DARIPADA Abi Hurairah katanya, bersabda Rasulullah SAW bermaksud: “Janganlah kamu saling dengki mendengki, janganlah kamu saling tipu menipu, janganlah kamu saling belakang membelakangi dan janganlah kamu menjual di atas jualan setengah daripada kamu dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam adalah saudara kepada orang Islam yang lain, tidak boleh ia menganiayai dan tidak boleh membiarkannya (dalam kehinaan) serta tidak boleh mendustai dan tidak boleh menghinanya. Takwa itu di sini (Nabi berkata sambil menunjukkan ke arah dadanya tiga kali). Sudah cukup banyak kejahatan seseorang itu bahawa ia merendahkan saudara seIslamnya. Sekalian orang Islam atas orang Islam yang lain adalah haram darahnya, hartanya dan kehormatannya.” (Hadis riwayat Muslim)
Mengharungi kehidupan zaman serba moden ini memperlihatkan kepada kita akan struktur hidup bermasyarakat Islam hari ini menjadi semakin terlalu individualistik. Sesungguhnya sebagai agama keamanan, Islam menuntut umatnya supaya menghormati sesama manusia.
Antara perkara yang harus diberikan perhatian ialah menjaga keselamatan nyawa daripada berlaku pembunuhan sesama sendiri, menjaga maruah dalam masyarakat daripada segala fitnah, tuduh menuduh dan hasad dengki, menjaga keselamatan harta benda daripada kecurian, rompakan serta pencerobohan.
Sebagai seorang Muslim kita perlu menghormati setiap maruah individu Muslim lain kerana setiap individu mempunyai hak dan tanggungjawab, seperti hak untuk dihormati serta tanggungjawab menghormati masyarakat dan individu lain.
Antara sebab mengapa puak Yahudi suka melakukan kezaliman terhadap umat Islam kerana sikap tidak ambil peduli berlaku antara sesama umat Islam hari ini. Justeru musuh Islam berani bertindak sesuka hati menindas umat Islam.
Sebetulnya umat Islam harus hidup seperti disebut dalam pepatah Melayu, ‘cubit paha kiri, paha kanan terasa sakitnya’. Jika kita inginkan segala kebaikan untuk diri kita, maka kita juga ingin umat Islam lain juga menikmati kebaikan itu.
Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata-kata dengan kebaikan atau jika tidak, hendaklah dia diam saja. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Setiap insan mendiami bumi ini seharusnya menjalinkan hubungan sesama mereka dengan adab muamalah dan pergaulan sosial yang baik sama ada berbentuk perkataan enak didengar, kejiranan mendamaikan dan layanan terhadap tetamu yang selayaknya.
Semua ini adalah unsur keimanan seseorang kepada Allah yang menyuruh kita sebagai umat-Nyaberakhlak mulia kerana kebaikan dilakukan akan mewujudkan kesatuan ummah dan menjinakkan hati manusia serta menghapuskan sifat hasad dengki selain meluaskan perasaan kasih sayang berpanjangan.
No comments:
Post a Comment