Thursday, February 11, 2010

Kegiatan ajaran sesat dibongkar di Putrajaya



ABDUL Rejab (baju putih) bersama sebahagian pengikutnya dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA: Ketua kumpulan Ajaran Abdul Rejab Ahmad bersama isterinya serta sembilan orang lain dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini, petang semalam, atas tuduhan melakukan kesalahan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. 

Tertuduh, Abdul Rejab Ahmad, 50, didakwa mengikut Seksyen 5 dan Seksyen 6 akta berkenaan kerana kesalahan mengembangkan doktrin agama palsu dan membuat dakwaan palsu. 

Isterinya serta sembilan yang lain didakwa mengikut Seksyen 6 akta sama kerana membuat dakwaan palsu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan sementara menunggu sebutan semula kes pada 21 April depan. 

Hakim Nassir Abdul Aziz memerintahkan Abdul Rejab dibebaskan dengan jaminan RM5,000 manakala yang lain masing-masing RM3,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh sebutan semula. 

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 5 akta itu, mereka boleh didenda RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyan 6 boleh didenda RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali, mengesahkan penahanan lelaki itu bersama 10 yang lain dan mereka sudah dihadapkan ke mahkamah semalam. 

Beliau enggan memberi butiran mereka yang sudah didakwa itu kerana siasatan masih dijalankan oleh pihaknya. 

Pada awal pagi semalam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membongkar kegiatan penyebaran ajaran sesat yang berselindung di sebalik perkhidmatan rawatan alternatif berikutan serbuan di sebuah pangsapuri di Presint 17, di sini. 

Dalam serbuan jam 1.20 pagi itu, penguat kuasa Jawi menahan 11 individu serta merampas beberapa bahan bukti, termasuk bendera dipercayai digunakan dalam kegiatan itu sejak dikesan Januari lalu.

Serbuan dilancarkan selepas Jawi dan polis menerima maklumat kegiatan seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai penyampai risalah Allah dan menerima terus ajaran Islam daripada Nabi Muhammad dan Wali Allah. 

Lelaki terbabit juga mendakwa mengetahui pelbagai perkara yang berlaku pada masa depan, termasuk tarikh kiamat dan meminta pengikutnya membuat persiapan awal. 

Dia juga mendakwa kumpulannya mempunyai kekayaan di alam ghaib dan harta bernilai lebih RM35 trilion untuk diagihkan kepada umat Islam di seluruh dunia, termasuk RM6 juta kepada penduduk Putrajaya. 

Difahamkan, mereka yang mahu menyertai kumpulan itu dikehendaki membayar RM6,666 iaitu angka sempena jumlah ayat al-Quran, manakala bayaran bagi rawatan bergantung kepada jenis penyakit dan kemampuan pesakit. 

Kumpulan itu dipercayai mempunyai kira-kira 60 pengikut dan mengamalkan zikir dengan menambahkan nama 'Syeikh Qadir al-Jailani' di akhir lafaz selawat. 

INFO 
Antara dakwaan ajaran Abdul Rejab Ahmad
 

  • Sudah dibukakan hijab oleh Allah untuk melihat roh Nabi Muhammad dan wali yang turut berada dalam majlis kumpulan itu. 

  • Mampu melihat Nabi Adam dan Nabi Sulaiman dengan sifat baginda berdua bertubuh besar, sedang tersenyum dan mempunyai lesung pipit. 

  • Nabi Muhammad sudah menyampaikan pesanan melalui mereka yang sudah dibukakan hijab. 

  • Allah menurunkan 20 bilion pembantu dan Nabi Muhammad sudah memberikan 550 trilion pembantu tetapi hanya mampu mengambil 20 trilion. 

  •  Kitab al-Quran Emas sentiasa terbuka kepada pengikutnya dan al-Quran bersaiz A3 sentiasa menyaksikan setiap perkara yang berlaku. 

  • Nabi Muhammad sudah memberikan buku catatan harian kepada pengasas ajaran itu.
  • SUMBER BERITA HARIAN 11 JANUARI 2010

    Zikir aneh makan tuan - Kumpulan ajaran sesat guna kuarters kerajaan


    BEBERAPA orang ahli kumpulan Abdul Rejab ditahan dalam rumah yang dipercayai menjadi markas ajaran sesat itu di Putrajaya awal pagi semalam.


    PUTRAJAYA – Semuanya bermula dengan bunyi zikir aneh yang terlalu bising sehingga membingitkan telinga jiran-jiran.

    Disebabkan tidak tahan dengan gangguan itu khususnya pada malam minggu, ada jiran di tingkat dua sebuah kuarters kerajaan di Presint 17, Putrajaya itu terpaksa berpindah.

    Namun, aduan mereka mendorong Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membuat pemantauan hampir dua bulan sebelum sebuah rumah di situ yang disyaki markas satu kumpulan ajaran sesat diserbu pada pukul 1.30 pagi semalam.




    Pada waktu itu terdapat 16 orang di dalam rumah tersebut termasuk tujuh lelaki, lima wanita dan empat kanak-kanak.

    Salah seorang daripada mereka ialah ketua dan pengasas kumpulan itu yang dikenali sebagai Abdul Rejab yang berusia dalam lingkungan 60-an. Dia berpindah ke rumah itu awal bulan lalu.

    Sewaktu serbuan dibuat, Abdul Rejab sedang memberi ceramah di hadapan sekumpulan pengikut yang kini dianggarkan berjumlah 100 orang.

    Ajaran sesat di Putrajaya terbongkar


    SEORANG lelaki (tengah) dipercayai menjadi ketua kumpulan ajaran sesat yang berpusat di kuarters kerajaan di Presint 17, Putrajaya, ditahan bersama-sama 14 pengikut oleh penguat kuasa JAWI dalam satu serbuan awal pagi semalam.


    PUTRAJAYA 10 Feb. - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berjaya membongkar kegiatan ajaran sesat yang berselindung di sebalik pusat rawatan Islam dalam serbuan di kuarters kerajaan Presint 17 di sini awal pagi ini.

    Seorang lelaki dipercayai menjadi ketua kumpulan itu, isterinya dan 14 pengikut ditahan dalam serbuan itu.

    Seorang pegawai JAWI ketika ditemui pemberita memberitahu, serbuan pada pukul 1.30 pagi itu berjaya menahan tujuh lelaki dewasa, lima wanita dan empat kanak-kanak berumur antara empat hingga 12 tahun.

    Turut dirampas beberapa peralatan seperti pedang, bendera dan batang besi.

    Menurut pegawai berkenaan, ajaran tersebut didapati terpesong daripada akidah Islam kerana dikatakan memberi 'kelebihan' kepada pengikutnya melihat nabi dan wali.

    "Mereka mempercayai hijab mereka telah dibuka oleh Allah bagi membolehkan pengikut ajaran sesat ini melihat Nabi Adam dan Nabi Sulaiman.

    "Pengikut ajaran itu juga mendakwa mereka boleh melihat susuk tubuh nabi-nabi ini," kata pegawai berkenaan selepas serbuan berakhir pada pukul 4.30 pagi.

    Operasi diketuai oleh Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAWI, Rohaizan Ismail melibatkan 20 anggotanya dan 15 pegawai polis.

    Menurut pegawai berkenaan, ajaran tersebut menggunakan zikir untuk menyembuhkan 'pesakit-pesakit' yang datang mendapatkan rawatan daripada ketua kumpulan terbabit.

    Tambahnya, ketua kumpulan ajaran sesat tersebut merupakan seorang bomoh dan mempunyai isteri yang bekerja sebagai kakitangan awam.

    Ajaran tersebut juga mendakwa kitab yang dimiliki mereka mempunyai petunjuk yang lebih jelas berbanding al-Quran selain mempunyai para pengikut dari benua Asia, Afrika, Amerika dan Eropah.

    "Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 4 Doktrin Palsu, Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 dengan denda tidak kurang RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun dan enam sebatan atau kedua-duanya sekali.

    "Mereka juga boleh didakwa di bawah Seksyen 6 Dakwaan Palsu yang sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," ujar pegawai tersebut.

    SUMBER BERITA : UTUSAN MALAYSIA 11 JANUARI 2010

    Petikan Metro dari : Tengok Nabi Adam

    Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
    ahmadshahrul@hmetro.com.my
    2010/02/11

    PUTRAJAYA: Mampu melihat Nabi Adam dan Nabi Sulaiman berserta penampilan dua pesuruh Allah itu seperti bertubuh besar, sedang tersenyum dan mempunyai lesung pipit antara ciri ajaran sesat dibawa seorang lelaki yang ditahan bersama isteri serta sembilan pengikutnya di sebuah apartmen di sini, awal pagi semalam.


    RAMPAS...anggota penguat kuasa Jawi merampas barangan yang digunakan kumpulan terbabit.


    Sebelum serbuan dilancarkan
    , sekumpulan 20 penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terlebih dahulu melakukan risikan dan intipan di rumah terbabit kira-kira jam 9 malam, sebelum menyerbu apartmen di Presint 17, kira-kira jam 1.30 pagi.

    Anggota penguat kuasa Jawi dibantu lebih 15 anggota polis terpaksa mengetuk pintu apartmen terbabit berulang kali apabila ketua kumpulan ajaran sesat, Abdul Rejab Ahmad terbabit dan pengikutnya asyik meratib sehingga tidak menyedari kehadiran puluhan anggota pihak berkuasa.

    Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, pintu apartmen terbabit dibuka seorang lelaki berjubah dan memakai kopiah yang dipercayai ketua ajaran sesat terbabit sebelum anggota penguat kuasa dan polis memasuki rumah berkenaan.

    Anggota penguat kuasa menyoal siasat ketua ajaran sesat berusia 50-an itu bersama isterinya berusia 40-an yang dipercayai seorang kakitangan kerajaan bersama sembilan pengikut lain berusia 25 hingga 60 tahun yang didakwa asyik meratib ‘zikir pelik’ yang dibawa lelaki terbabit.

    Sumber berkata, kegiatan terbabit dipantau sejak beberapa bulan lalu selepas Jawi menerima maklumat penghuni kawasan berkenaan yang curiga bunyi pelik di apartmen itu, terutama pada waktu tengah malam.

    Menurutnya, berdasarkan maklumat, pihaknya mengesan kehadiran beberapa lelaki dan wanita yang dipercayai pengikut ketua ajaran sesat itu yang menggelarkan ajarannya sebagai Ajaran Abdul Rejab Ahmad.


    “Hasil siasatan, kegiatan ajaran terbabit diketuai seorang lelaki berusia 50-an yang mempunyai isteri yang bertugas sebagai kakitangan kerajaan di Putrajaya.


    “Selain mengajar ajaran pelik, lelaki terbabit dipercayai menawarkan kepakaran rawatan alternatif kepada mereka yang datang mendapatkan khidmatnya,” katanya yang tidak menolak kemungkinan apartmen terbabit dijadikan markas lelaki itu untuk menyebarkan ajaran sesatnya.


    Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas beberapa carta organisasi pelik, bendera berwarna-warni bertulis kalimah Allah, besi yang didakwa pedang daripada Allah, buku serta dokumen yang dipercayai menjadi rujukan dipercayai ada kaitan dengan ketua ajaran sesat terbabit. Menurutnya, Jawi mendapat maklumat ajaran pelik yang dijalankan lelaki terbabit yang mendakwa memiliki kemampuan melampaui manusia biasa sehingga mampu menarik pengikut tertentu termasuk lelaki dan wanita. Sumber itu berkata, lelaki terbabit yang dipercayai pengasas ajaran terbabit mendakwa sudah dibukakan hijab oleh Allah untuk melihat roh nabi dan wali yang berada dalam majlis itu (perhimpunan bersama pengikut yang diadakan).


    “Ketua ajaran sesat itu juga mendakwa Nabi Muhammad sudah menyampaikan pesanan melalui mereka yang sudah dibukakan hijab.


    “Dia juga mendakwa Allah sudah menurunkan 20 bilion pembantu dan Nabi Muhammad sudah memberikan 550 trilion pembantu, tetapi hanya mampu mengambil 20 trilion saja,” katanya, semalam.


    Menurut sumber itu, ketua ajaran sesat terbabit juga mendakwa al-Quran emas sentiasa terbuka kepada pengikutnya dan al-Quran bersaiz kertas A3 sentiasa menyaksikan setiap perkara yang berlaku.


    Bukan itu saja, ketua ajaran sesat terbabit mendakwa Nabi Muhammad sudah memberikan buku catatan harian baginda kepada Abdul Rejab.


    Menurutnya, lelaki terbabit bersama pengikutnya ditahan dan dibawa ke pejabat Jawi di sini, sebelum dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya, semalam, Sementara itu, Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali, mengesahkan penahanan lelaki terbabit bersama 10 yang lain, tetapi enggan memberikan butir terperinci kerana kes masih dalam siasatan.


    Menurutnya, lelaki terbabit dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya mengikut Seksyen 5 dan Seksyen 6, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 kerana dua kesalahan iaitu membuat dakwaan palsu dan mengembangkan doktrin agama palsu. Sementara 10 yang lain dituduh mengikut Seksyen 6, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 kerana membuat dakwaan palsu.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan sementara menunggu sebutan semula kes terbabit pada 21 April depan.


    Mahkamah memerintahkan lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan RM5,000, manakala yang lain masing-masing RM3,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh sebutan semula.


    Sabit kesalahan Seksyen 5 boleh didenda RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya manakala Seksyan 6 boleh didenda RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

    SUMBER BERITA: HARIAN METRO 11 JANUARI 2010