HINDUN binti Abi Umaiyah merupakan isteri kepada Abu Salamah. Dia termasuk dalam golongan pertama memeluk Islam.
Hindun bersama Abu Salamah berhijrah ke Ethiopia bersama sekumpulan penganut agama Islam apabila berlaku penentangan terhadap nabi Muhammad di Mekah. Hindun melahirkan seorang anak bernama Salamah di Ethiopia lalu mendapat gelaran "Ummu Salamah" yang membawa maksud ibu Salamah.
Abu Salamah seorang yang aktif berperang dan mengalami luka parah pada tulang sewaktu Perang Uhud, akibatnya Abu Salamah pengsan lalu meninggal dunia di pangkuan Nabi Muhammad.
Selepas lama Ummu Salamah menjanda, beberapa orang datang melamarnya. Namun, semua lamaran itu ditolak dengan jawapan yang lembut dan manis.
Akhirnya Nabi Muhammad menghantar utusan untuk melamar Ummu Salamah untuk menjadi isteri beliau.
"Saya menolak lamaran Rasulullah kerana saya sudah tua, bersifat cemburu dan banyak tanggungan keluarga," begitulah jawapan Ummu Salamah kepada utusan Nabi Muhammad.
"Ya Ummu Salamah, jika kamu sudah tua, maka saya lebih tua dari kamu. Jika kamu bersifat cemburu, maka Allah akan menghilangkan cemburu dalam diri kamu. Jika kamu banyak tanggungan keluarga, maka Allah dan rasulnya akan menanggungnya," balas nabi Muhammad selepas mendengar kata-kata Ummu Salamah itu.
Ummu Salamah menunjukkan kebijaksanaan dan kepintaran ketika kaum Quraish menghalang umat Islam memasuki kota Mekah untuk menunaikan haji.
Kota Mekah ketika itu masih di bawah jagaan kaum Ouraish yang masih belum beragama Islam. Pasukan tentera Quraish menunggu ketibaan nabi Muhammad dan rombongannya di luar kota Mekah dengan azam menyekat mereka dari masuk ke kota Mekah.
Nabi Muhammad tidak mahu bertembung dengan pasukan tentera Quraish kerana rombongannya datang dengan aman untuk menunaikan haji dan bukannya untuk berperang.
"Siapa antara kamu yang boleh menunjukkan jalan lain yang menuju ke belakang tentera Quraish?" tanya nabi Muhammad yang ingin melencong ke jalan lain untuk memasuki kota Mekah tanpa bertemu dengan pasukan tentera Quraisy.
"Saya!" balas salah seorang ahli rombongan itu lalu berlari ke hadapan untuk menunjuk jalan kepada nabi Muhammad.
Walaupun jalan yang diikuti Nabi Muhammad dan rombongannya sempit dan menyulitkan pergerakan mereka, namun azam dan tekad yang tinggi untuk menunaikan haji membara di setiap hati ahli rombongan membuatkan mereka berjaya mengharungi sehingga tiba di sebuah kawasan bernama Hudaibiyah, beberapa meter dari kota Mekah.
Satu peristiwa aneh berlaku apabila unta yang dinaiki oleh nabi Muhammad tidak mahu bergerak seolah-olah ada sesuatu kuasa yang menghalangnya maju ke hadapannya. Unta itu terus duduk walaupun nabi Muhammad cuba mengarahkannya bangun dan berjalan semula.
"Adakah unta ini mengalami sesuatu yang tidak baik sehingga tidak mahu bergerak ke hadapan?" tanya salah seorang ahli rombongan nabi Muhammad.
"Tidak. Allah yang menghalang tentera bergajah Abrahah masuk ke Kota Mekah menghalang unta tunggangan saya maju ke hadapan," balas nabi Muhammad lalu turun dari belakang untanya.
Nabi Muhammad memerintahkan rombongannya berhenti berkhemah di kawasan itu. Pasukan tentera Quraish yang mengetahui perkara itu terus menuju ke kawasan perkhemahan nabi Muhammad dan mendirikan perkhemahan bertentangan dengan khemah umat Islam.
Nabi Muhammad menghantar Usman bin Affan sebagai utusan untuk berbincang dengan pasukan tentera Quraish tentang niat nabi Muhammad dan rombongannya untuk menunaikan haji.
"Sebenarnya kami datang untuk menunaikan haji dan mengapa kamu semua menghalang kami untuk menunaikan haji? Lagipun selama ini orang Arab tidak pernah menghalang sesiapa pun menunaikan haji..." jelas Usman kepada Abu Suffian, ketua pasukan tentera Quraisy.
"Kami bukan nak menghalang tetapi kamu semua tidak akan dibenarkan menunaikan haji tahun ini. Kamu boleh menunaikan haji lain kali tetapi kena patuhi syarat-syarat yang kami tetapkan," balas Abu Suffian sejurus mendengar penjelasan Usman itu.
Nabi Muhammad dan rombongan mengadakan pertemuan dengan pasukan tentera Quraish untuk berdamai.
Selepas mengadakan perbincangan, mereka bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh kedua-dua pihak.
Apabila Perjanjian Hudaibiyah sudah termeterai, pasukan tentera Quraish menanti Nabi Muhammad dan rombongannya pulang semula ke Madinah.
"Dengar sini semua ahli rombongan, sila sembelih unta dan cukur rambut kamu. Kemudian kita pulang semula ke Madinah!" kata nabi Muhammad kepada ahli rombongannya.
Namun tiada seorang pun ahli rombongan yang menyahut arahan nabi Muhammad itu. Nabi Muhammad terkejut melihat reaksi ahli rombongannya dan tidak mengulang kata-katanya kali kedua kerana takut turun kemurkaan Allah kepada mereka yang enggan mengikut arahannya itu.
Rombongan Nabi Muhammad berasa keliru dengan apa yang telah berlaku dan teragak-agak untuk melakukan perintah baginda itu.
Mereka terfikir bagaimana untuk pulang ke Madinah sedangkan mereka masih belum menunaikan haji.
Inikan pula nabi Muhammad memerintahkan mereka untuk menyembelih korban dan bercukur rambut. Nabi Muhammad berasa sedih lalu masuk ke dalam khemahnya kerana ini merupakan kali pertama umat Islam tidak menjalankan perintahnya.
"Mengapa kamu bersedih, wahai Rasulullah?" tanya Ummu Salamah yang berada dalam khemah.
"Saya memerintahkan semua ahli rombongan menjalankan penyembelihan korban dan bercukur kepala sebagai tanda keluar dari Ihram. Namun tidak ada sesiapa pun yang bangkit untuk menjalankan perintah saya," jelas Nabi Muhammad kepada Ummu Salamah.
"Keluar sekarang dan jangan kata apa-apa pada mereka di luar itu. Sembelih unta sebagai korban dan panggil tukang gunting untuk mencukur rambut," Ummu Salamah memberi cadangan kepada Nabi Muhammad bagi menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Nabi Muhammad melakukan sebagaimana cadangan Ummu Salamah.
Semua ahli rombongan yang melihat apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad segera bangkit dari tempat duduk, lalu menyembelih korban masing-masing.
Selepas itu, ada yang mencukur rambut mereka dan ada yang menggunting rambut mereka. Kepintaran dan kebijaksanaan Ummu Salamah itu menunjukkan bahawa praktis dalam melakukan sesuatu adalah lebih efektif berbanding dengan hanya berkata-kata sahaja.
No comments:
Post a Comment