Monday, January 12, 2009

Muhammad s.a.w manusia yang paling berpengaruh...(2)

Saidina Ali bin Abi Talib, berkata Nabi Muhammad, orangnya tidak tinggi melampai dan tidak terlalu rendah, ketinggiannya sederhana di kalangan orang lain. Rambut lebatnya tidak kerinting dan tidak juga lurus tetapi antara keduanya, tidak bermuka cengkung dan tidak tembam.

Mukanya bulat dan putih kemerahan.

Kalau dia berjalan di tanah maka diangkat kakinya tanpa menyeret ke bumi bagaikan sedang berjalan di tanah yang cerun.

Kalau Baginda berpaling maka beliau akan berpaling berserta badannya.

Antara dua belikatnya ada cap kenabian yang menunjukkan Baginda penyudah segala nabi, sebagaimana yang diceritakan oleh seorang rahib Nasrani, Bahira ketika baginda berusia 12 tahun dibawa bapa saudaranya, Abu Talib berdagang di Syam. "Sesungguhnya aku mengenalinya dengan cap kenabian di bawah tulang belikatnya seperti buah epal. Kami dapatinya ada disebutkan dalam kitab-kitab kami".

Sementara Ummu Ma'bad al Khuzaiyyah menceritakan mengenai Baginda kepada suaminya tatkala Rasulullah singgah di khemah mereka dalam hijrahnya.

"Seorang yang ketara keseriannya, putih mukanya, baik akhlaknya, tidak merasai beban oleh badan yang besar, tidak boleh diperlekehkan kerana kepalanya yang kecil, indah rupa paras dan menarik perhatian, luas dan tampak jelas mata putih dan mata hitamnya, rambutnya lebat, suaranya serak-serak basah, lehernya jinjang, mata hitamnya sangat ketara, tampak urat lengannya, alisnya nipis, kening bercantum dan rambutnya sangat hitam.

"Kalau Baginda diam nampak nyata kehebatannya dan kalau dia berbicara nampak nyata keterampilannya, manusia paling menawan dan paling menarik jika dipandang dari jauh, paling cantik dan manis dari dekat..." kata Ummu Ma'bad.

Al Barra berkata, Baginda ialah orang yang paling tampan wajahnya dan paling indah akhlaknya.

Al Rubayyi binti Mu'awwidh berkata; "Kalau engkau melihat Baginda, bagaikan engkau melihat matahari yang terbit".

Abu Hurairah pula berkata; "Tidak pernah ku melihat sesuatu pun yang lebih indah daripada Rasulullah bagaikan matahari berarak di mukanya. Tidak pernah aku lihat seorang yang lebih cepat berjalan daripada Rasulullah bagaikan bumi dilipatkan untuknya dan kami terpaksa mengagahi diri kami sedangkan Rasulullah berjalan bersahaja".

Tulisan yang diambil sebahagian daripada banyak lagi cerita mengenai gambaran fizikal Rasulullah dari bab terakhir di buku ini, tidak bertujuan memberikan ilham kepada mana-mana pihak untuk menggunakan kepakaran dalam seni lukis bagi menghasilkan lukisan Rasulullah secara fizikal.

Ini kerana sebaik mana atau sehebat manapun potret yang dilakar tidak akan menyamai mengenai gambaran sebenar Rasulullah.

Selain perkara ini diharamkan dilakukan oleh mana-mana pihak.

Namun tidak lebih gambaran ini bagi menambahkan kecintaan kita kepada Rasulullah sebagaimana yang sering diungkap; "Dari mana datangnya cinta, dari mata jatuh ke hati!"

Terkadang sebelum kita berkongsi kepayahan yang terpaksa dilalui oleh Rasulullah dalam tugas Baginda menyebarkan Islam perlu 'menampakkan' terlebih dahulu siapa Baginda.

Sirah Rasulullah bukan sebarang catatan memoir. Ini kerana jika Baginda diiktiraf sebagai manusia paling berpengaruh di muka bumi ini bererti penceritaan kisah dan sejarah Baginda bukan sebarangan.

Ini kerana al-Quran turut memaparkan segala kisah Rasulullah bagi mengesahkan segala kebenaran mengenai pesuruh Allah ini dan buku ini memperkayakan lagi khazanah pengetahuan mengenai Baginda.

No comments: