Adakah zakat diwajibkan ke atas orang yang masih mempunyai hutang? Seseorang yang mempunyai sejumlah harta yang mencukupi nisab zakat dan cukup pula tempoh setahun, wajib membayar zakat menurut pendapat yang paling kuat di kalangan ulama. Hukum ini termasuk orang yang mempunyai hutang yang belum dilunaskan.
Ini berdasarkan dalil umum daripada al-Qur’an:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ واللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Ambillah daripada harta mereka sedekah (zakat) yang mensucikan mereka dan menyuburkan (harta) mereka dengannya. Dan berdoalah ke atas mereka. Sesungguhnya doa kamu itu satu ketenangan bagi mereka. Dan Allah maha mendengar lagi maha mengetahui” (al-Taubah: 103).
Bukhari juga meriwayatkan daripada Ibn `Abbas bahawa nabi saw mengutuskan Mu`az ke Yaman dan mengarahkannya dengan sabda baginda:
أعلمهم أن الله افترض عليهم صدقة في أموالهم
Maksudnya: “Bagitau mereka bahawasanya Allah mewajibkan ke atas mereka zakat pada harta mereka.”
Begitu juga Nabi saw mengarahkan para amil mengutip zakat daripada orang yang diwajibkan tanpa mengarahkan mereka bertanya adakah mereka mempunyai hutang atau tidak. Apa yang perlu difahami ialah zakat harta satu kewajipan, manakala membayar hutang satu kewajipan lain pula.
Zakat harta wajib pada harta yang masih berada di tangan. Justeru selagi belum digunakan untuk dilunaskan hutang maka ia tetap diwajibkan zakat apabila cukup masa dan nisab. Mudah-mudahan zakat yang dibayar itu menjadi sebab kepada barakah harta yang membolehkannya melunaskan hutang. Dan barangkali juga kegagalannya membayar hutang disebabkan keengganannya membayar zakat pada harta yang di tangan.
Justeru bayarlah zakat dan mohonlah kepada Allah agar diberi bantuan untuk melunaskan hutang. Namun sekiranya hutang dibayar daripada harta yang ada sebelum harta tersebut cukup tempoh setahun (cukup haul) maka kewajipan zakat hanya pada baki harta yang tinggal. Harta yang telah diberikan sebagai bayaran hutang tidak dikenakan zakat. Sekiranya hutang tersebut dituntut ketika itu juga oleh pemiliknya, maka bayarlah hutang tersebut dan bayarlah zakat daripad baki harta.
Wallah hu aklamu bissowaf.....
No comments:
Post a Comment