Thursday, November 20, 2008

Doa Sambutan Maulidur Rasul s.a.w 1428H


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Segala pujian bagi Allah yang menganugerahkan segala kebaikan dan kerahmatan ke atas kehidupan umat Muhammad s.a.w yang diutuskan untuk memberi rahmat sekalian alam.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim,
Setinggi-tinggi kesyukuran kami kehadrat Allah s.w.t kerana dengan nikmat dan rahmatMu dapat kami menyambut MAJLIS MAULIDUR RASUL PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN BAGI TAHUN 1428 H BERSAMAAN 2007 M dalam suasana ceria dan penuh kemesraan. Kami pohon doa restuMu Ya Allah ke atas majlis ini.

Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepadaMu segala kebaikan diwaktu ini, dan diwaktu yang akan datang, sama ada kami mengetahui ataupun kami tidak mengetahuinya.

Engkau satukanlah kami dibawah payung persaudaraan muhibbah dan perpaduan. Lapangkanlah dada kami dalam muafakat untuk kebaikan selari dengan tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini “ Insan Cemerlang Ummah Gemilangan”. Hiasilah hidup ini dengan budi pekerti serta akhlak yang terpuji.

Ya Allah Sesungguhnya kelahiran dan perutusan junjungan besar NabiMu adalah merupakan peristiwa agung yang akan kami hayati. Perjalanan hayat dan perjuanganya adalah qudwah setiap mukmin dalam menegak hak dan meruntuh kebatilan, panduan dalam menyemarak obor perpaduan serta kejayaan menyatukan yang bertelingkah.

Restuilah prinsip hidup kami atas asas keimanan yang kukuh dan ketakwaan agar kami terhindar daripada penderitaan dan kesengsaraan dalam kehidupan di dunia dan di akhirat kelak.

Wahai Tuhan kami yang sentiasa mempunyai sifat belas ihsan.

Jadikanlah kami insan yang mengenal erti kesyukuran, berterima kasih di atas nikmat dan pemberianMu. Kami sedar Ya Allah, nikmat yang kami kecapi pada hari ini, tidak semua dirasai oleh semua hambaMu di dunia ini.

Peliharakan lah kami, negara kami dan seluruh negara Islam dari perpecahan dan pertelingkahan, huru-hara dan bala bencana serta ancaman musuh dari luar mahupun dalam. Dorongkanlah kami kearah kejayaan dalam memajukan negara mengikut keredhanMu Ya Rab Bal Alamain.
Ya Allah,

Anugerahkan kami kekuatan ilmu,ilham dan kebijaksanaan untuk menerokai kejayaan, meniti perubahan zaman, bergerak aktif menabur khidmat bakti kepada masyarakat dan negara Malaysia tercinta agar aman makmur dengan kedaulatan tanah air teguh terpelihara.

Ya Allah,

Engkau tanamkanlah sifat amanah, bertanggungjawab,ketenangan hati dan ketinggian iman. Hiasilah kami dengan sifat mahmudah, perbetulkanlah iktikod dalam amalan, tekun mengerjakan suruhan, taat menjauhi larangan, redha menerima dugaan, ikhlas menyempurnakan amalan dan berkasih sayang sesama insan.

No comments: