Friday, October 23, 2009

Arak....kisah yang perlu di baca


Seorang lagi rakan M pula turut mengalami pengalaman pedih sindrom orang Islam yang lupa daratan baru-baru ini. Iaitu di sebuah hotel lima bintang di sebuah pulau yang terkenal sebagai syurga pelancongan di utara Semenanjung.

M ketika itu menerima jemputan tugasan sebuah syarikat elektronik terkenal yang hendak melancarkan sebuah produk terbaru mereka.

Yang turut bersama dengan M ramainya kalangan bukan Islam dan beberapa jemputan lain yang berbangsa Melayu.

Sehinggalah ketika berada di lobi hotel untuk berehat selepas penat menghabiskan masa untuk membeli belah di Pekan K, tiba-tiba muncul Azman (bukan nama sebenar) yang juga salah seorang jemputan untuk ke majlis itu.

Sambil mengesat peluh di dahi kerana kepenatan, Azman berkata dengan nada suara bangga, "Tak sangka, murah gila!," katanya berulang kali.

M yang tidak tahu menahu apa-apa, lantas bertanya apa yang dimaksudkan oleh Azman itu.

Wajah Azman yang asalnya tadi begitu ceria terus berubah dan tidak semena-mena beliau terus meminta maaf dari M sebelum memberitahu perkara sebenar.

"Kau jangan marah tau, saya minta maaf. Saya baru sahaja membeli arak ini, tak sangka pula harganya murah di sini," katanya sambil menunjukkan beberapa tin bir daripada sebuah beg plastik.

"Arak?," jerit M dengan terkejut.

"Arak Jepun, tak sangka di sini harganya murah sangat, saya apa lagi tak lepaslah dari membelinya," kata Azman lagi.

M terkedu dengan kata-kata Azman itu yang terus berlalu sambil meneguk arak tersebut.

Di majlis lain, Maria juga dapat melihat seorang wanita Melayu yang di hadapan mejanya terdapat beberapa gelas minuman keras.

Maria tidak mahu menyangka buruk kerana tidak melihat wanita itu seperti gaya kaki minum.

Tetapi M kemudiannya difahamkan wanita Melayu itu juga gemar menghabiskan masa dengan meneguk arak.

Apakah hikmah di sebalik isu Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, yang minta hukuman rotan atas kesalahan beliau meminum arak tetap dilaksanakan terhadapnya?

Kes beliau ini sebenarnya telah membuka mata banyak pihak dan mengakui pada hari ini bukan sahaja Kartika tetapi telah terdapat ramai di kalangan umat Islam di negara ini menderhaka terhadap hukum dengan meminum arak dengan sengaja!

Sedangkan hukum haram minum arak telah mereka ketahui dengan jelas dan mereka tahu bahawa ayat berikut tidak pernah berubah sehingga kiamat.

Firman Allah SWT yang maksud-Nya: Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar (arak), berjudi, (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. (al-Maidah: 90)

Mantan Imam Besar Masjid Negara, Datuk Kamaruddin Zakaria berkata, ayat tersebut tidak akan mengalami sebarang penafsiran baru untuk apa tujuan sekalipun.

Sehingga kiamat arak tetap dihukumkan haram dan sesiapa yang meminumnya dengan sengaja dikategorikan melakukan dosa-dosa besar.

"Lebih malang lagi, 40 hari amalannya selepas meminum arak itu tidak akan diterima oleh Allah hatta sekalipun dia melakukan pelbagai ibadat yang khusus, melakukan amal kebajikan terhadap orang lain, menasihatkan orang lain dan sebagainya semua itu sudah tidak ada maknanya lagi," katanya.

Beliau cukup kecewa pada hari ini apabila semakin ramai umat Islam yang minum arak tanpa segan silu lagi terhadap Allah dan pandangan mata umat Islam yang lain.

"Malah menunjuk-nunjuk dan menganggap mereka yang tidak minum arak sebagai kolot dan ketinggalan zaman sedangkan arak sangat membabitkan satu perundangan dan hukum yang sangat jelas.

