Monday, March 15, 2010

HUKUM-HUKUM PERKAHWINAN

Hukum asal suatu perkahwinan adalah harus sahaja tetapi dalam pada itu berkemungkinan boleh berubah menjadi wajib, sunat, haram dan makruh di mana sesuai dengan keadaan seseorang yang akan menempuh perkahwinan.

 

Huraiannya adalah seperti berikut :-

 

1.            Perkahwinan yang wajib.

Orang yang diwajibkan berkahwin ialah orang yang sanggup untuk berkahwin, sedang ia khuatir terhadap dirinya akan melakukan perbuatan zina.

 

2.            Perkahwinan yang sunat

Orang yang disunatkan berkahwin ialah orang yang mempunyai kesanggupan untuk berkahwin dan sanggup memelihara diri dari kemungkinan melakukan perbuatan yang terlarang.

 

3.            Perkahwinan yang haram

Orang yang diharamkan berkahwin ialah orang yang mempunyai kesanggupan untuk berkahwin tetapi kalau ia berkahwin diduga akan menimbulkan kemudharatan terhadap pihak yang lain seperti orang gila, orang yang suka membunuh atau mempunyai sifat-sifat yang dapat membahayakan pihak yang lain dan sebagainya.

 

4.            Perkahwinan yang makruh

Orang yang makruh hukumnya berkahwin ialah orang yang tidak mempunyai kesanggupan untuk berkahwin (dibolehkan melakukan perkahwinan) tetapi ia dikhuatiri tidak dapat  mencapai tujuan perkahwinan.  Oleh itu dianjurkan sebaliknya ia tidak melakukan perkahwinan.

 

Demikian huraian hukum-hukum perkahwinan yang boleh dijadikan panduan dan juga  pengajaran yang baik kepada sesiapa yang hendak berkahwin.


Semoga menjadi anak yang soleh dan solehah...



Audit syariah dalam kewangan Islam

SISTEM Kewangan Islam bukan lagi sebagai alternatif kepada sistem konvensional sebaliknya sekarang ini sistem yang bertunjangkan al-Quran dan sunnah ini telah diterima menjadi satu kemestian dan kewajipan.

Perkembangan yang sihat ini akhirnya mendorong kepada institusi-institusi kewangan Islam khususnya bank Islam dan takaful berlumba-lumba untuk mengeluarkan produk dan menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dan pengguna.

Namun, dalam keghairahan mengetengahkan produk dan servis terbaik kepada masyarakat, kadang-kadang institusi kewangan Islam terlepas pandang banyak perkara yang akhirnya menjejaskan sifat patuh syariah yang sepatutnya menjadi elemen utama yang perlu dipelihara. Di sinilah bermulanya kepentingan audit syariah.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Abdul Aziz dalam ucapannya di Persidangan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam Yang Kedua bertajuk 'Peningkatan dan Keberkesanan Tadbir Urus Korporat dalam Industri Perkhidmatan Kewangan Islam' berkata: "Ciri utama sistem kewangan Islam terletak pada nilai etika yang tinggi yang menyokong tadbir urus dan operasi perniagaan kewangan Islam.

"Dengan perkembangan industri tersebut yang sangat pesat dan dengan persekitaran yang menjadi semakin kompleks dan lebih mencabar, merealisasikan sistem kewangan yang mantap dan berdaya tahan memerlukan wujudnya satu struktur tadbir urus yang kukuh bagi institusi kewangan Islam.

"Pada asasnya, cabaran yang dihadapi adalah untuk mengembangkan strategi yang akan menggalakkan pelaksanaan amalan tadbir urus korporat yang mantap dan efektif yang juga menyokong inovasi dan operasi perniagaan. "Perkara penting dalam visi bersama ini adalah untuk mewujudkan rangka kerja tadbir urus yang komprehensif bagi institusi kewangan dan untuk merangka strategi pelaksanaan Islam yang sesuai yang mampu memenuhi keperluan industri yang dinamik di samping meningkatkan keyakinan dan kestabilan dalam sistem kewangan Islam".

Majlis Pengawasan Syariah (MPS) adalah entiti yang sangat penting dalam proses membuat keputusan pengeluaran produk di institusi kewangan Islam. MPS diberi mandat dan kuasa untuk meluluskan sesuatu produk itu sebelum dipasarkan.

Biasanya, MPS akan membuat analisis terhadap kontrak yang digunapakai, rukun-rukun dan syarat-syarat yang diperlukan untuk menyempurnakan kontrak berkenaan.

MPS juga akan melihat sejauh mana produk berkenaan menepati maqasid syariah (objektif Syariah) dan boleh mendatangkan maslahah dan menolak kemudaratan.

Namun begitu, persoalannya adalah bagaimana MPS dapat memastikan syarat-syarat dan prosedur yang ditetapkan dapat dipatuhi sepenuhnya oleh pengurusan syarikat dan warga kerjanya? Penyelesaian yang paling tepat adalah dengan mengaplikasikan audit syariah.

Audit didefinisikan sebagai pemeriksaan dan pengesahan kira-kira manakala syariah adalah hukum Islam (rujuk Kamus Dewan). Pengauditan pula adalah proses di mana individu yang kompeten, bebas mengumpul dan menilai segala bukti mengenai maklumat yang berhubung rapat dengan entiti ekonomi yang spesifik.

Ia bertujuan mengenal pasti dan seterusnya melaporkan tahap pertalian antara maklumat yang dikenal pasti dan kriteria yang ditetapkan.

Syarikah al-Rajhi al-Masrafiyyah lil Istismar mendefinisikan audit syariah sebagai "Pihak yang memastikan sejauh mana sesebuah institusi kewangan Islam mematuhi syariah Islam berdasarkan keputusan yang dibuat oleh MPS institusi terbabit.

"Justeru, audit syariah adalah satu proses untuk menganalisis, menyemak dan memeriksa operasi dan urus tadbir sesebuah institusi kewangan Islam itu bertepatan dengan prinsip dan garis panduan syariah".

Sebagaimana yang digambarkan sebelum ini, institusi kewangan Islam perlu berusaha memastikan segala urus tadbir dan operasi syarikat bertepatan dengan syariah. Keputusan MPS sangat diperlukan di samping bimbingan dan garis panduan untuk mengeluarkan sesuatu produk.

Justeru, fungsi audit syariah yang pertama adalah untuk memastikan semua garis panduan dan keputusan yang dikeluarkan oleh MPS dan dipersetujui bersama tersebut dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Secara umumnya, audit syariah ini diperlukan untuk memastikan semua aktiviti yang berlaku di sesebuah institusi kewangan Islam itu sah dan menepati kehendak syariah. Di samping itu, ia untuk memastikan sesebuah institusi kewangan Islam itu memenuhi objektif dan tanggungjawabnya sebagai sebuah entiti perniagaan Islam.

Tanpa audit syariah yang mantap sesebuah institusi kewangan Islam itu terdedah kepada berlakunya ketidakpatuhan syariah. Hal ini perlu dipandang serius kerana impak tidak mematuhi syariah sangat besar. Di antaranya, melanggar perintah Allah yang memerintah supaya sesuatu aktiviti yang hendak dilakukan mestilah mengikut syariah.

Ketidakpatuhan kepada syariah boleh menyebabkan hilangnya berkat daripada Allah SWT. Malah ia akan merosakkan reputasi baik sesebuah institusi kewangan Islam. Dan akhirnya, apabila menjalankan aktiviti atau transaksi yang tidak mematuhi syariah boleh membawa kepada penjanaan pendapatan yang tidak halal.

Audit syariah juga berperanan mengenal pasti kesilapan dan kesalahan yang berlaku dalam urus tadbir syarikat. Justeru, ia tidak boleh hanya dalam ruang lingkup berkaitan produk sahaja, tetapi secara menyeluruh meliputi proses pengeluaran, pemasaran, pentadbiran dan sebagainya.

Sebagai contoh, di syarikat takaful, audit syariah perlu terlibat mengaudit proses pengunderaitan, pembangunan produk, kelulusan produk, pemasaran, tuntutan dan sebagainya.

Ia untuk memastikan semua perjalanan syarikat takaful tidak mempunyai sebarang unsur yang bercanggah dengan syariah di samping tidak menjejaskan kepentingan semua pihak termasuk para pemegang saham.

Disiplin ilmu

Oleh sebab itu, seorang juruaudit syariah bukan sahaja perlu memahami perjalanan dan operasi syarikat yang diaudit secara keseluruhannya, bahkan dia juga perlu menguasai beberapa disiplin ilmu berkaitan syariah seperti fiqh dan usul fiqh.

Ini sangat penting kerana terdapat proses ataupun prosedur yang bertepatan dengan garis panduan yang dikeluarkan syarikat, namun bercanggah dengan prinsip dan nilai-nilai syariah.

Ini kerana, di samping mengenalpasti sebarang kesilapan dan kesalahan, juruaudit syariah juga perlu berfungsi dalam menyediakan cadangan penambahbaikan kepada syarikat berkenaan. Ini juga menuntut juruaudit tersebut mengetahui aplikasi sistem dan operasi syarikat-syarikat lain dalam pasaran untuk dibuat perbandingan dan penilaian.

Bertitik tolak dari sini, maka juruaudit syariah akan membuat persediaan terlebih dahulu sebelum melakukan proses audit.

Di samping itu, juruaudit syariah perlu bebas dan telus dalam melakukan proses audit. Proses pengauditan perlu dielakkan dari unsur-unsur yang boleh menyebabkan dapatan-dapatan yang dihasilkan tidak telus dan berat sebelah.

Ini bagi memastikan laporan audit yang dikeluarkan pada akhir proses nanti mempunyai kualiti dan dapat digunakan oleh pihak syarikat untuk membuat pemulihan dan penambahbaikan.

Pihak syarikat juga perlu memberikan kerjasama sepenuhnya kepada juruaudit dalam melaksanakan proses pengauditan dengan memberikan ruang masa yang mencukupi, tempat yang kondusif untuk menyimpan bahan, sampel dan data yang ditemui.

Justeru, sebelum proses pengauditan bermula, adalah menjadi kemestian kepada pihak pengurusan syarikat untuk mengetahui kehendak dan keperluan juruaudit sepanjang proses pengauditan.

Mereka juga perlu membuat persefahaman tentang masa, tempoh dan metodologi yang dilaksanakan. Ini untuk mengelakkan sebarang masalah dari berlaku sewaktu pengauditan berlangsung.

Bagi memastikan audit syariah berlaku dengan lancar dan fokus, maka juruaudit syariah perlu memahami terlebih dahulu keputusan-keputusan MPS yang telah dibuat. Juruaudit boleh meminta bantuan sekretariat atau jabatan syariah menyediakan kompilasi keputusan MPS dan bahan-bahan lain yang boleh menjadi sumber rujukan untuk juruaudit seperti manual syariah, syariah checklist, laporan audit syariah pada tahun lepas dan sebagainya.

Audit syariah tidak boleh bersifat terlalu spesifik atau sempit kepada pengeluaran produk semata-mata. Ia perlu selari dengan konsep Islam yang menyeluruh dan merangkumi segenap aspek dan operasi syarikat.

Ini termasuklah hal ehwal pengurusan dan penerapan nilai-nilai Islam dalam semua aspek. Ia bagi memastikan institusi berkenaan bukan sahaja Islam dari sudut produk, tetapi juga merangkumi juga aspek-aspek yang lain.

Rujukan utama untuk merealisasikannya adalah al-Quran, sunnah, ijmak dan qias.

Audit syariah hendaklah diwujudkan sebagai satu aspek dan ciri yang perlu dalam struktur tadbir urus institusi kewangan Islam. Ini penting kerana ia bukan sahaja dapat menanam keyakinan orang ramai terhadap kesucian operasi institusi kewangan Islam malah yang lebih penting daripada itu mendapat keberkatan Allah SWT.

Institusi kewangan Islam perlu memastikan audit syariah dilaksanakan di syarikat masing-masing supaya semua urus tadbir dan operasi syarikat menepati prinsip-prinsip syariah. Sekali gus dapat memberikan gambaran yang jelas bahawa sistem muamalat Islam adalah yang terbaik sesuai dengan maksud hadis riwayat al-Baihaqi: "Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripada Islam".

Jangan ragu kekuasaan Allah


Keteguhan masjid yang terselamat dalam tsunami di Aceh pada Disember 2004 antara bukti kekuasaan Allah.


ALHAMDULILLAH, selesai sudah Surah ali-Imran dan pada kali ini penulis ingin mengemukakan tafsiran juzuk amma bermula dengan surah al-Naba'.

Metodologi yang digunakan pada kali ini berbeza dengan yang lepas di mana ia lebih pendek tafsirannya dan juga lebih ringkas. Jika wujud banyak sebab nuzul akan dipilih satu sahaja dan jika tafsiran di kalangan ulama ada persamaan memadai dengan mengambil satu pendapat sahaja.

Tujuan sebenar tafsiran ini lebih kepada memahamkan maksud ayat tersebut dan juga mengambil pengajaran serta iktibar.

Mukadimah

Surah ini dinamakan al-Naba' iaitu berita besar. Intipatinya berkaitan dengan kekuasaan Allah yang membangkitkan manusia dan gambaran syurga, nikmatnya serta neraka dan azabnya.

Ia banyak membincangkan hari kiamat dan kedudukan manusia yang baik serta yang jahat.

Firman Allah SWT: Tentang apakah mereka bertanya-tanya?

Ibn Abbas berkata: Sebab turun ayat ini kerana orang Quraisy sering berbincang berkenaan al-Quran yang diturunkan sehingga berlaku perdebatan antara mereka.

Ada yang membenar dan mendustakannya. Berita besar dalam ayat ini bermaksud kebangkitan Rasulullah SAW, begitu juga Hari Kebangkitan.

Firman Allah SWT: Tentang berita yang besar, (berita kebangkitan manusia hidup semula menerima balasannya). Yang mereka (ragu-ragu dan) berselisihan mengenainya. Berita besar sama ada al-Quran seperti kata Mujahid, Muqatil dan al-Farra' atau hari kebangkitan seperti kata Qatadah. Sedangkan pendapat al-Zajjaj berkenaan Nabi SAW.

Kekhilafan mereka daripada apa yang mereka dengar atau kerana orang Islam dan orang musyrikin berkhilaf seperti kata Yahya bin Sallam.

Firman Allah SWT: Jangan! (janganlah mereka bersikap demikian!) mereka akan mengetahui (dengan yakin tentang kebenaran hari balasan itu). Sekali lagi jangan! (janganlah mereka berselisihan!) mereka akan mengetahui kelak (tentang apa yang akan menimpa mereka).

Ayat ini adalah balasan pembohongan mereka yang pasti terdedah dengan balasan janji buruk.

Firman Allah SWT: (Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang Yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? Ini bertujuan sebagai tempat tinggal dan menggunakan segala nikmat kemakmurannya sama ada yang zahir mahupun yang batin.

Firman Allah SWT: Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya? Bertujuan supaya ia tidak bergoncang.

Sheikh al-Maraghi berkata: Andai kata tidak ada gunung sebagai pasaknya, nescaya bumi selalu bergoncang, lantaran di perutnya terdapat bahan-bahan yang mendidih sehingga tidak ada hikmahnya sama sekali ia dihamparkan.

Dalam tafsir al-Muntakhab menyebut: Lapisan padat kerak bumi dapat mencapai ketebalan sekitar 60 kilometer. Lapisan itu dapat meninggi, sehingga membentuk gunung-ganang atau menurun menjadi dasar lautan dan samudera.

Keadaan seperti ini menimbulkan keseimbangan akibat tekanan yang dihasilkan oleh gunung tersebut. Keseimbangan ini tidak mengalami kerosakan kecuali jika ia musnah.

Lapisan kerak bumi yang basah akan dikuatkan oleh gunung tersebut. Lapisan kerak bumi yang basah akan dikuatkan oleh gunung-gunung, persis pasak menguatkan lemah.

Firman Allah SWT: Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang?

Syed Qutub berkata: Semua manusia dapat memahami gejala ini dan dapat merasakan di sebaliknya kerehatan, kelazatan, kenikmatan dan kepulihan tenaga tanpa memerlukan ilmu pengetahuan yang banyak.

Firman Allah SWT: Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat? Ini kerana ia dapat membahagikan kekuatan, kecerdasan dan potensi dan tenaga dalam meneruskan kehidupan.

Firman Allah SWT: Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? Ibn Jarir al-Tabari berkata: Gelap malam itu meliputi seluruh diri kamu sehingga kamu bertelanjang, namun kegelapan malam itu menjadi ganti dari pakaianmu.

Ibn Jubair dan al-Suddi berkata: Ketenangan diri kerana nyenyaknya tidur untuk membangkitkan tenaga baru pada keesokan harinya.

Firman Allah SWT: Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) masa untuk mencari rezeki? Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh?

Ayat ini menjelaskan berkenaan keperluan mencari nafkah dalam melangsungkan kehidupan. Seterusnya dinyatakan kekuasaan Tuhan yang menciptakan tujuh petala langit yang kukuh dan kuat.

Syed Qutub berkata: Ia diikat dengan satu kuasa yang menahannya daripada pecah dan bengkok.

Firman Allah SWT: Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya? Ini bertujuan memberi kehidupan manusia dengan pancaran matahari.

Sheikh al-Maraghi berkata: Kepanasan dan sinaran dapat menyembuhkan penyakit dan memberi daya kehidupan.

Firman Allah SWT: Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah, Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan, serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya?

Syed Qutub berkata: Keselarasan dan keserasian dalam mengaturkan pelan-pelan alam ini tentulah tidak mungkin berlaku melainkan ada kuasa yang mengatur dan menyelaraskannya, kebijaksanaan yang merancangkannya dan ada iradat yang mentadbirkannya.

Hakikat ini dapat difaham oleh manusia apabila ia menumpukan sepenuh perasaannya ke arah ini. Jika ilmu pengetahuan manusia bertambah tinggi akan terbukalah rahsia keselarasan yang amat luas lagi menakjubkan akal fikirannya.

Penutup

Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas menunjukkan isu kebangkitan hari kiamat menjadi pertelingkahan dan Allah menunjukkan bukti dan dalil atas kekuasaannya.

Semoga kita meyakini dan beriman dengan segala rukun iman. Amin.