ALHAMDULILLAH, selesai sudah Surah ali-Imran dan pada kali ini penulis ingin mengemukakan tafsiran juzuk amma bermula dengan surah al-Naba'.
Metodologi yang digunakan pada kali ini berbeza dengan yang lepas di mana ia lebih pendek tafsirannya dan juga lebih ringkas. Jika wujud banyak sebab nuzul akan dipilih satu sahaja dan jika tafsiran di kalangan ulama ada persamaan memadai dengan mengambil satu pendapat sahaja.
Tujuan sebenar tafsiran ini lebih kepada memahamkan maksud ayat tersebut dan juga mengambil pengajaran serta iktibar.
Mukadimah
Surah ini dinamakan al-Naba' iaitu berita besar. Intipatinya berkaitan dengan kekuasaan Allah yang membangkitkan manusia dan gambaran syurga, nikmatnya serta neraka dan azabnya.
Ia banyak membincangkan hari kiamat dan kedudukan manusia yang baik serta yang jahat.
Firman Allah SWT: Tentang apakah mereka bertanya-tanya?
Ibn Abbas berkata: Sebab turun ayat ini kerana orang Quraisy sering berbincang berkenaan al-Quran yang diturunkan sehingga berlaku perdebatan antara mereka.
Ada yang membenar dan mendustakannya. Berita besar dalam ayat ini bermaksud kebangkitan Rasulullah SAW, begitu juga Hari Kebangkitan.
Firman Allah SWT: Tentang berita yang besar, (berita kebangkitan manusia hidup semula menerima balasannya). Yang mereka (ragu-ragu dan) berselisihan mengenainya. Berita besar sama ada al-Quran seperti kata Mujahid, Muqatil dan al-Farra' atau hari kebangkitan seperti kata Qatadah. Sedangkan pendapat al-Zajjaj berkenaan Nabi SAW.
Kekhilafan mereka daripada apa yang mereka dengar atau kerana orang Islam dan orang musyrikin berkhilaf seperti kata Yahya bin Sallam.
Firman Allah SWT: Jangan! (janganlah mereka bersikap demikian!) mereka akan mengetahui (dengan yakin tentang kebenaran hari balasan itu). Sekali lagi jangan! (janganlah mereka berselisihan!) mereka akan mengetahui kelak (tentang apa yang akan menimpa mereka).
Ayat ini adalah balasan pembohongan mereka yang pasti terdedah dengan balasan janji buruk.
Firman Allah SWT: (Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang Yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? Ini bertujuan sebagai tempat tinggal dan menggunakan segala nikmat kemakmurannya sama ada yang zahir mahupun yang batin.
Firman Allah SWT: Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya? Bertujuan supaya ia tidak bergoncang.
Sheikh al-Maraghi berkata: Andai kata tidak ada gunung sebagai pasaknya, nescaya bumi selalu bergoncang, lantaran di perutnya terdapat bahan-bahan yang mendidih sehingga tidak ada hikmahnya sama sekali ia dihamparkan.
Dalam tafsir al-Muntakhab menyebut: Lapisan padat kerak bumi dapat mencapai ketebalan sekitar 60 kilometer. Lapisan itu dapat meninggi, sehingga membentuk gunung-ganang atau menurun menjadi dasar lautan dan samudera.
Keadaan seperti ini menimbulkan keseimbangan akibat tekanan yang dihasilkan oleh gunung tersebut. Keseimbangan ini tidak mengalami kerosakan kecuali jika ia musnah.
Lapisan kerak bumi yang basah akan dikuatkan oleh gunung tersebut. Lapisan kerak bumi yang basah akan dikuatkan oleh gunung-gunung, persis pasak menguatkan lemah.
Firman Allah SWT: Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang?
Syed Qutub berkata: Semua manusia dapat memahami gejala ini dan dapat merasakan di sebaliknya kerehatan, kelazatan, kenikmatan dan kepulihan tenaga tanpa memerlukan ilmu pengetahuan yang banyak.
Firman Allah SWT: Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat? Ini kerana ia dapat membahagikan kekuatan, kecerdasan dan potensi dan tenaga dalam meneruskan kehidupan.
Firman Allah SWT: Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? Ibn Jarir al-Tabari berkata: Gelap malam itu meliputi seluruh diri kamu sehingga kamu bertelanjang, namun kegelapan malam itu menjadi ganti dari pakaianmu.
Ibn Jubair dan al-Suddi berkata: Ketenangan diri kerana nyenyaknya tidur untuk membangkitkan tenaga baru pada keesokan harinya.
Firman Allah SWT: Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) masa untuk mencari rezeki? Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh?
Ayat ini menjelaskan berkenaan keperluan mencari nafkah dalam melangsungkan kehidupan. Seterusnya dinyatakan kekuasaan Tuhan yang menciptakan tujuh petala langit yang kukuh dan kuat.
Syed Qutub berkata: Ia diikat dengan satu kuasa yang menahannya daripada pecah dan bengkok.
Firman Allah SWT: Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya? Ini bertujuan memberi kehidupan manusia dengan pancaran matahari.
Sheikh al-Maraghi berkata: Kepanasan dan sinaran dapat menyembuhkan penyakit dan memberi daya kehidupan.
Firman Allah SWT: Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah, Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan, serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya?
Syed Qutub berkata: Keselarasan dan keserasian dalam mengaturkan pelan-pelan alam ini tentulah tidak mungkin berlaku melainkan ada kuasa yang mengatur dan menyelaraskannya, kebijaksanaan yang merancangkannya dan ada iradat yang mentadbirkannya.
Hakikat ini dapat difaham oleh manusia apabila ia menumpukan sepenuh perasaannya ke arah ini. Jika ilmu pengetahuan manusia bertambah tinggi akan terbukalah rahsia keselarasan yang amat luas lagi menakjubkan akal fikirannya.
Penutup
Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas menunjukkan isu kebangkitan hari kiamat menjadi pertelingkahan dan Allah menunjukkan bukti dan dalil atas kekuasaannya.
Semoga kita meyakini dan beriman dengan segala rukun iman. Amin.
No comments:
Post a Comment