Menjelang bulan Rejab dan Syaaban setiap tahun, maka umat Islam mula sibuk berpuasa. Sungguh pun dalil berpuasa tiga bulan berturutan dari Rejab, Syaaban dan Ramadan menjadi pertikaian; namun masih ramai yang menjadikannya amalan.
Dalam pada ramai yang mahu membiasakan diri dengan puasa sunat, tidak kurang juga yang mahu menggantikan puasa Ramadan pada dua bulan tersebut. Mereka bimbang, apabila memasuki ambang Ramadan yang baru sedangkan puasa belum berganti, maka mereka akan dikenakan fidyah.
Sungguhpun ramai yang sibuk memikirkan puasa ganti atau qada puasa; namun berapa keratkah manusia yang memikirkan qada zakat? Qada zakat hakikatnya adalah wajib.
Jika mengqada puasa dan solat itu dititikberatkan, maka demikianlah juga zakat. Andai kita sering menjaga masa agar tidak terbabas menggantikan puasa, maka sepatutnya perkara yang sama juga berlaku kepada zakat.
Memahami Qada Amalan Fardu
Qada bermaksud setiap amalan yang fardu seperti puasa, solat dan zakat yang ditinggalkan adalah wajib diqada. Ia ditinggalkan sama ada disebabkan kelupaan, kesengajaan atau disebabkan seseorang itu murtad yang kemudian dia kembali semula kepada Islam.
Fuqaha pula menyatakan, qada ialah sesuatu ibadah yang dilakukan selepas berlalu waktu tunainya. Oleh itu, ibadah itu dilakukan semula untuk mendapatkan sebagaimana yang sebelumnya. Kita boleh mengkiaskan hukum qada ini kepada sebuah hadis Nabi SAW, sebagaimana diriwayatkan daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi Muhammad SAW menyatakan: Jika tertidur seseorang daripada kamu sehingga tertinggal solatnya ataupun terlupa mengerjakannya, maka hendaklah dia mendirikan solat yang tertinggal itu apabila dia sudah teringat, sesungguhnya Allah SWT telah berfirman: "Dirikanlah solat untuk mengingati Aku". (riwayat Muslim)
Di Selangor sendiri, qada zakat telah diwartakan sebagai wajib oleh Majlis Fatwa Negeri.
Ramadan Bulan Mengqada Zakat. Mungkin ada yang baru tersedar bahawa selama mereka hidup di atas muka bumi ini, baru dua tahun yang lalu mereka menunaikan zakat pendapatan.
Mungkin juga yang teringat, baru tiga tahun lalu zakat simpanan mula dilunaskan. Ataupun baru teringat, wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang diperolehi lima tahun dahulu, masih belum dizakatkan. Kaum ibu yang menyimpan emas pula, langsung tidak pernah tergerak hatinya untuk menzakatkan emas mereka.
Maka, pada kesempatan waktu Ramadan yang berkat inilah kita wajar melunaskan semua qada zakat itu. Ini memandangkan, amalan yang dilaksanakan pada bulan Ramadan akan diberikan ganjaran pahala yang berganda.
Sebuah hadis yang panjang sebagaimana dinukilkan di dalam kitab Mutiara Hadis terbitan Jabatan Perdana Menteri telah memetik sebuah hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah seperti berikut:
Daripada Salman r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa mendampingkan diri kepada Allah dalam bulan Ramadan dengan sesuatu dari perkara-perkara kebajikan (sunat), maka samalah seperti ia mengerjakan satu perintah Allah yang diwajibkan pada bulan-bulan yang lain. Dan barang siapa yang menunaikan satu perkara yang diwajibkan Allah pada bulan itu (Ramadan) maka samalah seperti ia menunaikan 70 perkara yang diwajibkan Allah pada bulan-bulan yang lain". (Catatan: Hadis ini dianggap daif oleh ulama hadis, namun masih mampu dijadikan motivasi dalam beribadat).
Bayangkanlah, qada zakat itu wajib. Apabila kita menunaikannya pada bulan Ramadan, maka kita diberikan Allah SWT pahalanya dengan gandaan 70 puluh. Jika mengqada RM1,000 maka pahalanya ialah RM70,000. Di samping itu, bulan Ramadan juga adalah bulan keampunan. Di dalam hadis di atas juga, nabi ada menyatakan bahawa permulaan Ramadan itu rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada neraka.
Maka, sewajarnya mereka yang terlalai dalam ibadah zakat memohon ampun kepada Allah SWT pada bulan Ramadan. Mudah-mudahan, taubat itu diterima Allah SWT, sesuai dengan apa yang nabi sabdakan.
Akhirnya, antara perkara yang paling dihajati oleh manusia di dunia ini ialah keberkatan. Dengan keberkatan, hidup menjadi aman dan tenteram. Sentiasa berkecukupan dan tidak dilanda kesempitan.
Maka, Ramadan inilah masanya. Dengan melunaskan qada zakat, kita melaksanakan kewajipan yang akhirnya membantu fakir dan miskin. Inilah sedekah paling utama, sebagaimana pesan nabi: "Ia (Ramadan) juga bulan untuk masing-masing bersedekah dan memberikan bantuan dan ia juga bulan yang padanya ditambahkan rezeki (kepada) orang-orang yang beriman".
Hikmah Qada Zakat
Ramadan yang berbaki ini hendaklah direbut sebaik mungkin. Ia tidak cukup sekadar membayar zakat fitrah, tapi mesti ditambah dengan bersedekah dan juga mengqada kewajipan yang lalu.
Sesungguhnya, kita perlu menginsafi bahawa dengan menunaikan qada zakat, maka kita dapat mengasingkan harta kita yang masih bercampur-baur dengan harta yang hakikatnya menjadi milik asnaf yang lapan.
Akhirnya, sebelum terlewat kita tidak akan mewariskan harta yang bergelumang dengan keraguan seandainya kita dijemput kematian.
Apatah lagi, jika waris yang ditinggalkan juga gagal menzakatkan harta itu, maka jadilah ia satu kewajipan yang terhutang selama-lamanya. Bahkan waris keturunan kita akan memakan harta yang haram atau syubhat, iaitu apabila mereka gagal mengenal pasti harta yang belum dizakatkan dan akhirnya mereka membahagikannya pula sebagai pusaka.
No comments:
Post a Comment