Thursday, April 2, 2009

Isteri hilang sabar tak dapat nafkah lebih tiga bulan

SUAMI saya seorang yang berat tulang. Sejak pertengahan 2008 dia tidak memberi nafkah kepada saya dan anak. Saya yang menanggung nafkah kami sekeluarga, termasuk makan minum suami. Saya sudah tidak tahan dan hilang sabar. Saya ingin meminta cerai daripada suami, tetapi khuatir jika permohonan itu ditolak mahkamah. Saya keliru sama ada saya boleh minta cerai fasakh atau taklik? Saya dimaklumkan cerai taklik lebih mudah berbanding cerai fasakh. Harap dapat penjelasan daripada pihak tuan. 

Isteri Bingung, 
Banting, Selangor
--------------------------------------------------------------------------
Ada banyak jenis perceraian dalam Islam, iaitu perceraian dengan talak (persetujuan bersama), perceraian dengan kuasa Hakam, perceraian khulu' (tebus talak), perceraian secara taklik atau janji, perceraian dengan li'an, perceraian fasakh, cerai luar mahkamah dan cerai akibat murtad. 

Setiap jenis perceraian berbeza skop dan definisinya. Seksyen 2 (tafsiran) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, fasakh didefinisikan sebagai pembubaran nikah disebabkan sesuatu hal keadaan diharuskan hukum syarak. 

Cerai fasakh adalah kuasa Hakim Syariah. Ada banyak alasan membolehkan hakim memfasakhkan pernikahan suami isteri. Antaranya, jika suami hilang ghaib untuk tempoh lebih setahun, suami cuai atau tidak memberikan nafkah zahir selama lebih tiga bulan (tidak semestinya berturut-turut), suami dipenjarakan lebih tiga tahun, suami tidak menunaikan nafkah batin selama tempoh lebih setahun tanpa apa-apa sebab yang sah.

Alasan lain ialah suami mati pucuk, suami gila selama tempoh lebih dua tahun atau menghidap penyakit berjangkit, suami selalu menyakiti dan menzalimi isteri secara fizikal, suami berperangai keji mengikut hukum syarak, suami memaksa isteri hidup secara lucah, suami melupuskan harta isteri, suami melarang isteri menggunakan haknya, suami menghalang isteri menjalankan tanggungjawab agamanya dan suami berpoligami tetapi tidak berlaku adil. 

Beban membuktikan terhadap alasan tadi adalah terletak di atas pihak yang mendakwa atau plaintif. Walaupun hanya satu saja alasan berjaya dibuktikan, hakim berkuasa memfasakhkan nikah pasangan. Cara pembuktian adalah melalui keterangan saksi, bukti dokumen atau dengan pengakuan pihak yang kena dakwa. 

Sementara cerai taklik adalah berdasarkan peruntukan Seksyen 50 Enakmen sama iaitu lafaz perjanjian dibuat suami selepas akad nikah mengikut hukum syarak. 

Ada perbezaan lafaz taklik antara negeri, terutama daripada segi syarat taklik. Cerai taklik hanya boleh dituntut isteri saja. Lafaz taklik itu juga perlu difahamkan secara keseluruhannya, bukan separuh atau sebahagian saja.

Berbeza dengan cerai fasakh, cerai taklik perlu dibuktikan dengan dua elemen utama iaitu pertamanya kewujudan lafaz taklik oleh suami, keduanya apakah syarat dalam lafaz taklik dilanggar suami. 

Menjawab soalan puan, kegagalan suami memberikan nafkah zahir selama tempoh tertentu boleh dijadikan alasan untuk puan menuntut cerai di mahkamah, sama ada cerai fasakh atau cerai taklik. Jika puan lebih memilih cerai taklik, puan perlu pastikan terlebih dulu adakah elemen dalam syarat taklik itu sudah dilanggar suami atau belum. 

Puan juga perlu memastikan adakah puan boleh mengemukakan saksi yang boleh mengesahkan bahawa suami ada melafazkan taklik seperti dalam surat nikah. Saksi sebaiknya dua orang saksi lelaki yang hadir semasa majlis akad nikah dan mendengar suami melafazkan taklik. 

Jika puan tidak dapat mengemukakan saksi atau saksi sudah meninggal dunia atau uzur, adalah lebih selamat jika puan menuntut perceraian secara fasakh dengan alasan suami tidak memberi nafkah selama tempoh tiga bulan atau lebih. 

No comments: