Menurut Ibn Kathir, ayat ini diletakkan di antara ayat-ayat hukum puasa sebagai petunjuk agar setiap muslim bersungguh-sungguh dalam berdoa setelah menyelesaikan jumlah hari berpuasa dalam sebulan, bahkan anjuran berdoa pada setiap kali waktu berbuka.
Ketika menafsirkan ayat ini Ibn Kathir telah menukilkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abu Hatim yang menyatakan bahawa seorang Arab Badawi bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, adakah Tuhan kita itu dekat dan kita dapat bermunajat kepada-Nya atau Tuhan itu jauh dan kita perlu menyeru-Nya? Rasulullah SAW terdiam seketika dan turunlah ayat ini. (Tafsir Ibn Kathir, al-Imam al-Tabari dalam tafsirnya Tafsir al-Tabari menyebutkan riwayat yang sama seperti yang dibawa oleh Ibn Kathir).
Abu Hurayrah r.a berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiga golongan yang tidak ditolak doanya iaitu imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka puasa dan doa orang yang dizalimi". (Riwayat Abu Dawud al-Tayalisi dalam musnadnya)
Daripada Abdullah ibn 'Amr dia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bagi orang yang berpuasa doanya dimakbulkan (diperkenankan) ketika saat berbuka". (riwayat Abu Dawud al-Tayalisi dalam musnadnya]
Daripada Abu Musa al-Asy'ari r.a. dia berkata: Kami bersama-sama Rasulullah SAW di dalam perperangan, setiap kali kami menaiki bukit dan mendakinya, serta menuruni lembah, kami akan mengangkat suara dengan bertakbir. Rasulullah SAW mendekati kami dan bersabda:Wahai manusia, bersederhanalah pada diri-diri kamu (tidak terlalu mengangkat suara). Ini kerana kamu tidaklah menyeru sesuatu yang pekak mahupun yang tiada, sesungguhnya yang kamu seru atau doakan adalah yang paling hampir dengan kamu daripada leher unta. Wahai Abdullah ibn Qays hendakkah kamu jika aku ajarkanmu suatu kalimah yang merupakan perbendaharaan syurga? (iaitu) kalimah La Hawla Wa Quwwata Illa Billah. (riwayat al-Bukhari)
Al-Imam Malik r.a meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: Doa seseorang di antara kamu akan dikabulkan selama dia tidak meminta untuk dipercepat dengan mengatakan, "Aku sudah berdoa, namun doaku tidak dikabulkan". (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Anas r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Allah SWT berfirman, Wahai anak Adam, satu untukmu, satu untuk-Ku, dan satu antara Aku dan kamu. Satu empunya-Ku ialah hendaklah kamu menyembah-Ku dan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu. Manakala satu empunyamu ialah apa jua yang kamu amalkan akan Aku tepati. Dan yang satu antara Aku dan kamu ialah, kamu yang berdoa dan Aku yang mengkabuIkannya". (riwayat al-Imam al-Bazzar)
Sebagai kesimpulan, Ramadan al-Mubarak tidak hanya berfungsi sebagai bulan menjalani ibadah puasa semata-mata. Ia merupakan madrasah intensif dan proses perjalanan seseorang hamba menjalani ibadah puasa dengan iringan doa berterusan di samping menghidupkan amalan-amalan sunat pada setiap malamnya.
Tanpa doa, ibadah yang dilakukan seakan-akan tidak mencapai haknya dan barangkali seorang hamba tidak akan mengecapi sesuatu yang dihajati seperti memohon keampunan dan pembebasan dari azab api neraka pada hari kiamat.
No comments:
Post a Comment