Thursday, July 22, 2010

Semasa Lawatan di Kilang Quran di Madinah Al-Munawarrah


Tujuan kami berkongsi gambar ini bukanlah apa-apa. Bukanlah menunjukkan kilang pencetakkan Al-Quran yang bersih dan suci tetapi untuk mengingatkan kita semua bila kali terakhir kita memegang kitab suci ini. Saya juga mengingatkan juga pada diri saya. Amin.

DARIPADA Abu Musa, katanya, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Selalu-selalulah membaca al-Quran kerana demi Allah ia lebih cepat lepas daripada unta ditambatannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Membaca al-Quran adalah ibadah paling utama selepas amal fardu yang diwajibkan Allah SWT.

Sesiapa meninggalkannya kerana keangkuhannya, nescaya Allah akan membinasakannya.

Sesiapa yang mencari petunjuk pada selain-Nya, Allah akan menyesatkannya.

Kita diingatkan jangan melupakan al-Quran yang dibaca (diingat atau dihafal) kerana Nabi SAW pernah bersabda: “Seburuk-buruk orang di antara kamu ialah yang mengatakan,”Aku lupa ayat ini dan itu,” tetapi sebenarnya dia melupakannya.

Hafal al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran itu lebih cepat perginya daripada dada lelaki daripada unta (yang terikat).” (Syaikhan dan at-Tirmizi). Rasulullah SAW bersabda: “Belajarlah kamu al-Quran, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahlinya, di kala itu orang sangat memerlukannya. Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, “Kenalkah kamu kepadaku?” Maka orang yang pernah membaca akan menjawab: “Siapakah kamu?” Maka berkata al-Quran: “Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku pada waktu siang hari. Kemudian berkata orang yang pernah membaca al-Quran itu: “Adakah kamu al-Quran?” Lalu al-Quran mengakui dan melihat orang yang pernah membacanya menghadap Allah.

Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangannya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya.

Pada ayah dan ibunya yang Islam pula diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga kedua-duanya bertanya: “Dari manakah kami memperoleh ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?” Lalu dijawab: “Kamu diberi ini semua kerana anak kamu mempelajari al-Quran.”

No comments: