Thursday, February 11, 2010

Petikan Metro dari : Tengok Nabi Adam

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my
2010/02/11

PUTRAJAYA: Mampu melihat Nabi Adam dan Nabi Sulaiman berserta penampilan dua pesuruh Allah itu seperti bertubuh besar, sedang tersenyum dan mempunyai lesung pipit antara ciri ajaran sesat dibawa seorang lelaki yang ditahan bersama isteri serta sembilan pengikutnya di sebuah apartmen di sini, awal pagi semalam.


RAMPAS...anggota penguat kuasa Jawi merampas barangan yang digunakan kumpulan terbabit.


Sebelum serbuan dilancarkan
, sekumpulan 20 penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terlebih dahulu melakukan risikan dan intipan di rumah terbabit kira-kira jam 9 malam, sebelum menyerbu apartmen di Presint 17, kira-kira jam 1.30 pagi.

Anggota penguat kuasa Jawi dibantu lebih 15 anggota polis terpaksa mengetuk pintu apartmen terbabit berulang kali apabila ketua kumpulan ajaran sesat, Abdul Rejab Ahmad terbabit dan pengikutnya asyik meratib sehingga tidak menyedari kehadiran puluhan anggota pihak berkuasa.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, pintu apartmen terbabit dibuka seorang lelaki berjubah dan memakai kopiah yang dipercayai ketua ajaran sesat terbabit sebelum anggota penguat kuasa dan polis memasuki rumah berkenaan.

Anggota penguat kuasa menyoal siasat ketua ajaran sesat berusia 50-an itu bersama isterinya berusia 40-an yang dipercayai seorang kakitangan kerajaan bersama sembilan pengikut lain berusia 25 hingga 60 tahun yang didakwa asyik meratib ‘zikir pelik’ yang dibawa lelaki terbabit.

Sumber berkata, kegiatan terbabit dipantau sejak beberapa bulan lalu selepas Jawi menerima maklumat penghuni kawasan berkenaan yang curiga bunyi pelik di apartmen itu, terutama pada waktu tengah malam.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, pihaknya mengesan kehadiran beberapa lelaki dan wanita yang dipercayai pengikut ketua ajaran sesat itu yang menggelarkan ajarannya sebagai Ajaran Abdul Rejab Ahmad.


“Hasil siasatan, kegiatan ajaran terbabit diketuai seorang lelaki berusia 50-an yang mempunyai isteri yang bertugas sebagai kakitangan kerajaan di Putrajaya.


“Selain mengajar ajaran pelik, lelaki terbabit dipercayai menawarkan kepakaran rawatan alternatif kepada mereka yang datang mendapatkan khidmatnya,” katanya yang tidak menolak kemungkinan apartmen terbabit dijadikan markas lelaki itu untuk menyebarkan ajaran sesatnya.


Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas beberapa carta organisasi pelik, bendera berwarna-warni bertulis kalimah Allah, besi yang didakwa pedang daripada Allah, buku serta dokumen yang dipercayai menjadi rujukan dipercayai ada kaitan dengan ketua ajaran sesat terbabit. Menurutnya, Jawi mendapat maklumat ajaran pelik yang dijalankan lelaki terbabit yang mendakwa memiliki kemampuan melampaui manusia biasa sehingga mampu menarik pengikut tertentu termasuk lelaki dan wanita. Sumber itu berkata, lelaki terbabit yang dipercayai pengasas ajaran terbabit mendakwa sudah dibukakan hijab oleh Allah untuk melihat roh nabi dan wali yang berada dalam majlis itu (perhimpunan bersama pengikut yang diadakan).


“Ketua ajaran sesat itu juga mendakwa Nabi Muhammad sudah menyampaikan pesanan melalui mereka yang sudah dibukakan hijab.


“Dia juga mendakwa Allah sudah menurunkan 20 bilion pembantu dan Nabi Muhammad sudah memberikan 550 trilion pembantu, tetapi hanya mampu mengambil 20 trilion saja,” katanya, semalam.


Menurut sumber itu, ketua ajaran sesat terbabit juga mendakwa al-Quran emas sentiasa terbuka kepada pengikutnya dan al-Quran bersaiz kertas A3 sentiasa menyaksikan setiap perkara yang berlaku.


Bukan itu saja, ketua ajaran sesat terbabit mendakwa Nabi Muhammad sudah memberikan buku catatan harian baginda kepada Abdul Rejab.


Menurutnya, lelaki terbabit bersama pengikutnya ditahan dan dibawa ke pejabat Jawi di sini, sebelum dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya, semalam, Sementara itu, Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali, mengesahkan penahanan lelaki terbabit bersama 10 yang lain, tetapi enggan memberikan butir terperinci kerana kes masih dalam siasatan.


Menurutnya, lelaki terbabit dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya mengikut Seksyen 5 dan Seksyen 6, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 kerana dua kesalahan iaitu membuat dakwaan palsu dan mengembangkan doktrin agama palsu. Sementara 10 yang lain dituduh mengikut Seksyen 6, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 kerana membuat dakwaan palsu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan sementara menunggu sebutan semula kes terbabit pada 21 April depan.


Mahkamah memerintahkan lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan RM5,000, manakala yang lain masing-masing RM3,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh sebutan semula.


Sabit kesalahan Seksyen 5 boleh didenda RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya manakala Seksyan 6 boleh didenda RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

SUMBER BERITA: HARIAN METRO 11 JANUARI 2010

No comments: