Imam Syafie adalah cendekiawan yang terkenal disebabkan ilmunya yang mendalam dan luas berkenaan pelbagai lapangan kehidupan. Pada hari ini pengaruh pemikiran Syafie sangat besar di kalangan orang-orang Islam.
Pada suatu hari, Syafie dijemput ke rumah gurunya yang bernama Malik bin Anas. Sampai sahaja di rumah, seorang pembantu kepada gurunya mempersilakannya masuk. Beliau dibawa ke sebuah bilik tamu dan ditunjukkan arah sembahyang serta tempat mengambil air sembahyang.
Syafie berasa beruntung menjadi tetamu kepada Malik bin Anas. Beliau merasa tenteram sekali berada di rumah gurunya. Beliau melihat rumah gurunya ini sederhana dan tiada perhiasan yang mahal walaupun beliau orang yang masyhur.
Tidak lama kemudian, dengan diiringi oleh pembantunya, Malik datang menyambut Syafie
dengan gembira. Pembantu gurunya membawa sebuah dulang yang berisi juadah makanan.
Malik mengambil dulang itu lalu meletakkan di sisi muridnya. Beliau menyuruh pembantunya mengambil sebekas air basuh tangan. Pembantunya memberikan bekas air itu kepada Syafie tetap ditahan oleh Malik.
"Tuan rumahlah yang terlebih dahulu membasuh tangannya kemudian baru tetamunya. Selepas makan, tetamu pula yang membasuh tangannya dahulu" kata Malik
Syafie hairan dengan cara begitu: "Tuan, mengapa mesti begitu caranya?" tanya Syafie lembut.
"Bukankah tuan rumah yang menjemput tetamunya? Sebab itulah dia patut mencuci tangannya dahulu. Tetapi selepas makan, tetamu dahulu membasuh tangannya, kemudian baru tuan rumah.Sebabnya kalau ada lagi tetamu yang datang dapatlah tuan rumah makan bersama" jelas Malik panjang lebar.
Syafie mengangguk tanda mengerti. Malik pun membuka tudung dulang. Terhidang dua mangkuk berisi susu kambing dan buah kurma. Malik mula mengambilnya sambil memuji nama Tuhan.
"Silakan! Jangan malu. Ini rezeki Allah, silakan!" ujar gurunya dengan ikhlas. Mereka pun makan bersama-sama dengan gembira.
Setiap perkara ada adabnya. Adab adalah sebahagian daripada kehidupan. Kemuliaan orang itu dinilai daripada adabnya. Seorang cendekiawan, Ali bin Abu Talib pernah berkata: "Bukanlah kecantikan itu dengan pakaian cantik menghiasi diri tetapi kecantikan itu adalah kecantikan akal dan adab"
Pesan Nabi Muhammad pula: "Pemberian terbaik seseorang ayah kepada anaknya adalah pemberian adab yang baik"
No comments:
Post a Comment