"Arak adalah ibu kepada segala kejahatan, manusia menjadi tidak waras, tidak tenang hati, kosong jiwanya malah lebih teruk lagi penyaksiannya tidak boleh dipakai sekalipun pada masa itu si polan tersebut tidak meminum arak," tegasnya.

Menurut Kamaruddin, jika seawal usia 17 tahun, remaja Islam sudah pandai meminum arak, semua ini tidak bezanya andai si awal usia itu mereka menagih rokok, dadah, judi dan sebagainya, maka gelaplah masa depan mereka.

Namun sesetengah peminum arak ini tadi merujukkan perbuatan kalangan berbangsa Arab beragama Islam yang dikatakan kuat meminum arak, ini menjadikan alasan kepada umat Islam hari ini untuk menjadi kaki botol.

"Dalam soal ini perbuatan yang buruk tentunya tidak boleh dijadikan contoh. Orang Arab ini tahu mengenai soal pengharaman arak tetapi mereka pandai berdalih.

"Sedangkan Saidina Omar al Khattab ketika mula-mula memeluk Islam, terus membuang isi kandungan dan botol-botol arak yang selama ini turut menjadi kegemaran beliau. Dihempas botol-botol itu sehingga berkecai," katanya.

Menurut Zakaria, sudah tiba masanya negara tidak sahaja kini memerlukan pusat pemulihan dadah tetapi pemulihan terhadap minum dan ketagihan arak.

"Pusat seperti ini sangat perlu dan ia juga bukan sahaja untuk umat Islam tetapi semua kaum dan agama yang mahukan kegemaran dan ketagihan arak ini perlu dihentikan.

"Kita sayangkan semua orang, kita sayangkan masyarakat majmuk kita agar semuanya sihat dan waras agar negara yang kita diami bersama bertambah makmur maka pusat seperti ini perlu ditubuhkan segera," katanya.

Tambah beliau penubuhan ini tidak bertujuan menafikan hukuman rotan dan denda terhadap peminum arak di kalangan umat Islam.

"Aspek penguatkuasaan itu memang penting tetapi sebelum hukuman itu dijalankan si pesalah perlu dipulihkan dahulu.

"Andai jika mereka masih degil dan masih mahu meminum arak, maka hukuman yang berat perlu dijalankan terhadapnya," jelasnya.

Kamaruddin meminta umat Islam yang terjebak supaya segera berhenti sebelum arak teruk merosakkan diri mereka.

"Hijab hidayah dari Allah akan tersingkap, nur atau cahaya Islam tidak akan masuk dan mereka tidak akan mencapai kemenangan walaupun mempunyai perjuangan yang suci dan murni dalam hidup," katanya.

Justeru beliau berharap agar perbuatan minum arak ini mesti dicegah oleh semua pihak.

"Untuk pencegahan yang berkesan memerlukan usaha yang bijak dan penuh berhikmah. Di samping perlu tabah dan berterusan," katanya.

Beliau menegaskan umat Islam yang minum arak adalah satu tragedi ummah yang membawa petanda kelemahan dan boleh dijajah oleh kejahatan dan akhirnya Islam mampu tinggal hanya pada nama!

Dalam salah satu kisah diceritakan, bahawa Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah mendera orang-orang yang minum arak dan yang ikut menyaksikan perjumpaan yang terhidang arak di dalamnya.

Sekalipun orang yang menyaksikan itu tidak turut minum bersama mereka.

Dan diriwayatkan pula, bahawa pernah ada suatu kaum yang mengadu kepadanya mengenai ada kalangan ahli kaumnya yang minum arak.

Umar kemudiannya memerintahkan agar semuanya didera.

Lantas ada orang yang berkata: "Bahawa di antara mereka itu ada yang berpuasa wahai Umar".

Maka jawab Umar: "Dera dulu dia (yang berpuasa ini)!"

Apakah kamu tidak mendengarkan firman Allah yang mengatakan: Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepadamu dalam al-Quran, bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah ditentangnya dan diejeknya. Oleh kerana itu jangan kamu duduk bersama mereka, sehingga mereka itu tenggelam dalam omongan lain, sebab sesungguhnya kamu kalau demikian keadaannya adalah sama dengan mereka. (an-Nisa': 140)," kata Umar dengan tegas.

No comments: