Thursday, April 23, 2009

Suami dakwa alami halusinasi lafazkan cerai talak tiga

SOALAN
SAYA dan suami bernikah pada 20 Ogos 1993 berwalikan bapa. Kami belum dikurniakan cahaya mata. Pada 11 Januari 2005, kira-kira jam 11.45 malam, suami melafazkan cerai dengan lafaz, 'Aku ceraikan kau dengan talak tiga'. Kejadian itu berlaku di rumah kami. Ketika kejadian, saya dalam keadaan haid. Suami mengakui ada melafazkan cerai, tetapi mendakwa mengalami halusinasi ketika kejadian. Adakah jatuh talak dan bolehkah kami rujuk semula. Apa yang perlu saya lakukan.
-------------------------------------------
JAWAPAN
Kitab I'anat At-Talibin, juzuk keempat, halaman dua ada menyebutkan: "Dan adapun rukun talak itu ada lima iaitu suami, lafaz yang digunakan, diqasadkan talak kepada siapa talak itu ditujukan ataupun isteri, dan talak itu dijatuhkan dengan kekuasaan suami."

Jika puan dan suami masih suami isteri yang sah ketika kejadian, maka rukun suami sudah dipenuhi. Berkaitan rukun sighah atau lafaz digunakan, Kitab Kifayah Al-Akhyar juzu' menyebutkan: "Talak ada dua macam, iaitu yang nyata dan yang sindiran." Kemudian disebut lagi: "Ada pun talak yang nyata itu ada tiga lafaz, talak, firaq (cerai) dan saraah (lepas), dan talak yang nyata (sareh) tidak lagi memerlukan niat."


Lafaz cerai dengan perkataan talak adalah seperti firman Allah bermaksud: "Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk) dan memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik." (Surah al-Baqarah, ayat 229)

Sementara lafaz cerai dengan perkataan saraah pula seperti firman Allah bermaksud: "Dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya." (Surah al-Ahzab)

Dalam mensabitkan sesuatu lafaz talak, ikrar suami adalah penting. Kitab I'anat At-Talibin ada menyebutkan: "Ikrar dari segi bahasa bererti mensabitkan, manakala menurut syarak diertikan sebagai memberitahu hak seseorang atas dirinya. Ikrar disebut juga sebagai iktiraf."

Kitab Mughni Al-Muhtaj menyebutkan: "Rukun ikrar itu ada empat iaitu muqirrun (orang yang berikrar); muqarrun lahu (orang yang memberi ikrar untuknya oleh orang yang berikrar; sighah (ucapan atau kata-kata ikrar) dan muqirrun bihi (hak atau kepentingan diiktiraf oleh pihak berikrar)."

Kitab I'anat At-Talibin menyebutkan: "Perkara talak itu disabitkan dengan persaksian dua lelaki yang adil lagi merdeka, seperti mana ia disabitkan dengan ikrar adanya talak." Ia juga selari kaedah qawaid fiqhiyyah yang berbunyi, "Seseorang itu dipegang berdasarkan pengakuannya."

Bagaimanapun, ikrar atau pengakuan suami perlulah dibuat di mahkamah. Seksyen 17 (2) Enakmen Keterangan Syariah Selangor 1996 menyatakan: "Sesuatu ikrar hendaklah dibuat dalam mahkamah, di hadapan hakim atau di luar mahkamah di hadapan dua saksi lelaki yang akil baligh dan adil."

Mengenai rukun qasad (niat), oleh kerana lafaz cerai menggunakan lafaz yang jelas, maka ia tidak lagi memerlukan niat. Bagi rukun kepada siapa lafaz cerai ditujukan pula, talak boleh jatuh jika dilafazkan terhadap isteri yang sah, walaupun ketika itu isteri dalam haid.

Rukun terakhir iaitu wilayah 'alaih (keupayaan suami melafazkan cerai), maka mahkamah akan menyiasat ketika suami melafazkan cerai, adakah dia seorang yang waras, berakal, biasa dan normal, baligh serta melafazkan cerai dengan kerelaannya sendiri tanpa dipaksa.

Isu halusinasi yang dinyatakan suami, perlu dibuktikan kepada mahkamah tahap seriusnya hasulinasi itu, atau cuma dalih dan helah suami semata-mata. Dalam sesetengah kes, suami sengaja mencipta dalih dan mencari alasan selepas sedar dia tersilap menceraikan isteri dengan talak tiga sekali gus.

Puan dan suami perlu bersegera membawa perkara ini ke Mahkamah Rendah Syariah untuk pengesahan. Isu talak terutama talak tiga bukanlah perkara main-main. Dikhuatiri puan dan suami akan hidup dalam perzinaan sepanjang hayat.

Talak tiga bukan talak rajie (yang boleh dirujuk). Ia talak bain kubra (yang tidak boleh dirujuk melainkan dengan akad nikah semula selepas isteri berkahwin dengan lelaki lain, disetubuhi dan diceraikan).


Jawapan disediakan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang. Layari http://www.peguamsyarie.org

No comments: