Thursday, January 29, 2009

Kuasa di sebalik laungan azan

Julianne (Noora) Scasny dilahirkan di Amerika Syarikat. Ibunya berdarah Arab dari Syria dan beragama Kristian manakala bapanya berketurunan kulit putih Eropah, juga beragama Kristian. Sewaktu berusia 15 tahun, Julianne sudah menyimpan cita-cita untuk menjadi biarawati di gereja Roman Katolik.

Bagaimanapun, di dalam kelas mata pelajaran Sejarah Dunia, bab sejarah Asia Barat memang antara tajuk yang paling beliau minati terutamanya bila ia menyentuh soal agama Islam.

Kebetulan, seorang pelajar lelaki dari Mesir yang juga merupakan teman sekelasnya sentiasa membetulkan tanggapan salah guru kelas tersebut terhadap Islam. Pada saat itu, Julianne agak terkejut dengan situasi pelik itu kerana kebiasaannya guru yang membetulkan atau menegur anak murid.

Semenjak insiden itu, dia memberanikan diri bertanya kepada pelajar lelaki tersebut mempersoalkan kepadanya perbezaan antara Kristian dengan Islam? Ringkas jawapan budak Mesir itu: ''Tidak banyak."

Jawapan temannya itu menimbulkan rasa tidak puas hati dan Julianne terus mencari maklumat tentang Islam menerusi komputer di sekolah. Pun begitu, teman baru dari Mesir itu telah memperkenalkan Julianne dengan kedua ibu bapanya.

Sekali lagi, Julianne mengambil peluang dengan meminta agar dipinjamkan senaskhah al-Quran dalam bahasa Inggeris. Alhamdulillah, permintaannya itu tidak dipandang remeh keluarga Mesir itu, mereka menghadiahkan Julianne al-Quran terjemahan bahasa Inggeris karangan Yusuf Ali.

Pemberian ikhlas itu sememangnya bagai pucuk dicita, ulam mendatang buat Julianne sehinggakan beliau tidak dapat melepaskannya walau sesaatpun. Baginya, kepuasan membaca kitab Injil tidak seperti membaca al-Quran. Apa yang diterangkan di dalam kitab suci al-Quran begitu telus dan sesuai dengan firah manusia serta ia menjawab pelbagai persoalan yang wujud sebelum ini. Akhirnya, Julianne mengakui kebenaran Islam sungguhpun sekadar di dalam hati.

Bagaimanapun, minat mendalamnya tentang Islam dapat dihidu oleh kedua-dua ibu bapa Julianne. Sebagai langkah drastik, mereka melarangnya bergaul atau bersahabat dengan masyarakat Islam di situ. Ibunya pula sanggup bertemu dengan wanita yang memberikan senaskhah al-Quran terjemahan, lantas memberi amaran agar dia tidak lagi menerangkan apa-apa tentang Islam kerana didakwa akan menimbulkan kekeliruan Julianne.

Cerita Julianne, dia masih ingat bagaimana sambutan pertama Hari Raya Aidilfitri bersama komuniti Muslim di tempatnya. "Saya terrpaksa memberitahu keluarga yang saya terpaksa bekerja lebih masa sedangkan pada hakikatnya, saya mahu bersama-sama orang Islam lain mendirikan solat sunat Aidilfitri," kata Julianne dalam pengakuannya di laman web Islam Online.net. Walau bagaimanapun, rahsianya terbongkar juga.

Pertama kali bepeluang menumpang seorang teman Muslim dari Pakistan ke sebuah masjid berdekatan, merupakan pengalaman penuh bermakna bukan kerana dibantu teman tersebut tetapi kesyahduan apabila melihat umat Islam bersolat berjemaah.

Ayahnya pula pernah menunjukkan protesnya dengan bertemu ibu kepada teman Muslimnya lantas bersuara dengan nada kasar agar dia tidak meminjamkan lagi buku-buku tentang Islam kepada Julianne. Wanita Islam itu bersetuju dengan bersyarat. Tegasnya, Jika Julianne berada di rumahnya, Julianne bebas membaca apa sahaja bahan bacaan yang ada di rumahnya itu.

Menyedari usaha mereka (ibu bapa) itu tidak berhasil, mereka telah membawa saya berjumpa dengan seorang paderi Katolik di gereja kejiranan kami. Malah semenjak itu, ayahnya kerap menyelongkar biliknya dan membuang apa sahaja yang berkaitan Islam seperti; kitab terjemahan al-Quran, telekung dan kitab-kitab Islam yang lain.

Hakikatanya, akui Julianne kehidupannya cukup tertekan, apatah lagi ada kalanya dia dikurung supaya tidak bertemu komuniti Muslim. Semua yang dilakukan itu atas alasan, selagi mana Julianne tinggal sebumbung dengan mereka, selagi itulah dia mesti mengikut peraturan keluarga itu serta pergi ke gereja serta menjadi seorang Katolik. Semua itu tidak ada kompromi.

Julianne bingung dan pernah meminta nasihat daripada keluarga Muslimnya. Mereka sekadar menasihatkannya agar menurut kata keluarga. Akhirnya, Julianne akur dan bertahan selama kira-kira empat tahun sahaja.

Titik perubahan berlaku sebaik Julianne menghubungi semula wanita dari Mesir yang sebelum ini bertanggungjawab memberikannya senaskhah al-Quran dengan menanyakan berita pembinaan sebuah masjid baru di kejiranan mereka.

Dia menyuruh Julianne menyaksikannya sendiri. Pelawaannya itu menguja perasaan Julianne. Ironinya, masjid yang bakal dibina itu dahulunya sebuah kelab malam yang menjadi kunjungan golongan remaja di situ. Malah, seingat Julianne, di situ jugalah lokasi kakaknya ditahan kerana minum sehingga mabuk.

Apa yang berlaku itu sesungguhnya sesuatu yang tidak dijangka dan kehadiran Julianne pada makan malam itu mengembalikan semula perasaan dan semangatnya terhadap ruh Islam.

Ditambah pula kuasa di sebalik laungan azan, yang begitu menyentap dan menimbulkan keberanian daripada titisan air mata keinsafannya.

Julianne tidak memandang ke belakang malah bertekad teguh dengan keputusan muktamadnya bergelar Muslimah sejati, waima mendapat tentangan hebat daripada ibu bapa.

Alhamdulillah pada Ramadan Julianne sah bergelar Muslim dan mengambil keputusan memakai hijab.

Berita pengislaman Julianne itu, pastinya bukan sesuatu yang dinanti-nantikan ahli keluarganya malah mereka mebambahkan lagi tekananke atasnya. Sehingga kini, ibu bapa masih tidak putus asa menyuruhnya menanggalkan tudung serta mengenakan pakaian yang mengikut trend remaja terkini.

Ada ketikanya ibu sanggup membohonginya dengan menyediakan makanan yang menggunakan bahan-bahan yang haram, datuk dan nenek pula sentiasa mengherdiknya dengan sumpahan agar dia dimasukkan ke neraka manakala bapa pula sengaja membawa anjing ke tempat dia mendirikan solat.

Alasan bapa, itu rumahnya dan dia bebas melakukan apa sahaja. Sebagai anak dan masih tinggal dengan keluarga, Julianne tiada hak bersuara.

Kesedihan Julianne sentiasa diluahkan kepada Ilahi dan alhamdulillah doanya diperkenankan apabila beliau dipertemukan jodoh pada usia 21 tahun dan setahun kemudian menimang cahaya mata pertama.

Meskipun setelah berkeluarga, kehidupan rumah tangga Julianne tidak pernah lekang daripada campur tangan keluarga kandungnya. Pun begitu, Julianne tidak pernah putus asa berdakwah kepada mereka dan berdoa agar suatu hari kelak mereka juga akan menerima hidayah Allah SWT.

Sehingga sekarang, Julianne atau nama Islamnya Noora akui masih ada segelintir manusia sukar menyelami perasaan mereka (saudara baru) yang bersendirian di dalam Islam. 

Namun, kesedihan dan kekecewaan itu terubah bila menyedari bahawa dia sebenarnya memiliki sebuah keluarga yang lebih besar iaitu keluarga sesama Islam.

No comments: