Friday, May 8, 2009

Soal Jawab Agama: Tarikan kepada Agama Islam......

Soalan
Bagaimanakah cara untuk tarik minatnya terhadap Islam dan bagaimana cara untuk dia memeluk Islam? Bagaimanakah cara untuk saya memberi keterangan mengenai Islam terhadap gadis tersebut dan keluarganya. supaya mereka juga memeluk Islam, insya-Allah?

Jawapan:

Dakwah ditujukan kepada seluruh manusia dalam keadaan umurnya yang berbeza-beza, serta tingkatan kedudukannya di kalangan masyarakat di samping kecerdasan dan alam lingkungannya, dan kemahuan serta jalan fikirannya.

Kesemuanya berlainan!

Hal ini menyebabkan para daie (pendakwah) harus menjadi orang-orang yang bijaksana. Mahir dalam menyampaikan pendapat dan pengertiannya kepada sasarannya iaitu manusia yang beraneka ragam itu. Para daie harus mengerti, dari mana pintu masuk ke tiap-tiap rumah, dan bagaimana caranya memasuki rumah itu!

Antara strategi yang perlu ada adalah berkenalan dengan seseorang sebelum menyampaikan dakwah kepadanya.

Adalah suatu kewajipan bagi seorang daie, supaya ia berkenalan lebih dahulu dengan seseorang yang akan menerima dakwahnya.

Ia harus memahami terlebih dahulu, bagaimana latar belakang kehidupan orang itu, bagaimana jalan fikirannya, dan bagaimana pengertian dan gambarannya terhadap alam raya ini.

Para pendakwah harus menyelidiki hal itu dengan mengadakan wawancara dan sebagainya, sehingga ia menemui apa kekurangan dan kesulitan yang sedang dialami orang yang diserunya itu.

Haruslah diambil perhatian bahawa pintu dakwah itu hanya satu saja, iaitu menyakinkan orang yang diseru tentang ajaran Islam. Bahawa dakwah harus dimulai dengan akidah, menetapkan adanya Allah SWT dan diakhiri dengan menetapkan agama Islam sebagai peraturan hidup dan bahawa memulai kehidupan menurut syariat Islam.

Untuk melaksanakan misi dakwah kepada orang bukan Islam, kebijaksanaan daie amatlah diperlukan bagi mencari pintu yang memungkinkan ia dapat memasuki jiwa mad'unya (orang yang didakwah), sehingga ia berhasil meyakinkan mad'unya tentang kebenaran ajaran Islam yang dikemukakannya itu dan dapat menarik mad'unya memeluk Islam.

Dalam masalah ini, seharusnya kita bersandarkan hukum-hukum syarak yang kita jadikannya sebagai panduan dalam tindakan kita.

Tuntunan Islam untuk melaksanakan usaha murni ini dapat dilihat dengan jelas di dalam al-Quran dan sunnah Nabi SAW dalam mengetengahkan dakwah di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam.

Sebagai contoh, al-Quran berulangkali menarik perhatian orang-orang musyrik untuk mendengarkan ayat-ayat al-Quran itu. Beberapa surah dimulai dengan huruf-huruf Hija'iyyah (alif, lam dan mim) dan sebagainya.

Huruf-huruf yang terputus-putus ini mempunyai pengaruh yang besar dalam menggugah perhatian kaum Musyrikin, mendorong mereka untuk diam, tenang dan mendengarkan lanjutannya baik-baik. Walaupun sebenarnya kaum Musyrikin itu sering menutup telinganya dengan hujung jarinya, jika mereka mendengar ayat-ayat suci itu dibacakan!

Metod yang diterapkan oleh Rasulullah SAW berdakwah, tidak lain ialah penafsiran secara amali tentang pengarahan Allah dalam firman-Nya:

l Ajaklah umat manusia ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan dengan nasihat yang baik...

(al-Nahl: 125)

l Barang siapa yang diberi nikmat kebijaksanaan, maka sesungguhnya ia telah diberi kebaikan yang banyak. (al-Baqarah: 269)

Kebijaksanaan Rasulullah SAW ialah berusaha menggerakkan jiwa orang yang diserunya secara tidak langsung.

Misalnya pernah ada seorang pemuda minta izin kepada beliau supaya dibolehkan berzina. Maka Nabi SAW bersoal-jawab dengan pemuda itu apakah ia suka, jika orang berzina dengan ibunya, dengan saudaranya yang perempuan, dengan anak perempuannya, sehingga akhirnya orang itu insaf.

Demikian juga, kebijaksanaan baginda dapat dilihat dalam cara baginda menarik perhatian orang kepada Islam. Seterusnya membimbing orang itu ke jalan yang benar, pada waktu seorang lelaki datang lalu mengatakan ia mahu masuk Islam, tetapi merasa berat untuk mengamalkan ajaran-ajarannya yang banyak.

Maka Rasulullah bersabda: Mahukah engkau berjanji dengan saya untuk meninggalkan berdusta?

Orang itu mengira, tentu senang sekali, ia diperintahkan meninggalkan satu dosa saja, iaitu berdusta. Orang itu bersedia lantas memeluk Islam.

Tetapi kemudian setiap kali dia teringat mengerjakan sesuatu perbuatan yang tidak baik, dia selalu teringat akan janjinya. Dia merasa, bahawa esok atau lusa, seandainya bertemu dengan Rasulullah SAW maka dia mesti mengakui perbuatannya di hadapan Rasulullah dan tidak boleh berdusta. Dia merasa segan dan malu, tidak jadi mengerjakan pekerjaan yang tidak baik itu!

Akhirnya dia betul-betul menjadi orang yang baik.

No comments: