Tuesday, September 29, 2009

Urus mayat bapa bukan Islam

SOALAN:
Ayah mertua saya seorang Kristian dan dia tinggal bersama saya dan isteri (anak angkat). Apabila dia meninggal dunia tempoh hari, saya telah bertanya kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sarawak mengenai perkara yang patut saya buat.

Kata mereka, saya boleh uruskan asalkan tidak mengikut cara penganut Kristian mengurus mayat. Mayat berada di rumah selama dua malam disebab kekurangan kakitangan pihak gereja untuk menguruskan pengkebumian pada hari berikutnya.

Malam sebelum upacara pengkebumian diadakan upacara menghormati jenazah (ini merupakan upacara yang mesti mereka laksanakan mengikut adat Iban dengan berwakilkan beberapa orang yang tahu latar belakang si mati dengan mengimbas kembali segala kebaikan yang telah si mati lakukan semasa hidupnya).

Ini semuanya dilakukan di rumah kami. Saya telah mendapat bantuan rakan Kristian membantu pengurusan mayat tapi segala perbelanjaan adalah ditanggung oleh kami.

Sembahyang mayat dilakukan di sebuah gereja yang berhampiran kemudian terus ke tanah perkuburan. Masalah mulai timbul apabila saya ingin mendapat penjelasan daripada pihak berkuasa agama mengenai pemasangan lilin dan meletakkan jambak bunga di pusara si mati. Mereka memberitahu saya ia haram, si mati hanya mempunyai isteri saya sahaja yang tinggal sanak saudara isteri semuanya menjauhkan diri dan abang angkat isteri memang tidak ingin mempunyai hubungan dengan si mati.

Demi perikemanusiaan saya isteri tetap juga menziarahi kubur si mati pada masa-masa tertentu. Apakah pendapat ustaz tentang kemusykilan yang saya hadapi ini?

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

JAWAPAN:

Dalam Islam kita sangat dituntut menghormati antara satu dengan yang lain, lebih-lebih lagi agama Islam adalah agama rahmat, pastinya setiap orang yang bergaul dengan kita beroleh kebaikan dari limpahan rahmat agama Islam itu sendiri.

Melalui apa yang saudara ceritakan, saya percaya tindakan saudara tidak melanggar syariat Allah SWT. Sebelum bertindak saudara telah pun mendapatkan pandangan dari Jakim Sarawak dalam mendapatkan penjelasan apa yang boleh dibuat dan apa yang perlu dielak.

Berdasarkan kepada panduan, saudara telah menguruskan jenazah ayah mertua mengikut cara orang Kristian dan diuruskan sendiri oleh orang Kristian. Tidak ramai yang memahami cabaran yang dihadapi oleh saudara beserta ahli keluarga Islam yang lain. Lebih-lebih lagi bila ahli keluarga kita masih beragama selain Islam.

Biarpun kita telah mendapat hidayah menganut agama Islam, ini tidak bererti kita telah putus perhubungan anak-beranak atau adik-beradik. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. (al-'Ankabut: 8).

Dalam konteks ayat ini, Allah SWT memerintahkan seseorang yang telah menganut Islam supaya berbuat baik kepada ibu bapa mereka selagi mereka tidak menyuruh melakukan perbuatan syirik kepada Allah SWT.

Bagi saya, menguruskan jenazah ibu bapa yang tidak beragama Islam juga merupakan tanggungjawab serta penghormatan seorang anak kepada kedua ibu bapanya.

Apatah lagi, Islam melalui al-Quran dan pedoman rasul-Nya sangat menuntut kita berakhlak mulia dengan setiap manusia. Dalam sirah kehidupan Baginda, Rasulullah juga berbuat baik kepada bapa saudaranya Abu Talib, baginda juga mendampinginya ketika nazak sambil mengajak Abu Talib kepada Islam.

Hadis lain yang menggambarkan kewajipan berihsan dan melayan baik kedua-dua orang tua meskipun berlainan agama ialah yang diriwayatkan daripada Asma' Abu Bakar r.a. maksudnya:Pada zaman Rasulullah SAW ibuku yang masih musyrik suatu hari datang mengunjungiku. Lalu aku meminta fatwa daripada Rasulullah: "(Ibuku datang) dalam keadaan senang hati, apakah aku masih perlu meneruskan hubunganku dengan ibuku?" Baginda SAW bersabda: "Ya, teruskanlah hubunganmu dengan ibumu (seperti biasa)". (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan dalil-dalil ini, seseorang anak perlu meneruskan hubungan yang baik dengan ibu bapa yang bukan Islam sungguhpun anak dan ibu bapa berlainan agama.

Oleh itu, apabila berbicara dengan mereka, si anak hendaklah berbicara dengan lemah lembut, penuh sopan santun dan menunjukkan rasa mahabbah. Apabila memanggil mereka, panggillah dengan perkataan yang menyedapkan hati mereka.

Berilah mereka petunjuk pada perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan seperti mana panduan Islam dalam bab ini.

Sudut kemanusiaan

Kita tidak mahu Islam dituduh sebagai agama yang memisahkan hubungan anak-beranak atau adik beradik. Kita harus tonjolkan bahawa Islam tidak membenci penganut agama lain malahan dari sudut kemanusiaan kita adalah sama biarpun yang memisahkan kita ialah pegangan hidup.

Firman Allah SWT dalam surah al-Kafirun bermaksud: Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku. (al-Kafirun: 6)

Apa yang penting dalam kita bergaul dengan saudara mara, kenalan dan sahabat handai ialah kita tidak menyembah apa yang dia sembah serta mengelakkan perkara-perkara yang melibatkan hal-hal yang bertentangan dengan ajaran agama Islam terutamanya dalam bab akidah.

Persoalan meletakkan bunga di pusara bapa mertua dan hukum berkaitan dengannya; adalah lebih baik jika saudara tidak melakukan upacara membakar lilin dan meletakkan bunga di kubur mereka yang bukan Islam biarpun di kubur ibu atau ayah sendiri.

Walaupun dari segi zahirnya tidak kelihatan apa-apa yang bertentangan dengan Islam tetapi ia juga boleh membawa fitnah dari sudut kaitannya dengan budaya agama lain atau upacara etnik tertentu yang boleh mengelirukan status Muslim saudara.

Ziarah kubur ayah mertua yang bukan Islam tidak salah, hanya sekadar ziarah dan bukan melakukan acara-acara ritual keagamaan yang lain terutama yang boleh dikaitkan secara khas dengan ajaran agama tertentu selain agama Islam.

1 comment:

Anonymous said...

kagum dengan saudara dan isteri... walaupun orang tua berlainan agama tetapi masih mahu menghormatinya hingga ke akhir hayat... sayu hati saya bila kenang ada anak sanggup hantar ibu bapa ke rumah orang tua dan baru-baru dalam akhbar..si emak berlari mengejar kereta anak dengan kain bungkusan baju yang disangka mahu ambil dia untuk beraya bersama dirumah... YA ALLAH.. jadikan aku anak yang solehah...