WAHAI TUHAN KAMIKU,.Ya Allah jadikan lah kami hamba2mu yang bertaqwa Ampunkan dosa2 kami, kedua ibubapa kami, dosa semua umat2 islam yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia, AMIN YA RAB
Monday, August 9, 2010
KEUTAMAAN SELAWAT
A. Kepentingan Selawat
Sebagaimana yang diterangkan mengikut dalil –dalil hadis , bahawa selawat kepada Nabi s.a.w adalah merupakan satu ibadah yang mulia dan amalan yang terpuji. Oleh itu kaum Muslimin sangat dianjurkan agar sentiasa membawa selawat kepada Nabi s.a.w dengan penuh keimanan dan keikhlasan , kerana ianya mempunyai keutamaan dan fadhilat yang amat besar .
Nabi s.a.w adalah seorang Nabi dan Rasul Allah yang mempunyai keutamaan , kedudukan dan darjat yang tinggi di sisi Allah dengan memiliki sifat-sifat kemulian dan keagungan yang sempurna berbanding dengan para Nabi dan Rasul Allah yang lain .
Firman Allah yang bermaksud : “ Sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang agung (mulia).” ( Surah Al-Qalam : ayat 4 )
Firman Allah yang bermaksud : “ Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat kepada Nabi . Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya . “ ( Al-Ahzab : ayat 56 )
Allah s.w.t yang Maha Pengasih lagi maha Penyayang telah memperlihatkan betapa kasih dan sayang-Nya kepada Nabi s.a.w dengan berselawat kepadanya sebagai pujian-Nya dan memuliakan serta mengutamakan Nabi s.a.w di hadapan para malaikat-Nya .
Para malaikat juga turut melahirkan keutamaan ke atas Nabi s.a.w dengan mendoakan , mengucap selawat dan memohon keampunan baginya . kaum Muslimin sebagai umat Nabi s.a.w berkewajipan melahirkan rasa kasih , pujian , sanjungan dan penghormatan yang tinggi kepada beliau , kerana kedudukan dan kemuliannya melebihi para Nabi dan Rasul a.s dengan memperbanyakkan ucapan selawat dan salam sebagai memperkuatkan iman serta berpegang teguh kepada sunnah dan mengamalkan segala ajarannya sebagai pedoman hidup .
Sabda Nabi s.a.w : “ Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku lebih dicintai olehnya daripada ia mencintai anaknya , orang tuanya dan manusia semuanya .”
( Hadis Riwayat Ahmad , Bukhari , Muslim , Tirmidzi , Nasai dan Ibnu Majah )
Dengan membaca selawat kepada Nabi s.a.w , setiap doa dan amalan-amalan yang lain akan diterima oleh Allah . Jesteru itu selawat memainkan peranan penting dalam segala amalan hidup kerana ianya dapat mempengaruhi keberkatan dalam hidup manusia yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya .
Sabda Nabi s.a.w : “ Setiap doa adalah terhalang , sehingga berselawat atas Nabi s.a.w” ( Hadis Riwayat Ad-Dailami )
Berselawat kepada Nabi s.a.w bererti memperbesarkan dan mengagungkan serta mendukung perjuangannya yang mulia di samping melahirkan rasa syukur atas perutusannya yang menjadi rahmat seluruh ala mini , malah menambahkan keyakinan beramal dengan sunnahnya yang diredhai Allah s.w.t .
Dengan melazimi berselawat kepada Nabi s.a.w , insya Allah kaum muslimin tergolong sebagai orang² yang akan mendapat keistimewaan dan mempunyai kedudukan yang terdekat dengan Nabi s.a.w bersama-sama para sahabatnya pada hari kiamat kelak .
Sabda Nabi s.a.w “ Sesungguhnya seutama-utama manusia (orang terdekat) dengan aku pada hari kiamat adalah mereka yang lebih banyak berselawat kepadaku.”
( Hadis riwayat An-Nasai & Ibnu Hibban )
B. Kelebihan Selawat
Selawat kepada Nabi s.a.w adalah merupakan ibadah yang mulia dan terpuji , mengandung berbagai-bagai kelebihan dan mendapat pertolongan dan perlindungan yang istimewa dari Nabi s.a.w serta memperolehi ganjaran yang besar dari Allah di hari akhirat kelak . Diantara kelebihan selawat adalah seperti berikut :
1. Mendapat Syafaat Nabi s.a.w
Sabda Nabi s.a.w “ Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali , ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat .” ( Hadis Riwayat Thabarani )
Sabda Nabi s.a.w “ Barangsiapa berziarah kekuburku maka baginya wajib menerima syafaatku .” ( Hadis Riwayat Ibnu Adi & Al Baihaqi )
2. Mendapat perlindungan dan pembelaan dari Nabi s.a.w
Sabda Nabi s.a.w “ Barangsiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya , barangsiapa berselawat kepadaku dari jauh maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya .’’
( Hadis Riwayat Al-Baihaqi dan Al- Khatib )
3. Mendapat keampunan dosa dari Allah .
Sabda Nabi s.a.w “ Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali , maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapus sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.” (Hadis Riwayat Ahmad,Nasai & Al-Hakim )
Sabda Nabi s.a.w “ Barangsiapa berselawat kepadaku pada hari Jumaat dua ratus selawat , maka diampuni baginya dosa dua ratus tahun .” ( Hadis Riwayat Ad-Dailami )
Sabda Nabi s.a.w dari Ubai bin Ka’ab : “ Aku bertanya, wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku memperbanyak selawat , maka berapakah aku jadikan untukmu dari selawatku? Nabi bersabda : Apa yang kamu kehendaki.Ia berkata : kataku :” Seperempat” . Sabda Nabi : “ Apa yang kamu sukai dan jika kamu tambah maka itu yang lebih baik bagi kamu” . Kataku: “ Apakah sepertiga”? Sabda Nabi : “ apa yang kamu sukai,jika kamu tambah itulah yang lebih baik bagi kamu.” Ia bertanya: “ Apakah aku jadikan selawatku buatmu semuanya.” Nabi bersabda: “ Jika demikian maka dicukupilah cita-citamu dan diampuni dosamu.” ( Hadis Riwayat Ahmad,Tirmidzi & al-Hakim )
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : “ Barangsiapa yang berselawat kepadaku dari umatku , maka dicatat baginya sepuluh kebaikan dan dihapuskan darinya sepuluh dosa .” ( Hadis Riwayat Ibnu Hibban )
Sabda Nabi s.a.w : “ Telah datang kepadaku utusan dari Tuhanku Azzawajalla maka dia (Jibril) berkata : Barangsiapa yang mengucapkan selawat kepadaku dari muatmu,Allah s.w.t mencatat baginya sepuluh kebaikan dan menghapuskan darinya sepuluh dosa dan mengangkat Allah baginya sepuluh darjat dan menolak Allah atasnya (membalas) yang seumpamanya.” ( Hadis Riwayat Ahmad )
Sabda Nabi s.a.w “ Berselawatlah kamu kepadaku , kerana selawat itu menjadi zakat ( penghening jiwa pembersih dosa ) bagimu .” ( Hadis Riwayat Ibnu Murdawaih )
4. Mendapat Rahmat dari Allah .
Sabda Nabi s.a.w “ Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali , maka Allah menurunkan rahmat kepadanya sepuluh kali.” ( Hadis Riwayat Muslim )
Sabda Nabi s.a.w “ Barangsiapa berselawat kepadaku di hari Jumaat seratus kali maka ia datang di hari Kiamat dengan cahaya , sekiranya dibahagi antara makhluk semuanya maka cahaya itu akan memenuhinya .” ( Hadis Riwayat Abu Nu’aim )
5. Mendapat hajat dunia dan akhirat
Sabda Nabi s.a.w “ Barangsiapa berselawat kepadaku dalam sehari seratus kali , maka Allah datangkan baginya seratus hajat , tujuh puluh untuk akhirat dan tiga puluh untuk di dunianya.” ( Hadis Riwayat Ibnu Majar dari Jabir r.a )
6. Digembirakan dengan syurga .
Sabda Nabi s.a.w “ Barangsiapa berselawat kepadaku dalam sehari seribu kali , maka ia tidak akan mati sehingga ia digembirakan dengan syurga .” ( Hadis Riwayat Abus Syaikh dari Anas r.a )
Sesungguhnya amat beruntunglah orang² yang sentiasa berselawat ke atas Nabi dengan menjadikannya sebagai wirid dan amalan harian dalam hidupnya . Sebaliknya amatlah rugi dan tercelanya orang² yang tidak mahu membaca selawat kepada Nabi dalam hidupnya .
Sabda Nabi s.a.w “ Hinalah hidung orang yang ketika disebutkan namaku tidak membaca selawat kepadaku .” ( Hadis Riwayat Tirmidzi )
Sabda Nabi s.a.w “ Orang yang bakhil ialah yang disebut namaku kepadanya lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku.” ( Hadis Riwayat Tirmidzi )
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment