Perkara yang pertama Nabi lakukan setelah tiba di Madinah dalam hijrah baginda ialah mendirikan masjid. Masjid yang dibina di Madinah dikenali dengan nama masjid Nabawi (masjid Nabi).
Masjid selain tempat ibadat ialah sebagai tempat penyebaran dakwah dan ilmu Islam; tempat menyelesaikan masalah individu dan masyarakat; tempat menerima duta-duta asing; tempat pertemuan pemimpin-pemimpin Islam; tempat bersidang; dan madrasah bagi kanak-kanak mempelajari ilmu agama dan fardu ain.
Firman Allah yang bermaksud: Hanyasanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk. (at-Taubah: 18)
Bagaimanapun, hari ini masjid tidak lagi digunakan semaksimum mungkin sebaliknya hanya menjadi lokasi ibadat khusus dan ritual agama.
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto HARUN OSMAN menemu bual Dekan Pusat Asasi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Dr. Zulkefli Aini bagi mengupas isu ini.
MEGA: Apakah maksud memakmurkan masjid sebagaimana firman Allah dalam ayat di atas?
ZULKEFLI: Untuk memakmurkan rumah Allah atau masjid ia mesti meliputi dua dimensi. Pertama, iaitulah hablum minallah (hubungan dengan Allah) dan kedua, hablum minannas (hubungan dengan manusia).
Hubungan dengan Allah adalah melalui ibadat yang kita lakukan sebagaimana tugas kita diciptakan iaitu untuk menyembah kepada Allah. (rujuk surah al-Zariyat ayat 56 di mana ayat ini menjelaskan matlamat penciptaan manusia iaitu beribadat kepada Allah).
Pada masa yang sama, ia perlu diseimbangkan dengan hubungan sesama manusia. Hubungan ini bukan terhad kepada sesama Muslim sahaja tetapi ia juga merangkumi hubungan dengan bukan Islam.
Hal ini penting bagi kita agar dapat meratakan rahmat Allah dalam masjid. Mengimarahkan masjid tidak cukup dengan hanya ibadat asasi seperti solat lima waktu, solat Jumaat dan sebagainya. Tetapi ia perlu dilengkapi dengan ibadat sekunder seperti pengajian-pengajian umum. Pendek kata, fungsi masjid mesti dipelbagaikan.
Ada yang berpandangan orang bukan Islam tidak boleh masuk masjid. Adakah benar begitu?
ZULKEFLI: Memang ada perbahasan ulama dalam hal ini. Pada umumnya, Imam as-Syafie menyebut, orang bukan Islam haram masuk ke Masjidil Haram di Mekah dalam apa keadaan sekalipun.
Namun, mereka boleh masuk dengan dua syarat. Pertama, mesti ada keperluan atau hajat. Kedua, mestilah mendapat izin orang Islam.
Sebab itu, poster-poster atau hebahan seperti "Muslimin dan Muslimat dijemput hadir" perlu diperbaiki.
Sepatutnya jemputan itu dibuat lebih menyeluruh. Yang bukan Islam pun dijemput sama. Ini sepatutnya diambil kesempatan sebagai strategi berdakwah kepada golongan berkenaan.
Dalam sejarah pun, Rasulullah SAW pernah berjumpa dengan bukan Islam di masjid. Apabila ini berlaku maka wujud perasaan kelainan di situ. Hal ini yang perlu ada para imam sekarang sebagai penyambung kepada risalah Nabi itu.
Pada masa yang sama, masjid boleh dijadikan lokasi mengadakan dialog antara agama dengan bukan Islam. Ia boleh membantu proses dakwah kita kepada golongan berkenaan supaya memahami Islam dengan lebih baik.
Kajian tentang pelancong yang datang ke masjid mendapati:
a) Pelancong asing perlu memakai pakaian khas.
b) Mereka tidak dibenarkan mengambil gambar.
c) Mereka tidak boleh masuk ke ruang solat.
d) Tidak ada pegawai masjid yang mengiringi mereka.
e) Tidak ada penerangan tentang apakah fungsi masjid.
Perkara 'a' ke 'c' itu dapat kita terima. Cuma yang perlu dibaiki ialah perkara 'd' dan 'e'. Ini supaya pelancong asing mendapat maklumat yang tepat tentang fungsi dan peranan masjid.
Kadang-kadang terpampang larangan membawa anak masuk ke ruang solat di sesetengah masjid. Apakah pendekatan yang lebih mesra dalam hal ini?
ZULKEFLI: Masyarakat kita memang suka menggunakan konotasi. Contohnya dilarang masuk atau tidak dibenarkan masuk. Sedangkan dakwah itu bermula dengan cara yang positif.
