Friday, July 31, 2009

Menarik today: Membongkar Khasiat Solat Secara Saintifik

Kewajipan bersolat lima kali sehari semalam ke atas semua umat Islam bermula sejak Rasulullah diangkat ke langit semasa peristiwa Israk dan Mikraj. 

Begitu istimewa sekali ibadah solat sehingga Rasulullah SAW naik ke langit bagi menerima Rukun Islam yang kedua ini, tidak seperti ibadah-ibadah lain. 

Keistimewaan solat menarik minat sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) selepas menerima cabaran Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa beliau menjadi perdana menteri. 

Cetusan berkenaan timbul memandangkan masih belum terdapat kajian yang komprehensif mengenai solat dari segi saintifik. 

Kajian solat yang dijalankan oleh Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM) diketuai oleh Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim serta Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok menerusi pembiayaan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Dr. Fatimah berkata, kajian yang dijalankan buat masa ini masih di peringkat asas dan bertujuan mengkaji kesan ke atas perkara seperti komposisi tubuh badan dan kolestrol. 

Sistem jantung dan kardiovaskular, gelombang otak ketika bersolat, kekuatan otot-otot tubuh badan manusia, sakit pinggang bagi orang dewasa serta kesihatan lelaki dan tenaga batin. 

"Komposisi tubuh badan manusia meliputi parameter bioimpedance, kuantiti air intra selular dan ekstra selular, jisim sel badan, kadar lemak dan kolestrol dalam darah. 

"Pengukuran parameter ini amat penting dalam menentukan tahap metabolisme, kecergasan dan kesihatan seseorang individu," katanya yang menjalankan kajian mengenai komposisi badan. 

Kajian komposisi badan terbahagi kepada dua iaitu kebaikan solat zohor dan solat tarawikh terhadap komposisi badan. 

Dr. Fatimah berkata, pergerakan solat yang melibatkan keadaan berdiri tegak, rukuk, duduk dan sujud secara tertib dan berulang boleh diumpamakan sebagai senaman ringan. 

"Kami menjalankan kajian komposisi badan semasa seseorang bersolat Zohor secara jemaah dengan 47 orang peserta berusia 18 hingga 28 tahun," katanya. 

Pengukuran analisis bioimpedans (BIA) (kaedah yang digunakan untuk mengukur komposisi badan) diambil sebelum dan selepas solat Zohor secara berjemaah. 

Bagaimanapun lima tabiat lazim peserta perlu diambil kira meliputi amalan solat yang sempurna, tahap pemahaman bacaan, menunaikan solat secara berjemaah atau sendirian, kedudukan tulang belakang semasa rukuk dan keadaan jari kaki semasa sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir. 

Dr. Fatimah berkata, keputusan menunjukkan mereka yang mengamalkan solat yang sempurna mempunyai tahap kesihatan yang lebih baik berbanding mereka yang tidak melakukannya dengan sempurna. 

Kajian berkenaan kata Dr. Fatimah menunjukkan solat lima kali sehari semalam selain ibadah dapat mengurangkan lemak dalam badan. 

"Apabila gumpalan lemak dalam badan berkurangan, tisu otot baru meningkat, memenuhi ruang, melambatkan proses penuaan dan kekenduran tisu," katanya. 

Tabiat mengamalkan kedudukan tulang belakang lurus melintang ketika rukuk melambatkan proses penuaan, tisu bertambah aktif, proses imbangan air dalam badan lebih baik dan melancarkan fungsi buah pinggang. 

Manakala sistem jantung dan kardiovaskular amat penting bagi kesihatan manusia dan dipengaruhi oleh kekenyalan arteri. 

Jika kekenyalan arteri terutama di bahagian jantung berkurangan, ia boleh menyebabkan berlaku penyakit arterioskerosis koronari. 

Pengekalan kekenyalan arteri amat penting dalam memelihara sistem kardiovaskular yang sihat. 

Ibadat solat, kata Dr. Fatimah, bukan saja melibatkan bacaan surah al-Quran tetapi juga pergerakan anggota badan seperti berdiri, rukuk, sujud dan duduk tahiyat. 

"Kajian menunjukkan kedudukan seperti rukuk, sujud dan duduk membantu memberikan keadaan rehat kepada jantung.

Sujud

"Malah kita digalakkan memanjangkan tempoh posisi sujud kerana kedudukan ini menghasilkan kadar denyutan jantung paling rendah," katanya. 

Ng Siew Chok yang menjalankan kajian otak dalam solat berkata, setiap pergerakan manusia menghasilkan corak gelombang otak yang tertentu dan unik. 

Gelombang otak yang dihasilkan ketika pergerakan meliputi gelombang alfa, beta dan gamma. 

Kajian akan dilakukan ke atas gelombang otak yang dihasilkan ketika bersolat pada setiap posisi seperti rukuk, sujud, iktidal dan duduk semasa tahiyat. 

"Solat jelas secara umumnya melibatkan pembacaan serta penghayatan ayat suci al-Quran, doa-doa serta pergerakan yang didapati menyamai meditasi. 

"Semasa solat, berhenti seketika sebelum bertukar posisi atau tamakninah boleh dikatakan seseorang berada dalam ketenangan," katanya. 

Dalam kajian ini isyarat otak subjek Muslim yang bersolat direkod dan dianalisis, di mana dua kajian saintifik dilakukan iaitu perubahan isyarat otak semasa tamakninah dan kesan solat kepada isyarat otak. 

Hasilnya, kata Siew Cheok, didapati ibadat solat menghasilkan keadaan tenang kepada otak manusia dan menunaikan solat amat baik dalam mengekalkan tahap kestabilan mental dan emosi seseorang. 

Kajian juga menunjukkan ibadat solat dapat meningkatkan penumpuan dan daya ingatan. 

Maka solat dapat menyediakan otak untuk lebih bersedia dalam menghadapi tugas-tugas yang lebih mencabar. 

"Dan biasanya selepas melakukan solat, seseorang akan menjadi lebih berwaspada untuk bertindak balas terhadap sebarang rangsangan," katanya. 

Pergerakan solat meliputi berdiri tegak, rukuk, sujud dan duduk melibatkan pergerakan seluruh otot tubuh badan.

Pergerakan otot-otot secara isotonik dan isometrik meningkatkan fungsi dan kekuatan otot dan kajian yang dilakukan merangkumi otot utama yang penting kepada kesihatan manusia.

Pergerakan relatif

Ibadah solat kata Prof. Wan Abu Bakar melibatkan banyak pergerakan relatif antara sendi selain postur tertentu semasa solat juga meletakkan otot pada kedudukan mengecut, santai atau mengembang. 

"Selain ibadah, solat boleh dianggap sebagai senaman fizikal yang sederhana yang melibatkan pergerakan badan seperti berdiri, tunduk, duduk dan sujud. 

"Sakit pinggang merupakan masalah yang biasa berlaku bagi golongan dewasa dan mereka yang bekerja," katanya yang menjalankan kajian otot dalam solat. 

Terapi senaman melalui pergerakan solat yang betul dapat mengembalikan keupayaan kelenturan badan, mengekalkan postur badan yang ideal dan membantu mengurangkan sakit pinggang. 

Dr. Fatimah berkata, pergerakan solat terutama rukuk dan sujud didapati menyamai beberapa pergerakan senaman stabilisasi dan regangan belakang. 

"Pergerakan rukuk hampir sama dengan senaman 'selamat pagi' yang bukan saja dapat membantu regangan otot pada bahagian paha tetapi juga melatih koordinasi otot belakang kaki," katanya yang juga menjalankan kajian mengenai solat dan sakit pinggang. 

Kajian yang dijalankan merumuskan pergerakan dalam solat dapat memberikan kebaikan dalam memulihkan dan membantu mengembalikan kenormalan fungsi aktiviti otot erektor spina terutama bagi mereka yang mengalami sakit pinggang. 

Justeru, jelas beliau pergerakan rukuk semasa solat boleh digunakan sebagai terapi untuk merawat sakit pinggang. 

Selain itu, pergerakan fizikal atau senaman sederhana secara berterusan dapat mencergaskan sistem andrologi dan meningkatkan kekuatan tenaga batin lelaki. 

Solat fardu yang dilakukan lima kali sehari di samping solat sunat serta sunat tahajud sebagai pelengkap ibadah merupakan satu terapi yang memberikan kesan positif ke atas sistem andrologi dan kekuatan tenaga batin lelaki. 

Kajian yang dijalankan menunjukkan senaman pengaktifan otot lantai pelvik oleh penyelidik Van Kampen membuktikan senaman dapat melancarkan pengaliran darah dan mengurangkan masalah disfungsi ereksi atau mati pucuk. 

"Bagaimanapun banyak lagi kajian lanjut yang sedang dijalankan bagi mengkaji lebih lanjut mengenai solat," katanya.

*Ibadat solat menghasilkan keadaan tenang kepada otak manusia dan menunaikan solat amat baik dalam mengekalkan tahap kestabilan mental dan emosi seseorang. 

Jangan mudah minta cerai

SOALAN:
Saya berkahwin pada tahun 2006 dan mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun. Saya bercerai pada April 2009. Untuk pengetahuan ustaz, saya yang pohon cerai kerana kami sudah tidak tinggal bersama sejak tahun 2008. 

Selain itu, suami juga mengabaikan tugasnya sebagai suami dan ayah. Saya dibiarkan seperti gantung tidak bertali. Jadi saya minta cerai, berdosakah saya ustaz? Adakah saya dikategorikan sebagai isteri nusyuz?

Suami juga tidak pernah solat, dan bila saya suruh atau nasihat, dia kata solat tidak boleh dipaksa. Biar dapat hidayah, baru akan solat. Walaupun suami baik, dia agak berkira bab duit dengan saya dan selalu dengar cakap emak dan kakak sahaja. Pandangan saya langsung tidak dipeduli. 

Saya runsing memikirkan hal ini. Bagaimana saya dapat meneruskan hidup ini terutama memberi kehidupan yang sempurna kepada anak?
-----------------------------------
JAWAPAN:
-----------------------------------
Saya tidak tahu kenapa puan bercerai dengan begitu cepat. Kalau ikutkan puan baru berumahtangga sejak 2006, maksudnya belum sampai belum sampai tiga tahun puan sudahpun tuntut cerai.

Mungkin ada sesuatu yang puan tidak dapat menanggung atau puan tidak dapat bersabar dengan perangai suami. Meminta cerai dari suami kadang-kadang menjadi tabiat sesetengah wanita yang tidak sabar dengan kerenah suami.

Di dalam menjaga hak seorang isteri Islam memperuntukkan fasakh (membatalkan nikah) yang boleh dituntut oleh isteri dari kadi atau hakim Mahkamah Syariah bagi dengan alasan yang syarie bagi membatalkan nikah mereka. 

Takrifnya, fasakh adalah membatalkan atau melepaskan akad nikah disebabkan oleh kecacatan yang berlaku pada waktu akad atau kecacatan yang mendatang selepas berlakunya akad nikah yang menghalang kekalnya perkahwinan.

Hikmah fasakh dinyatakan ada tiga perkara seperti berikut:

Untuk menjamin hak dan perlindungan kepada kaum wanita sekiranya mereka teraniaya.

Menyedarkan kaum suami bahawa perceraian bukan hanya dimiliki secara mutlak oleh suami sahaja.

Menunjukkan keunggulan syariat Allah SWT yang Maha Mengetahui akan keperluan hamba-Nya.

Berdosa atau tidak puan dalam menuntut cerai itu urusan Allah SWT. Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam rumahtangga puan. 

Sebenarnya setiap pasangan suami isteri adalah bertanggungjawab sepenuhnya dalam menjaga ikatan pernikahan sehingga ke akhir hayat serta mencari jalan bagi mengatasi sebarang masalah yang timbul. 

Masalah sebenarnya bukan rekaan Allah SWT untuk sengaja menyusahkan hambanya. Malahan manusia sendiri yang mendedahkan dirinya atas sesuatu kejahatan dan kesalahan dan harus bertanggungjawab atas perbuatannya sendiri tanpa menyalahkan sesiapapun. 

Suami tidak bertanggungjawab antara alasan puan, bukan suami puan seorang yang tidak bertanggungjawab malah ramai lagi lelaki yang sama macam perangai bekas suami puan. Bayangkan sahaja kalau kesemua mereka meminta cerai?

Puan juga mendakwa bekas suami tidak solat. Dia tidak solat sejak bila? Kalau dia tidak solat sejak puan kenal dia dan tiba-tiba didakwa dia tidak jaga solat, menjadi alasan mengapa puan tidak sukakan dia, itu adalah kurang tepat. Peliknya manusia apabila tidak suka semuanya nampak buruk. 

Saya kalau boleh tidak mahu rumahtangga orang Islam dirobohkan dengan sewenang-wenangnya. Saya mahu mengajak kaum muslimin berusaha mempertahankan rumahtangga, keruntuhan institusi keluarga adalah permulaan kepada permasalahan negara. 

Mengikut kajian, kebanyakan anak-anak serta remaja yang berpeleseran adalah berpunca daripada broken family. Dalam persoalan ini jika puan mempunyai alasan yang kukuh dan syarie, maka tindakan puan tidaklah jatuh nusyuz. Malahan nusyuz itu sendiri membawa maksud yang lain. 

Nusyuz bermaksud seorang isteri meninggalkan rumah tanpa izin suami, tidak taat kepada suami sedangkan suami melaksanakan tanggungjawabnya kepada ahli keluarga. 

Suami hanya dengar cakap ibu dan kakak dia sedangkan cakap isteri tidak didengar. Adalah terlalu awal untuk puan menghukum suami dengan demikian. 

Masalahnya kadang-kadang orang perempuan terlalu ingin melihat suami mendengar cakapnya dan kalau ada yang tidak didengar maka dituduh suami mendengar tak dengar cakap isteri. 

Puan berumahtangga dari tahun 2006 hingga 2008 baru tiga tahun. Tetapi bekas suami puan menjadi anak kepada ibu untuk 30 tahun (kalau umurnya 30) begitu juga sebagai seorang adik kepada kakak-kakaknya. 

Saya tidak nafikan bahawa suami mestilah meletakkan kepentingan isteri di hadapan tanpa menafikan kedudukan ibu bapa dan adik-beradik. 

Sekarang puan sedih kerana kehilangan suami. Bukan mudah untuk melangsungkan kehidupan sebagai ibu tunggal. Untuk menghilangkan kesedihan puan kena banyak bersabar, terima apa yang berlaku sebagai takdir dari Allah ada hikmah di sebaliknya. 

Jangan kenang yang sudah lepas kerana mengenang yang lepas akan jadikan puan terus diselubungi keresahan dan kesedihan sekali gus mengganggu aktiviti seharian. Dalam memberi pendidikan kepada anak, puan harus memainkan peranan sebagai seorang ibu dan ayah. 

Adalah sukar bagi anak itu melalui kehidupan tanpa seorang ayah. Anak itu berhak mendapat kasih sayang dari ayahnya, jangan dihalang dan dibantah. Melainkan memang dikhuatiri sekiranya ayah boleh merosakkan masa anaknya dengan tabiat yang tidak baik. 

Kebiasaannya mahkamah akan memerintahkan bekas suami menyediakan perbelanjaan yang secukupnya mengikut kemampuannya. Jika perbelanjaan yang diberi oleh suami masih tidak memadai hendaklah dipohon penambahan perbelanjaan anak melalui peguam.

Berakhirnya ujian kepada Nabi Ayub

ALLAH ingin menjadikan Nabi Ayub sebagai seorang hamba-Nya yang benar-benar teguh keimanannya, tabah, sabar, tetap bersyukur dan sentiasa memuji Allah. 

Oleh itu, Allah menguji Nabi Ayub dengan pelbagai ujian termasuklah kehilangan harta benda dan anak-anaknya. Ujian yang paling besar diterima oleh Nabi Ayub ialah ditimpa penyakit kulit yang sangat teruk. 

Allah membenarkan iblis untuk menjalankan tipu muslihatnya. Tujuan Allah membenarkan iblis berbuat sedemikian adalah untuk menguji keimanan Nabi Ayub. 

Namun begitu, Allah mengetahui bahawa Nabi Ayub mempunyai keimanan dan kesabaran yang tinggi walaupun diberikan pelbagai ujian dan dugaan.

Penyakit kulit yang dihadapi oleh Nabi Ayub sungguh teruk sekali hinggakan baginda tidak berdaya untuk bangun daripada pembaringannya. Semakin hari, badannya semakin kurus dan baginda tidak mampu untuk melakukan sebarang pekerjaan. Mukanya menjadi pucat dan matanya cengkung. 

Walaupun Allah mengujinya dengan penyakit yang begitu teruk, tetapi Nabi Ayub tetap beriman dan memuji kebesaran Allah. Penyakit yang dihadapinya memakan masa hingga bertahun-tahun lamanya. 

Baginda disisihkan oleh masyarakat dan tidak ada sesiapapun yang sudi menjenguknya kecuali isterinya, Rahmah yang setia menemani, menghibur dan menguruskan keperluannya selama ini.

Walaupun Nabi Ayub diuji dengan penyakit yang begitu teruk, namun iblis masih tidak berpuas hati. Iblis telah menghasut Rahmah, isteri Nabi Ayub supaya bosan dan benci kepada Nabi Ayub.

Pada suatu hari, Rahmah berkata kepada Nabi Ayub, "Sampai mati Allah akan menyeksamu, wahai Ayub? Ke mana perginya anak-anak dan teman-teman kita? Ke mana tubuhmu yang gagah dan sihat itu?"

Alangkah terkejutnya Nabi Ayub apabila mendengar kata-kata isterinya itu. Ternyata isterinya itu juga sudah berubah hati. Baginda berasa sedih kerana isterinya yang dikasihi sanggup berkata begitu kepadanya.

Sejak hari itu Nabi Ayub tidak lagi memandang isterinya. Makan minum yang disediakan oleh isterinya juga tidak disentuh dan dimakan. Nabi Ayub telah bersumpah sekiranya baginda sembuh daripada penyakit, baginda akan memukul isterinya sebanyak 100 kali sebagai hukuman.

Kini tinggallah Nabi Ayub seorang diri menghadapi penyakit yang ditanggungnya itu. Badannya semakin lemah dan tidak berdaya lagi. Lalu Allah menurunkan wahyu-Nya kepada Nabi Ayub supaya menggerakkan kakinya sehingga keluar air. Air itu hendaklah diminum dan digunakan untuk mandi oleh baginda. Nabi Ayub pun menurutinya. 

Maka dengan keizinan Allah badannya kembali kuat dan segar. Hilang segala penyakit yang ditanggungnya, malah baginda lebih kuat dan gagah dari dahulu.

Pada masa yang sama, isteri beliau telah melihatnya lalu terus kembali kepadanya. Nabi Ayub teringat akan sumpahnya bahawa baginda akan memukul isterinya apabila sakitnya sembuh. Isterinya itu pernah lalai menguruskan sewaktu baginda masih sakit. Akan tetapi timbul dalam hatinya rasa hiba dan sayang kepada isterinya sehingga baginda tidak dapat memenuhi sumpahnya. 

Oleh sebab itu, turunlah perintah Allah supaya baginda melaksanakan sumpahnya dengan tidak menyakiti isterinya iaitu memukul dengan menggunakan seikat rumput yang terdiri 100 helai rumput sahaja.

Islam melarang berpecah belah

Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: Selepas Allah memerintahkan orang beriman supaya berpegang dengan tali Allah dan al-Quran, begitu juga jangan berpecah belah, diterangkan kamu pula berkenaan jalan kesatuan.

Allah SWT menjelaskan pada ayat berikut dengan arahan supaya jangan ada di kalangan orang Islam berpecah belah kerana permulaan natijah perpecahan itu ialah buta daripada kebenaran seperti dalam ayat-ayat berikut.

Ayat ke-105

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Sheikh Sya'rawi berkata: "Allah SWT melarang daripada mengikut hawa nafsu yang membawa kepada perpecahan sekalipun begitu mereka masih mengikut hawa nafsu yang menghumbankan mereka azab neraka".

ii. Al-Maraghi berkata: "Janganlah kamu bersikap seperti Ahli Kitab yang telah memecahbelahkan agamanya sehingga mereka berpuak-puak. Setiap puak memiliki fahaman yang bertentangan dengan golongan lain, membela ideologi dan mempropagandakannya kepada orang ramai serta menyalahkan ideologi lain sehingga mereka bersikap memusuhi dan saling berbunuhan.

"Sekiranya di kalangan mereka ini ada sekelompok orang yang menyuruh berbuat kebaikan, mencegah melakukan kemungkaran, dan berpegang dengan tali Allah serta mempunyai satu tujuan nescaya tidak akan wujud perselisihan dalam urusan agama dan tidak akan berlakunya perpecahan".

iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Ayat ini menyindir mereka yang berkelompok-kelompok seperti Yahudi dan Nasrani. Allah SWT melarang orang-orang beriman menyerupai kelakuan mereka dan apa sahaja yang berkaitan dengannya.

"Ini kerana mereka lebih mementingkan kelompoknya dan terbawa oleh keinginan nafsu atau kedengkian sesama mereka. Ia juga boleh menyebabkan perselisihan yang teruk sampai membawa kepada pergaduhan dan pembunuhan. Alangkah buruknya kelakuan mereka. Justeru, diperintahkan oleh Allah kepada Nabi untuk membimbing mereka ke jalan yang benar dan sempurna".

