WAHAI TUHAN KAMIKU,.Ya Allah jadikan lah kami hamba2mu yang bertaqwa Ampunkan dosa2 kami, kedua ibubapa kami, dosa semua umat2 islam yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia, AMIN YA RAB
Friday, April 10, 2009
Ahli kitab tolak kebenaran..........
Sheikh Sya'rawi berkata: "Firman Allah SWT yang bermaksud: Jika mereka berpaling menunjukkan bahawa Allah SWT Maha Mengetahui sejak azali lagi bahawa mereka tidak sanggup mubahalah. Dengan sebab itu dihukumkan mereka sebagai golongan perosak. Kemudian Allah memerintahkan Rasul-Nya supaya mendakwah mereka kepada agama yang sempurna kerana mereka beriman dengan Tuhan, langit dan kitab. Justeru, Allah paparkan ayat ini.
Ayat ke-64:
Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami dengan kamu, Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka Katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam".
Sebab Nuzul.
'Adiy Ibn Hatim meriwayatkan katanya: "Pada suatu ketika aku mengunjungi Nabi SAW sedangkan di leherku ada tanda salib yang diperbuat daripada emas. Lalu Baginda bersabda, "Lemparkanlah berhala ini daripada dirimu".
Kemudian aku mendengar Baginda membaca sepotong ayat al-Quran yang berbunyi: "Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah". Lalu aku bertanya kepadanya: "Wahai Rasulullah, mereka itu tidak menyembah mereka". Lalu sabdanya: "Bukankah mereka menghalalkan dan mengharamkan sesuatu kepada kamu? Lalu kata-kata mereka itukah yang kamu pegang?". Jawabnya, "Ya". Lalu Nabi SAW bersabda, "Ya itulah halnya".
Ayat ini mengandungi dasar bahawa segala persoalan agama seperti ibadah, penetapan halal dan haram, hanyalah dibenarkan semata-mata berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW iaitu seorang manusia yang bersih daripada sebarang dosa. Ia bukan berdasarkan kepada pendapat seorang tokoh mujtahid ataupun seorang ahli fiqh yang mahir.
Ini kerana seseorang yang mengambil dasar agamanya di luar daripada sabda Rasulullah SAW bererti menyekutukan Allah daripada aspek sifat Rububiyyah dan menyimpang daripada petunjuk al-Quran.
Ibn Ishaq dan Ibn Jarir meriwayatkan daripada Ibn Abbas katanya: "Orang Nasrani Najran dan pendeta-pendeta Yahudi berkumpul di sisi Rasulullah SAW lalu mereka bertengkar di sisi Baginda.
Pendeta-pendeta Yahudi berkata : "Ibrahim itu adalah seorang Yahudi". Tetapi orang Nasrani pula berkata: "Ibrahim adalah seorang Nasrani". Kemudian Allah SWT menurunkan ayat ini.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir berkata: "Ayat ini adalah umum kepada ahli Kitab sama ada Yahudi atau Kristian dan yang mengikut jejak langkah mereka".
ii. Al-Qurtubi berkata: "Mereka iaitu golongan Yahudi, atau ahli Kitab ditujukan ucapan ini kerana menjadikan paderi-paderi mereka dalam ketaatan sama seperti tuhan-tuhan".
iii. Al-Maraghi berkata: "Ayat ini mengandungi kenyataan tentang keesaan Allah SWT dengan firman-Nya: Bahawa tiada yang berhak kita sembah melainkan Allah.
Kenyataan keesaan dalam sifat Rububiyyah dengan firman-Nya: Dan tiada seorang pun daripada kita mengangkat yang lain menjadi Tuhan, selain daripada Allah.
Ayat ke-65.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai ahli Kitab! mengapa kamu berani memperdebatkan tentang (agama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim; Patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal?
Sebab Nuzul.
Ibn Abbas meriwayatkan, katanya: "Telah berkumpul orang-orang Nasrani, Najran dan pendeta-pendeta Yahudi dengan Nabi SAW. Mereka itu bertengkar di hadapan Nabi. Pendeta Yahudi berkata: "Tidak lain Ibrahim itu ialah orang Yahudi". Dan orang Nasrani pula berkata: "Tidak lain Ibrahim itu ialah orang Nasrani". Maka Allah SWT turunkan ayat ini".
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn kathir berkata: "Allah mengingkari kepada Yahudi dan Kristian apabila mereka berhujah tentang Ibrahim a.s dan mendakwa bahawa ia di kalangan mereka".
ii. Al-Maraghi berkata: "Jika agama Nabi Ibrahim a.s itu dianggap sebagai agama Yahudi, tentu Taurat akan menyebut seperti yang disebut oleh orang Yahudi itu. Kalau benar Baginda beragama Nasrani pasti Injil turut menyebutnya sebagaimana yang diucapkan oleh orang Nasrani.
"Malangnya kitab Taurat atau Injil tidak menyebut sama ada Nabi Ibrahim a.s beragama Yahudi atau Nasrani".
iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Ayat yang lalu memerintahkan Nabi Muhammad SAW mengundang Ahli Kitab untuk menyaksikan bahawa beliau dan umat beliau adalah orang-orang muslim yang menyerahkan diri kepada Allah SWT sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Ibrahim a.s dan diwasiatkan olehnya".
Ayat ke-66.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Ingatlah! kamu ini orang-orang (bodoh), kamu telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat), maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? dan (ingatlah), Allah mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Al-Biqa'i dalam tafsirnya menjelaskan makna penutup ayat ini sebagai berikut: "Allah SWT pengetahuan-Nya mencakupi segala sesuatu, mengetahui bahawa bantahan kamu pada hakikatnya adalah terhadap Allah SWT. Kamu pun mengetahui bahawa ilmu-Nya mencakupi seluruh apa yang kamu bantah.
"Kamu juga mengetahui bahawa kamu tidak mengetahui, yakni pada dasarnya tidak mempunyai pengetahuan kecuali apa yang diajarkan Allah SWT kepada kamu".
ii. Sheikh Sya'rawi berkata: "Kamu telah berdebat dengan mereka berdasarkan Taurat bahawa pintu adalah terbuka sedangkan kamu tidak mengetahui apa yang Allah mengetahuinya dengan segala sifat rahmat dan mengetahui segala perkara ghaib".
iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Ayat ini turun dalam konteks kecaman yang berbantah-bantah atau berdiskusi pada dasarnya, tetapi pada hakikatnya pesan yang dikandungnya tertuju kepada setiap orang".
iv. Hamka berkata: "Nabi Isa ss telah lahir ke dunia dan kamu sendiri telah mengetahui sejelas-jelasnya peristiwa kelahirannya.
"Hal ini terang dan nyata kamu ketahui dan ada yang menidakkan kekuasaan Allah SWT untuk menjadikan makhluk-Nya tanpa perantaraan ibu bapa.
"Demikian juga kamu bertengkar tentang Nabi Ibrahim a.s yang kamu tidak pasti agama dia. Allah jugalah yang Maha Mengetahui daripada segala-galanya".
Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas menunjukkan kedegilan dan keengganan golongan ahli kitab daripada kebenaran sekalipun telah nyata cahaya dan sinar kebenaran tersebut.
-Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment