jika rumah yang tidak di perdengarkan dan di bacakan ayat2 suci al quran makan rumah itu akan di diami oleh golongan syaitan dan penghuninya akan di ganggu oleh syaitan, jin atau iblis.

Amalkan ayat2 suci quran semua kita akan mendapat syafaat dari nya....Insya Allah.

Friday, May 7, 2010

Ijtihad bukti Islam hormati kebebasan berfikir elak kepincangan

APAKAH maksud ‘ijtihad’ dalam suasana masyarakat kini dan sejauh mana akal manusia mampu menerokai sumber hukum dalam Islam melalui al-Quran dan hadis. Apakah Rasul dan sahabat berijtihad? Siapakah yang boleh berijtihad dan kriteria seorang ‘mujtahid.’ .

Ijtihad berasal daripada perkataan ‘ijtahada’ bermaksud usaha yang bersungguh-sungguh. Ia membawa pengertian ‘mengeluarkan sesuatu hukum dengan asas kefahaman mengikut penilaian kiasan berteraskan al-Quran dan sunnah di samping mengekalkan prinsip syariah.’ Ijtihad berlaku atas perkara yang tiada nas atau dalil jelas (sorih) terhadap permasalahan baru timbul berdasarkan perkembangan semasa.

Ada ulama menterjemahkan ijtihad sebagai proses usaha mengeluarkan sesuatu hukum syarak (istinbat) berteraskan al-Quran dan hadis Rasulullah. Baginda bersabda: “Sesiapa yang berijtihad dan benarlah ijtihadnya, maka dia akan mendapat dua kebajikan (pahala) dan jika salah ijtihadnya, maka ia mendapat satu kebajikan.” (Al-hadis)

Ijtihad bertujuan menjaga kebajikan umat dan menghindarkan kepincangan masyarakat apabila timbul sesuatu masalah baru seperti urusan perbankan, sewa, insurans, bayi tabung uji, derma organ dan seribu satu masalah baru yang perlu dirungkai dan diselesaikan ulama dan cendekiawan.

Islam sentiasa membuka pintu untuk berijtihad dan memberi pandangan. Ini kerana Islam menghormati kebebasan berfikir dalam menggerakkan pemikiran yang sempurna di samping menggalakkan perbezaan pendapat. Sebab itu, banyak ayat Allah menyebut mengenai penggunaan akal fikiran. Firman Allah: “Tidakkah kamu berfikir.” Ayat lain: “Tidakkah kamu mengambil pengajaran” dan “Tidakkah kamu melihat (dengan fikiran waras).”
Kesannya ialah keterbukaan minda dan percambahan pemikiran dalam menjana tamaddun pemikiran yang sihat untuk masa depan dan perkembangan umat.

Namun, penggunaan akal fikiran terbatas apabila berhadapan dengan nas al-Quran dan hadis yang merupakan hukum tetap (qat’i) yang tidak boleh dipinda walau sedikitpun. Firman Allah: “Maka demi Tuhanmu mereka tidak beriman sehingga memutuskan dengan apa yang ditetapkan olehmu (Muhammad) dalam perkara yang mereka selisihkan dan tiada rasa keberatan dalam hati mereka dengan keputusan tersebut dan menerima dengan sepenuhnya.” (An-Nisa’: 65)

Mujtahid ialah seorang ulama’ yang menghabiskan hidupnya dalam mengkaji permasalahan agama serta mempunyai pengkhususan dalam bidang hukum syarak.

Seorang mujtahid mestilah mempunyai ciri berikut iaitu berpengalaman dalam ilmu syarak (fekah) dan menguasai beberapa bidang ilmu yang lain seperti tafsir, hadis dan ilmu bahasa Arab. Dia juga memahami kaedah kiasan dan rukunnya serta selok-belok penggunaan kias dalam hukum syarak.

Dekan Fakulti Dakwah Bahagian Feqah Al-Azhar, Dr Abd Rahman Adawi, menambah mujtahid mesti seorang yang hafal al-Quran dan memahami makna tersurat dan tersirat didalamnya sebagai syarat tambahan.

Dia juga mesti ikhlas dan bertanggungjawab terhadap Allah di samping mempunyai ketakwaan yang tinggi.

Selain itu, dia memahami bahawa sesuatu hukum yang diputuskan tidak bercanggah nas al-Quran dan hadis kerana ia adalah bersifat qat’i. Kaedah ilmu feqah menetapkan bahawa: “Tiada ijtihad kepada perkara yang sudah mempunyai nas (dalil).”

Memahami bahawa sesuatu hukum yang akan diumumkan itu belum lagi diputuskan oleh ulama terdahulu kerana kaedah hukum feqah mengatakan ijtihad tidak boleh dipadamkan dengan ijtihad.

Nabi Muhammad juga berijtihad kepada perkara yang tidak diwahyukan contohnya perjanjian dengan Musyrikin Madinah mengenai satu pertiga hasil kurma Madinah sehingga Saad bin Muaz berkata: “Jika keputusan ini adalah wahyu maka kami taat dan patuh dan jika ia adalah pandangan semata-mata, maka kami juga berhak memberi pandangan.”

Kesimpulannya, penggunaan akal dalam mengeluarkan hukum adalah digalakkan dengan memelihara disiplin ilmu menerusi bayangan al-Quran dan hadis nabi.

Lesen untuk berijtihad adalah untuk mereka yang autoriti saja bagi memelihara kelangsungan umat dalam menangani permasalahan baru. Nabi Muhammad dan sahabat berijtihad demi menjaga kebajikan umat Islam atau menetapkan garis panduan syara’ untuk diikuti oleh generasi selepasnya. Hendaklah berwaspada terhadap pemikiran orang-orang yang tiada autoriti dalam bidang hukum hakam kerana ia boleh mengelirukan umat Islam

Jangan alpa persiapan hari pembalasan

Mukadimah

Al-Maraghi berkata: Setelah Allah SWT menerangkan keadaan al-Quran sebagai kitab yang mengandungi peringatan dan nasihat. Ia dengan menerangkan kesanggupan manusia untuk memanfaatkannya apabila menghendaki seterusnya Dia mengemukakan keterangan bahawa tidak layak bagi manusia yang memiliki harta kekayaan yang banyak dan berkedudukan tinggi berlagak sombong.

Iaitu mengikut hawa nafsunya tanpa memikirkan kesudahan di kemudian hari malah tidak bersyukur terhadap kenikmatan yang dianugerahkan kepadanya.

Manusia dijadikan oleh Allah SWT dengan sebaik-baik kejadian melalui peringkat yang tertentu dalam pelbagai bentuk. Manusia tinggal di bumi hanya untuk sementara waktu, kemudian kembali menjadi tanah dan dikuburkan sehingga tiba saat yang hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja.

Firman Allah SWT: Binasalah hendaknya manusia (yang ingkar) itu, betapa besar kekufurannya? Ibn Abbas berkata: Terkutuklah manusia dan itulah jenis manusia yang suka berbuat dusta kerana terlalu banyak mendustakan hari akhirat.

Ibn Juraij mengatakan: Sungguh parah kekafirannya, sedangkan Ibn Jarir berkata: Apakah yang membuatnya menjadi kafir dan mendustakan hari akhirat?

Firman Allah SWT: (tidakkah ia memikirkan) dari apakah ia diciptakan oleh Allah? Dari air mani diciptakan-Nya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab. Kemudian jalan (baik dan jahat), dimudahkan Tuhan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil mana satu yang ia pilih).

Ibn Abbas berkata: Dia memudahkan keluarnya dari perut ibunya. Syed Qutb berkata: Allah memudahkan jalan kehidupan atau jalan hidayah. Di samping itu, memberikannya kemudahan bertindak dengan sifat-sifat, bakat dan kesediaan yang ada pada dirinya sam ada untuk perjalanan hidupnya atau untuk mencari hidayah dalam hidupnya.

Sesudah tamat perjalanannya, ia akan kembali kepada kesudahan yang diterima oleh setiap yang hidup tanpa pilihan dan tanpa kesempatan melarikan dirinya.

Saidina Ali r.a berkata: Mengapa manusia banggakan diri sedangkan dia telah keluar melalui saluran kencing dua kali?

Firman Allah SWT: Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan. Kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula).

Al-Maraghi berkata: Kemudian Allah SWT menggenggam nyawanya dan tidak membiarkan begitu sahaja berbaring di atas bumi untuk dimakan oleh binatang buas, tetapi dimuliakannya dan jenazahnya ditanam sebagai penghormatan.

Apabila Allah SWT menghendaki akan dibangkitkan semula dari kuburnya untuk dihitung dan diberi pembalasan pada suatu saat yang hanya Allah SWT sendiri mengetahuinya.

Dalam perkataan idhasha, tersirat pengertian bahawa hari kiamat itu tidak dapat diketahui oleh sesiapa pun kecuali Allah SWT.

Dia sahaja yang mengetahuinya, berkuasa untuk mempercepatkan atau melewatkan kedatangannya, berkuasa menghidupkan, mematikan, membangkitkan dan mengumpulkannya serta memberi balasan terhadap amal yang telah dikerjakannya sama ada baik mahupun buruk.

Firman Allah SWT: Janganlah hendaknya ia kufur ingkar lagi! Sebenarnya ia belum menunaikan apa yang diperintahkan kepada-Nya.

Syed Qutb berkata: Manusia umumnya, baik secara individu mahupun generasi belum lagi melaksanakan apa yang diperintahkan Allah SWT hingga akhir hayat.

Itulah saranan yang disampaikan oleh ungkapan tidak sekali-kali begitu. Manusia masih cuai, tidak menunaikan kewajipannya, tidak mengingatkan asal-usul kejadiannya dengan ingatan yang sebenar, tidak bersyukur dan tidak membuat persediaan menghadapi hari pembalasan.

Beginilah keadaan manusia pada keseluruhannya sedangkan kebanyakan mereka pula menolak dan menentangnya.

Firman Allah SWT: (Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana Kami mentadbirkannya).

Ibn Kathir berkata: Terkandung juga dalil tumbuhnya tumbuhan dari bumi yang gersang sebagai bukti jasad-jasad yang sebelumnya berupa tulang belulang yang hancur di tanah boleh dihidupkan kembali.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. Kemudian Kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan.

Ibn Kathir berkata: Kami tempatkan air di sana yang masuk ke lapisan tanah selanjutnya menumbuhkan tanaman di permukaan bumi.

Firman Allah SWT: Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian, dan buah anggur serta sayur-sayuran.

Sebahagian ulama menafsirkan qadbhan sayur-sayuran yang dimakan dengan mentah oleh binatang sedangkan Hasan Basri berkata: "Ia bermaksud makanan binatang".

Firman Allah SWT: Dan zaitun serta pohon-pohon kurma, dan taman-taman yang menghijau subur. Al-Maraghi berkata: Gambaran demikian ini mengandungi petunjuk bahawa kenikmatan yang dapat diambil dari pohon-pohon itu tidak hanya terbatas kepada buahnya sahaja.

Bahkan ia dapat digunakan untuk membuat perabot rumah, bangunan dan alat-alat kraftangan dan industri. Kayunya juga dapat dimanfaatkan untuk memasak makanan dan digunakan untuk melebur besi dan benda-benda logam yang lain.

Firman Allah SWT: Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput, untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.

Syed Qutb berkata: Demikianlah kisah makanan dan semuanya adalah ciptaan tangan kudrat yang menciptakan manusia itu sendiri. Manusia tidak boleh mendakwa ada kekuasaan yang lain turut serta dalam penciptaan itu baik di peringkat perkembangannya, biji-bijian dan benih yang ditabur bukan dari ciptaan dan rekaannya.

Mukjizat dalam ciptaan benih-benih di luar kefahaman dan tanggapan manusia. Tanah di hadapannya sama sahaja, tetapi benih dan bijian berlainan dan masing-masing mengeluarkan buahnya di petak bumi yang berdekatan.

Semuanya dijirus dengan air yang sama tetapi dengan kudrat Ilahi telah mempelbagaikan tumbuh-tumbuhan dan buahan itu dan memelihara dalam biji benih yang kecil itu segala sifat-sifat ibunya yang melahirkannya. Kemudian sifat ini dipindahkan kepada anak yang dilahirkannya.

Semua sifat itu tersembunyi daripada pengetahuan manusia. Mereka tidak mengetahui rahsianya dan tidak pula membuat apa-apa keputusan terhadapnya. Mereka tidak pula dirundingi dalam mana-mana urusannya. Inilah kisah makanan yang dikeluarkan dengan kekuasaan Allah SWT.

Penutup

Terlalu banyak kurniaan Allah SWT dan nikmat-Nya kepada hamba-Nya. Dengan kurniaan tersebut, maka mudahlah meneruskan kehidupan.

Ini menunjukkan kasih sayang dan rahmat Allah kepada manusia, dan sewajarnya dibalas dengan ketaatan dan kepatuhan mutlak kepada-Nya.

Fatimah al-Khattab adik yang berani

FATIMAH binti al-Khattab ialah adik Umar al-Khattab. Beliau antara wanita yang terawal memeluk Islam. Semasa Fatimah memeluk Islam, Umar al-Khattab masih menganut agama nenek moyangnya. Umar juga merupakan salah seorang yang begitu membenci hingga sanggup menyiksa orang Islam termasuk adiknya sendiri, Fatimah.

Pada suatu hari, Umar dengan marah keluar ingin membunuh Nabi Muhammad. Di tangannya ada sebilah pedang yang tajam.

Sedang asyik Umar berjalan, tiba-tiba dia ditegur oleh seorang lelaki yang bernama Nu'aim bin Abdullah an-Nahham.

Nu'iam bertanya, Wahai Umar, awak hendak ke mana?

Umar menjawab dengan suara yang lantang, "Saya ingin membunuh Nabi Muhammad."

"Awak tidak akan selamat dan dapat hidup dengan aman sekiranya awak membunuh Nabi Muhammad," balas Nu'aim pula.

Umar terus berjalan pantas. Lalu Nu'aim berkata lagi, "Tahukah awak, adik dan ipar awak sudah memeluk agama Islam?"

Umar terkejut mendengar berita itu lalu menggenggam erat pedang di tangannya. Dia semakin marah lalu pergi ke rumah adiknya. Di rumah itu kelihatan ada iparnya iaitu Khabab bin al-Art dan suami Fatimah iaitu Saib bin Zaid. Khabab sedang membaca surah Thaha kepada Fatimah dan suaminya.

"Buka pintu ini cepat," sergah Umar dari luar rumah Fatimah.

Fatimah, Saib dan Khabab terkejut lalu menyembunyikan ayat al-Quran tersebut. Kemudian Khabab lari ke belakang rumah dan bersembunyi di situ.

"Ada apa awak ke mari?" Tanya Fatimah kepada Umar.

Pintu rumah dibuka. Umar pun masuk ke rumah adiknya.

"Tadi saya dengar ada suara lelaki di sini. Suara itu membacakan sesuatu yang belum pernah saya dengar. Suara apakah itu?" Tanya Umar dengan nada tinggi.

Fatimah dan suaminya berpandangan sesama sendiri. Kemudian Fatimah berkata: "Apa yang awak dengar tadi hanya perbualan kosong sahaja. Kami berbual-bual perkara biasa. Tidak ada apa-apa yang perlu awak tahu."

Umar semakin marah lalu berkata: "Sekarang ini awak sudah pandai menjawab".

Saib cuba mengawal keadaan lalu berkata: "Wahai Umar, saya ingin memberitahu awak bahawa agama yang awak anuti itu adalah tidak benar."

Umar naik berang dan berkata: "Berani awak cakap begitu.."

Umar melompat dan menampar muka Saib. Saib jatuh ke lantai rumah lalu Umar datang memijak badan Saib.

"Sudah, sudah. Berhenti bergaduh," kata Fatimah cuba menahan Umar dari terus menyiksa suaminya.

"Adik tidak kenang budi," Umar berkata lalu menampar kuat ke muka Fatimah.

Tiba-tiba darah mengalir banyak daripada muka Fatimah.

"Apa yang saya lakukan. Wajah Fatimah luka parah. Mengapa dengan saya ini. sanggup mencederakan adik saya sendiri," kata Umar menyesal dengan perbuatannya itu.

Fatimah segera mengambil kain untuk mengelap darah yang terus keluar dari mukanya itu. Umar menyesal di atas perbuatannya.

"Maafkan saya Fatimah. Saya tidak dapat kawal perasaan sebentar tadi," kata Umar kepada adiknya.

Kemudian Umar meminta adiknya lembaran ayat al-Quran yang mereka baca tadi. Fatimah menyuruh abangnya membersihkan diri terlebih dahulu sebelum memegang ayat al-Quran itu. Selepas itu Umar pun membaca surah Thaha.

Umar terpegun dengan keindahan ayat dari surah Thaha itu.

"Saya ingin berjumpa dengan Nabi Muhammad," kata Umar kepada adik dan iparnya.

Pada masa itu Khabab yang sudah lama bersembunyi di belakang rumah muncul. Khabab pun berkata kepada Umar: "Syukur. Ini berkat doa Nabi Muhammad. Nabi Muhammad sekarang berada di Darul Arqam di Shafa."

Umar bergegas menemui Nabi Muhammad. Sampai sahaja di hadapan Nabi Muhammad, Umar pun memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah.

"Terima kasih ya Allah. Akhirnya Umar mendapat cahaya Islam," ujar Fatimah selepas abangnya itu memeluk Islam.

Umar akhirnya menjadi khalifah Islam yang kedua selepas khalifah Abu Bakar as-Siddiq meninggal dunia.