Jihad diambil daripada kata jahdu yang bererti mengeluarkan seluruh potensi dan kemampuan. Ulama Syai'i menyatakan jihad adalah memerangi orang kafir untuk kemenangan Islam. Jihad menurut ulama Hanafi adalah seruan kepada agama yang hak (benar) serta memerangi orang yang tidak mahu menerimanya baik dengan harta atau jiwa.
Definisi jihad mengikut terminologi syariah adalah mengeluarkan seluruh potensi dan kemampuan dalam memerangi orang kafir dan membela diri terhadap mereka dengan jiwa, harta dan lisan.
Firman Allah bermaksud,
“Berangkatlah kamu dalam keadaan berasa ringan mahupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah, yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui." (Surah at-Taubah:41).
Banyak dalil di dalam al-Quran mahupun sunnah yang menyebutkan mengenai pelbagai keutamaan dan jihad di jalan Allah.
Firman-Nya bermaksud,
“Sesungguhnya Allah membeli dari orang Mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu menjadi janji) yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan al-Quran, dan siapakah yang lebih baik menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jualbeli (yang seperti itu), ialah kemenangan yang besar" (Surah at-Taubah : 111).
Di dalam hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah Nabi SAW bersabda maksudnya, “Demi yang jiwa Muhammad ada ditangan-Nya, sesungguhnya aku ingin berperang di jalan Allah kemudian aku dibunuh kemudian aku berperang kemudian aku dibunuh kemudian aku berperang kemudian aku dibunuh” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim).
Kini pelbagai kekejaman dan kebiadaban terus dilakukan musuh Allah rejim Zionis di bumi Gaza, Palestin terhadap kaum Muslimin dengan korban meninggal dunia (syahid) mencecah seribu jiwa.
Kota Gaza terus dikepung tentera Zionis dan pengeboman dengan pelbagai persenjataan canggih dari darat mahupun udara dan laut sepanjang siang dan malam. Pengepungan itu juga mengakibatkan penduduk Gaza menghadapi kesukaran untuk memenuhi keperluan hidup seharian mereka.
Mereka kesulitan mendapatkan air bersih, makanan, bahan bakar, ubat-ubatan dan pengangkutan serta kenderaan.
Penderitaan kaum Muslim Gaza semakin susah dengan ditutup seluruh pintu masuk bandar yang di bawah kekuasaan Zionis ataupun berada di bawah penguasaan negara Arab sekitarnya. Mereka seperti berada di sebuah penjara besar yang menanti dari musuh Allah.
Ketika ini Allah menjadikan bumi Gaza, Palestin sebagai bumi jihad kaum Muslimin yang tersimbah dengan darah syuhada umat ini, seperti yang pernah terjadi oleh leluhur pejuang Islam sebelum mereka pada zaman dulu.
Untuk itu, menjadi kewajipan bagi setiap Muslim mempertahankan diri dan mengangkat maruah Islam dan kaum Muslimin dengan berjihad di jalan Allah melawan tentera Zionis, bahkan ulama fiqih menegaskan, apabila musuh menguasai kota dan bandar sepenuhnya maka berkewajipan jihad juga diperlukan terhadap wanita dan kanak-kanak walaupun tanpa terlebih dulu meminta izin dari suami atau ayah mereka.
Imam al-Qurtubi mengatakan jihad menjadi fardu ain apabila musuh Allah berhasil menguasai suatu daerah atau kawasan. Apabila keadaan seperti itu, maka wajib bagi seluruh penduduk daerah itu untuk berangkat jihad dan keluar menghadapi mereka dengan perasaan ringan mahupun berat, sama ada dia seorang pemuda, setiap orang yang memiliki kemampuan, seorang kanak-kanak tanpa perlu izin dari ayahnya atau seorang kanak-kanak yang memang tidak mempunyai ayahnya lagi, dan tidak boleh seorangpun yang mempunyai kesanggupan berangkat kemudian menghindari dari jihad.
No comments:
Post a Comment