Baginda SAW pun membenarkan cucu-cucunya masuk dalam masjid. Melarang kanak-kanak tidak dibenarkan masuk ruang solat, dibimbangi akan menjejaskan usaha mendidik mereka akan cintakan rumah Allah.
Sedangkan Rasulullah SAW bersabda: Antara tujuh golongan yang akan dilindungi Allah dalam naungan-Nya ialah pemuda yang tumbuh dewasa dalam beribadat pada Allah dan orang yang hatinya selalu terikat pada masjid. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Memang resmi kanak-kanak mereka akan bermain dan berlari ke sana sini. Fitrah mereka begitu. Untuk itu, kita kena sediakan program tertentu untuk mereka. Antaranya menyediakan sudut bacaan kanak-kanak, tempat khas untuk mereka bermain indoor games hatta permainan komputer.
Ini boleh membantu proses memantau anak-anak serta melatih mereka solat berjemaah. Apabila tiba waktu solat, pegawai masjid boleh suruh mereka berhenti untuk solat dahulu. Selesai solat, bolehlah sambung semula.
Pada masa yang sama, ibu bapa perlu menasihati anak masing-masing bahawa masjid itu adalah tempat suci. Justeru, setiap kita perlu menjaga adab-adab semasa berada di dalamnya.
Ini antara kekurangan yang masih berlaku di masjid kita. Malah, kebanyakan senibina masjid pun tidak mengambil kita aspek prasarana untuk kanak-kanak. Apa yang selalunya berlaku ialah kita tambah kemudian ruang khas untuk mereka.
Perbincangan soal hal dunia tidak boleh dibawa ke masjid masih menjadi perbahasan. Ada yang berpandangan bab sains, teknologi, bahasa Inggeris semuanya hal dunia dan tidak boleh dibincang di masjid. Benarkah?
ZULKEFLI: Dalam hal ini, kita perlu kembali kepada fungsi masjid. Ia bukan sekadar memenuhi keperluan rohani tetapi ia memenuhi keperluan jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Falsafah pendidikan seharusnya ke arah melahirkan umat Islam yang berilmu dan tidak terpesong akhlak mereka.
Kita harus melihat kepada mad'u atau sasaran. Saya setuju disiplin sains dan teknologi diajar atau dibincang dalam masjid. Bagaimanapun, penekanan perlu diberi kepada bagaimana sains boleh meningkatkan penghayatan ibadat dan akhlak umat.
Dalam pada itu, pengenalan pengajian bahasa asing selain arab iaitu mandarin juga mempunyai daya penarik kepada para jemaah. Ini dibuktikan melalui kajian yang kita buat di Masjid at-Taqwa di Subang Permai, Selangor.
Masjid-masjid kita juga masih kurang membincangkan pengajian Fiqhud dakwah. Hal seperti bagaimana menyampaikan Islam kepada bukan Islam, aspek komunikasi berkesan dan psikologi.
Sebahagian kita juga tidak mengintegrasikan ilmu agama dengan kehidupan seharian. Sepatutnya ilmu tauhid boleh dicampur dengan kehidupan seperti aspek ekonomi dan lain-lain.
Perbincangan bab fikah pula jangan hanya menyentuh perkara sedia ada. Sebaliknya, bab seperti perbankan Islam juga turut dibincangkan.
Penceramah pula harus mempelbagaikan metod penyampaian. Ini termasuk penggunaan white board dan power point untuk menarik minat jemaah.
Orang mukmin itu adalah bersaudara. Tetapi mengapa masih berlaku sembahyang dua imam dan perpecahan dalam masjid?
ZULKEFLI: Allah berfirman yang maksud-Nya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (al-Hujurat: 10)
Puncanya, masyarakat tidak matang dalam tangani persoalan politik. Ada segelintir yang masuk politik menjadikan masjid landasan berpolitik.
Pada asasnya, kita boleh berpolitik tetapi apa yang kerap berlaku ialah memasukkan unsur-unsur kepartian dalam masjid. Ini yang selalu menimbulkan perpecahan di kalangan umat.
Sepatutnya masjid iaitu rumah Allah itu berkecuali. Tidak dikuasai oleh mana-mana parti politik dan ia bukanlah hak mana-mana individu. Masjid sepatutnya tempat menyubur kedamaian bukan tempat menyebar fitnah atau hina menghina.
Ingatlah firman Allah yang bermaksud: Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai...(ali-'Imran: 103)
Dalam hal ini, saya sependapat dengan tokoh ilmuwan kita, Muhammad Uthman el Muhammady Beliau berkata: "apabila masuk masjid kita hendaklah letakkan lambang parti politik kita di pagar".
Sebabnya, masjid adalah benteng terakhir umat Islam. Di situ sepatutnya lahir pemimpin masyarakat iaitu imam yang menjadi rujukan umat bukannya tempat perpecahan.
- keratan utusan today
No comments:
Post a Comment