Ayat ke-106

Firman Allah SWT yang bermaksud: (Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (Mereka akan ditanya secara menempelak): "Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu".

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Mawardi dalam al-Nukat berkata: "Mereka yang kafir selepas beriman ada empat pendapat:

l Mereka yang kafir selepas menzahirkan iman dengan nifak. Inilah pendapat al-Hasan.

l Mereka yang kafir dengan murtad selepas Islam. Inilah pendapat Mujahid.

l Mereka yang kafir daripada ahli Kitab dengan Nabi SAW selepas beriman dengan sifat Nabi. Inilah pendapat al-Zajjaj.

l Semua orang kafir kerana mereka berpaling daripada yang mewajibkannya ikrar dengan Tauhid. Inilah pendapat Ubai bin Ka'ab.

ii. Berkenaan dengan mereka yang hitam muka atau wajah ada lima pendapat seperti yang dinukilkan oleh Ibn al-Jauzi dalam Zad al-Masir :

l Semua yang kafir dengan Allah selepas beriman. Inilah pendapat Ubai bin Ka'ab.

l Mereka golongan Haruriyah atau Khawarij. Inilah pendapat Abu Umamah dan Abu Ishaq al-Hamazani.

l Golongan Yahudi. Inilah pendapat Ibn Abbas r.a.

l Golongan munafik. Inilah pendapat al-Hasan.

l Ahli Bidaah. Inilah pendapat Qatadah.

iii. Al-Maraghi berkata: "Perkataan putih adalah simbol kegembiraan, manakala perkataan hitam pula simbol kesedihan.

"Hal ini digunakan secara umum dalam menyatakan keadaan yang berlawanan.

Bagi orang yang berdusta dilukiskan sebagai orang bermuka hitam, sebagaimana kata seorang penyair: "Oleh kerana itu, takjublah kamu kepada si bermuka hitam, si pendusta".

iv. Al-Sonhadji berkata: "Adapun orang yang bermuka hitam dimasukkan ke dalam neraka lalu kedengaran suara

Ayat ke-107

Firman Allah SWT yang bermaksud: Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (syurga), mereka kekal di dalamnya.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Maraghi berkata: "Mereka yang mukanya menjadi putih kerana bersepakat dan tidak bercerai-berai, maka mereka akan kekal dalam kenikmatan di dunia ini selagi mereka bersatu. Mereka akan kekal mendapat rahmat Allah SWT di akhirat kelak".

ii. Al-Sonhadji berkata: "Orang-orang yang putih mukanya disebabkan bersatu padu sesama mereka, tidak bertelingkah di dalam agama dan tidak berpecah belah, mereka itu akan hidup di dunia dalam kenikmatan dan bakal dirasakannya pula di akhirat dengan berkekalan".

iii. Sheikh Mutawalli Sya'rawi memahami kata rahmat Allah di atas dalam maksud yang lebih luas dari syurga.

Syurga adalah sebahagian dari rahmat Allah SWT. Syurga adalah sesuatu yang diciptakan Allah dan kekal kerana-Nya.

Oleh yang demikian, rahmat Allah jauh lebih luas daru syurga-Nya. Dengan rahmat-Nya semua makhluk boleh mendapat keredaan-Nya dan dapat melihat wajah-Nya.

Ayat ke-108

Firman Allah SWT yang bermaksud: Itulah ayat-ayat keterangan Allah, Kami bacakan dia kepadamu (Wahai Muhammad) dengan benar. Dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekelian makhluk-Nya.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Jauzi berkata: "Sebahagian ulama berpendapat Allah tidak menyeksa mereka jika tidak melakukan sebarang jenayah.

ii. Sheikh Sya'rawi berkata: "Ayat-ayat Allah adalah hujah dan dalil pembuktiannya. Siapa yang hitam mukanya pada hari kiamat pasti mendapat azab dan yang putih bersih mukanya pasti mendapat rahmat".

Semoga kita semua sentiasa mendapat rahmat Allah yang melayakkan untuk menghuni syurganya. Amin.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Abu Bakrah perawi hadis

BIOGRAFI

Nama lengkap Abu Bakrah ialah Nafi' bin al-Harith bin Kaldah Bin 'Amr bin Ilaj bin Abi Salamah. Namanya Abd. al-Uzza bin Ghayrah bin Awf bin Qays. Namanya turut dikenali sebagai Masruh. Menurut Ibnu Sa'd, dalam beberapa catatan hadis, ibunya adalah Sumayyah saudara seibu dengan Ziyad bin Abi Sufyan. 

Bapanya Abd. al-Harith bin Lakadah. Abu Bakrah pernah mengecapi zaman kanak-kanaknya sewaktu di Taif. Ketika Rasulullah SAW mengepung penduduk kota tersebut, baginda bersabda: "Siapa saja yang datang kepada kami, maka dia bebas (merdeka) daripada penghambaan". 

Baginda memanggilnya dengan nama Abu Bakrah. Menurut Ibnu Abd al-Bar, al-Hasan al-Basri salah seorang ulama tabien terkemuka, mengatakan, "Tidak ada seorang sahabat pun dari kalangan sahabat Rasulullah SAW yang tinggal di Basrah lebih mulia dibandingkan dengan Imran bin al-Husayn dan Abu Bakrah r.a. Beliau mempunyai banyak pengikut dan merupakan orang terhormat di Basrah".

Sifat keadilan Abu Bakrah

Ibnu Hajar sebagaimana memetik ungkapan al-'Ijli mengenai Abu Bakrah, "Abu Bakrah r.a. merupakan antara sebaik-baik sahabat". Abu Nu'aym al-Asbahani mengatakan: "Abu Bakrah merupakan seorang lelaki yang soleh dan warak. Nabi SAW telah mempersaudarakan antara beliau dan Abi Barzah".

Persaksian Al-Mughirah Ibnu Shu'bah

Riwayat tentang peristiwa kesaksian dan hukuman sebat ke atas Abu Bakrah pada zaman Umar al-Khattab banyak dimuatkan oleh ulama sejarah mahupun ulama tafsir, seperti al-Tabari, dalam kitab tarikh atau tafsirnya. Demikian juga Ibnu Sa'd dalam al-Tabaqat al-kubranya dan Ibnu Abd. al-Barr dalam al-Isti'ab fi ma'rifat al-ashab.

Dalam catatan ahli sejarah, sebagaimana dikutip oleh al-Tabari daripada al-Waqidi, Abu Bakrah pernah bersumpah menyaksikan perbuatan sumbang al-Mughirah bin Shu'bah r.a, yang merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW ketika sama-sama tinggal di Basrah.

Kedua-duanya adalah jiran yang terpisah oleh sebuah jalan. Al-Mughirah ditemui oleh Abu Bakrah dan beberapa sahabat sedang berada di bawah kedua kaki seorang wanita. 

Beliau kemudian meminta mereka memberi kesaksian dan mereka sepakat bahawa perempuan itu adalah Umm Jamil dari suku Amir bin Sa'sa'ah yang sememangnya telah lama menyimpan perasaan dengan al-Mughirah.

Nama Umm Jamil ialah Umm Jamil binti Amr bin al-Afqamal Hilaliyah. Suaminya bernama al-Hajjaj ibnu Atiq ibnu al-Harith ibnu Awf ibnu Wahb ibnu Amr al-Jashimi. (al-Asqalani, Ahmad ibnu Ali ibnu Hajar, al-Isabah, 2: 33).

Kejadian ini berlaku pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab. Setelah mendengar kes ini, Umar mengutuskan Abu Musa al-Ash'ari ke Basrah. Abu Musa tidak bersedia berangkat seorang diri kerana khuatir adanya subahat dan sebagainya. 

Justeru, beliau meminta keizinan Umar untuk membawa bersamanya 29 orang sahabat. Mereka ialah Anas bin Malik, Imran bin Husayn, dan Hisham bin Amir. Sementara al-Mughirah, Abu Bakrah, Shibl bin Ma'bad al-Bajali dan Ziyad kemudian berangkat ke Madinah untuk menemui Umar bin al-Khattab. 

Setibanya mereka di hadapan Umar, Abu Bakrah menerangkan kesaksiannya. Kemudian dua daripada tiga saksi yang ada, iaitu Nafi' dan Shibl bin Ma'bad al-Bajali, memberi kesaksian bahawa apa yang dikatakan oleh Abu Bakrah adalah benar; sedangkan Ziyad menyatakan penyaksian yang berbeza. 

Oleh kerana kesaksian ini dianggap tidak cukup, Umar menjatuhkan hukuman sebat ke atas Abu Bakrah, Nafi dan Shibl. Mereka kemudian diperintahkan bertaubat. Dua di antaranya, selain Abu Bakrah, telah bertaubat. Sebaliknya Abu Bakrah tidak bersedia sambil menyatakan, "Engkau meminta aku bertaubat semata-mata agar engkau dapat menerima kesaksianku?"

Umar menjawab: "Benar". Abu Bakrah membalas kata Umar, "Aku wajib untuk tidak bersaksi antara dua perkara (antara kebenaran dan kesalahan) dalam kes al-Mughirah, selama aku masih hidup".

Keputusan Umar tidak menerima kesaksian Abu Bakrah tidak menghilangkan kredibiliti keadilan Abu Bakrah sebagai perawi. Hukum tersebut berkaitan dengan kesaksian Abu Bakrah bukan periwayatannya. 

Malah ia berkaitan dengan hukum penolakan kesaksiannya akibat ketidakcukupan jumlah serta ketidaksediaan beliau menarik balik kesaksiannya dan bertaubat di hadapan Umar yang menjadi hakim ketika itu. 

Pada masa yang sama, keputusan Abu Bakrah juga merupakan hukuman yang dipilih oleh beliau. Lebih baik daripada melakukan pembohongan kepada Allah SWT meskipun kesaksiannya akan diterima kembali. 

Sebagaimana kejadian ke atas Abu Bakrah, peristiwa tersebut juga jelas tidak menggugat kredibiliti al-Mughirah sebagai sahabat. Sifat adl al-Mughirah ibn Shu'bah juga tetap terpelihara kerana persaksian Abu Bakrah, Nafi' dan Shibl adalah tidak tepat. 

Al-Sheikh al-Amin al-Shanqiti mengatakan wanita yang dilihat berada bersama al-Mughirah ibnu Shu'bah ketika angin membuka pintu rumah tersebut ialah isteri al-Mughirah. Kebetulan, wajah isteri al-Mughirah menyerupai seorang wanita lain yang sering dilihat mengunjungi para pemimpin yang lain. 

Maka mereka membuat andaian bahawa isteri al-Mughirah adalah wanita yang sama tanpa bertujuan buruk, namun sangkaan tersebut adalah salah. Al-Mughirah tidak melakukan sebarang kemungkaran kerana para sahabat Nabi SAW terkenal dengan naluri dan penghayatan iman yang tinggi. Sehingga mereka mampu mencegah diri mereka daripada sesuatu kemungkaran. Sesungguhnya hanya Allah yang mengetahui hakikat yang sebenar. 

Periwayatan hadis 

Sheikh Muhammad al-Amin al-Shanqiti menegaskan, ulama bersepakat menerima periwayatan Abu Bakrah walaupun beliau dihukum oleh Umar al-Khattab atas persaksiannya tentang perlakuan zina al-Mughirah. 

Sealiran pendapat dengan gurunya Abd. Al-Muhsin al-Abbad membuat rumusan antaranya pertama, para ulama Muslimin sama ada salaf atau khalaf sekian lama telah bersepakat menerima periwayatan Abu Bakrah. 

Kedua, tuduhan qazaf dengan menggunakan lafaz menghina seperti wahai penzina atau seumpamanya menyebabkan persaksian dan periwayatan seseorang itu tertolak melainkan sekiranya bertaubat dan berlaku baik dan hal ini tidak berlaku pada Abu Bakrah.

Tambahan Abd. Al-Muhsin, Sheikh Ala' al-Din al-Muglatai dalam kitab Ikmal tahdhib al-kamal jilid 12 halaman 77 menyebut, tidak ada seorang pun di kalangan tabien atau selepas mereka yang melarang periwayatan Abu Bakrah dan berhujah dengannya. 

Justeru tidak dijumpai seorang pun perawi hadis yang mentajrihkan Abu Bakrah berkenaan kisah persaksian beliau dalam kes al-Mughirah. Ibnu Qudamah pula dalam kitab Rawdat al-nazir wa jannat al-manazir jilid 1 halaman 303 mengatakan di dalam perkara qazaf jika berlaku dengan lafaz persaksian maka perkhabaran (periwayatannya) tidak ditolak. 

Dalam kisah Abu Bakrah kekurangan bilangan saksi bukanlah kehendaknya. Sehubungan itu ramai perawi menerima dan meriwayatkan hadis daripada beliau. Al-Imam al-Ala'i dalam kitab Tahqiq munif al-rutbah liman thabata lahu sharif al-suhbah berkata, ulama-ulama usul al-fiqh dalam membahaskan kisah Abu Bakrah, mereka berpandangan bahawa apa yang berlaku ke atas Abu Bakrah dan sahabat-sahabatnya tidak mencacatkan sifat adl (keadilan) mereka sebagai sahabat Rasulullah SAW. 

Periwayatan hadis Abu Bakrah adalah sepertimana periwayatan para sahabat Rasulullah yang lain. Penerimaan periwayatan Abu Bakrah terbukti apabila periwayatannya diriwayatkan oleh para ulama dan mukharrij hadis terkemuka seperti al-Imam al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmidzi, al-Nasai dan Ibn Majah. 

Riwayat Abu Bakrah terkumpul di dalam keenam-enam kitab ini sebanyak 55 hadis, dan disebut oleh al-Mizzi di dalam Tuhfat al-Ashraf dari hadis 11654 hingga hadis 11708, al-Imam Ahmad mengeluarkan hadis Abu Bakrah di dalam Musnadnya sebanyak 152 secara berulang, hadis 20,373 hingga hadis 20,524. 

Abu Bakrah tidak hanya meriwayatkan satu hadis sebaliknya beliau meriwayatkan 14 hadis yang dimuatkan al-Imam al-Bukhari dan Muslim dalam kitab sahih mereka. Hadis yang diriwayatkan secara bersama-sama al-Imam Muslim adalah lapan hadis, lima hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari dan satu hadis diriwayatkan oleh Muslim.

Justeru adalah tidak tepat untuk menolak periwayatan hadis Abu Bakrah (sebagaimana yang dilakukan oleh Fatima Mernissi, seorang aktivis feminisme liberal kelahiran Maghribi dengan melakukan kritikan terhadap periwayatan Abu Bakrah. Mernissi mendakwa bahawa Abu Bakrah meriwayatkan hadis yang berunsur 'anti wanita' dan bermotifkan kepentingan peribadi). 

Kewafatan

Para ulama berbeza pendapat tentang tarikh kewafatannya. Al-Mada'ini mengatakan Abu Bakrah wafat pada tahun 50H. Sa'd pula mengatakan Abu Bakrah wafat di Basrah sewaktu pemerintahan Mu'awiyah bin Abi Sufyan. 

Para ulama berpendapat bahawa Abu Bakrah wafat pada tahun 51H sementara Ibnu Khayyat dalam kitab al-Tabaqat berpendapat Abu Bakrah wafat pada tahun 52H.

Wednesday, July 29, 2009

Hadis pilihan hari ini.

Nabi Muhammad s.a.w

"عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: "الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ، وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ‏."

(Hadis riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Nasa’i) Yang bermaksud: “Seorang Muslim itu ialah orang yang menyelamatkan saudara Muslim yang lain daripada (kejahatan) lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah.”

Apa reaksi anda sebagai Muslim...

Orang kafir mempermain-mainkan ayat Quran.
فرمان الله تعالى :
يأيها الذين ءامنوا من يرتد منكم عن دينه فسوف يأتى الله بقوم يحبهم ويحبونه أذلة على المؤمنين أعزة على الكـفرين يجــهدون فى سبيل الله ولا يخافون لومة
لآئم ذلك فضل الله يؤتيه من يشآء والله وسع عليم
Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di kalangan kamu yang murtad daripada agamanya maka Allah akan mendatangkan suatu kaum di mana Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintaiNya, bersikap lemah lembut sesama orang beriman serta tegas terhadap golongan kafir, berjihad di jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Itulah kurnian Allah yang dianugerahkannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas pemberianNya lagi Maha Mengetahui.
-Surah Al Maidah : 54

Doa Masuk Masjid

“Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah nescaya mereka mendapati di bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian kematian menimpanya sebelum tiba ke tempat yang di tuju maka telah tetap pahala di sisi Allah dan adalah Allah SWT Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang”. An-Nisak: 100

Lazimkan diri dengan Istighfar....

Adalah nabi Muhammad s.a.w walaupun di gelar Maksum (terpelihara dari melakukan dosa dan maksiat) tetapi tidak pernah lupa meminta ampun dari Allah s.w.t. Dalam setengah riwayat ada mengatakan bahawa nabi s.a.w beristighfar sebanyak 70 x dalam sehari.

Tuesday, July 28, 2009

Ayah dan Ibu...

KETIKA bayi ibu bapa membelai dan menatang anak dengan penuh kasih sayang dan apabila besar sewajarnyalah anak membalas kasih sayang yang diberikan.

RAMAI anak yang tidak mengaku apabila dituduh menderhaka kepada ibu bapa. Namun, siapa yang dapat menafikan kebenaran ayat Allah dan hadis Rasulullah SAW yang menyimpulkan bahawa termasuk dosa besar yang kedua selepas syirik ialah apabila seseorang melupakan tanggungjawab menjaga kedua orang tua. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya, apabila salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu." – (Surah Al-Isra' ayat 23)

Rasulullah SAW lebih jelas menegaskan mengenai dosa besar ini di dalam sabdanya yang bermaksud: Mahukah kamu aku khabarkan tentang dosa besar? Kami (sahabat menjawab: Ya, tentu wahai Rasulullah. Beliau bersabda: Ada tiga, iaitu menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua ibu bapa dan ucapan dusta dan kesaksian dusta, Baginda mengulanginya berkali-kali sehingga kami berkata mudah-mudahan baginda diam." – (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari) 

Semua anak mengaku mereka sudah memenuhi hak kedua ibu bapanya walaupun hati tak merindu, jauh sekali khuatir, sedih dan pilu mengenang keuzuran kedua orang, pemegang kunci syurga mereka di akhirat nanti. Bahkan anak dunia itu seolah-olah tidak mahukan akhirat. 

Lantas mereka lalai dan lupa akibat mengejar cita-cita dunia sehingga tak tersisa sedikit pun ruang untuk ayah dan ibu di dalam hati. Hati yang sentiasa sibuk, memberi kesan pada wajah mereka yang kian suram apabila berdepan dengan ayah dan ibu. Mereka lebih rela menjadi tanda-tanda dekatnya kiamat dengan berlaku derhaka daripada harus menanggung beban hidup bersama orang tua.

Pelbagai alasan dicipta untuk menghalalkan keuzuran mereka daripada menjaga ibu bapa, tetapi di sudut hati nurani anak-anak manusia siapakah kiranya yang boleh melepaskan diri daripada kenangan kasih sayang ibu bapa ketika kecilnya. 

Mereka juga berselindung di sebalik amal salih yang lain, sebahagiannya ahli tahajjud, setia membaca al-Quran, ahli masjid, istiqamah mengerjakan haji dan umrah, ahli sedekah dan puasa. Tetapi, mereka membuat hati ibu bapa menangis, jiwa mereka terdera dan impian hari tua yang indah bagi mereka hancur berkecai. 

Padahal keutamaan berkhidmat kepada orang tua melebihi pahala jihad fisabilillah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas'ud beliau berkata: "Saya bertanya kepada Nabi SAW. "Amalan apakah yang paling disukai oleh Allah SWT? Baginda bersabda: Solat pada waktunya, saya bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbuat baik kepada kedua orang tua. Saya bertanya: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjihad di jalan Allah." – (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Ironinya mereka mengejar pahala ibadat sunat tetapi yang wajib ditinggalkan. Kewajipan berkhidmat kepada ibu bapa mereka dianggap bukan ibadat melainkan hanya adat kehidupan manusia. Maka jika mereka lalai mengingati kedua-duanya, tidak ada kekesalan di dalam hati, tidak rasa berdosa dan bermaksiat kepada Allah SWT.

Sungguh penyelewengan yang tidak disedari, melainkan apabila keduanya kembali ke rahmatullah. Lalu anak-anak itu secara tabienya menjadi ibu dan bapa generasi baru. Dia merasai sakit menjaga dan mendidik anak seperti ibu bapa dulu. Akhirnya dia sedar betapa seksa diderhaka dan dibuang bagaikan al-Quran usang. 

Bukan hanya ibu bapa yang terguris hati, Rasulullah SAW pun pernah menitiskan air mata mendengar pengaduan seorang lelaki tua mengenai anaknya yang menderhaka. "Wahai Rasulullah, anakku telah aku didik tetapi setelah dewasa dia menzalimiku. Lelaki itu kemudian menyatakan kesedihannya dengan untaian syair yang memilukan: 

"Ketika engkau masih kecil, tangan ini yang memberimu makan. 

"Engkau minum juga aku yang tuangkan. Apabila dirimu sakit, aku berjaga semalaman. 

"Kerana sakitmu itu aku mengeluh kerisauan. Tetapi, di saat engkau dewasa dan mencapai tujuan. 

"Kulihat pada dirimu apa yang tak ku harapkan. Kau balas aku dengan kekasaran. 

"Seakan-akan nikmat dan anugerah engkau yang berikan." 

Mendengar bait-bait syair lelaki tua itu, berlinanganlah air mata Rasulullah SAW seraya bersabda yang bermaksud: Kamu dan hartamu milik ayahmu." – (Ditakhrij oleh Ibnu Majah 2357, Imam Ahmad dalam al-Musnad 6883, Ibnu Hibban dalam sahihnya 409, 4182. Al-Baihaqi dalam al-Sunan 16054) 

Pelbagai takrifan diberi ulama mengenai tanda-tanda derhaka kepada orang tua seperti memutuskan hubungan dengan tidak mahu menziarahi mereka, tidak memberi nafkah, tidak memenuhi hak-hak mereka dan tidak mentaati mereka pada hal yang bukan bermaksiat kepada Allah SWT. 

Sesungguhnya kasih sayang yang paling ikhlas tanpa syarat hanyalah kasih sayang ibu bapa. Anak yang salih dituntut untuk membalas jasa mereka dengan adab dan akhlak yang baik. Kadang-kadang seulas senyuman dan kata-kata yang lembut lebih berharga daripada wang ringgit serta barangan berharga. 

Namun tidak dinafi juga kepentingan hadiah sebagai pengikat jiwa. Sikap mementingkan diri sehingga membiarkan ibu bapa hidup susah di sebalik kemewahan seorang anak sememangnya menunjukkan sifat tidak mengenang budi. Jika boleh dihitung berapa juta ringgit yang mesti dibayar, sudah tentu jasa ibu bapa tak akan terbayar dengan sebarang jenis mata wang pun di dunia ini. 

Monday, July 27, 2009

Ratu Balqis di istana Nabi Sulaiman

"APABILA ratu itu sampai tanyakan, apakah takhtamu serupa ini?" Jawab ratu, "Seolah-olah inilah dia. Dan kepada kami telah diberikan pengetahuan sebelum ini, dan kami adalah orang-orang yang tunduk kepada Tuhan. (an-Naml: 42)

RATU Balqis terpaksa datang mengadap Nabi Sulaiman di istana bagi menyelamatkan diri dan kerajaannya. Ini kerana Nabi Sulaiman bersama bala tenteranya berjanji untuk memerangi Ratu Balqis sekiranya dia enggan beriman kepada Allah SWT.

Maka Ratu Balqis bersama pembesar-pembesar berangkat menuju ke istana Nabi Sulaiman. Setelah sampai di hadapan istana Nabi Sulaiman, Ratu Balqis berasa bingung dan ragu-ragu kerana istana Nabi Sulaiman menyerupai istananya.

"Wahai Balqis, adakah istana aku ini sama dengan istanamu di Saba'?," tanya Nabi Sulaiman kepadanya.

"Memang bentuk istana ini menyerupai istana aku," jawab Ratu Balqis.

"Ini adalah istanamu, aku membawa istanamu ke mari dengan mudahnya kerana Allah SWT telah memberi pengetahuan kepada aku. Sesungguhnya aku tunduk dan beriman kepada-Nya."

"Aku yakin ini adalah istanaku," jawab Ratu Balqis lagi.

Kemudian, Ratu Balqis dipersilakan masuk ke dalam istana yang lantainya diperbuat daripada kaca yang putih bersih, rata dan licin. Di bawahnya dialirkan air sehingga nampak seakan-akan lantai istana itu penuh dengan air.

Ratu Balqis pun masuk ke dalam istana Nabi Sulaiman. Ketika berjalan masuk ke dalam istana itu, Ratu Balqis menyingkap kainnya agar tidak membasahi gaun yang dipakai sehingga menampakkan kedua-dua betisnya. Dia menyangka lantai istana itu dipenuhi dengan air.

"Tidak usahlah kamu menyingkap kainmu itu. Lantai itu bukannya dipenuhi dengan air tetapi ia diperbuat daripada kaca yang sangat nipis dan licin. Oleh kerana itulah ia nampak berkilau-kilauan seperti adanya air," kata Nabi Sulaiman.

"Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiayai diriku sendiri dengan menyembah matahari. Aku telah tersesat dan melalaikan nikmat yang diberikan oleh-Mu. Ampunilah diriku ini. Kini aku tunduk kepada-Mu dan berserah diri kepada Sulaiman, nabi-Mu dengan penuh keyakinan. Kasihanilah diriku wahai Tuhanku sekelian alam. Sesungguhnya hanya Engkaulah yang berhak disembah," kata Ratu Balqis.

Gerhana matahari satu peringatan

Belum pun berpisah dengan bulan Rejab yang mengingatkan kita tentang kekuasaan dan keagungan Allah melalui peristiwa agung Israk dan Mikraj, kita dijodohkan pula dengan peristiwa gerhana matahari yang menyaksikan satu lagi tanda kebesaran dan keagungan-Nya.

Selaku seorang Muslim, apatah lagi yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita seharusnya peka dengan fenomena alam ini. Seterusnya berusaha memahami iktibar dan pengajaran di sebalik setiap yang berlaku.

Ketahuilah, bahawa kejadian gerhana ini dijadikan oleh Allah bagi menakutkan hamba-hamba-Nya dan mengingatkan mereka tentang kebesaran-Nya.

Di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abi Bakrah r.a, Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya matahari dan bulan itu merupakan dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. (Matahari dan bulan itu) tidak menjadi gerhana kerana kematian seseorang ataupun kelahiran seseorang, tetapi Allah menakutkan hamba-hamba-Nya dengan kedua-duanya."

Allah mengingatkan melalui firman-Nya yang bermaksud: Dan biasanya Kami tidak menghantar turun tanda-tanda melainkan untuk menjadi amaran (bagi kebinasaan orang-orang yang memintanya kalau mereka tidak beriman). (al-Israk: 59)

Adalah wajar kejadian gerhana dianggap sebagai suatu peristiwa yang menakutkan, kerana tiada siapa pun yang mengetahui apa yang Allah kehendaki daripada kejadian gerhana ini.

Namun, cukuplah sabda Rasulullah SAW dalam khutbah gerhananya ini mengingatkan kita tentang kehebatan Allah dan peringatan-Nya yang tersirat di sebalik peristiwa ini: "Wahai umat Muhammad! Demi Allah! Sekiranya kalian mengetahui apa yang saya ketahui, sudah pasti kalian akan ketawa sedikit dan banyak menangis."

Malangnya, betapa ramai umat Islam pada zaman ini yang memandang remeh dan tidak gentar bertemu dengan kejadian gerhana ini. Sedangkan ia adalah saat-saat yang begitu mencemaskan penghulu sekelian manusia, Nabi Muhammad SAW.

Berapa ramai yang leka dan asyik dengan pekerjaannya, sedangkan para salafussoleh begitu cemas dan gentar. Mereka berkejaran dan bersegera mengerjakan solat dan berdoa apabila menyaksikan fenomena ini sehinggalah kejadian yang mencemaskan ini berakhir.

Diriwayatkan, bahawa seorang Ahli 'Arifin bernama Tawus, apabila melihat kejadian gerhana matahari, beliau menangis ketakutan hingga hampir-hampir menemui maut. Beliau berkata, "Matahari itu lebih takutkan Allah daripada kita."

Ikutan kita yang agung, Rasulullah SAW gementar dan luruh hatinya semasa melihat kejadian ini. Terdapat banyak hadis yang meriwayatkan tentang reaksi cemas Baginda tatkala berlaku gerhana matahari dan bulan.

Di dalam Sahih Muslim diriwayatkan, ketika berlaku gerhana matahari pada zaman Rasulullah SAW, terkejut dan bingkas bangun ingin mengambil selendangnya untuk dipakai tetapi terambil baju besinya kerana fikiran dan hatinya yang sibuk dan cemas memikirkan kejadian gerhana yang sedang berlaku.

Baginda SAW menjadi begitu cemas kerana takut sekiranya Allah menurunkan bala atau mengisyaratkan akan berlakunya kiamat berikutan gerhana tersebut.

Kebimbangan Nabi SAW ini menyebabkan Baginda memanjangkan doanya dan mencucurkan air mata, lebih-lebih lagi memikirkan nasib umatnya.

Hal ini disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam al Syamail al Muhammadiah, Abdullah ibn 'Amru r.a berkata: "Pada masa Rasulullah SAW (hidup), pernah terjadi gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW mengerjakan solat hinggakan seolah-olah Baginda SAW tidak akan rukuk (kerana terlalu lama berdiri). Kemudian Baginda SAW rukuk, seolah-olah Baginda SAW tidak akan mengangkat kepalanya.

"Kemudian Baginda SAW mengangkat kepalanya, seolah-olah Baginda SAW tidak akan sujud. Kemudian Baginda SAW sujud, seolah-olah Baginda SAW tidak akan mengangkat kepalanya (dari sujud). Kemudian Baginda SAW menghembuskan nafasnya dan menangis seraya berdoa:

"Wahai Tuhanku! Bukankah Engkau telah berjanji kepadaku, bahawa Engkau tidak akan mengazab mereka selagi aku berada bersama mereka. Bukankah Engkau telah berjanji kepadaku bahawa Engkau tidak akan menyiksa mereka, selagi mereka memohon keampunan, sedangkan kami memohon keampunan kepada-Mu".

Apabila Baginda SAW selesai melakukan solat dua rakaat, matahari terang kembali. Baginda SAW pun berdiri, lalu mengucapkan pujian kepada Allah. Kemudian Baginda SAW pun bersabda, "Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Kedua-duanya tidak akan gerhana kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kelahiran seseorang. Apabila terjadi gerhana, bersegeralah kalian berzikir mengingati Allah".

Sesungguhnya Baginda SAW tidak mengalirkan air mata kerana dirinya sendiri, tetapi Baginda mengalirkan air mata semata-mata kerana mengenang dan kasihkan umatnya serta bimbang Allah akan mengazab mereka disebabkan dosa dan maksiat yang mereka lakukan.

Lihatlah betapa dalam dan suci kasih Rasulullah SAW terhadap umatnya. Walaupun berada dalam keadaan cemas dan ketakutan, Baginda SAW tidak pernah melupakan kita.

Justeru, renungilah, apakah yang kita lakukan demi Baginda SAW? Apakah pengorbanan yang pernah kita lakukan demi mempertahankan agamanya yang tercinta?

Allah SWT dengan segala keperkasaan dan keagungan-Nya, mampu menjadikan atau tidak menjadikan kejadian gerhana matahari dan bulan. Namun, dari perspektif ilmu saintifik yang dicanang oleh sebahagian saintis moden mengatakan semua itu berlaku secara nature yang mesti berlaku mengikut kiraan ilmu bintang yang mereka cipta.

Semuanya itu tidak diyakini dengan pasti, malah berdasarkan sangkaan semata-mata, menurut agakan dan ukuran fikiran mereka yang masih rendah. Sedangkan Nabi SAW menyebut bahawa matahari dan bulan adalah tanda kebesaran Allah dan peristiwa gerhana dijadikan oleh Allah sebagai menakutkan dan mengingatkan hamba-Nya.

Hikmah di sebalik kejadian gerhana

Terlalu banyak hikmah tersirat di sebalik kejadian ini sebagaimana yang banyak disebut oleh ulama. Di antaranya ialah:

Menzahirkan penguasaan dan pentadbiran Allah terhadap matahari dan bulan.

Menerangkan kejelikan dan kebodohan orang-orang yang menyembah matahari dan bulan. Firman Allah yang maksud-Nya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kejadian malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, sekiranya benar kamu hanya beribadat kepada Allah. (al-Fussilat: 37)

Menggementarkan hati orang-orang yang berasa tenang dengan kelalaian dan dosa-dosa yang dilakukannya.

Memperlihatkan kepada manusia contoh-contoh peristiwa yang akan berlaku pada hari kiamat sebagaimana firman Allah: Maka (hari Kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut), dan bulan hilang cahayanya, dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama. (al Qiyamah 7-9)

Menggambarkan Allah mungkin akan mengazab orang yang tidak berdosa.

Merenung hikmah-hikmah ini, terlintas di fikiran saya, apakah kejadian gerhana matahari yang Allah datangkan sejurus selepas sambutan Israk dan Mikraj merupakan peringatan daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya yang masih lagi lalai dan belum juga insaf dengan segala maksiat yang dilakukan sama ada maksiat zahir atau batin.

Sekalipun telah diperingatkan tentang kekuasaan-Nya melalui peristiwa Israk dan Mikraj?

Apakah telah hampir masanya untuk Allah menunjukkan kehebatan dan kekuasaan-Nya yang sebenar? Moga-moga Allah menggolongkan kita di antara hamba-Nya yang sentiasa sedar dan terselamat daripada kemurkaan-Nya

Amalan sunat semasa gerhana

Menerusi sekian banyak hadis berkaitan gerhana, terdapat beberapa perkara sunat yang dianjurkan supaya dilakukan semasa kejadian gerhana. Di antaranya ialah:

Solat dan berdoa. Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu melihat kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi".

Berzikir dan beristighfar. Abu Musa berkata: "Telah berlaku gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW berdiri dalam keadaan cemas kerana bimbang akan berlaku Kiamat. Lalu Baginda SAW tergesa-gesa pergi ke masjid dan solat dengan berdiri yang terlalu panjang serta rukuk dan sujud yang panjang, yang tidak pernah aku lihat Baginda SAW melakukan seperti itu.

Berlindung daripada azab kubur. Diriwayatkan oleh Aisyah ra: "Setelah Nabi SAW selesai menyampaikan khutbah gerhana matahari, maka Baginda SAW memerintahkan para sahabat supaya memohon perlindungan dari azab kubur."

Bersedekah. Sabda Rasulullah SAW: "Apabila kalian melihat gerhana, maka hendaklah kalian berdoa kepada Allah, mengerjakan solat dan bersedekah."

Memerdekakan hamba. Asma' ra berkata: "Sesungguhnya Nabi SAW menyuruh memerdekakan hamba ketika berlaku gerhana matahari. "Dalam satu riwayat: "Gerhana bulan."

Inilah sunnah Baginda SAW ketika berlakunya peristiwa gerhana bulan atau matahari.

Marilah bersama-sama kita menghidupkan sunnah Nabi kita SAW kerana inilah jalan hakiki menuju kesejahteraan di dunia dan akhirat. Tinggalkanlah sunnah ahli bidaah kerana inilah jalan yang membawa kecelakaan di dunia dan akhirat.

Friday, July 24, 2009

Doa Nabi Sulaiman a.s dan laut mati



Ratu Balqis di istana Nabi Sulaiman

* GAMBAR TERSEBUT Makam Nabi Sulaiman a.s di Sirfa, Karak. Lokasi ini dikatakan tempat Nabi Sulaiman bermukim dan beberapa tempoh masa.

"APABILA ratu itu sampai tanyakan, apakah takhtamu serupa ini?" Jawab ratu, "Seolah-olah inilah dia. Dan kepada kami telah diberikan pengetahuan sebelum ini, dan kami adalah orang-orang yang tunduk kepada Tuhan. (an-Naml: 42)

RATU Balqis terpaksa datang mengadap Nabi Sulaiman di istana bagi menyelamatkan diri dan kerajaannya. Ini kerana Nabi Sulaiman bersama bala tenteranya berjanji untuk memerangi Ratu Balqis sekiranya dia enggan beriman kepada Allah SWT.

Maka Ratu Balqis bersama pembesar-pembesar berangkat menuju ke istana Nabi Sulaiman. Setelah sampai di hadapan istana Nabi Sulaiman, Ratu Balqis berasa bingung dan ragu-ragu kerana istana Nabi Sulaiman menyerupai istananya.

"Wahai Balqis, adakah istana aku ini sama dengan istanamu di Saba'?," tanya Nabi Sulaiman kepadanya.

"Memang bentuk istana ini menyerupai istana aku," jawab Ratu Balqis.

"Ini adalah istanamu, aku membawa istanamu ke mari dengan mudahnya kerana Allah SWT telah memberi pengetahuan kepada aku. Sesungguhnya aku tunduk dan beriman kepada-Nya."

"Aku yakin ini adalah istanaku," jawab Ratu Balqis lagi.

Kemudian, Ratu Balqis dipersilakan masuk ke dalam istana yang lantainya diperbuat daripada kaca yang putih bersih, rata dan licin. Di bawahnya dialirkan air sehingga nampak seakan-akan lantai istana itu penuh dengan air.

Ratu Balqis pun masuk ke dalam istana Nabi Sulaiman. Ketika berjalan masuk ke dalam istana itu, Ratu Balqis menyingkap kainnya agar tidak membasahi gaun yang dipakai sehingga menampakkan kedua-dua betisnya. Dia menyangka lantai istana itu dipenuhi dengan air.

"Tidak usahlah kamu menyingkap kainmu itu. Lantai itu bukannya dipenuhi dengan air tetapi ia diperbuat daripada kaca yang sangat nipis dan licin. Oleh kerana itulah ia nampak berkilau-kilauan seperti adanya air," kata Nabi Sulaiman.

"Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiayai diriku sendiri dengan menyembah matahari. Aku telah tersesat dan melalaikan nikmat yang diberikan oleh-Mu. Ampunilah diriku ini. Kini aku tunduk kepada-Mu dan berserah diri kepada Sulaiman, nabi-Mu dengan penuh keyakinan. Kasihanilah diriku wahai Tuhanku sekelian alam. Sesungguhnya hanya Engkaulah yang berhak disembah," kata Ratu Balqis.

Perintah mencegah kemungkaran

SHEIKH Muhammad Abu Zahrah berkata: "Selepas Allah SWT mengarahkan orang Islam supaya berpegang dengan tali Allah SWT iaitu al-Quran al-Qarim dan jangan berpecah-belah lantas Allah menerangkan jalan dan cara untuk berpegang iaitu kesatuan dan juga pelaksanaan amar makruf nahi mungkar." Oleh yang demikian Allah SWT fardukannya dengan ayat di atas.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Kalimah lam (pada perkataan waltakum adalah lam perintah). Yakni hendaklah terdapat di kalangan kamu satu kumpulan yang menyeru ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran.

Ayat ini mengandungi perintah menyeru kepada kebaikan. Ditafsirkan oleh sebahagian ulama seperti berikut. Kalimah man di dalam ayat ini dinamakan litab'ngid ertinya untuk sebahagian.

Jelasnya perintah menyeru kepada kebaikan di sini bukanlah ditumpukan hanya kepada sebahagian umat Islam sahaja, tetapi ditumpukan kepada setiap umat Islam yang mukalaf berdasarkan firman Allah SWT (Terjemahan: surah al-Imran: 110) Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

Maka berdasarkan ayat ini wajiblah atas setiap umat Islam yang mukalaf itu melaksanakan al-Amr Makruf al-Nahi al-Munkar iaitu menyuruh mengerjakan kebajikan dan melarang berbuat kejahatan.

ii. Adapun cara melarang berbuat kejahatan atau mungkar itu sama ada dengan tangannya yakni tindakan keras, atau lisannya dengan memberikan nasihat atau sekurang-kurangnya mengingkarkan dengan hati.

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa'id al-Khudri r.a, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya. Yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman. (riwayat Muslim )

iii. Cara mengubah mungkar ada tiga jenis:

lMengubah dengan tangan iaitu menggunakan kekuatan atau kekuasaan orang menurut cara yang lebih berkesan. Bukan dengan cara yang membawa pertumpahan darah atau menimbulkan kekacauan yang lebih dahsyat bencananya dari perbuatan mungkar itu sendiri.

lMengubah dengan lidah setelah tidak dapat gunakan tangan. Ini dibolehkan jika ada faedah atau kesannya kerana dapat diterima dan dipatuhi nasihat atau tunjuk ajar kemudian perkara mungkar itu dihentikan.

lMengubah dengan hati setelah kedua-dua cara yang diterangkan tadi gagal dan tidak memberi kesan. Ini dikenali sebagai tanda selemah-lemah iman.

Namun demikian, ia adalah fardu ain ke atas tiap-tiap orang Islam. Ertinya wajib atas mereka mengingkari perkara yang mungkar itu dengan hati. Hal ini pernah dikatakan oleh Rasulullah SAW dalam sabda-Nya yang bermaksud: "Apabila dikerjakan kejahatan dalam permukaan bumi, maka orang yang menyaksikannya tetapi dia membencinya seperti orang yang tidak melihat perbuatan tersebut. Dan barang siapa yang tidak melihat kejahatan itu tetapi dia suka akannya maka dia seperti orang yang menyaksikan perbuatan tersebut".

Maka di atas tafsiran ayat dan hadis yang disebutkan itulah membawa pengertian hendaklah kamu menjadi umat yang menyeru orang supaya berbuat kebajikan dan mencegah orang daripada mengerjakan kejahatan

iv. Al-Maraghi berkata: "Mereka yang melaksanakan dakwah ini harus memenuhi syarat-syaratnya agar dapat mencapai matlamat dengan baik dan teladan dalam aspek ilmu dan amalan:

lMemahami isi kandungan al-Quran, sunnah dan jejak langkah Nabi SAW serta para Khalifah al-Rasyidin.

lPeka dengan keadaan masyarakat yang menjadi sasaran dakwah, dari aspek selok-belok masalah, kesediaan, tabiat, akhlak dan pergaulan mereka dengan masyarakat.

lMenguasai bahasa masyarakat yang menjadi sasaran dakwahnya. Nabi SAW pernah menyuruh beberapa orang sahabatnya mempelajari bahasa Ibrani bagi kemudahan berkomunikasi dengan bangsa Yahudi yang menjadi jiran Baginda dan mengetahui mereka yang sebenar.

lMengetahui agama dan tradisi serta berbagai-bagai aliran di kalangan pelbagai umat demi memudahkan dirinya mengetahui mana yang batil dari yang betul.

v. Al-Sonhadji berkata: "Kita mendapati bahawa ayat ini ditujukan kepada setiap umat Islam bertanggungjawab dengan tidak ada kecualinya bahkan semuanya hendaklah menyeru kepada kebaikan, caranya dengan menyuruh manusia berbuat kebajikan dan menegah kejahatan.

Tanggungjawab untuk melaksanakan

"Masing-masing mengikut taraf dan kemampuannya. Hendaklah mereka melantik sekumpulan umat yang dapat menjalankan kewajipan itu, manakala sesuatu kesalahan atau penyelewengan segeralah memperbaikinya supaya tidak menimbulkan kebinasaan terhadap umat tadi".

vi. Sayid Qutub dalam tafsirnya berkata: "Penggunaan dua kata yang berbeza itu menunjukkan keharusan adanya dua kelompok dalam masyarakat Islam.

"Kelompok pertama yang bertugas mengajak dan kelompok kedua bertugas memerintah dan melarang. Kelompok kedua ini tentulah memiliki kekuasaan di bumi.

"Ajaran Ilahi di bumi ini bukan sekadar nasihat, petunjuk dan penjelasan. Ini adalah salah satu tanggungjawab untuk melaksanakan pemerintahan dan menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran".

Akhir kata penulis meminjam kata-kata Dr. Aid al-Qarni berkenaan dengan nasihatnya melalui buku Ihfazillah Yahfazka yang menyebut: "Dan para ulama Ahli Sunnah wa al-Jamaah dan para wali Allah itu adalah orang yang bergelut dan bergaul dengan masyarakat yang luas.

"Di dalam Islam, tidak ada seorang alim yang menutup dirinya hanya di dalam rumah dan tidak keluar ke khalayak ramai untuk menyebarkan manfaat ilmunya kepada mereka. Orang seperti ini bukan Ahli Sunnah wal-Jamaah.

"Kamu akan mendapati para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah di masjid, di tempat terbuka, di jalan raya, di forum-forum, di tempat perkumpulan manusia dan di kampus-kampus universiti dan sebagainya.

"Mereka sentiasa mengajar manusia dan menginfaqkan sebahagian rezeki yang Allah anugerahkan kepada mereka dan tidak kedekut terhadap ilmunya".

Berdasarkan ayat di atas jelas menunjukkan kita semua harus mencontohi dan meneladani pendirian dan peranan Ahli Sunnah wal-Jamaah. Semoga kita semua sentiasa mendapat rahmat Allah yang melayakkan untuk menghuni syurganya. Amin.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Thursday, July 23, 2009

Muhammad dan Ibrohim namamu istimewa

Berselawat ke atas Nabi s.a.w. itu suatu daripada ibadat yang sangat mulia

Sesiapa menghendaki pahala yang banyak, satu antara caranya ialah beramal tanpa modal iaitu berselawat ke atas Nabi s.a.w.

Seorang sahabat bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang bagaimana bentuk cara berselawat ke atasmu?

Sabda Nabi s.a.w. berkatalah dengan: "Allahumma solli 'ala Muhammad 'abdika wa 'ala a-lihi wa azwajihi wa zurriyatihi kama sollita 'ala Ibrahim wa a-li Ibrahim, wabarik 'ala Muhammadin wa 'ala a-lihi wa azwjihi wa zurriyatihi, kama barakta 'ala Ibrahim wa a-li Ibrahim innaka hamidun majid."

Yang bermaksud: Ya Allah Tuhanku, sejahterakanlah ke atas Nabi Muhammad dan kaum keluarganya dan para isterinya dan keturunannya, sebagaiman kesejahteraan ke atas Nabi Ibrahim dan keluarganya, sesungguhnya Engkau adalah Maha Terpuji lagi di-Muliai

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." (Surah al-Ahzab: 56)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa di kalangan umatku yang berselawat sekali ke atasku, Allah SWT akan tulis 10 kebajikan."

Isra' Mi'raj.....

Isra' Mikraj adalah antara proses kematangan kerohanian Rasulullah s.a.w dalam menempuh perjuangan baginda. Ketika ini, seluruh tubuhnyadibalut keletihan. Jiwanya dibungkus keresahan.
   
Letih, lesu dan resah gelisah yang berkubang di jiwa raganya dipendam bersendirian saat mengenang apakah lagi malang nasib yang jatuh ke atasnya bertimpa-timpa pada masa-masa yang akan datang.

Khadijah, saudagar wanita, penyokong sendi kekuatannya telah wafat. Abu Talib, bapa saudaranya, tonggak perjuangan dan penampan kepada serangan kafir Quraisy telah pun pergi meninggalkannya.

Selama ini, rasa segan terhadap Abu Talib dalam kalangan musyrikin itulah yang menyelamatkannya daripada serangan yang berlaku akibat dakwah itu.

Bermodalkan kedudukannya sebagai anak saudara Abu Talib, maka tiada sesiapa pun yang berani menyentuh baginda.

Tetapi keadaan telah berubah kini. Dengan kewafatan Khadijah disusuli pemergian Abu Talib, akar tunjang dan tonggak kekuatan lambang keutuhan perjuangan dakwah baginda telah hilang.

Pemergian kedua-duanya berlaku dalam tahun yang sama. Hal ini begitu terkenal dalam sirah sehingga sejarawan telah menamakan tahun tersebut sebagai 'Tahun Kesedihan' ('amul huzni).

Bayangkan, bagaimana baginda dapat menempuh kehidupan ini bersendirian dengan Fatimah yang masih kecil. Apalah sangat yang mampu dilaksanakan gadis sekecil itu melainkan dengan menyapu najis unta yang dilumurkan ke atas kepala baginda ketika sedang bersujud di depan Kaabah.

Allah maha besar! Allah maha berkuasa. Tidak sesekali Dia meninggalkan kekasihNya dihimpit derita itu bersendirian. Sudahlah ketika kecilnya dia kehilangan bapa ketika masih dalam kandungan, malah al-Amin juga ditinggalkan oleh ibu dan datuknya ketika masih kecil.

Kini, menjelang dewasa, ketika dia diarahkan Tuhan untuk menyebarkan dakwah, maka dia diuji dengan rasa bersendirian menanggung bebanan dakwah ini.

Bagi tujuan menghibur baginda, dan atas tujuan mengingatkan pertalian perjuangan risalah ini yang ada kaitan dengan perjuangan nabi terdahulu, maka itulah antara sebabnya kenapa baginda dijemput Tuhan ke langit tertinggi.

Isra' Mi'raj adalah suatu peristiwa yang teragung dalam bulan Rejab, setahun sebelum penghijrahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat, beramai-ramai ke Madinah.

Ertinya, Isra' Mi'raj adalah 'turning point', titik permulaan Islam mula bertapak di Mekah, solat mula diisytiharkan sebagai suatu amalan dan ketika itu hidup Muslimin penuh dengan riwayat sengsara dan gangguan sehingga memaksa mereka mencari perlindungan di Madinah. Lalu, dengan itu terbentuklah sebuah Negara Islam yang pertama di dunia.

Ini kerana, sejurus kembalinya baginda membawa khabar berita, gambaran peristiwa langit, maka baginda dicela Abu Lahab, bapa saudaranya sendiri. Bermula saat itu, tekanan ke atas baginda telah bermula. Itu perkara yang pertama.

Yang kedua, Isra' Mi'raj adalah satu 'turning point' di mana Islam itu terasas dengan begitu kukuh oleh kerana telah termaktub suatu resolusi dari langit mengenai kefardhuan solat yang mana sebelum itu, solat belum lagi diperkukuhkan sebagai suatu amalan yang wajib.

Tiga pihak, dua kejadian

Resolusi mengenai kewajipan solat itu melibatkan tiga pihak, dua kejadian. Pihak yang terlibat dalam hal 'mewajibkan' solat itu ialah Allah s.w.t, Nabi Musa a.s yang berunding dengan Rasulullah s.a.w dan hasil ulang-alik Nabi Muhammad s.a.w menemui Allah s.w.t untuk mengurangkan jumlah bilangan solat fardhu tersebut.

Selain itu, dua peristiwa yang menyebabkan timbul rasa ghairah supaya diwujudkan suatu mekanisme perhubungan langsung antara manusia dengan penciptaNya, ialah kerana baginda telah menyaksikan gelagat para malaikat yang telah bersujud, rukuk kepada Tuhan dengan lain-lain perbuatan yang mirip kepada solat hari ini.

Peristiwa kedua, ialah ketika Nabi Muhammad s.a.w sendiri diangkat menjadi imam untuk mengerjakan solat di mana para makmum di belakangnya adalah nabi-nabi yang terdahulu sebelum baginda.

Lalu, terfikir di benak baginda, alangkah baiknya jika diwujudkan suatu mekanisme yang menyebabkan manusia sentiasa dapat berhubung dengan Tuhannya lewat ibadat tersebut.

Keghairahan Rasulullah s.a.w mengenai solat itu tergambar ketika hampir tiba saatnya baginda wafat. Di bibir baginda hampir tidak lekang menyebutkan, "Ummati.. as-Solah.." (Umatku.. sembahyang..)

Betapa tidak! Nabi Muhammad s.a.w telah naik ke langit menyaksikan malaikat bersujud hingga baginda tentang bagaimana mahu umatnya bersujud sebegitu rupa dengan tempoh lama dan penuh semangat.

Tetapi, amalan berat seperti solat ini telah diminta dikurangi oleh Musa a.s apabila nabi itu teringatkan pengalaman Bani Israel yang berat menerima perintah solat tersebut.

Sebab itu, kita dapatlah memahami kenapa sampai begitu tebal sekali baginda mengingatkan hal tersebut kepada umatnya berhubung solat, hatta ketika hampir wafat sekali pun. Tidaklah disebut hal zakat, puasa dan lain-lainnya, melainkan solat itulah yang kerap diperingatkan baginda.

Pembebasan Palestin

"Maha suci Allah yang membawa hambaNya pada malam hari dari Masjidil Haram di Makkah hingga ke Masjid Aqsa (Palestin) yang diberkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah juga yang amat mengetahuinya." (Surah al-Isra': 1)

Ada riwayat menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w diarah Jibril agar berhenti, bersolat dua rakaat, seperti di Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah s.a.w akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu) dan Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa a.s dilahirkan).

Unsur kesengajaan memang wujud di sini walaupun dalam nas di atas, hanya perihal Israk sahaja yang dihebahkan Tuhan. Langsung sahaja Tuhan menyebut tempat berlepas Rasulullah s.a.w itu dari Masjidil Aqsa yang kini berada dalam tahanan Yahudi Zionis.

Seolah-olah Tuhan mahu beritahu kita sesuatu, apakah tindakan kita untuk membebaskan Masjid al-Aqsa? Sebagai Muslimin individu yang terhad kuasanya, kita mungkin boleh diampunkan dengan sebab kita telah mengeluarkan wang ringgit untuk membantu seadanya, termasuk menggesa negara berbuat sesuatu tanpa melibatkan PBB.

Yang patut menjawab di hadapan Allah s.w.t kelak ialah para pemimpin negara Islam yang tunduk berdiam diri dan hanya bertawakal kepada PBB untuk menyelesaikan kemelut berkenaan.

Syahadan, mungkin tak perlu diletakkan perihal mi'raj ke langit oleh sebab langit itu tiada nama yang khusus seperti halnya di bumi. Tapi, sengaja disebutkan Masjidil Aqsa guna menyentuh hati nurani Muslim agar peka ke atas pergolakan di sana yang berombak dengan lautan darah dan membadai dengan air mata.

Pada zaman ini, kita boleh saja menaiki pesawat terbang ke udara. Perihal naik ke udara itu tidak perlulah ditekankan sangat sebab kawasan langit dan laluan udara tempat laluan pesawat itu tidak penting sangat untuk diketahui.

Yang penting diketahui adalah tempat di mana pesawat kita mahu berlepas (departure) dan tempat di manakah pesawat itu bakal mendarat (landing). Ertinya, terbang ke awan itu sudah diketahui umum, tapi yang diperkirakan orang ketika mahu berpergian ke mana-mana ialah di tempat mana pesawat mereka mahu berlepas dan di tempat mana ia akan mendarat.

Sebab itu, kita jangan hairan kenapa nas itu tidak menghebahkan soal mi'raj, sebaliknya cuma menyebut tempat berlepas ketika Isra' (berjalan malam). Tuhan menyebutkan Masjidil Aqsa itu bererti, tempat itu amat penting dan bernilai.

Sebagai termaklum, selepas peristiwa Isra' Mi'raj, solat difardhukan. Tempoh daripada kisah itu hingga penghijrahan ke Madinah memakan masa selama setahun. Dan, ketika di Madinah juga, Muslimin masih berkiblat kepada Masjidil Aqsa.

Maka, sebelum mendapat arahan bahawa Muslimin wajib solat fardhu lima waktu, Nabi Muhammad s.a.w diminta 'berkenalan' terlebih dahulu dengan kiblat pertama kita di Baitul Maqdis itu, sebuah daerah kelahiran Nabi Isa a.s dan tempat Nabi Musa a.s menempatkan Bani Israel dalam sebuah negara merdeka dalam riwayat-riwayat terakhir perjuangan dakwahnya.

Maka, sejurus tibanya baginda ke Mekah, ketika itulah bermulanya solat dengan kiblat terarah ke Masjidil Aqsa; kiblat pertama yang mana Nabi Muhammad s.a.w telah diperkenalkan terlebih dahulu dengannya sebelum ini.

Seolah-olahnya, sebelum menerima perintah solat yang wajib itu, Tuhan juga mahu berbicara kepada kekasihnya, "Inilah nantinya yang akan menjadi kiblat umatmu kelak!"

Mirip kisah tarbiyah Musa - Khidhir

Perjalanan kerohanian Nabi Muhammad s.a.w bersama Jibril a.s itu mirip kepada tarbiyah Khidhir a.s ke atas Musa a.s dalam surah al-Kahfi. Dalam perjalanan, ada saja penglihatan yang terbentang dan pengajaran yang baginda lihat.

Diriwayatkan bahawa baginda telah menyaksikan golongan yang sedang bertani dam terus menuaikan hasil pertaniannya.

Baginda juga menyaksikan tempat berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anak-anaknya yang dibunuh Firaun, kaum sedang memecahkan kepala, kaum yang menutup kemaluan dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan yang memakan daging mentah berbau busuk.

Rasulullah dibawa ke beberapa lapisan langit bertemu dengan kalangan nabi dan rasul, termasuk Nabi Isa, Nabi Musa dan Nabi Ibrahim yang sedang berada di Baitul Ma'mur bersama beberapa kaumnya.

Rasulullah s.a.w juga melihat golongan yang sedang menanggung satu bebanan. Ketika bebanan itu berat, mereka menambah lagi bebanan itu sehingga mereka tidak terdaya lagi menanggungnya.

Masyarakat harus faham hukuman sebat

Islam ambil pendekatan untuk beri pengajaran, kesedaran bahaya arak 

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Isnin lalu menjatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 terhadap model sambilan dari Singapura, Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, atas kesalahan meminum arak di sebuah resort di Cherating kira-kira jam 11.40 malam pada 11 Julai 2007, mencetuskan kontroversi. 

Hukuman itu mengundang maklum balas termasuk daripada Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang terkejut dengan tindakan hakim menjatuhkan hukuman sebat.



Malah, Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali juga melahirkan rasa terkejut bahawa hukuman sebat termasuk dalam undang-undang syariah dan menganggap ia sebagai hukuman yang sangat keras. 

Persoalan yang timbul di sini ialah mengapa perlu disebat. Jika dikenakan sebatan sekalipun, mengapa cuma enam sebatan? Kenapa tidak 40 sebatan iaitu jumlah maksimum yang pernah dilaksanakan Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar as-Siddiq kepada peminum arak? 

Malah, Khalifah Umar menetapkan hukuman sebanyak 80 sebatan kepada pesalah yang meminum arak.


Bagaimanapun, pensyarah Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Zulfakar Ramlee, berkata jumlah hukuman sebat dikenakan itu bukan isu utama sebaliknya masyarakat perlu faham falsafah hukuman. 

Katanya, tiada siapa berani mengatakan arak itu bagus kerana semua tahu kesan tidak baiknya terhadap kesihatan dan minda manusia. Malah, masyarakat Barat juga mengakui hakikat itu dengan melarang ibu yang mengandung meminum arak. 

Oleh itu kata beliau, cantiknya Islam sebagai agama fitrah ialah mengambil pendekatan untuk menjaga keselamatan umat dan hukuman sebagai pengajaran supaya masyarakat tidak melakukan perkara yang boleh memudaratkan mereka serta orang lain. 

"Hukuman enam sebatan itu tidak serius tetapi rasional di sebalik falsafah hukuman lebih penting kerana kita mahu orang sedar keburukan minum arak kepada fikiran dan kesihatan. Lagipun, hukuman sebat ini sudah ada sejak 1994 dan hanya sekarang hakim melaksanakannya.

"Keburukan arak sudah jelas termasuk firman Allah yang menyatakan keburukannya lebih banyak berbanding kebaikan. Jika ada yang menjadikannya isu, mereka mungkin terbawa-bawa perjuangan hak asasi yang menganggap ia sebagai isu peribadi," katanya. 

Beliau berkata, masyarakat perlu objektif kenapa Parlimen meluluskan peruntukan hukuman sebat dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah Syariah) 1965 (Pindaan 1984) kerana undang-undang dibuat bukan untuk suka-suka. 

Sebenarnya hukuman sebat sesuatu yang biasa di kebanyakan negara Islam termasuk Bangladesh yang menjatuhkan hukuman 202 sebatan terhadap seorang janda dan 101 sebatan kepada lelaki kerana disyaki terbabit dengan aktiviti anti-sosial di sebuah kampung di utara Bangladesh. Hukuman itu mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh ketua agama. 

Dr Zulfakar berkata, tidak timbul soal zalim atau hukuman yang keras kerana peraturan menetapkan orang yang akan merotan menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana serta mengangkat rotan sama paras dengan bahu tidak melebihi kepalanya. 

"Hukuman sebat hanya untuk menyedarkan masyarakat dan enam sebatan itu pun tak sakit, hanya untuk pengajaran. Sepatutnya isunya sekarang ialah bukan kenapa ia dilaksanakan tetapi kenapa ia tidak dilaksanakan sedangkan sudah lebih 20 tahun," katanya. 

Penolong Setiausaha Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar pula berkata, tidak dinafikan hukuman sebat syariah sering kali menimbulkan polemik di kalangan masyarakat akibat tidak memahami perundangan itu. 

"Hukuman itu sering disamakan dengan hukuman sebat dalam undang-undang sivil (jenayah), sama ada dari segi konsep dan pelaksanaannya. Sebab itu walaupun ada peruntukan sebat ia hampir tidak dilaksanakan melainkan di Kelantan," katanya. 

Beliau berkata, kesalahan jenayah syariah yang membawa hukuman sebat berbeza antara negeri tetapi hukuman dikenakan hanya pada had maksimum enam kali sebatan. 

Berbeza dengan undang-undang sivil yang memperuntukkan sebat bagi kesalahan serius, hukuman sebat syarie tidak hanya dijatuhkan kepada kesalahan serius termasuk kesalahan berkaitan dengan akhlak, tatasusila dan beberapa kesalahan lain. 

Negeri Selangor mempunyai lapan bentuk kesalahan syariah yang memperuntukkan hukuman rotan kepada pesalah iaitu doktrin palsu, mencemarkan tempat ibadat, sumbang mahram, melacurkan isteri, muncikari (bapa ayam), persetubuhan luar nikah, persediaan persetubuhan luar nikah dan persetubuhan bertentangan tabii. 

Kelantan memperuntukkan kesalahan minum arak selain kesalahan zina, mukadimah zina dan liwat. Wilayah Persekutuan pula menggunakan istilah Musahaqah, iaitu kesalahan gay dan lesbian, selain kesalahan-kesalahan lain yang hampir sama dengan Selangor. 

"Semua kesalahan tersebut adalah mengikut budi bicara hakim, sama ada setiap pesalah dijatuhkan hukuman denda, atau rotan atau penjara atau kesemua sekali atau juga mana-mana kombinasi yang dirasakan wajar," katanya.