WAHAI TUHAN KAMIKU,.Ya Allah jadikan lah kami hamba2mu yang bertaqwa Ampunkan dosa2 kami, kedua ibubapa kami, dosa semua umat2 islam yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia, AMIN YA RAB
Wednesday, May 6, 2009
Muhammad s.a.w................
Kerasulan baginda Nabi Muhammad s.a.w. yang dipilih khusus oleh Allah SWT sebagai Nabi dan Rasul terakhir, adalah untuk membawa agama yang benar daripada Allah serta memelihara nama baiknya daripada tercemar. Justeru baginda melakukan yang terbaik bagi memastikan kesinambungan nama baik Islam terus berada pada tahap dan keadaan yang sempurna.
Dalam Sirah baginda, jelas menunjukkan bahawa baginda sedaya upaya menjernihkan Islam daripada angkara keceluparan mulut, tindakan atau perbuatan yang boleh merudumkan nama baik Islam seperti tidak berakhlak mulia di hadapan bukan Islam, sedangkan ketika bersama sesama Islam baginda berbuat baik dengan mereka. Baginda tidak memakai pakaian yang boleh menjatuhkan imejnya bukan sahaja sebagai seorang Nabi, tetapi sebagai seorang Muslim yang mempratikkan Islam.
Contoh mengenainya terlalu banyak berdasarkan Sirah baginda mendaulatkan Islam selama 23 tahun yang tercatat dalam sejarah tamadun Islam. Ia dapat dilihat bagaimana baginda menunjukkan sikap positif terhadap semua bangsa manusia, tidak kira sama ada mereka golongan sahabatnya, bukan Islam atau musuh-musuh Islam yang terkenal pada masa itu dengan golongan 'munafiqin' atau 'Zindiq' yang berpura-pura menerima Islam di hadapan Rasulullah s.a.w.
Jabir bin Abdullah antara sahabat Nabi yang banyak meriwayatkan hadis pernah berkata: "Ketika baginda membahagikan harta rampasan perang (ghanimah) bani Hawazin di kalangan orang ramai di Jaaranah, maka seorang lelaki daripada bani Tamim bangun lalu berkata: 'Wahai Rasulullah! Bahagikan ghanimah itu dengan adil', maka baginda s.a.w. pun memarahinya sambil menegaskan; jika Muhammad tidak berlaku adil, maka siapa yang lebih adil daripada aku? Jika aku tidak berlaku adil sudah tentu ramai orang termasuk engkau juga tidak mendapat keadilan sewajarnya, mereka semua akan rugi."
Saiydina Umar bin al-Khattab pun bangun lalu berkata: "Wahai Rasulullah! Biarkan aku saja yang membunuh lelaki ini? Nabi bersabda: 'Aku berlindung daripada Allah supaya tidak akan ada umat yang akan berkata bahawa Muhammad membunuh sahabatnya', Rasulullah pun menambah: "Sesungguhnya lelaki berkenaan dan sahabatku juga adalah mereka yang membaca al-Quran, cuma mungkin tidak memahaminya dengan baik." - Hadis sohih riwayat Imam Ahmad dan Imam Bukhari
Dalam satu peristiwa lain, satu daripada para sahabat ada menyaksikan beberapa individu di Madinah melakukan perbuatan sumbang, iaitu memburuk-burukkan nama baik negara yang ditadbir oleh baginda Rasulullah s.a.w. yang dikenali dengan pentadbiran berasaskan 'Piagam yang adil' atau Piagam Madinah. Maka baginda memanggil para pembesar sahabat yang menjawat jawatan menteri dan penasihat negara, supaya bertindak ke atas mereka dengan pelaksanaan undang-undang (ta'zir) yang setimpal dengan perbuatan mereka, akan tetapi baginda berpesan supaya mengelak daripada cemuhan manusia yang mungkin akan berkata bahawa Muhammad membunuh para sahabatnya.
Begitu juga dalam mengukuhkan hubungan dengan para pembesar negara-negara dunia ketika itu, terdapat daripada mereka yang bukan Islam, baginda amat menitik-beratkan pendekatan 'Robbaniyyah/ketuhanan' ketika berurusan dengan mereka. Perkara ini ditegaskan Allah menerusi ayat 58 surah al-Anfal yang bermaksud: "Dan jika engkau mengetahui adanya perbuatan khianat dari sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang khianat."
Demikian juga dengan para sahabat baginda Rasulullah s.a.w., di mana setiap individu daripada mereka amat mementingkan penjagaan nama baik agama Islam, sehingga tidak terdapat seorang pun daripada mereka melakukan tindakan, perbuatan atau keceluparan mulut mereka yang boleh merosakkan nama baik, sama ada dari sudut penmapilan diri, hubungan sesama manusia, mentadbir negara, dalam peperangan, semuanya dilakukan berdasarkan ajaran baginda Rasulullah s.a.w. agar Islam sentiasa dipandang mulia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment