SEBAGAI penganut Kristian, Raja Habsyah sangat mengetahui dengan mendalam selok belok agamanya itu. (Raja Habsyah tersebut dipercayai bernama Ashamah al Najashi)
Lalu beliau menguji pengetahuan mengenai Nabi Isa dari Jaafar Abdul Mutalib yang menjadi wakil rombongan penduduk Islam Mekah yang mencari perlindungan di negaranya itu.
"Apakah Nabi kamu mengajar sesuatu (mengenai Isa a.s) dari firman Allah," tanya Raja Habshah kepada Jaafar.
Tanpa sebarang ragu-ragu Jaafar pun membacakan beberapa ayat dari permulaan surah al-Maryam.
Raja Habsyah dan para uskup Gereja Kristian yang ada yang pada mulanya terkejut dengan ayat-ayat yang dibaca oleh Jaafar tetapi terus leka mendengarkan keindahan ayat-ayat al-Quran yang dibacakan itu.
Mereka semua akhirnya menjadi sebak dan terharu malah ada yang menangis tersedu-sedu.
Sebaik selesai Jaafar membacakan ayat-ayat itu, Raja Habsyah membuat keputusan kepada dua wakil kafir Quraisy yang ditugaskan membawa pulang rombongan penganut Islam itu.
"Kamu pulanglah ke negeri asalmu dan beta tidak akan menyerahkan kepada kamu, umat Islam yang sanggup bersusah payah datang ke Habsyah dan meminta perlindungan daripada beta ini!," kata Raja Habsyah dengan tegas.
Apabila merasakan misi mereka mula menampakkan kegagalan, maka Amru al As mencelah dan berkata: "Wahai paduka baginda, sesungguhnya mereka menuduh Isa (Nabi) dengan perkataan-perkataan yang tidak baik".
Lalu Raja Habsyah bertanya kepada Jaafar: "Apakah pendapat kamu mengenai Isa, benarkah dakwaan wakil Quraisy itu wahai Jaafar"?
Lalu Jaafar pun menjawab: "Nabi Muhammad SAW mengajarkan kami bahawa Isa adalah hamba Allah yang diutuskan oleh Allah untuk menyampai risalah-risalah-NYA kepada kaum Nabi Isa. Baginda diciptakan dengan penuh kekuasaan-NYA lewat kandungan Maryam (Siti Maryam, ibu Nabi Isa) yang perawan itu".
Mendengarkan keterangan Jaafar itu, maka Raja Najasyi bangkit sambil menghentak-hentakkan tongkatnya ke atas lantai dan berkata: "Demi tuhan, apa yang dikatakan oleh mereka adalah sama dengan apa yang kami percayai, tidak ada yang lebih mahupun kurang sedikitpun seperti apa yang diajarkan oleh agama kami".
Lalu Raja Habsyah itu mengambil sebatang dahan kayu dan membuat garisan di atas tanah sambil berkata: "Demi Tuhan, apa yang kamu kata mengenai Isa bin Maryam tidak lari dari garisan ini".
Lalu para pembesarnya menarik nafas dan baginda berkata lagi: "Walaupun kamu menarik nafas, demi Tuhan!"
Baginda pun memerintahkan wakil-wakil kafir Quraisy itu supaya pulang sahaja ke Mekah sedangkan kaum Muslimin yang datang meminta bantuan dari Raja itu dijanjikan perlindungan dan penghormatan yang besar sebagai tetamu-tetamu Diraja.
Kata baginda kepada rombongan umat Islam tersebut: "Bertenanglah kamu, kamu adalah shuyum di negeriku. Shuyum dalam bahasa Habsyah membawa maksud orang yang selamat. Barang siapa yang menganggu kamu akan dihukum! barang siapa yang menganggu akan dihukum! barang siapa yang menganggu kamu akan dihukum!
"Sungguh beta tidak akan senang kalaupun mendapat segunung emas tetapi beta menyakiti salah seorang dari kamu," titah baginda berulang-ulang kali dengan tegas.
Sambil menujukan titahnya kepada Amru al As dan Abdullah Abi Rabiah yang menjadi wakil Quraisy itu, baginda mengarahkan segala hadiah yang dibawa supaya dipulangkan semula.
"Kembalikan hadiah mereka berdua. Aku tidak memerlukannya. Demi Tuhan, Allah tidak pernah mengambil rasuah daripadaku ketika Dia mengembalikan kerajaanku, maka apakah aku hendak mengambil rasuah pada jalan-Nya?
"Allah tidak pernah tunduk kepada manusia dengan mengangkatku, maka apakah aku hendak tunduk kepada manusia pada jalan Allah," kata baginda lagi.
Maka wakil-wakil Quraisy itu akhirnya terpaksa pulang dengan tangan kosong atau dengan lain perkataan misi mereka gagal. Malah amat malu kerana cubaan untuk mendapatkan perintah ekstradisi yang pada asalnya dianggap mudah rupa-rupanya ia tidak semudah yang disangka.
Ummu Salamah (antara yang mengikuti rombongan ke Habsyah) yang meriwayatkan kisah ini berkata: "Maka mereka berdua pun keluar dalam keadaan yang moyok dan sugul sambil membawa pulang segala macam jenis hadiah-hadiah yang mereka bawa sebelum ini.
"Dan kami pun menetap di Habsyah di sisi Raja Habsyah yang baik hati itu dengan mendapat tempat tinggal yang baik dan diterima baik oleh para penduduk Habsyah itu sendiri".
Walaupun dalam konteks mencari perlindungan terhadap keselamatan diri dan agama yang baru dianuti bukannya hendak mencari kehidupan yang lebih baik malah berhijrah untuk mencari pasangan hidup.
Namun antara intipati utama hijrah dalam Islam iaitu dapatkan perlindungan sekalipun yang difahami dalam konteks hari ini ialah suaka politik.
Disaat pengikut-pengikut awal yang memeluk Islam menerima pelbagai seksaan yang pedih itu, maka turunlah surah al-Kahfi sebagai jawapan yang antara lain satu isyarat daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya itu supaya berhijrah.
Maka kisah Ashabul Kahfi menunjukkan jalan kepada hijrah dari pusat kekufuran dan musuh apabila dibimbangi keselamatan agama mereka sambil berserah kepada Allah.
Ini sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah maka pergilah kamu berlindung di gua itu supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada kamu dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menjayakan urusan. (al-Kahfi: 16)
Begitu juga pengajaran daripada ayat Allah yang turut memberikan gambaran mengenai hijrah dan mengisytiharkan bahawa bumi Allah ini bukannya sempit: ...Ingatlah mereka yang berbuat di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat) dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya mereka yang bersabar sahajalah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira. (al-Zumar: 10)
Walaupun berhijrah dilihat sebagai satu perpindahan yang menuntut segenap pengorbanan, terdedah kepada pelbagai risiko di samping memerlukan satu strategi dan perancangan yang baik namun berhijrah itu adalah jauh lebih baik dari duduk berdiam dari tidak berbuat apa-apa.
Hatta jika terpaksa meminta perlindungan dari negara yang diperintah oleh bukan Islam seperti yang dilakukan oleh pengikut-pengikut awal yang memeluk Islam ini.
Ini kerana hasilnya sama sekali tidak diduga, bahkan pemimpin bukan Islam juga sanggup menawarkan perlindungan jika diizinkan Allah.
Malah ia cukup menjadi satu pukulan kepada pihak yang menindas seperti yang berlaku kepada golongan kafir Quraisy dalam peristiwa hijrah pertama umat Islam ke Habsyah.
Yang menganggap dengan nama dan kuasa yang mereka ada, golongan yang lemah dan tidak sealiran dapat ditundukkan.
Kini mereka menyedari Nabi Muhammad yang masih berada di Mekah wajar menjadi sasaran utama. Peluang mesti diambil sementelah baginda masih lagi berada di kota itu.
Namun mereka tetap menyedari bahawa penghalang utama untuk mencederakan Nabi SAW adalah bapa saudara baginda, Abu Talib.
Abu Talib yang merupakan bangsawan terkemuka dan terhormat Mekah menjadi perisai utama kepada Nabi Muhammad. Selagi bapa saudara Nabi itu berada di samping anak saudaranya itu, tiada sesiapa yang berani melakukan apa-apa.
Justeru individu yang perlu ditundukkan ialah Abu Talib itu sendiri. Tidaklah sehingga ke tahap membunuh Abu Talib tetapi golongan kafir Quraisy dalam satu misi mereka, secara beramai-ramai datang menemui Abu Talib.
Bagi menunjukkan betapa besarnya hajat yang mereka bawa, betapa menggunung tingginya harapan dan betapa Abu Talib mesti memenuhi semua itu demi bangsa Arab yang kononnya kini diperbodoh-bodohkan oleh anak saudaranya itu.
Begitu berat tanggungjawab yang terpaksa dipikul oleh Abu Talib sebagai bapa saudara Nabi Muhammad.
Namun beliau menyedari anak saudaranya sama sekali tidak bertujuan untuk memberi susah dalam hidupnya.
Oleh kerana beliau yang membela dan membesarkan Nabi SAW sedari kecil, beliau amat kenal dan masak akan anak saudaranya itu. Yang beliau dapati bahawa baginda seorang yang sangat jujur dan sangat dipercayai.
Jadi bagaimanakah Abu Talib dapat menahan anak saudaranya itu sedangkan beliau mengetahui apa yang dilakukan oleh Nabi SAW adalah perkara yang benar?
Namun, apabila sudah berhadapan dengan sekumpulan manusia yang sebegitu ramai dan berhimpun di hadapannya dengan wajah yang begitu mengharap, Abu Talib menjadi gugup!
No comments:
Post a Comment