SOALAN: Bagaimana untuk mendidik nafsu amarah agar sentiasa tenang? Apakah nafsu ini boleh dikikis dan dibuang dalam diri seseorang itu?
JAWAPAN: Nafsu amarah manusia ialah apa yang dikenali sebagai kemahuannya (keinginan dirinya) yang berada pada jiwanya sendiri. Ia boleh diumpamakan seperti musuhnya yang sentiasa menunggu peluang untuk membinasakan dan menyerangnya. Justeru itulah mereka yang bijak, ialah yang berjaya mengawal dirinya (nafsunya) dengan panduan agama dan menyediakan bekalannya (amalan ketakwaan) seberapa banyak yang boleh. Manakala mereka yang bodoh sombong itu, akan mengikuti segala kemahuan dan keinginan nafsunya sambil berangan-angan kosong. Sebab itu dalam satu hadis Rasulullah SAW memperingatkan bahawa peperangan kita melawan kaum kuffar itu masei dikira kecil dan mudah jika dibandingkan dengan perjuangan seseorang menentang nafsunya sendiri yang sentiasa berada bersamanya.
Nafsu dijadikan bertujuan untuk mengawal manusia dari sebarang serangan, bukan untuk menyerang, apa lagi mereka yang tidak menyerang kita. Dengan nafsu juga manusia akan berlumba dan bersaing untuk mencapai sebarang kejayaan untuk dirinya. Apa yang menjadi isunya bila nafsu itu disalahgunakan bukan pada tempatnya. Sebab itu bila para sahabat bertanya Rasulullah, "Adakah seorang yang melepaskan keinginan nafsunya pun mendapat pahala?" Sabdanya: Apakah kamu tidak fikir sekiranya digunakannya nafsu tersebut pada tempat yang haram, bukankah seorang itu beroleh dosa? Jawab mereka, "Bahkan", Maka sabdanya lagi: begitulah juga sekiranya nafsu itu disalurkan menurut landasan yang dibenarkan, tentu ada baginya pahala.
Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: Melainkan terhadap pasangan (isteri dan suami) mereka atau hamba kepunyaan mereka, (dengan itu) mereka tidak dicela, tetapi mereka yang melanggar sempadan tersebut itulah mereka yang melampaui batas (maksud Al-Quran Surah al-mukminun ayat 5-7). Menurut para ulama nafsu itu banyak tingkatannya:
1) Nafsu amarah iaitu yang menyeru kepada kejahatan semata-mata.
2) Nafsu lawamah ia itu yang cuba menentang kejahatan dan mencela dirinya sendiri bila terlanjur.
3) Nafsu mutmainnah iaitu yang tenang dan patuh mengikuti arahan Allah dan sentiasa kembali kepada Tuhannya. Nafsu mutmainah inilah akan di jemput mengadap Allah dan bersama dalam kumpulan hambaNya dalam syurga. Untuk mendidik nafsu ammarah tersebut amatlah sukar melainkan mereka yang sanggup melalui perjuangan atau mujahadah dengan bantuan rahmat dari Allah SWT. Sehubungan ini Allah berfiman bermaksud: Mereka yang berusaha dan berjuang pada jalan Kami, akan Kami tunjuki jalan-jalan Kami (Surah al-Angkabut ayat 69) Dan firman- Nya lagi bermaksud, "Tiadalah aku membersihkan nafsuku kerana nafsu itu sangat mengarahkan kepada kejahatan melainkan mereka yang dirahmati Tuhanku (Surah Yusuf ayat 53). Dan firman-nya lagi yang bermaksud: Berjayalah mereka yang dapat membersihkannya (Surah al-Syamsi ayat 9). Wallahualam.
No comments:
Post a Comment