Kisah 1
SEORANG rakan wartawan, N menceritakan pengalaman benarnya ketika bertugas di luar negara apabila di hadapan mata kepalanya sendiri, dua pemuda Melayu sepuas-puas hati meneguk arak seperti kehausan yang amat sangat di padang pasir!
Menerima arahan bertugas keluar negara biasanya memang mengujakan kerana pelbagai pengalaman baru bakal dirasai dan tempuhi. Walaupun saya selalu juga menghabiskan masa bercuti di luar negara namun bertugas atas nama wartawan akan ada cabaran yang tersendiri.
Pada Ogos lalu, saya dihantar ke Bangkok, Thailand untuk satu liputan pelancaran kamera terbaru oleh sebuah syarikat pengeluar produk pengimejan yang terkenal.
Lazimnya untuk tugasan seperti ini, saya akan bersama dengan rakan-rakan setugas yang bukan berbangsa Melayu atau Islam dan saya juga akan membawa bekalan makanan sendiri kerana sukar untuk mendapatkan makanan yang halal.
Tetapi dalam tugasan kali ini saya rupa-rupanya turut ditemani dengan dua lagi rakan media iaitu dua pemuda Melayu.
Ini menyebabkan saya rasa sungguh lega kerana pihak penganjur pastinya akan cuba menyediakan makanan yang halal berikutan ramainya petugas yang beragama Islam. Atau sekurang-kurangnya berasaskan vegetarian.
Tetapi apa yang berlaku lebih memeranjatkan. Iaitu sejurus tiba di Bangkok, tanpa membuang masa saya terus berkenalan dengan dua pemuda Shamsul dan Shah (bukan nama sebenar) dan terus berborak banyak perkara kerana kami tidak pernah bertemu sebelum ini sehinggalah di Bangkok ini pertama kali bertemu.
Semasa acara perasmian yang diadakan di sebuah hotel bertaraf lima bintang di tengah-tengah kota Bangkok itu, kami kemudiannya diajak untuk menikmati hidangan dalam satu jamuan.
Menyedari mengenai status halal haram pelbagai juadah yang dihidangkan saya hanya mampu meneguk segelas minuman ringan berjenama yang dihulurkan kepada saya. Satu-satunya minuman yang halal walaupun saya kurang menggemari minuman berais dan bergas ini.
Minuman yang sama dihulurkan kepada Shamsul dan Shah, "Anda boleh minum ini," katanya.
Tetapi tanpa saya sangka, Shamsul dan Shah dengan tanpa rasa bersalah atau lebih tepat muka yang selamba mereka terus mencapai gelas kaca berkaki tinggi yang telah diisi arak ke dalamnya.
Tanpa segan silu mereka terus meneguk arak yang dituang separuh gelas itu sehingga habis.
Sambil mengesat mulut dengan tangan mereka kemudiannya seperti berpuas hati. Seolah-olah mereka telah menunggu lama untuk menikmati arak itu. Akhirnya apabila peluang tersebut tiba, tanpa perlu menunggu lama dari satu gelas ke satu gelas yang lain mereka berpesta arak pada malam itu.
Dalam keadaan terkejut itu saya merenung tajam perbuatan mereka sambil mengerling mata, namun Shamsul dan Shah tidak boleh ditahan-tahan lagi untuk mereka terus menikmati 'air kencing syaitan' itu.
Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu, kecewa dan sedih melihatkan perlakuan aib dan mungkar yang dilakukan oleh anak Melayu yang beragama Islam itu.
Dalam usia lewat 20-an tidak mungkin mereka jahil soal haram halal minuman yang diharamkan oleh Islam itu.
Lainlah kalau mereka mungkin pernah belajar di luar negara sebelum ini menyebabkan ada tabiat buruk yang mereka hendak dikekalkan.
Tabiat buruk mereka semakin menjadi-jadi apabila makanan yang pastinya tidak halal turut dijamah mereka dengan begitu berselera, sambil diselang seli dengan arak yang dikatakan antara terbaik pernah mereka minum.
Semua ini menjadikan tekak saya semakin mual melihat tabiat buruk pemuda-pemuda Islam ini. Di masa-masa lain, Shamsul dan Shah juga tidak melepaskan peluang untuk memesan bir. Bir-bir gelas besar dengan buih-buih yang memenuhi permukaan gelas itu dinikmati oleh mereka dengan tanpa sedikit pun rasa bersalah!
Saya tidak nafikan mereka mempunyai kemahiran meminum arak! Apa jenis arak dan bir sekalipun mampu mereka minum dalam jumlah yang besar dan tidak mabuk! Ini bermakna mereka telah lama terjebak dalam aktiviti terkutuk ini.
Tinggal lagi kini segala-galanya terhidang dengan percuma, pelbagai jenis iaitu sama ada wain putih atau merah dan berjenama antarabangsa, ini menjadikan misi sebenar Shamsul dan Shah ke Bangkok ini benar-benar untuk menikmati arak.
Di hari akhir tugasan di satu majlis penutup yang diadakan di sebuah restoran kapal terapung, Shamsul dan Shah seperti tidak sanggup berpisah dengan minuman dan makanan yang haram.
Lalu merekalah yang paling kenyang dan sendawa dengan bau busuk arak pada malam itu!
Baru-baru ini kami bertemu semula dalam satu majlis berbuka puasa di sebuah hotel di tengah-tengah Kuala Lumpur, Shamsul seolah-olah cuba menyindir saya: "Akak, halalkah ke kita makan di sini?," katanya. Mereka benar-benar kurang ajar!
No comments:
Post a Comment