Tuesday, September 29, 2009

Bilal memeluk Islam.

BILAL bin Rabah seperti yang diceritakan oleh Abdul Latip Talib dalam bukunya; Bilal bin Rabah, Pengumandang Seruan Langit, begitu mengharungi pahit getir sebagai hamba.

Ditambah dengan warna kulitnya yang hitam itu, Bilal menjadi mangsa masyarakat Arab yang mengamalkan dasar diskriminasi warna, iaitu aparteid.

Bilal dipandang hina oleh kebanyakan penduduk Arab dan boleh diperlakukan apa sahaja dan tidak layak dilayan seperti manusia.

Telah diberi makan, minum dan tempat tinggal sudah cukup baik. Jangan bertanyakan soal upah kerja mahupun hendak memiliki harta, hak-hak itu dinafikan bagi mereka yang bergelar hamba!

Jadi, apabila Bilal digula-gulakan dengan tawaran merdeka jika berjaya membunuh Nabi SAW, peluang seperti ini terlalu sukar dilepaskan.

Lalu bersama sebilah pisau tajam yang dilumur racun tersembunyi di sebalik jubah, Bilal melangkahkan kaki menuju ke rumah Abu Bakar As Siddiq. Ini kerana hanya melalui Abu Bakar sahaja, Bilal akan dibawa menemui Nabi SAW.

Sebelum itu sebenarnya, Bilal pernah menemui Abu Bakar ketika sahabat baik Nabi itu datang menemui tuannya, Umaiyyah bin Khalaf atas urusan perniagaan.

Bilal mendapati sahabat tuannya itu mempunyai watak yang sangat berbeza. Tidak seperti Umaiyyah yang bengis, kejam dan tidak berperi kemanusiaan .

Abu Bakar ialah seorang yang mempunyai hemah yang tinggi, berbudi bahasa, menghormati kawan dan lawan dan tidak pernah memandang hina kepada sesiapa pun.

Dalam pertemuan itu Bilal bertanya bagaimana Abu Bakar boleh memeluk Islam dan apakah kelebihan-kelebihan yang ada pada agama itu sehingga semakin ramai meninggalkan penyembahan berhala yang selama ini begitu dipertahankan.

Lalu Abu Bakar pun dengan senang hati menjawab segala pertanyaan Bilal sehingga hamba itu sendiri begitu tertarik mendengarkannya.

Ini apabila Abu Bakar memberitahu bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang memberi keadilan dan kedudukan sama rata kepada semua penganutnya tanpa mengira warna kulit, bangsa dan rupa.

Tidak ada golongan hamba kecuali mereka yang bertakwa, orang itulah yang akan mendapat kedudukan tinggi di sisi Allah!

"Jika seorang hamba sekalipun, andai dia mempunyai iman yang teguh terhadap Allah, maka dialah yang mendapat tempat dan dipandang mulia oleh agama.

"Bukan seperti yang berlaku sekarang, manusia dipandang mulia kerana warna kulit. Sedangkan semua itu tidak sepatutnya membeza-bezakan kita semua," kata Abu Bakar.

Kata-kata Abu Bakar menyebabkan Bilal semakin teruja dan tidak sabar-sabar meminta supaya diislamkan dengan segera.

Beliau yakin hanya dengan Islam sahaja, kebebasan hidup sebagai manusia dapat beliau rasai.

Namun Abu Bakar menasihatkan Bilal supaya menunggu masa yang sesuai dan lebih selamat untuknya memeluk Islam. Ini kerana Abu Bakar lebih bimbangkan keselamatan Bilal, takut akan diseksa oleh tuannya, Umaiyyah yang terkenal dengan sifat kejam dan bengisnya itu.

Bilal akur dengan nasihat Abu Bakar namun di hatinya tidak mampu menahan untuk menemui Nabi SAW.

Kali ini beliau sebenarnya berjaya mengelabui tuannya, beliau sama sekali tidak memperalatkan Abu Bakar dalam usaha untuk menemui dan membunuh Rasulullah SAW.

Rahsia

Ini kerana pada mulanya Umaiyyah tidak setuju Bilal hendak menemui Abu Bakar kerana dikhuatiri rahsia rancangan mereka akan bocor dan gagal membunuh Nabi yang kini menjadi musuh ketat golongan kafir Quraisy.

Namun Bilal memberi jaminan, Abu Bakar digunakan semata-mata untuk membawanya menemui Nabi Muhammad. Ini kerana baginda sering berada di tempat-tempat yang dirahsiakan dan tidak diketahui oleh orang ramai bagi menyampaikan ajaran Islam secara lebih mendalam.

Umaiyyah sebenarnya tidak mengetahui bahawa Abu Bakar telah mengetahui segala rahsia rancangan jahat itu sebagaimana yang diberitahu sendiri oleh Bilal.

Lalu kedua-dua mereka berpura-pura saling tidak mengetahui niat masing-masing dan memberi jaminan bahawa Bilal pasti dapat menemui baginda kerana Abu Bakar sahaja yang mengetahui di mana Nabi SAW berada.

Bilal akhirnya berjaya menemui satu-satunya manusia yang ingin beliau temui dan berharap menjadi 'hamba' kepada Nabi Muhammad setelah melalui hidup yang amat membosankan sebagai hamba kepada Umaiyyah.

Dalam pertemuan beliau dan baginda di rumah Arqam bin Abi Al Arqam di kaki bukit Safa, Bilal langsung tidak mengeluarkan pisau tajam lagi beracun yang tersisip di pinggang tersembunyi di sebalik jubah.

Beliau sama sekali tidak mengkhianati Abu Bakar malah yang beliau keluarkan hanyalah tangannya yang bersih berjabat dengan Nabi Muhammad untuk mengakui "bahawa tiada yang wajib disembah kecuali Allah dan Muhammad itu adalah pesuruh Allah".

Tanpa sebarang keraguan lagi. Maka rasmilah kini, Bilal memeluk Islam sebagaimana beberapa golongan hamba lain yang turut memeluk Islam kerana tidak tahan lagi hidup di bawah rejim kafir Quraisy.

Malah sejurus melafazkan syahadah itu, Bilal mula merasai nikmat keislaman mengalir ke segenap darah dan tubuhnya. Terasa nyaman lagi menyejukkan. Ditambah senyuman dan layanan baik Rasulullah sudah cukup menjadi pemangkin untuk beliau keluar dari naluri penghambaan.

Beliau sama sekali tidak menyangka golongan hamba sepertinya, yang sering dipandang hina, sudi diterima oleh baginda sebagai pengikutnya.

Ini menjadikan beliau, Bilal yang baru. Bukan lagi hamba tetapi menjadi lebih berani dan tidak lagi menghiraukan ancaman dan ugutan dari Umaiyyah atau sesiapa sahaja.

Bilal kemudian menghabiskan masa hampir sehari dengan Nabi Muhammad untuk mengenali dan mempelajari Islam secara lebih dekat.

Apabila tiba masanya untuk pulang, Bilal benar-benar berat hati untuk meninggalkan Nabi dan para sahabat yang lain di rumah Al Arqam itu.

Namun berbekal semangat yang baru, Bilal dikatakan terus menuju ke kaabah dan menghampiri patung-patung berhala yang ada di situ.

Beliau benar-benar memandang jijik terhadap patung-patung itu dan mahu sahaja tangannya memusnahkan kesemua patung itu supaya tidak mencemari kaabah yang mulia.

Saat itu juga beliau ternampak seorang lelaki yang sedang menyembah salah satu berhala kerana meminta perniagaannya dapat diselamatkan dan keluarganya tidak ditimpa musibah akibat kerugian yang beliau alami.

"Adakah patung itu boleh memakbulkan doa kamu?," Pertanyaan Bilal yang mengundang renungan tajam lelaki itu.

"Wahai Bilal, apakah kamu sudah tidak percaya kepada tuhan-tuhan kita? Kamu tidak takut dilaknat oleh al Latta dan al Uzza?," kata lelaki itu dengan nada suara yang terkejut.

"Saya tidak pernah menyembah patung-patung itu dan tidak pernah berdoa kepadanya. Berhala itu tidak boleh berkata-kata, tidak boleh mendengar dan melihat. Bagaimana pula dia boleh mendengar permintaan kamu?," kata Bilal.

"Wahai Bilal, adakah kamu sudah menjadi pengikut Muhammad?," tanya lelaki itu dengan rasa marah yang meluap-luap.

"Tidak ada tuhan selain Allah dan Muhammad itu memang pesuruh Allah," jawab Bilal.

Lelaki itu begitu marah dan mengancam untuk mengadukan mengenai Bilal yang telah berpaling tadah kepada Islam itu kepada tuannya, Umaiyyah bin Al Khalaf.

Ancaman

Bilal sama sekali tidak takut dengan ancaman itu malah mengejek lelaki itu dengan terus meludah ke arah patung berhala itu. Malangnya perbuatannya itu turut dilihat oleh Abu Lahab

Abu Lahab begitu marah dengan sikap Bilal dan mengugut untuk memberitahu kepada Umaiyyah.

Bilal sudah tidak menghiraukan lagi dengan ugutan seperti itu dan terus pulang untuk menemui tuannya.

Di rumah, Umaiyyah begitu tertunggu-tunggu kepulangan Bilal dan tidak sabar-sabar menantikan berita yang bakal dibawa oleh hambanya itu.

Sebaik sahaja Bilal menjejakkan kaki ke rumahnya, Umaiyyah terus menerpa Bilal dan bertanyakan mengenai rancangan membunuh itu.

Alangkah terkejut Umaiyyah apabila Bilal dengan tenang memberitahu bahawa beliau belum lagi membunuh Nabi Muhammad.

"Kenapa belum? ataupun kamu sengaja mengingkari perintah aku?" tanya Umaiyyah kepada Bilal dengan nada yang keras.

"Saya belum dapat bertemu Muhammad kerana nabi itu berada di tempat rahsia. Hanya pengikut-pengikut yang setia sahaja dapat menemui Nabi.

"Jadi, benarkanlah saya menjadi 'pengikut' Muhammad mungkin hanya dengan cara itu sahaja kita tahu di mana beliau berada dan mudah untuk kita membunuhnya" jawab Bilal.

Umaiyyah cukup marah dengan jawapan Bilal namun tanpa banyak pilihan beliau terpaksa setuju dengan cadangan Bilal itu. Asalkan sahaja Bilal dapat membunuh Nabi Mohammad itu.

Ikuti keluaran datang, akibat Bilal meludah patung-patung berhala, apakah yang terjadi pada hamba kulit hitam itu?

Urus mayat bapa bukan Islam

SOALAN:
Ayah mertua saya seorang Kristian dan dia tinggal bersama saya dan isteri (anak angkat). Apabila dia meninggal dunia tempoh hari, saya telah bertanya kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sarawak mengenai perkara yang patut saya buat.

Kata mereka, saya boleh uruskan asalkan tidak mengikut cara penganut Kristian mengurus mayat. Mayat berada di rumah selama dua malam disebab kekurangan kakitangan pihak gereja untuk menguruskan pengkebumian pada hari berikutnya.

Malam sebelum upacara pengkebumian diadakan upacara menghormati jenazah (ini merupakan upacara yang mesti mereka laksanakan mengikut adat Iban dengan berwakilkan beberapa orang yang tahu latar belakang si mati dengan mengimbas kembali segala kebaikan yang telah si mati lakukan semasa hidupnya).

Ini semuanya dilakukan di rumah kami. Saya telah mendapat bantuan rakan Kristian membantu pengurusan mayat tapi segala perbelanjaan adalah ditanggung oleh kami.

Sembahyang mayat dilakukan di sebuah gereja yang berhampiran kemudian terus ke tanah perkuburan. Masalah mulai timbul apabila saya ingin mendapat penjelasan daripada pihak berkuasa agama mengenai pemasangan lilin dan meletakkan jambak bunga di pusara si mati. Mereka memberitahu saya ia haram, si mati hanya mempunyai isteri saya sahaja yang tinggal sanak saudara isteri semuanya menjauhkan diri dan abang angkat isteri memang tidak ingin mempunyai hubungan dengan si mati.

Demi perikemanusiaan saya isteri tetap juga menziarahi kubur si mati pada masa-masa tertentu. Apakah pendapat ustaz tentang kemusykilan yang saya hadapi ini?

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

JAWAPAN:

Dalam Islam kita sangat dituntut menghormati antara satu dengan yang lain, lebih-lebih lagi agama Islam adalah agama rahmat, pastinya setiap orang yang bergaul dengan kita beroleh kebaikan dari limpahan rahmat agama Islam itu sendiri.

Melalui apa yang saudara ceritakan, saya percaya tindakan saudara tidak melanggar syariat Allah SWT. Sebelum bertindak saudara telah pun mendapatkan pandangan dari Jakim Sarawak dalam mendapatkan penjelasan apa yang boleh dibuat dan apa yang perlu dielak.

Berdasarkan kepada panduan, saudara telah menguruskan jenazah ayah mertua mengikut cara orang Kristian dan diuruskan sendiri oleh orang Kristian. Tidak ramai yang memahami cabaran yang dihadapi oleh saudara beserta ahli keluarga Islam yang lain. Lebih-lebih lagi bila ahli keluarga kita masih beragama selain Islam.

Biarpun kita telah mendapat hidayah menganut agama Islam, ini tidak bererti kita telah putus perhubungan anak-beranak atau adik-beradik. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. (al-'Ankabut: 8).

Dalam konteks ayat ini, Allah SWT memerintahkan seseorang yang telah menganut Islam supaya berbuat baik kepada ibu bapa mereka selagi mereka tidak menyuruh melakukan perbuatan syirik kepada Allah SWT.

Bagi saya, menguruskan jenazah ibu bapa yang tidak beragama Islam juga merupakan tanggungjawab serta penghormatan seorang anak kepada kedua ibu bapanya.

Apatah lagi, Islam melalui al-Quran dan pedoman rasul-Nya sangat menuntut kita berakhlak mulia dengan setiap manusia. Dalam sirah kehidupan Baginda, Rasulullah juga berbuat baik kepada bapa saudaranya Abu Talib, baginda juga mendampinginya ketika nazak sambil mengajak Abu Talib kepada Islam.

Hadis lain yang menggambarkan kewajipan berihsan dan melayan baik kedua-dua orang tua meskipun berlainan agama ialah yang diriwayatkan daripada Asma' Abu Bakar r.a. maksudnya:Pada zaman Rasulullah SAW ibuku yang masih musyrik suatu hari datang mengunjungiku. Lalu aku meminta fatwa daripada Rasulullah: "(Ibuku datang) dalam keadaan senang hati, apakah aku masih perlu meneruskan hubunganku dengan ibuku?" Baginda SAW bersabda: "Ya, teruskanlah hubunganmu dengan ibumu (seperti biasa)". (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan dalil-dalil ini, seseorang anak perlu meneruskan hubungan yang baik dengan ibu bapa yang bukan Islam sungguhpun anak dan ibu bapa berlainan agama.

Oleh itu, apabila berbicara dengan mereka, si anak hendaklah berbicara dengan lemah lembut, penuh sopan santun dan menunjukkan rasa mahabbah. Apabila memanggil mereka, panggillah dengan perkataan yang menyedapkan hati mereka.

Berilah mereka petunjuk pada perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan seperti mana panduan Islam dalam bab ini.

Sudut kemanusiaan

Kita tidak mahu Islam dituduh sebagai agama yang memisahkan hubungan anak-beranak atau adik beradik. Kita harus tonjolkan bahawa Islam tidak membenci penganut agama lain malahan dari sudut kemanusiaan kita adalah sama biarpun yang memisahkan kita ialah pegangan hidup.

Firman Allah SWT dalam surah al-Kafirun bermaksud: Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku. (al-Kafirun: 6)

Apa yang penting dalam kita bergaul dengan saudara mara, kenalan dan sahabat handai ialah kita tidak menyembah apa yang dia sembah serta mengelakkan perkara-perkara yang melibatkan hal-hal yang bertentangan dengan ajaran agama Islam terutamanya dalam bab akidah.

Persoalan meletakkan bunga di pusara bapa mertua dan hukum berkaitan dengannya; adalah lebih baik jika saudara tidak melakukan upacara membakar lilin dan meletakkan bunga di kubur mereka yang bukan Islam biarpun di kubur ibu atau ayah sendiri.

Walaupun dari segi zahirnya tidak kelihatan apa-apa yang bertentangan dengan Islam tetapi ia juga boleh membawa fitnah dari sudut kaitannya dengan budaya agama lain atau upacara etnik tertentu yang boleh mengelirukan status Muslim saudara.

Ziarah kubur ayah mertua yang bukan Islam tidak salah, hanya sekadar ziarah dan bukan melakukan acara-acara ritual keagamaan yang lain terutama yang boleh dikaitkan secara khas dengan ajaran agama tertentu selain agama Islam.

Sabar dan takwa kunci kejayaan



SHEIKH Sya'rawi berkata: "Ayat ini menerangkan mengenai peristiwa peperangan Uhud yang mana golongan kafir bersama 3,000 bala tentera menentang umat Islam yang bilangannya hanya 700 orang sahaja.

Ia menerangkan kebenaran isu ini dengan menyatakan jika kamu bersabar dan bertakwa, nescaya tidak memudaratkan kamu oleh tipu daya mereka sesuatu pun. Bukanlah bermaksud di sini tipu daya secara sembunyi tetapi secara terang-terangan."

Iktibar dan fiqh ayat ke-121:

i. Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya Allah SWT Maha Mendengar segala sesuatu yang diucapkan oleh orang mukmin kepadamu ketika berlangsungnya musyawarah untuk menghadapi kedatangan musuh engkau dan musuh mereka."

Antara lain ada yang berkata: "Marilah kita keluar menghadapi mereka di luar Madinah." Kemudian yang lain pun berkata: "Janganlah tuan keluar menghadang mereka. Tinggallah di Madinah sahaja sampai mereka datang menyerang kita."

Apapun yang kamu kemukakan kepada mereka, semua itu Allah SWT mendengarnya. Allah Maha Mengetahui mana yang terbaik untukmu dan bagi mereka, Allah juga Maha Mengetahui niat masing-masing.

ii. Ibn Jarir berkata: "Dalam ayat yang lalu Allah SWT mengutarakan satu atau dua perumpamaan yang menyatakan kebenaran janji-Nya: Dan jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. (terjemahan ali-'Imran: 120), mengingatkan mereka akan kejadian yang menimpa mereka pada Perang Uhud kerana pasukan pemanah telah meninggalkan kedudukan masing-masing lantaran tidak sabar."

Ayat ini juga mengingatkan mereka akan kejadian Perang Badar, ketika mereka diberi kemenangan sekalipun mereka dalam jumlah yang sedikit dan lemah.

iii. Al-Biqa'i melihat bahawa huraian ayat yang lalu memerlukan bukti konkrit di dunia nyata. Kalau dalam ayat yang lalu dinyatakan bahawa seandainya mereka bersabar dan bertakwa tentu tidak akan mendapat mudarat, dan begitulah sebaliknya. Dan dalam ayat ini, kaum muslimin disajikan bukti konkrit tentang kebenaran janji ini.

iv. Hamka berkata: "Pada hari Sabtu, 15 Syawal tahun ketiga Hijrah, Rasulullah SAW memimpin 1,000 tentera Islam menuju Uhud. Tempat itulah yang baginda pilih menjadi Maqa'ida lilqitali, iaitu tempat atau kedudukan untuk berperang.

Tempat yang Baginda pilih sangat strategik untuk menangkis serangan ataupun pangkalan menyerang hendap."

Iktibar dan fiqh ayat ke-122

i. Al-Qurtubi berkata: "Maksud dua puak di sini ialah Banu Silmah daripada Khazraj dan Banu Harisah daripada Aus. Kedua-duanya sebagai sayap dalam peperangan Uhud."

ii. Al-Maraghi berkata: "Sewajarnya bagi orang yang beriman menghadapi segala kesusahan dan penderitaan dengan berserah kepada Allah, bukan dengan melalui kekuatan teman-teman dan para pembantu mereka.

Tawakal ini adalah setelah menyempurnakan segala persiapan dan persediaan selaras dengan ketentuan Allah SWT telah menetapkan hukum kepada makhluk-Nya."

iii. Al-Biqa'i berkata: "Allah SWT adalah penolong kedua terhadap golongan itu kerana mereka beriman dan berserah diri kepada-Nya. Oleh itu, orang mukmin hendaklah percaya dan berserah diri kepada-Nya agar mereka semua memperoleh pertolongan-Nya."

Iktibar dan fiqh ayat ke-123

i. Ibn Kathir berkata: "Sekalipun bilangan kamu sedikit supaya mereka mengetahui bahawa kemenangan daripada Allah bukan dengan jumlah ramai dan kekuatan senjata."

ii. Al-Maraghi berkata: "Jika kamu dapat bersabar dan bertakwa, maka tipu daya mereka sedikit pun tidak akan membahayakanmu. Sesungguhnya Tuhanmu tetap akan memberi pertolongan kepadamu sebagaimana yang diberikan kepadamu dalam mengalahkan musuhmu di Perang Badar. Padahal waktu itu jumlah pasukanmu amat sedikit dan tidak mempunyai sebarang kekuatan untuk melawan musuh.

"Walau bagaimanapun, Allah SWT menampakkan ke dalam hati musuh kamu seolah-olah jumlah pasukan kamu besar dan begitu hebat, sehinggakan pada saat itu jumlah kamu lebih banyak daripada yang semestinya.

"Maka jika kamu tabah (sabar) menerima perintah Allah SWT, nescaya kamu akan diberi pertolongan, seperti pada hari itu kamu diberi pertolongan."

iii. Hamka berkata: Kaum muslimin di perang Badar dibandingkan dengan musuh sangatlah lemah. Mereka hanya 313 orang, sedang musuh lebih dari 1,000 orang dengan kelengkapan yang lebih sempurna.

Namun demikian di Badar kaum muslimin beroleh kemenangan gilang-gemilang. Di perang Badar mereka sabar dan takwa, sedangkan di perang Uhud kedua kelengkapan batin itu telah hilang terutama mereka tidak taat kepada pimpinan.

Oleh yang demikian, dengan takwa jiwamu akan tenteram dan barisanmu akan teratur. Dalam takwa terkandung ketakutan kepada Allah dan ketaatan kepada rasul sebagai pimpinanmu.

Dengan itu kamu pasti menang lantaran kamu bersyukur dan sebab takwa bantuan malaikat pasti datang.

iv. Al-Sonhadji berkata: Allah SWT mengingatkan orang mukmin ketika mereka bertempur dengan orang musyrikin di medan perang Badar dahulu adalah bilangan mereka itu sangat sedikit iaitu kira-kira 313 orang.

Ada yang mengatakan 313 orang, tidak mempunyai kelengkapan perang yang cukup, berbanding bilangan kaum Musyrikin seramai kira-kira 1,000 orang yang lengkap dengan peralatan perang. Namun dengan kehendak Allah SWT orang-orang Mukmin menang dalam peperangan tersebut.

Oleh itu, Allah menyeru mereka supaya takut kepada Allah dengan berpendirian tetap bersama-sama Rasulullah SAW. Mudah-mudahan mereka bersyukur dengan sebab memperoleh kemenangan.

Sebab Nuzul ayat ke-124

Ibn Abu Shaibah, Ibn Mundhir dan lain-lain meriwayatkan daripada Sha'biy bahawa umat Islam pada hari Badar diberi khabar bahawa Kuraz Ibn Jabir al-Muharibi ingin membantu kaum musyrikin. Hal ini dirasakan berat oleh mereka. Oleh kerana itu, Allah SWT telah menurunkan firman-Nya ini.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Al-Alusi berkata: Dikehendaki dengannya waktu yang memanjang dan didahulukan arahan supaya bertaqwa untuk menzahirkan kesempurnaan inayah dan pemeliharaan Allah SWT.

ii. Imam Fakhr al-Razi dalam kitab Tafsir al-Kabir berkata: Para ahli tafsir dan sejarah berpendapat bahawa Allah SWT telah menurunkan tentera-tentera yang terdiri daripada malaikat-Nya itu dalam Perang Badar telah ikut serta memerangi orang kafir.

iii. Ibn Abbas berkata: Malaikat yang turut sama berperang hanyalah dalam perang Badar. Dalam peperangan lain mereka hanyalah menampakkan kepada musuh besarnya jumlah tentera Islam (padahal jumlah tentera Islam sedikit, lagipun mereka tidak turut berperang mahupun membunuh).

iv. Muhammad Quraish Shihab berkata: Maksud malaikat yang memakai tanda adalah kiasan tentang keberanian dan kekuatan mereka.

Biasanya para pemberani memakai tanda-tanda khusus dalam peperangan seperti bulu berwarna di kepala atau di kudanya untuk memperkenalkan dirinya kepada lawan bahawa dia tidak bersembunyi dan tidak takut untuk berhadapan sesiapa pun.

Friday, September 18, 2009

Kemuliaan Hari Raya

Kemuliaan Hari Aidil Fitri diterangkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah di dalam beberapa hadisnya.

Oleh itu umat Islam amat digalakkan untuk menghidupkan malam Hari Raya sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban.

Sehubungan dengan inilah Allah berfirman di dalam Al Quran menerusi ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bersyukur."

Kemuliaan Hari Raya juga diterangkan di dalam Hadis seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Daripada Umamah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda barang siapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang yang kafir ingkar pada hari kiamat.

Daripada hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa Hari Raya satu perkara yang disyariatkan dalam Islam dan pada Hari Kiamat kelak orang-orang yang beriman dan beramal soleh hatinya hidup bahagia dan gembira kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredaan Allah azzawajallah hasil daripada amal-amal kebajikan yang mereka kerjakan di dunia seperti berpuasa di bulan Ramadan.

Sebaliknya orang yang kufur dan ingkar hatinya mati mereka hampa dan kecewa pada hari itu kerana dimurkai oleh Allah dan mereka ditimpa dengan seburuk-buruk balasan.

Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang menceritakan tentang menghidupkan malam Hari Raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani r.a. yang bermaksud:

"Barang siapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir."

Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w.

Firman Allah SWT, maksudnya: Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid kerana kamu telah mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur."

Daripada hadis pula sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. maksudnya: Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid.

Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda daripada Anas r.a. maksudnya: Hiasilah kedua-dua Hari Raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis.

Ini bermakna, seseorang muslim itu adalah digalakkan agar menghidupkan malam hari raya dengan amalan-amalan yang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah bagi menjamin hatinya tidak akan mati pada hari kiamat.

Adalah lebih baik mengemas rumah, menjahit baju yang masih belum siap, menggosok pakaian raya untuk persiapan solat pagi raya bagi membesarkan Allah, menggantung langsir dengan niat mencantikkan rumah, kerana Allah suka kepada yang indah dan cantik, daripada menghabiskan sepanjang malam raya dengan menonton rancangan televisen, apatah lagi rancangan hiburan, filem, seloka Aidilfitri, mendengar lagu raya yang mengasyikkan, kerana tindakan itu sedikit sebanyak boleh menjejas pahala yang kita raih sepanjang bulan Ramadan.

Amalan mulia di Hari Raya Aidilfitri


Di hari mulia Syawal ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk: -

1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri.

2) Menjamah makanan sebelum kelua dari rumah.

3) Memperbanyakkan Takbir.

4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ; Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Contohnya,”Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu”.

5) Memakai pakaian terbaik yang ada; Bagaimanapun, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan. Demikian juga, tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang diharamkan di dalam Islam).

6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi)

7) Berziarah dan merapatkan silaturahimi sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.

*KEPADA KAWAN-KAWAN SEMUA SAYA UCAPKAN SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN.....JANGAN LUPA PUASA 6 LEPAS RAYA......JUMPA LAGI.

Celik al-Quran walaupun buta


Pelajar-pelajar SKPK Princess Elizabeth sedang tekun bertadarus al-Quran menggunakan huruf Braille.


SALAH tu. Huruf mim bertemu min hukumnya iqlab. Kena panjang dua harkat. Ulang balik," lembut teguran Mohd. Zulkifli Mamat ketika membetulkan bacaan ayat suci al-Quran salah seorang anak muridnya.

Unsur kelembutan yang hadir pada sesi pembelajaran antara dua insan yang cacat penglihatan itu sedikit sebanyak mampu mengusik emosi sesiapa yang mendengarnya.

Paling tersentuh apabila dalam keadaan teraba-raba, ada di antara murid itu dapat mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran tanpa tersekat-sekat sambil memperdengarkan kelunakan suara yang mendamaikan.

Malah hati siapa yang tidak sejuk apabila seorang guru yang cacat penglihatan, Mohd. Zulkifli, 43, gigih mengajar al-Quran kepada anak-anak muridnya yang turut mengalami masalah sama di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth, Jalan Nong Chik, Johor Bahru, Johor sejak 10 tahun lalu.

Sepanjang Ramadan ini, Mohd. Zulkifli yang mesra dipanggil Ustaz Zul bersama kira-kira 56 murid jelas tidak mahu ketinggalan bertadarus membaca al-Quran bertulisan Braille.

Biarpun hidup dalam kegelapan, aktiviti bertadarus al-Quran saban malam itu menjadi rutin selepas sembahyang terawih sebagai waktu terbaik buat mereka memperbanyakkan ibadat agar mendapatkan keredaan dan keberkatan Ilahi.

Jelas Mohd. Zulkifli, kepuasan dan keseronokan yang diperoleh sebagai guru mengajar al-Quran ialah apabila beliau dan dua guru yang lain dapat mengkhatamkan seramai 12 murid sejak aktiviti tersebut dianjurkan lima tahun lalu.

"Bayangkan satu huruf pun mendapat pahala daripada Allah SWT, inikan pula sebuah al-Quran. Tambah pula dalam puasa ini yang penuh berkat ini, lagi banyak pahala.

"Mengajar murid-murid cacat penglihatan membaca al-Quran sebenarnya perlu banyak kesabaran kerana paling cepat mereka dapat mahir dengan titik huruf Braille adalah dalam tempoh tiga bulan," kata anak kelahiran Tumpat, Kelantan itu membuka bicara.

Menyambung bicara, bapa kepada seorang bayi comel berusia 13 bulan itu berkata, cabaran utama bagi memahirkan diri membaca al-Quran bertulisan Braille adalah mengenal huruf terlebih dahulu.

Katanya, ini kerana huruf seperti alif, ba dan ta mempunyai titik yang berbeza dan ia hanya dapat dibezakan menerusi kecekapan deria rasa jari pada titik-titik tulisan.

"Namun menjadi guru mengajar al-Quran yang 'tidak nampak' ini lagi besar cabarannya. Selain perlu membiasakan diri dengan keadaan sekeliling, saya berdepan dengan murid-murid cacat penglihatan yang nakal kerana gelagat mereka sama seperti kanak-kanak normal lain.

"Mereka juga suka mengusik murid-murid lain malah tidak kurang yang terlalu aktif dan sentiasa bersifat periang. Apa pun saya tetap melayan mereka seperti murid normal dan memarahi jika membuat salah," katanya tersenyum sambil rancak bercerita.

Saya tidak sesal

Bagi penulis, hati Mohd. Zulkifli lebih terang biarpun matanya tidak dapat melihat. Dia membaca al-Quran bertulisan Braille melalui mata hatinya dan itulah kelebihan Allah SWT sebagai anugerah yang amat bernilai kepada dirinya yang buta sejak 27 tahun lalu.

Katanya, dia tidak sesal menerima musibah itu cuma sedikit sedih walaupun percaya setiap kekurangan dirinya itu akan terdapat kelebihan yang diberikan Allah SWT kelak.

"Bayangkan kalau kita hilang RM10 pun dah rasa sedih, inikan pula hilang mata untuk melihat dunia ini. Saya terima takdir ini kerana mungkin terdapat hikmahnya," katanya.

Mengimbau tragedi lampau, Mohd. Zulkifli mengalami demam panas selama dua bulan ketika berumur 16 tahun. Dia hanya berubat mengikut cara kampung iaitu berjumpa bomoh. Sebaik demamnya beransur pulih, matanya pula silau dan rabun sebelum tidak nampak secara keseluruhan tidak lama kemudian.

"Saya harap pada mereka yang Allah SWT kurniakan penglihatan yang sempurna dapat membaca al-Quran dengan lebih kerap sebagai tanda kesyukuran kepada-Nya.

"Jangan mensia-siakan kurniaan Allah SWT itu kerana bila sudah tidak ada lagi, baru kita merasakan satu kerugian betapa berharga nilai penglihatan itu," katanya menitip nasihat.

Di SKPK Princess Elizabeth, pemegang Diploma Perguruan dari Institut Perguruan Darul Aman, Kedah itu turut mengajar mata pelajaran Agama dan Pengajian Islam.

Sekolah yang dibuka sejak 1953 itu kini menempatkan 78 murid berusia antara enam hingga 12 tahun yang menghadapi masalah penglihatan.

Selain itu, seramai 25 pelajar yang berusia 13 hingga 19 tahun bersekolah di Maktab Sultan Abu Bakar yang terletak berdekatan dengan SKPK Princess Elizabeth.

Kesemua mereka tinggal di asrama yang disediakan memandangkan terdapat murid-murid di situ datang dari seluruh Semenanjung Malaysia.

Pada 15 September ini, sekolah itu akan menganjurkan majlis khatam al-Quran peringkat sekolah bagi meraikan dua lagi murid yang berjaya mengkhatamkan al-Quran dan dua lagi muqadam.

Gembira khatam al-Quran

Melihatkan ketabahan murid-murid cacat penglihatan ini membaca al-Quran walaupun dalam serba kekurangan cukup menginsafkan.

Diselubungi kehidupan yang penuh penderitaan, mereka tetap tidak mahu mengaku kalah dalam menunaikan tuntutan agama.

Bagi mereka, tiada istilah berputus asa jauh sekali memencilkan diri daripada aktiviti insan normal lain kerana menyedari nasib berbeza dalam menjalani hidup di muka bumi ini.

Seorang pelajar, Ainur Athira Zulkifli, 13, berkata, dia tidak mahu mengharap belas ihsan orang lain selain berterusan meratapi takdir yang menimpa dirinya itu.

Kata anak kelahiran Kluang itu, biarpun buta, kesukaran membaca al-Quran bertulisan braille pada peringkat awal merupakan ujian mencabar yang perlu diatasinya.

Anak kedua daripada empat beradik itu mengakui masalah mempelajari hukum tajwid bertulisan braille hampir menggoncang semangatnya.

Namun latihan bacaan setiap hari membolehkan dirinya berjaya mengkhatamkan al-Quran pada umur 11 tahun, katanya tersipu malu.

"Saya mula membaca muqadam pada umur 10 tahun dan semakin fasih dalam tempoh setahun. Mula-mula memang susah hendak guna jari belajar dalam tulisan braille.

"Tetapi asyik kena marah dengan ustaz tiap-tiap hari, lama kelamaan saya dapat 'menangkapnya' dengan cepat," katanya yang bersekolah di Maktab Sultan Abu Bakar.

Sementara itu, seorang murid, Mohd. Asraf As'ari, 13, memberitahu, dia sedar kelemahan diri apabila agak lambat dapat membaca al-Quran bertulisan braille yang memerlukan kemahiran deria rasa di jari.

Kata anak kepada seorang mekanik itu, ini kerana dia sukar membezakan huruf braille bagi tanda atas, tanda bawah dan sabdu. Namun cabaran itu sesekali tidak pernah luntur kesungguhannya.

Dia yang buta sejak umur tujuh tahun berkata, rahsia kejayaannya dapat mengkhatamkan al-Quran pada tahun lalu kerana menetapkan tempoh belajar selama satu jam setiap hari.

Hakikatnya, merapati murid-murid cacat penglihatan ini seolah-olah melangkah ke satu jalur kehidupan yang luar biasa apabila tidak semua insan berpeluang menikmati keindahan hidup seperti mana yang diinginkan.

Mereka mengharungi kehidupan yang penuh berliku dan suka duka yang dihadapi itu merupakan satu ujian yang sering menggugat kesabaran, namun anak-anak kecil ini tetap berserah kepada Allah SWT.

Bagi individu atau syarikat yang ingin berkongsi kegembiraan dengan murid-murid dalam menganjurkan sebarang majlis, mereka boleh menghubungi guru besar sekolah, Nafisah Ismail di talian 07-2224068.

Larangan lantik munafik sebagai pembantu

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi ‘orang dalam’ (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya. Awaslah! kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: Kami beriman, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), Katakanlah (Wahai Muhammad): “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu.” Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada. Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka, dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. dan kalau kamu sabar dan bertakwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuannya akan apa yang mereka lakukan. (ali-‘Imran: 118-120)

Sheikh Sya’rawi berkata : Selepas Allah menjelaskan betapa Dia tidak menzalimi seseorang tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri kerana menafkah pada tempat yang tidak diterima melainkan gugurlah segala amalan mereka. Itulah keadilan Allah seterusnya Allah berfirman.

Sebab Nuzul ayat ke-118

Ibn Abbas dan Mujahid berkata: “Ayat ini diturunkan kepada kaum yang beriman, berbaik dengan munafik dan Yahudi keran hubungan kerabat, rakan, jiran, susuan, dan perjanjian. Lantas mereka dilarang daripada mengambil golongan tersebut sebagai penasihat”.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Ibn Kathir berkata: “Allah dengan tegas melarang hamba-Nya yang beriman daripada menjadikan golongan munafik sebagai penasihat dan pembantu setia mereka.

ii. Al-Qadhi Abu Ya’la berkata: “Ayat ini menjadi dalil tidak harus meminta tolong dengan ahli Zimmah dalam urusan orang Islam”.

iii. Al-Maraghi berkata: “Kebiasaan ini diikuti pula oleh pemerintahan Abbasiah dan raja-raja Islam lain dari aspek pemakaian beberapa tenaga dalam menjalani urusan pemerintahan sama ada dilantik daripada kalangan Yahudi mahupun Nasrani.

“Situasi ini berjalan sampai sekarang. Sebahagian besar duta besar kerajaan Uthmani dan konsul-konsulnya adalah terdiri daripada orang Nasrani”.

Firman-Nya: Mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudaratan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Kalimat ini bukanlah dapat memberi penjelasan yang konkrit. Kerana itu, ia mengandungi perintah untuk mencari bukti-bukti yang lebih nyata dan jelas pada sikap tingkah laku mereka. Itulah agaknya yang menjadi sebab sehingga ayat ini diakhiri dengan jika kamu berakal, bukan bila kamu mengetahui atau memahami. Dalam hal ini, kaum muslimin diperintahkan menggunakan akal dan fikiran untuk menimbang dan menganalisis sikap dan tingkah laku penentang-penentang Islam.

iv. Hamka berkata: “Kalimat ini ialah bhitanah, bermaksud kawan rapat atau sahabat karib. Ayat ini melarang orang mukmin berteman dengan orang yang bukan dari golongan mereka sendiri. “Mereka sangka orang lain akan jujur sepertinya tetapi itulah musuh yang paling jahat dan kejam kerana mereka tidak pernah reda dengan umat Nabi Muhammad SAW”.

Sebab Nuzul ayat ke-119

Ibn Abbas berkata: “Kebanyakan orang Ansar menjalin hubungan dengan orang Yahudi. Apabila mereka memeluk Islam, Yahudi begitu marah terhadap mereka lantas turunnya ayat ini”.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Berkenaan kasih sayang orang beriman terhadap mereka mempunyai empat pandangan:

– Cenderung kepada mereka secara tabiat seperti hubungan kerabat dan lain-lain. Inilah pendapat Ibn Abbas.

– Dengan makna rahmat. Apa yang mereka lakukan maksiat akan dibalas dengan azab. Inilah pendapat al-Qatadah.

– Orang munafikin menzahirkan iman kerana orang munafikin menzahirkan iman. Inilah riwayat Abu al-‘Aliyah.

– Harapan supaya mereka memeluk Islam. Inilah pendapat al-Mufaddhal dan al-Zajjaj.

ii. Al-Maraghi berkata: “Perasaan yang ditonjolkan oleh orang mukmin kepada golongan kafir dan begitulah perwatakan mereka merupakan bukti yang paling jelas bahawa Islam ini adalah agama rahmat dan bersikap toleransi, dan tidak mungkin lagi ada agama lain yang dapat memiliki sikap yang lebih baik daripada ini”.

iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Penutup ayat ini sesungguhnya Allah mengetahui segala isi hati, dapat difahami sebagai bahagian yang diperintahkan untuk diucapkan sebagaimana dikemukakan di atas.

“Ia juga dapat difahami dalam erti huraian yang tersendiri. Jika demikian, ia adalah informasi kepada mereka dan juga kepada umat Islam bahawa kebencian dan kedengkian mereka itu diketahui Allah.

“Informasi ini penting, kerana mereka menyembunyikan daripada semua pihak termasuk kaum muslimin yang masih menjalin hubungan kasih sayang dengan lawan-lawan itu”.

iv. Hamka berkata: “Kamu belas kasihan kepada mereka dan mengharap ia mendapat petunjuk agar dapat merasakan nikmat hidup beragama tetapi mereka tidak menyambut seruan dan kasih sayang kita”.

Iktibar dan fiqh ayat ke-120

i. Al-Alusi berkata: “Sebahagian ahli tahqiq berpendapat lebih elok dan utama dikatakan ia menjadi dalil atas melampaunya mereka dalam kegembiraan dan dukacita”.

ii. Al-Maraghi berkata: “Ayat ini memberikan pengajaran kepada kaum mukmin dari aspek pergaulan dengan pihak musuh.

“Sesungguhnya Allah SWT telah menyuruh orang beriman agar bersabar menghadapi api permusuhan dengan golongan kafir yang dilitupi dengan perasaan benci kepada mereka dan sentiasa berhati-hati terhadap rancangan jahat mereka.

“Dalam hal ini orang mukmin tidak disuruh membalas kejahatan dengan kejahatan yang sama. Sudah menjadi kebiasaan bagi al-Quran menyuruh mereka melakukan perbuatan yang membawa ke arah kecintaan dan kebaikan dan melawan kejahatan dengan kebaikan.

“Ayat ini masih melanjutkan huraian tentang orang-orang yang tidak wajar diangkat menjadi teman dan tempat untuk menyimpan rahsia atau diserahi urusan-urusan kaum muslimin yang menentukan masa depan Islam dan penganutnya.

“Mereka itu di samping sifat-sifatnya yang disebutkan pada ayat-ayat yang lalu jika kamu disentuh, yakni mendapatkan walau sedikit kebaikan seperti nikmat kesihatan, keuntungan material, kemenangan nescaya mereka bersedih hati akibat sentuhan yang sedikit itu, tetapi jika kamu ditimpa bencana yang besar barulah mereka bergembira kerananya.

iii. Hamka berkata: “Tidur mereka sudah tidak tenang lagi, makanpun tidak rasa nikmatnya lagi. Mereka sendiri yang meracuni jiwa mereka dengan rasa benci dan dendam itu. Mereka tidak senang dengan kesenangan orang lain.

“Mereka mempunyai hati yang busuk kerana mendengki dan menyebabkan kesusahan kepada orang lain. Perbuatan mereka sungguh aib dan dimurkai Allah SWT”.

Semoga umat Islam sentiasa mendapat keredaan Allah dengan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Amin.

Status Hadis: Fadilat Harian Solat Terawih....???

Hadis fadilat tarawih

Soalan: SAYA ada menerima edaran risalah hadis fadilat harian solat tarawih riwayat Saidina Ali selepas bersolat tarawih di masjid kariah saya. Adakah ia hadis yang benar?

Jawapan:

Berdasarkan kajian yang dijalankan, hadis ini tidak terdapat di dalam al-Kutub al-Sittah (Buku yang Enam) yang merupakan buku-buku rujukan hadis paling utama.

Ia terdiri daripada al-Sahihan (Buku Sahih yang Dua) iaitu Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim pada kelas yang pertama. Manakala baki empat buku lagi dipanggil al-Sunan al-Arba’ah (Buku Sunnah yang Empat) yang terdiri daripada Sunan Abu Daud, Sunan al-Tirmidzi, Sunan al-Nasa’i (yang diberi nama al-Mujtaba) dan Sunan Ibnu Majah.

Malah tidak juga terdapat dalam Muwatta’ Imam Malik, Sunan al-Darimi, Musnad Imam Ahmad bin Hanbal atau Mustadrak al-Hakim.

Malah satu cakera padat umpama perpustakaan bergerak tentang hadis seperti Maktabah Shamilah dan Sunnah Alfiyyah pun gagal menjejak hadis ini, hatta dalam buku-buku yang menyenaraikan hadis-hadis palsu.

Oleh yang demikian, mahu tidak mahu, ia terpaksa digolongkan dalam hadis yang tidak berasas (la asla la hu).

Apabila sesuatu hadis itu dilabelkan demikian maka ia adalah hadis yang palsu, baru diada-adakan dan haram hukumnya berpegang kepada.

Mempercayai apalagi menyebarkannya berdasarkan satu hadis mutawatir yang paling masyhur dalam bidang hadis: “Sesiapa yang berdusta atas namaku, maka dia telah menempah tempatnya di neraka.” (Sumber: Sahih al-Bukhari (1/52) dan Sahih Muslim (1/7), Sunan Abu Daud (3/357), Sunan al-Tirmidzi (5/35), Sunan al-Nasa’i (3/457), Sunan Ibnu Majah (1/13), dan Sunan al-Darimi (1/87).

Malahan ia tersenarai sebagai satu daripada 70 dosa besar dalam Islam - berdusta kepada Allah dan Rasul-Nya.

Ciri-ciri hadis palsu ialah:

1. Tidak terdapat hukum sedemikian di dalam fikah Islam yang diketahui

2. Hadis itu bertentangan dengan al-Quran atau kaedah-kaedah agama yang diketahui

3. Hadis itu bertentangan dengan hadis lain yang lebih tinggi status sahih dan penerimaannya dalam ilmu Islam

4. Hadis itu bertentangan dengan ijmak ulama

5. Hadis itu tidak terdapat dalam buku-buku kompilasi hadis yang muktabar - contoh yang jelas ialah seperti hadis yang ditanya oleh soalan ini.

6. Terdapat lafaz dan makna yang janggal jika dibandingkan dengan kefasihan dan keindahan untaian kata hadis-hadis sebenar daripada Rasulullah s.a.w.

7. Terdapat perkara-perkara yang melampau sifatnya di dalam hadis

8. Perawi mengaku dia mengada-adakan hadis palsu untuk tujuan tertentu seperti untuk mendapatkan sokongan orang-orang atasan dan seumpamanya.

Wednesday, September 16, 2009

Mendapatkan lailatul qadar

Sesuai sebagai anugerah yang begitu bernilai dan berharga, lailatul qadar tidaklah sampai begitu mudah diperolehi oleh sesiapa sahaja tanpa perlu berusaha.

Walaupun kita mewarisi pelbagai panduan dan petua daripada Rasulullah SAW sendiri dan para ulama pewaris Baginda SAW tentang mengenalpasti malam lailatul qadar, masih tidak ada satu kesepakatan tentang bilakah sebenarnya jatuhnya malam itu.

Akhirnya, bolehlah disimpulkan bahawa peluang untuk mendapatkannya adalah lebih cerah bagi mereka yang menghidupkan malam-malam yang ganjil dari 10 malam yang terakhir, sangat cerah bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam terakhir dan paling terjamin bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam-malam Ramadan.

Juga harus diingat, para ulama turut berpandangan bahawa siangnya lailatul qadar juga perlu diisi dengan amal ibadah sama seperti malamnya.

Sesuai sebagai tanda rahmat dan pemberian Tuhan, lailatul qadar tidaklah pula terlalu sukar dan terlalu jauh dari capaian kita. Ia ditentukan jatuh di dalam bulan Ramadan.

Bulan Ramadan adalah bulan ibadah umat ini yang mana rata-ratanya malam-malam Ramadan adalah malam-malam yang lebih baik pengisian ibadahnya bagi kita semua.

Walaupun sebahagian ulama berpandangan bahawa kelebihan lailatul qadar dicapai dengan menghidupkan sebahagian besar malam itu, sebahagian ulama meriwayatkan bahawa untuk syarat minimum untuk mendapatkan sebahagian laba malam ini bukannya terlalu sukar.

Imam Malik dalam kitabnya al-Muwatto' misalnya, meriwayatkan pandangan Ibnul Musayyib bahawa, "Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak pada malam lailatul qadar secara berjemaah, maka sesungguhnya dia telah mendapat laba / bahagian daripadanya (lailatul qadar)".

Pandangan-pandangan yang lebih ringan ini meletakkan syarat mendapatkan lailatul qadar pada menjaga solat-solat fardu pada malam tersebut.

Jika pandangan ini yang kita ambil nescaya mendapatkan lailatul qadar bukannya terlalu sukar dan boleh diusahakan oleh semua orang. Tetapi Tuhan itu Maha Adil, hakikatnya, mereka yang biasa lalai tetap akan lalai dan gagal hatta untuk menjaga solat-solat fardu ini walaupun di malam-malam akhir Ramadan.

Semoga Allah menjauhkan diri kita dan mereka yang bersama kita daripada tergolong dalam golongan yang lalai.

Zikir dan doa yang diajarkan oleh nabi SAW untuk lailatul qadar juga cukup pendek mampu diamalkan oleh semua orang. Maka marilah kita memperbanyakkan doa ini di hari-hari ini, Allahumma innaka 'Afuwwun tuhibbul 'afwa fa'fu 'nniy yang maksudnya, "Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun , sukakan keampunan maka ampunilah aku".

Walaupun pintu untuk kita menghayati lailatul qadar melalui ibadah khusus lebih terbuka di bulan Ramadan dengan budaya dan suasananya yang tersendiri, ini tidak menafikan hakikat luasnya makna dan bentuk ibadah dalam Islam.

Mereka yang terpaksa menyelesaikan tugasan dan kerja mereka yang tidak bercanggah dengan agama dan dalam kadar yang sesuai dengan bulan Ramadan ini, tetap boleh meniatkan kerja-kerja mereka sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk mendapatkan dan menghayati lailatul qadar.

Fadilat puasa bagi kesihatan

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Para ilmuwan menganggap berpuasa sebagai fenomena yang penting dan semula jadi, di mana kehidupan yang sempurna dan kesihatan yang baik tidak dapat diperoleh tanpa berpuasa. Apabila seseorang atau bahkan seekor haiwan tidak berpuasa, maka ia akan terjangkit berbagai macam penyakit.

McFadon, seorang ahli kesihatan Amerika, menyatakan: "Setiap orang perlu berpuasa, kerana kalau tidak berpuasa maka ia akan sakit. Sebab racun makanan berkumpul dalam tubuh dan membuatnya seperti orang sakit, memberatkan tubuhnya, dan mengurangkan vitalitinya.

"Apabila ia berpuasa, maka berat badannya menurun, dan racun-racun terurai daripada tubuhnya dan keluar, sehingga tubuhnya menjadi bersih secara sempurna dan sel-sel kembali baik".

Menurut kajiannya, di antara manfaat kesihatan daripada berpuasa ialah:

Merehatkan tubuh dan memperbaiki saraf.

Menyerap zat-zat yang mengendap di usus. Pengendapan dalam jangka waktu yang lama mengakibatkan perubahan endapan itu menjadi kotoran yang beracun.

Memperbaiki fungsi pencernaan dan penyerapan.

Mengembalikan virtaliti organ pembuangan, dan memperbaiki fungsinya untuk membersihkan tubuh, yang mengakibatkan terkawalnya kestabilan dalam darah dan berbagai cairan dalam tubuh.

Mengurai zat-zat yang berlebihan dan endapan di dalam jaringan yang sakit.

Mengembalikan keremajaan dan vitaliti sel-sel serta berbagai jaringan dalam tubuh.

Menguatkan indera dan meningkatkan IQ.

Memperelok dan membersihkan kulit.

Alexis Carrel, pemenang hadiah nobel di bidang kedoktoran, dalam bukunya Man the Unknown menyatakan: "Banyaknya bahan makanan dapat melemahkan fungsi organ, dan itu merupakan faktor yang besar bagi berdiamnya jenis-jenis virus dalam tubuh.

"Fungsi tersebut adalah fungsi adaptasi terhadap bahan makanan yang sedikit. Gula pada jantung bergerak, dan bergerak pula lemak yang tersimpan dalam kulit.

"Semua organ tubuh mengeluarkan zat khususnya untuk mempertahankan keseimbangan dalaman dan kesihatan jantung. Berpuasa benar-benar memberikan dan pengganti jaringan tubuh kita".

Allah berfirman yang bermaksud: Kerana itu, barang siapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu. (al-Baqarah: 185).

Sementara Prof. Nicko Lev dalam bukunya, Hungry for Healthy menyatakan: "Setiap orang mesti berpuasa dengan berpantang makan selama empat minggu setiap tahun, agar ia memperoleh kesihatan yang sempurna sepanjang hidupnya".

Seterusnya, menurut penelitian beliau, mukjizat penepatan waktu berpuasa dari matahari terbit hingga matahari terbenam, adalah dengan tidak berlebihan saat berbuka puasa. Penelitian ilmiah membuktikan bahawa jarak waktu yang tepat untuk berpuasa adalah antara 12 hingga 18 jam. Selepas itu, simpanan gula dalam tubuh mulai terurai.

Dreanik dan kawan-kawannya, pada tahun 1964, mencatat sejumlah penyakit komplikasi kritis akibat berpuasa lebih dari 31 hari.

Di sini nampak jelas mukjizat Nabi SAW dalam larangan berpuasa bersambung (tidak termasuk puasa sunat Syawal).

Di samping itu, penelitian ilmiah membuktikan kepentingan makan sahur dan berbuka adalah untuk membekalkan tubuh dengan zat asam lemak dan amino, tanpa kedua zat ini, lemak dalam tubuh kita akan terurai dalam jumlah besar, sehingga mengakibatkan sirosis pada hati, dan menimbulkan berbagai bahaya besar bagi tubuh.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Umatku akan tetap dalam keadaan baik selama mereka menyegerakan berbuka dan mengakhirkan makan sahur." (riwayat Ahmad)

Mengenai bersahur (makan sahur), Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Bersahurlah kamu sekalian, kerana bersahur itu ada keberkatannya. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Waktu bersahur itu selepas pertengahan malam sampai menjelang terbit fajar (waktu Subuh).

Menyegerakan berbuka, iaitu setelah mengetahui waktu Maghrib. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Manusia sentiasa dalam keadaan baik selama mereka menyegerakan berbuka." (riwayat Bukhari dan Muslim).

Berdoa sewaktu berbuka dan sepanjang melaksanakan puasa. Dari Abdullah bin Amr bin As r.a, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya bagi orang yang sedang berpuasa, saat berbuka doanya tidak ditolak". (riwayat Ibnu Majah).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ada tiga doa yang tidak akan ditolak Allah, orang yang berpuasa sampai ia berbuka, imam (pemimpin) yang adil dan orang yang teraniaya". (riwayat Tirmizi).

Adapun doa saat berbuka yang bermaksud: "Telah hilang haus dan telah basah tenggorakan, dan telah tetap pahala insya-Allah". (riwayat Tirmizi).

SURAH AL-QADR (097)

1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Qur'an) ini pada Malam Lailatul-Qadar,

2. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?

3. Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

4. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

5. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.

Pencarian lailatul qadar...

KITA sudah pun berada dalam sepuluh hari-hari terakhir Ramadan yang dirindui oleh para kekasih Allah SWT. Ini bererti kita sudah memasuki sepertiga terakhir Ramadan yang menandakan Ramadan akan melambaikan salam perpisahannya dalam beberapa hari yang pendek.

Hari-hari ini dirasakan pendek oleh para Solehin kerana mereka begitu yakin dengan ketinggian nilai dan keistimewaan hari-hari ini yang menyebabkan mereka seolah-olah merasa tidak mencukupi dengan saki-baki minit dan jam yang ada.

Begitu banyak amal bakti yang belum sempurna dipersembahkan ke hadrat ilahi. Masih banyak bukti pengabdian yang belum sempurna dipersembahkan ke hadapan-Nya.

Di suatu sudut lain, sebahagian orang pula merasakan hari-hari ini begitu pendek kerana pelbagai kesibukan duniawi apabila mengenangkan Hari Raya yang menjelang tiba.

Pelbagai persiapan pakaian, rumah dan juadah yang hendak disempurnakan. Masih banyak urusan kerja dan perniagaan berkaitan Ramadan dan Aidil Fitri yang belum selesai.

Sinar hari-hari terakhir Ramadan ini mudah pudar dan tenggelam dalam keriuhan ambang Syawal sedangkan sepertiga terakhir Ramadan inilah merupakan peringkat terpenting dalam madrasah Ramadan yang sedang kita lalui ini.

Keutamaan lailatul qadar

Keutamaan utama hari-hari terakhir Ramadan ini berputar sekitar pemburuan mendapatkan keutamaan lailatul qadar.

Satu malam gilang-gemilang yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Malam yang begitu agung dalam kerajaan langit sehingga diabadikan dalam suatu surah al-Quran yang khusus untuk mengisytiharkan keistimewaannya iaitu surah al-Qadr.

Bagi mereka yang sentiasa menjadikan urusan amal ibadah sebagai tumpuan perhatian dan kebimbangan mereka, inilah satu tawaran istimewa daripada Allah SWT yang 'haram' dilepaskan.

Sangat malanglah bagi seorang hamba yang dikurniakan hadiah begitu berharga daripada Tuhannya sendiri tetapi tidak mengendahkannya atau tidak menerimanya dengan baik.

Benarlah pesan Rasulullah SAW bahawa, "Sesiapa yang diharamkan mendapat kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah diharamkan. (daripada mendapat segala kebaikan)".

Memang lailatul qadar adalah suatu hadiah atau anugerah bagi umat ini. Para ulama meriwayatkan pelbagai riwayat bagaimana lailatul qadar dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW kerana mengambil kira jangka hayat umat ini yang jauh lebih pendek berbanding umur umat sebahagian nabi-nabi terdahulu.

Dengan beramal-ibadah pada malam ini barulah boleh kita menyaingi kuantiti ibadah umat-umat yang dikurniakan umur yang jauh lebih panjang.

Harus diinsafi bahawa sebagai suatu urusan ibadah, kelebihan utama lailatul qadar bukan terbatas kepada sifir 1,000 bulan yang begitu sinonim dengan malam tersebut.

Dalam mana-mana urusan ibadah nilai utama sesuatu amalan tetap tergantung kepada rahmat dan kasih Tuhan yang menjadi tumpuan sesuatu amalan tersebut.

Oleh itu memburu lailatul qadar bukan bererti kita sekadar mengejar gandaan seribu bulan itu tetapi yang lebih penting, berusaha mencarinya bererti kita bersungguh-sungguh untuk menyambut dan meraikan suatu bukti kasih dan rahmat Allah SWT kepada kita.

Pulangnya Tetamu Agung...Ramadhan

Ramadan, tetamu agung yang setia datang berkunjung setiap tahun tetap akan pergi meninggalkan kita sedikit masa lagi.

Mereka yang benar-benar menghayati dan mendapat faedah dari kedatangan Ramadan dengan menikmati kemanisan iman dan peningkatan takwa yang datang bersamanya sudah tentu menghadapi saat-saat perpisahan ini dengan penuh kesedihan berbaur kebimbangan dan pengharapan.

Sedih mengenangkan perpisahan dengan bulan yang dikasihi ini. Bimbang adakah amalan diterima dengan tahap penghayatan yang tidak seberapa. Berharap agar dosa-dosa diampunkan, dikembalikan kepada fitrah serta berharap agar bertemu lagi dengan Ramadan yang akan datang.

Inilah sikap yang diriwayatkan daripada sebahagian para salaf. Mereka berdoa kepada Allah SWT selama enam bulan agar dipertemukan dengan Ramadan. Setelah itu mereka berdoa pula selam enam bulan berikutnya agar Allah SWT menerima amalan mereka di bulan Ramadan yang berlalu.

Semoga Allah mengurniakan kita himmah yang tinggi dalam beragama seumpama mereka. Marilah kita menghantar pulang Ramadan kali ini hingga ke 'hujung desa'. Ibarat menjamah juadah yang paling kita gemari, janganlah kita tinggalkan Ramadan kali ini bersisa sedikitpun.

Ibarat suatu perlumbaan marathon yang kita sertai, apalah gunanya kita hebat di peringkat awal larian hanya untuk lemah-lesu ketika menuju garisan penamat. Marilah kita rebut setiap ketika yang berbaki di bulan Ramadan kali ini dan mengisinya dengan sebaik mungkin.

Sesungguhnya La hawla wala quwwata illa billah al-'Aliyyil 'Adzim yang maksudnya, "Tiada daya (menghindari maksiat) dan tiada kekuatan (melakukan ketaatan) melainkan dengan izin Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung".

Jangan tinggal Solat Sunat Sebelum Subuh

Sempena dalam Bulan Ramadhan Al-Mubarak dan 10 malam terakhir Ramadhan ini sama-samalah kita kejar dan ambil...kesempatan untuk dapatkan malam yang penuh bermakna dan penuh dgn rahmat dan keberkatan...iaitu malam Lailatul Qadar...

Monday, September 14, 2009

Iktikaf pada puluhan terakhir Ramadhan

Aisyah r.a menerangkan bahawasanya Nabi SAW beriktikaf pada puluhan yang akhir dari bulan Ramadhan sehingga Allah mewafatkannya. Kemudian isteri-isteri baginda beriktikaf sesudah baginda wafat.”

(al-Bukhari dan Muslim)

Huraian :

Beriktikaf dari segi bahasa bermaksud menahan, berhenti dan tetap di sesuatu tempat. Manakala mengikut istilah syarak pula ialah berdiam diri di dalam masjid dengan sifat yang tertentu. Hukum beriktikaf ini adalah sunat dan ia amat digalakkan terutama pada puluhan akhir bulan Ramadhan. Iktikaf sebenarnya tidak mempunyai zikir-zikir yang khusus dan tidak juga ditetapkan dengan amalan-amalan yang khusus juga tempoh masa yang tertentu bahkan cukup sekiranya hanya diam di dalam masjid dan berniat iktikaf. Rasulullah SAW lazimnya tidak meninggalkan amalan beriktikaf di dalam masjid pada puluhan akhir bulan Ramadhan yang kebiasaannya berlaku Lailatul Qadar.

Mandi Wajib mengikut Sunnah


عن ابن عباس قال: قالت ميمونة: وضعت لرسول الله صلى الله عليه وسلم ماء يغتسل به، فأفرغ على يديه، فغسلهما مرتين أو ثلاثا، ثم أفرغ بيمينه على شماله، فغسل مذاكيره، ثم دلك يده بالأرض، ثم مضمض واستنشق، ثم غسل وجهه ويديه، وغسل رأسه ثلاثا، ثم أفرغ على جسده، ثم تنحى من مقامه، فغسل قدميه.

Dari Ibn ‘Abbas RA, beliau berkata: Maimunah RA berkata: Aku meletakkan air untuk Rasulullah SAW mandi wajib. Baginda SAW menyiram kedua tangannya dan membasuh kedua tangannya dua atau tiga kali. Seterusnya Baginda SAW menyiram air dengan tangan kanannya ke tangan kirinya dan membasuh kemaluannya (dengan menggunakan tangan kiri). Selepas itu, Baginda SAW menyapu tangannya ke tanah, kemudian Baginda SAW memasukkaan air ke dalam hidung dan mulut kemudian mengeluarkannya. Seterusnya Baginda SAW membasuh mukanya dan kedua tangannya dan membasuh kepalanya tiga kali. Selepas itu Baginda SAW menyiram air ke atas tubuhnya, kemudian baginda saw berpindah dari tempat tersebut dan mencuci kedua kakinya. (al-Bukhari)

Di dalam Sahih Muslim (317) disebutkan pula:

ثم أتيته بالمنديل فرده

Kemudian aku (Maimunah RA) memberikan kepada Baginda SAW sapu tangan, lalu Baginda SAW menolaknya.

RINGKASAN BERDASARKAN DALIL DI ATAS:

1) Niat. Ini berdasarkan hadis yang popular bahawa setiap amal mestilah dengan niat.

2) Membaca ‘Bismillah’.

3) Mencuci tangan sebanyak tiga kali.

4) Mencuci kemaluan dengan tangan kiri

5) Menggosokkan tangan kiri ke tanah lalu lalu mencucinya. Boleh juga mencuci tangan kiri itu dengan sabun.

6) Berwudhu. Wudhu boleh dilakukan seperti wudhu untuk solat (Sohih Muslim:317) ataupun menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi.

7) Menyela-nyela rambut secara merata lalu menyiramnya 3 kali dengan air sepenuh dua telapak tangan. Ini berdasarkan hadis dari Aisyah di dalam sahih al-Bukhari:

ثم يدخل أصابعه في الماء، فيخلل بها أصول شعره، ثم يصب على رأسه ثلاث غرف بيديه

“Kemudian Baginda SAW memasukkan jari-jarinya ke dalam air, kemudian menyela-nyela rambutnya, kemudia menyiram kepalanya 3 kali dengan kedua tangannya.”

Ketika menyiram kepala hendaklah dimulai dengan bahagian kanan, kemudian, bahagian kiri dan seterusnya bahagian tengah kepala. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah RA di dalam sahih Muslim (318):

. بدأ بشق رأسه الأيمن. ثم الأيسر

Baginda SAW menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudia bahagian kiri.

Bagi wanita yang dalam keadaan junub, diblehkan untuk tidak melepaskan ikatan rambutnya. Ini berdasarkan hadis Ummu Salamah RA.

عن أم سلمة، قالت: قلت: يا رسول الله! إني امرأة أشد ضفر رأسي. فأنقضه لغسل الجنابة؟ قال “لا. إنما يكفيك أن تحثي على رأسك ثلاث حثيات. ثم تفيضين عليك الماء فتطهرين

Dari Ummu Salamah RA, beliau berkata: Aku berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW، sesungguhnya aku perempuan yang suka mengikat rambutku. Perlukah aku membuka ikatan tersebut ketika mandi junub? Jawab Rasulullah SAW: “Tidak, cukuplah bagi kamu dengan dengan menyiramkan air ke atas kepala kamu sebanyak 3 kali dan meratakan air ke seluruh tubuh kamu, dan kamu sudah dikira sudah bersuci. (Sahih Muslim:330)

Akan tetapi jika mandi untuk haidh, maka dianjurkan untuk melepaskan ikatan rambut. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah ra di dalam sahih al-Bukhari di mana beliau kedatangan haidh ketika menunaikan haji. Lalu baginda saw berkata sedemikian:

دعي عمرتك، وانقضي رأسك، وامتشطي

“Tinggalkanlah umrahmu, lepaskanlah ikatan rambutmu (ketika mandi) dan sisirlah rambutmu”

Memulakan dengan bahagian kanan tubuh.

عن عائشة؛ قالت: إن كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يحب التيمن في شأنه كله. في نعليه، وترجله، وطهوره

Dari ‘Aisyah RA: Sesungguhnya Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasutr, ketika bersikat dan ketika bersuci. (Sahih Muslim:268)

9) Meratakan air ke seluruh tubuh. Kita mestilah semua lipatan tubuh seperti ketiak dan lain-lain. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah (Sunan Abi Daud:243, di nilai sahih oleh al-Albani)

10) Beralih dari tempat mandi dan membasuh kaki.

Wallahu’alam.

Rujukan:

طهور المسلم في ضوء الكتاب و السنة مفهوم و فضائل وآداب و احكام

Wuduk............???

1. Ketika berkumur, berniatlah kamu dengan, "Ya Allah,ampunilah dosa mulut dan lidahku ini".
Penjelasan nombor 1 :
Kita hari-hari bercakap  benda-benda yang tak berfaedah.


2. Ketika membasuh muka, berniatlah kamu dengan, "Ya Allah, putihkanlah muka ku di akhirat
kelak, Janganlah Kau hitamkan muka ku ini

Penjelasan nombor 2 :
Ahli syurga mukanya putih  berseri-seri.

3. Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah kamu dengan, "Ya Allah, berikanlah hisab-hisab
ku ditangan kanan ku ini".

Penjelasan nombor 3 :
Ahli syurga diberikanhisab-hisabnya di tangan kanan .

4. Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah kamu dengan, "Ya Allah, janganlah Kau berikan hisab-
hisab ku di tangan kiri ku ini".

Penjelasan nombor 4 :
Ahli neraka diberikan hisab-hisabnya di tangan kiri .

5. Ketika membasuh kepala, berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, lindunganlah daku dari terik
matahari di padang Masyar dengan Arasy Mu".

Penjelasan nombor 5 :
Panas di Padang Masyar macam matahari sejengkal di atas kepala.

6. Ketika membasuh telinga, berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, ampunilah dosa telinga ku ini"
Penjelasan nombor 6 :
Hari-hari mendengar orang  mengumpat, memfitnah dll.

7. Ketika membasuh kaki kanan, berniatlah kamu  dengan."Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi
titian Siratul Mustaqqim".

Penjelasan nombor 7 :
Ahli syurga melintasi titian dengan pantas sekali.

8. Ketika membasuh kaki kiri, berniatlah kamu dengan,"Ya, Allah, bawakanlah daku pergi ke
masjid-masjid, surau-surau dan bukan tempat- tempat maksiat"

Penjelasan nombor 8 :
Qada' dan Qadar kita di tangan Allah.

Ramai di antara kita yang tidak sedar akan hakikat bahawa setiap yang dituntut dalam Islam
mempunyai hikmah nya yang tersendiri
.

Pernah kita terfikir mengapa kita mengambil
wuduk sedemikian rupa?
Pernah kita terfikir segala hikmah yang kita
perolehi dalam menghayati Islam?