Friday, May 29, 2009

Iktibar dan Pengajaran: Pelajar mengaku khalwat

KUALA LUMPUR: "Saya tahu saya sudah mencalarkan maruah keluarga tetapi saya sudah insaf dan berjanji akan menjadi orang lebih baik selepas ini," itulah luahan pelajar perempuan Kuliah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum dijatuhkan hukuman penjara dan denda kerana berkhalwat. 

Raden Farah Al Wani Ab Halim, 21, yang mengaku bersalah berkhalwat dengan seorang tentera yang baru lima hari dikenalinya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, menangis teresak-esak ketika memohon mahkamah meringankan hukuman ke atasnya. 

Bagaimanapun, Hakim Syarie Mohd Radzi Abd Latif tetap menjatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM2,000 terhadapnya.

Pasangannya, Tengku Mohd Faisal Engku Mahmood Mahedden, sekitar 20-an, yang hadir di mahkamah lengkap berpakaian tentera mengaku tidak bersalah dan akan dibicarakan bulan depan. 

Kedua-dua ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang melakukan operasi cegah maksiat di Bilik A2, Welvest International Youth Hotel, Jalan Merpati off Jalan Raja Laut di sini, jam 2.50 pagi, 1 Januari lalu. 

Raden Farah ditemui sedang bersembunyi dalam bilik air dengan hanya menggunakan cadar putih bagi menutupi badan manakala Tengku Mohd Faisal yang membuka pintu hotel itu tidak memakai baju dan hanya berseluar.

Turut didakwa di mahkamah semalam, tujuh pasangan lain termasuk pasangan duda dan janda iaitu kekasih yang bertemu kembali selepas lama berpisah serta ditangkap berkhalwat di rumah wanita itu pada jam 3.05 pagi, selain pasangan pembantu kedai dan lelaki warga Myanmar yang bukan Islam. 

Pasangan duda dan janda, Zaharin Zainal, 35, seorang peniaga dan Zarina Anuar, 38, akauntan didenda RM3,000 atau 20 bulan penjara, manakala Shuhaida Sidik, 24, pula dijatuhkan hukuman penjara 30 hari, didenda RM3,000 atau penjara 20 bulan kerana mengaku pernah terlanjur dengan pasangan Myanmarnya.

-Petikan Berita Harian 
  • Jumaat, 29 Mei 2009
  •  
  •  | 
  •  
  • 4 Jamadilakhir 1430
  • Wajib bergaul baik dengan isteri

    Soalan:

    Adakah dikira sudah menunaikan tanggungjawab kalau suami hanya memberikan wang kepada isterinya sedangkan tidak bergaul dengan baik dan tiada kemesraan dan asyik mencari kesalahan dan keburukan isteri semata-mata?

    Jawapan:

    Islam sentiasa menyuruh umatnya berbuat kebaikan. Ini termasuklah dalam perhubungan dan pergaulan suami dan isteri.

    Maksud bergaul baik dalam syariah Islam adalah diambil daripada perintah Allah SWT di dalam al-Quran, firman yang bermaksud: … dan hendaklah kamu bergaul baik dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik…(al-Nisa': 19).

    Al-Quran melalui perintah mahukan setiap suami bergaul baik dengan isteri-isteri mereka dengan cara yang baik atau makruf.

    Di dalam meneladani kehendak ayat ini ahli tafsir mengemukakan beberapa pandangan melalui pengamatan masing-masing.

    l Di antara mereka ialah Ibn Kathir. Beliau berpendapat bahawa ayat ini, "… dan hendaklah kamu bergaul baik dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik…" bermaksud: para suami hendaklah memperelokkan bicara mereka bersama isteri, hendaklah memperelokkan tingkah laku kepada mereka serta menjaga penampilan yang baik mengikut kemampuan kamu seperti mana yang kamu harapkan daripada mereka iaitu isteri-isteri kamu, maka hendaklah kamu melakukan yang baik-baik itu terhadap mereka seperti yang kamu mahukan daripada mereka. (Ibn Kathir, jld:1, hlm: 466).

    l Al-Zamakhsyariy dan Fakhruddin al-Raziy berpendapat: "bermalam dengan isteri (memenuhi hak-hak batin bagi si isteri) melangsaikan nafkah dan bercakap baik dengan mereka". (al-Zamakhsyariy, jld:1,hlm:490, Fakhruddin al-Raziy, jld:10,hlm:12).

    l Al-Jashsas dalam tafsirnya berpendapat: "Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan para suami supaya bergaul baik dengan isteri-isteri mereka dengan baik, perkara yang baik itu ialah menunaikan hak-hak seorang isteri dengan membayar mas kahwinnya serta nafkah dan pemberian antara isteri-isteri (jika lebih dari seorang), juga tidak menyakiti isteri dengan bahasa yang kesat dan kasar serta ditegah dari memalingkan wajah dari si isteri". (al-jashsas, Ahkam al-Quran, jld: 2, hlm: 109).

    l Tafsir Muhammad Rasyid Reda menarik dalam huraian ayat ini, beliau menjelaskan bahawa: "Wajib ke atas kamu wahai orang-orang yang beriman supaya berbuat baik dengan isteri-isteri kamu dalam pergaulan, dengan menjadikan persahabatan kamu serta pergaulan kamu dengan mereka dengan cara yang baik sesuai dengan dengan tabiat mereka sebagai wanita.

    "Pergaulan itu mestilah yang tidak ditegah oleh syarak dan adat dan tidak bertentangan dengan maruah seseorang. Adapun menyempitkan pemberian nafkah (bersikap kedekut/ berkira dalam nafkah) serta menyakiti mereka dengan perkataan dan perbuatan, semua itu adalah bertentangan dengan bergaul baik dengan isteri dan bertentangan dengan al-Quran.

    "Sesungguhnya setiap seorang dari pasangan suami isteri ialah membawa kegembiraan dan kebahagiaan". (Muhammad Rasyid Reda, Tafsir al-Manar, jld:4,hlm:456).

    Maka jelas lagi terang bahawa hukum bergaul baik dengan isteri adalah wajib. Bagi suami yang gagal menggauli isterinya dengan baik sedangkan dia taat kepada suaminya adalah berdosa.

    Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Lelaki yang paling sempurna imannya ialah lelaki yang paling sempurna akhlaknya, dan sebaik-baik kamu (baik akhlak) ialah mereka yang baik dengan isteri-isterinya". (riwayat al-Tarmidzi, Tuhfatu al-Ahwaziy, jld:4,hlm:326 ).

    Dalam hadis yang lain daripada ibn Abbas r.a baginda bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik dengan isterinya, dan aku adalah orang paling baik dengan isteri-isteriku". (riwayat al-Tarmidzi, Tuhfatu al-Ahwaziy, jld:4,hlm:325).

    Di dalam kedua-dua hadis di atas baginda SAW menegaskan bahawa sebaik-baik manusia di kalangan bani Adam ialah orang baik dengan isterinya, ini kerana isteri adalah lebih utama dijaga haknya sebelum orang lain.

    Berperangai buruk

    Jika seorang suami dengan isterinya baik maka dia juga baik dengan orang lain, dan sekiranya dia berperangai buruk dengan isterinya maka dia juga akan bersikap hodoh dengan orang lain.

    Di antara perkara yang dapat membantu suami menjadi baik dengan isterinya mesti memiliki kemahiran-kemahiran berikut.

    Pertama: Mengenal tabiat wanita; ini kerana Allah SWT menjadi Adam dan hawa dengan tabiat fizikal yang berbeza. Berbeza dari sudut perasaan dan emosinya. Orang lelaki tabiatnya kasar, orang perempuan tabiatnya lembut.

    Baginda SAW telah banyak berpesan kepada kaum lelaki supaya berlemah-lembut dan berhemah dalam mendidik dan menjaga mereka.

    Kedua, mengenang kebaikannya. Kalau diadili dengan penuh kewarasan setiap orang suami akan mendapati insan yang paling banyak berkorban untuk suami ialah isteri.

    Walaupun isteri mempunyai kesilapan dan kesalahan itu kerana emosinya dan hormonnya yang kadang-kadang tidak stabil, ini tidak memberi gambaran keseluruhan tabiat isteri.

    Saya yakin bahawa isteri banyak sumbangannya kepada suami oleh itu fikir-fikirkan ketika mereka melakukan kesalahan atau kesilapan.

    Sesungguhnya manusia tidak ada yang sempurna dan tidak ada yang tidak melakukan kesilapan. Tutuplah kesalahannya dengan kebaikannya.

    Ketiga, menutup keaibannya; tiada yang sempurna. Allah SWT menjadikan manusia sering memerlukan antara satu sama yang lain.

    Mengaibkan

    Jangan diaibkan isteri kepada sesiapa pun, walaupun kepada saudara dan sahabat handainya. Keaiban isteri juga cermin bagi suami, apabila suami mengaibkan isteri maksudnya dia mengaibkan dirinya sendiri.

    Keempat, kemungkinan kebaikan ada pada isteri yang dibencinya; jangan dibenci atau dicaci mungkin isteri yang dibenci oleh si suami itu ada kebaikan padanya, yang lambat laun pasti akan zahir.

    Kelima, mengenal kedudukan isteri di rumah. Dalam banyak keadaan si isteri tinggal di rumah, adakalanya selepas berumahtangga ada di kalangan isteri yang tiada lagi baginya kehidupan bersosial, kerana suami dan anak-anaklah segala-galanya.

    Berlaku adillah kepada isteri-isteri yang berada di bawah jagaan anda supaya amanah Allah SWT tidak terabai.

    Hanya Islam diterima Allah

    Al-Maraghi berkata: Allah SWT telah menjelaskan bahawa Dia telah mengambil janji daripada para nabi agar beriman dengan kenabian Muhammad SAW.Di sini disebutkan perintah kepada Nabi Muhammad SAW agar beriman kepada para nabi yang sebelum ini serta beriman kepada kitab-kitab suci mereka. Umat baginda dalam perkara ini turut diminta mengikutnya pula.

    Ayat ke-84

    Firman Allah SWT yang bermaksud: 

    Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada nabi-nabi: Ibrahim a.s, lsmail a.s, Ishak a.s, Yaakub a.s dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada nabi-nabi: Musa a.s dan Isa a.s, dan sekelian Nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah Kami berserah diri (Islam)".

    Iktibar dan fiqh ayat:

    lIbn Kathir berkata, orang yang beriman daripada umat ini beriman dengan semua Nabi yang diutuskan dan dengan segala kitab yang diturunkan, mereka tidak kufur dengan sesuatupun tetapi membenarkannya.

    lSheikh Muhammad Abu Zahrah be

    rkata, ini merupakan perintah Allah kepada Nabi-Nya berkenaan dengan ikatan segala syariat Allah yang bersalasilah sambungannya. Begitu juga beriman dengan Allah merupakan himpunan segala syariat, kerana dengannya membawa ubudiah.

    lAl-Maraghi berkata, didahulukan ungkapan kalimah 'Iman diturunkan kepada kami' berbanding dengan ungkapan 'Iman diturunkan sebelum kami'. Padahal kitab-kitab suci tersebut diturunkan lebih awal kerana apa yang diturunkan kepada kami merupakan pegangan pokok untuk mengetahui dan membenarkan apa-apa yang diturunkan kepada mereka. Ini kerana tidak ada cara bagi membuktikan kebenaran kitab-kitab suci dahulu, kecuali melalui al-Quran.

    l Al-Maraghi berkata, ayat ini dimulai dengan kata-kata Iman dan ditutup dengan kata-kata Islam, yang bererti pasrah, yang merupakan hasil dan sasaran akhir setiap agama yang dibawa para nabi.

    lHamka berkata, setelah menghuraikan hal itu semuanya, sampai perjanjian Nabi-nabi dengan Allah dan ucapan ikrar mereka, kemudia

    n Allah menyuruh kepada Nabi-Nya menjelaskan risalah yang dibawanya dengan tegas, menuruti ikrar Nabi-nabi itu yang akan jadi pegangan bagi umat yang beriman. Yang diturunkan kepada baginda ialah wahyu dan hikmat, isi ajarannya tetap satu iaitu menolak segala penyembahan selain Allah SWT. Menyerah diri kepada Tuhan, Islam sebab itulah yang diajarkan oleh sekelian Nabi yang tidak kami beza-bezakan itu.

    Mohamad Quraish Shihab berkata, jika anda ingin dinamakan muslim dan diterima secara baik oleh Allah, maka patuh kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan-Nya.Hiduplah serasi dengan alam dan seluruh makhluk yang bernyawa atau tidak. Alam raya tunduk pada fitrahnya, serasi dengan selainnya sebagaimana diatur oleh Allah dalam sistem yang ditetapkan-Nya. Itulah erti Islam alam raya, dan serupa itu pula Islamnya manusia, tanpa keserasian dengan diri sendiri tanpa kepatuhan kepada sistem yang ditetapkan-Nya, maka itu bererti keluar dari Islam. Jika itu yang terjadi, maka ayat berikut mengingatkan hakikat yang sangat jelas dari Allah yang Maha Kuasa.

    Al-Sonhadji berkata, sebenarnya kedudukan para Rasul dan Nabi itu samalah seperti kedudukan pegawai-pegawai daerah atau seumpamanya dihantar oleh Sultan atau Ketua Negara ke wilayah-wilayah, daerah-daerah pemerintahannya. Mereka ditugaskan sebagai pegawai yang amanah untuk mentadbir dan mengambil tahu hal ehwal penduduknya dengan menjalankan undang-undang yang mendatangkan faedah.

    Ayat ke-85

    Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

    Iktibar dan fiqh ayat :

    Ibn Kathir berkata, siapa yang memilih jalan selain apa yang disyariatkan Allah.

    Al-Maraghi berkata, kerana dia mensia-siakan kehendak fitrah yang sihat untuk mengesakan Allah SWT dan berserah diri kepada-Nya seperti yang tersebut dalam hadis bermaksud: "Tiap-tiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi".

    Mohamad Quraish Shihab berkata, barang siapa mencari agama selain agama Islam iaitu ketaatan kepada Allah mencakupi kepada syariat yang ditetapkan-Nya. Intinya adalah keimanan akan keesaan-Nya, mempercayai para rasul, mengikuti dan menyokong mereka tunduk serta patuh akan ketentuan-ketentuan-Nya yang berkaitan dengan alam raya iaitu penyerasian diri dengan makhluk dalam sistem yang ditetapkan-Nya.

    Al-Sonhadji berkata, kerugian yang dideritanya di sini kerana telah mensia-siakan 'fitrah' atau tabiat semula jadi yang ada pada peribadi tiap-tiap manusia. Fitrah yang sihat, suci dan bersih sedia mentauhidkan dan mengesakan Allah serta patuh dan tunduk kepada-Nya itu telah disia-siakannya sehingga hilang dan tidak lagi tersimpan di dalam peribadinya.

    Berdasarkan ayat di atas sewajarnya kita berpegang teguh dengan agama Allah yang sebenar iaitu Islam dan kita berdoa kepada Allah mudah-mudahan kita mati dalam keadaan Islam. Amin

    Penipuan iblis di syurga

    IBLIS selalu berikhtiar untuk masuk ke dalam syurga kembali dan menggunakan tipu muslihatnya untuk memperdayakan Nabi Adam dan isterinya, Hawa.

    Pada suatu ketika, iblis berjaya masuk ke dalam syurga lalu bertemu dengan Nabi Adam dan isterinya.

    Iblis mula menggoda dan memujuk Nabi Adam dengan berkata, "Wahai Adam! Aku datang untuk memberi nasihat yang baik kepadamu. Mahukah engkau aku tunjukkan bahawa di sana itu ada sepohon pokok yang sangat enak dan lazat rasa buahnya?

    Apabila buah yang lazat itu engkau makan, maka engkau akan dapat tinggal di dalam syurga ini buat selama-lamanya, dan syurga ini dapat engkau miliki sebagai satu kerajaan yang tidak akan rosak buat selama-lamanya bagi engkau berdua."

    Buah

    "Buah apakah yang engkau maksudkan itu?' tanya Nabi Adam kepada iblis.

    Iblis pun menunjukkan ke arah pokok khuldi yang dilarang oleh Allah untuk memakannya. Melihat isyarat iblis itu, tahulah Nabi Adam bahawa Iblis sudah mulai menggoda dan menyesatkannya. Lalu Nabi Adam berpaling dan menjauhkan dirinya daripada iblis itu.

    Namun begitu, iblis masih tidak berputus asa. Ia mengambil kesempatan sekali lagi untuk bertemu dengan Adam dan isterinya.

    Segera ia memujuk dengan mengatakan bahawa Allah melarang makan buah khuldi sekiranya Adam dan isterinya adalah malaikat. Tetapi mereka bukan malaikat, maka bolehlah mereka memakan buah tersebut.

    Nabi Adam dan isterinya tidak menghiraukan pujukan halus iblis itu. Malah kedua-duanya berpaling dan menjauhkan diri daripada Iblis itu.

    Iblis tetap tidak berputus asa. Walaupun ia gagal dalam usaha pertama dan kedua, tetapi ia tetap berusaha untuk kali ketiga, keempat dan seterusnya sehinggalah dapat menyesatkan dan menggoda Nabi Adam dan isterinya, Hawa.

    Iblis tahu bahawa salah satu kelemahan manusia ialah sering lupa. Iblis sentiasa menunggu suatu waktu apabila Adam dan isterinya akan terlupa dan memakan buah yang dilarang itu.

    Surah Al-Ahzab: 59 Suruhan Pakai Tudung

    Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

    Thursday, May 28, 2009

    Suami belum jelaskan nafkah tertunggak RM45,000

    Soalan:
    SUAMI berhutang dengan saya sebanyak RM45,000 iaitu tunggakan perintah nafkah anak. Saya sudah memfailkan saman penghutang penghakiman terhadap beliau di Mahkamah Syariah. Adakah ia suatu tindakan tepat atau ada permohonan lain lebih sesuai. Boleh atau tidak saya membuat permohonan perisytiharan muflis dengan Jabatan Insolvensi Malaysia sebagai cara mendapatkan semula hutang itu. Selain permohonan muflis dengan Jabatan Insolvensi Malaysia, apa alternatif lain boleh diambil. 

    Ingin tahu, 
    Selangor. 
    -----------------------------------------------------------------------
    Jawapan:
    Pertamanya, tindakan puan memfailkan saman penghutang penghakiman adalah satu tindakan yang tepat. Jika suami mengaku berhutang seperti jumlah dinyatakan tadi, maka Mahkamah Syariah boleh mensabitkan terhadap tuntutan itu. 

    Bagaimanapun, jika suami menafikan dakwaan atau tuntutan puan, Mahkamah Syariah akan membuat siasatan terhadap suami. Mahkamah juga mengambil kira kemampuan suami membuat bayaran sama ada secara sekali gus atau ansuran jika tuntutan atau dakwaan puan berjaya disabitkan.

    Bagi isu sama ada puan boleh membuat permohonan perisytiharan muflis, secara dasarnya perintah Mahkamah Syariah tidak disebut dalam akta muflis. Akta itu hanya menyebut perkataan 'mahkamah' saja. Ini bermakna bagi isu permohonan muflis puan harus membuat permohonan melalui Mahkamah Tinggi Sivil melalui seksyen 88 Akta Kebankrapan 1967. 

    Sementara itu , bagi permohonan kepada Jabatan Insolvensi Malaysia, puan boleh memohon sendiri memandangkan puan adalah pihak yang memberi hutang kepada suami. Secara umumnya, jumlah hutang kepada pemiutang hendaklah sekurang-kurangnya RM30,000. 

    Syarat bagi jumlah itu sudah dipenuhi. Tambahan pula, hutang yang dituntut hendaklah untuk satu jumlah yang boleh ditentukan yang perlu dibayar segera atau kemudian dengan syarat terakhir suami puan adalah pemastautin di Malaysia dalam tempoh setahun sebelum petisyen difailkan.

    Untuk pengetahuan puan, ada juga syarat lain yang perlu dipenuhi dalam seksyen 5 Akta Kebankrapan 1967. Bagi prosiding dan perintah atas petisyen pemiutang, seksyen 6 akta yang sama menggariskan panduan bagaimana mahkamah ingin mengisytiharkan seseorang itu dikategorikan sebagai muflis. 

    Mengikut seksyen itu, perkara penting yang perlu ada sepanjang prosiding mahkamah berlaku ialah bukti hutang pemiutang. 

    Namun, adalah lebih baik puan membuat aduan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK). Bahagian itu akan membantu puan melaksanakan perintah dikeluarkan mahkamah. 

    Pihak BSK akan membuat pemantauan terhadap suami untuk memastikan nafkah yang tertangguh dan diputuskan mahkamah diselesaikan.

    Jawapan disediakan ahli Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nor Azmi Mohd Arif

    Islam garis langkah terbaik selesai konflik perkahwinan


    Pasangan harus mengetahui punca krisis, urus perdamaian sebelum memilih untuk bercerai

    HARI ini, kegetiran rumah tangga bukan saja berlaku kepada pasangan baru berkahwin, tetapi juga yang hampir melewati setengah abad. Puncanya, tiada persefahaman, akibat masalah yang mungkin remeh-temeh atau tiada masalah langsung, tetapi itulah berlaku apabila jodoh tidak berpanjangan.

    Ada yang mengadu suami jatuh cinta lagi dan tidak mampu membahagi kasih, lalu isteri terpaksa memberi laluan kepada cinta baru suami, dan anak pula tiada pilihan melainkan reda dengan kehilangan seorang ayah yang mereka dambakan kasih sayangnya sehingga dewasa.



    Keluarga adalah institusi paling kecil, tetapi utama dalam pembinaan tamadun. Asas kukuh menjadi tunjang kepada peradaban yang sihat dalam sesebuah masyarakat. Oleh itu, keutuhan dan kerukunan perlu dicapai setiap unit keluarga bagi membolehkan membina tamadun manusia. Pincang institusi itu bermakna akan ada pelbagai bentuk kerosakan di muka bumi.

    Permulaan untuk membina unit asas institusi kekeluargaan adalah perkahwinan. Antara objektif perkahwinan, menghalalkan perhubungan antara lelaki dan wanita, memenuhi fitrah kehidupan manusia mengingini kasih sayang serta ketenangan terhasil daripada ikatan yang suci.

    Ia juga untuk memanjangkan generasi sedia ada dengan pertambahan zuriat keturunan sebagai penyambung tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di bumi di samping mengelakkan masalah sosial yang semakin meruncing akibat hubungan terlarang antara manusia.

    Asas kepada perkahwinan ialah rasa cinta, kasih sayang, melaksanakan tanggungjawab, saling mempercayai, hormat menghormati, belas kasihan dan bertolak ansur. Persoalan mengenai penganiayaan dan kezaliman terhadap wanita rentetan daripada perkahwinan tidak timbul langsung dalam Islam kerana isteri mempunyai hak mendapat kebahagiaan. Jika hak itu dinafikan oleh suami, isteri berhak menuntut perceraian.

    Antara penyebab berlakunya konflik dalam rumah tangga adalah tekanan ekonomi, masalah komunikasi, memberi ruang kepada kehadiran orang ketiga, penyakit atau kematian, kesunyian dan tidak menyandarkan hubungan suci itu kepada tiang agama.

    Konflik sebegini tidak seharusnya diakhiri dengan perceraian. Lagi pun, talak perkara paling dibenci Allah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah ialah perceraian." (Hadis riwayat Abu Dawud)

    Langkah mengembalikan hubungan yang tegang seperti sedia kala adalah dengan memulakan sebuah kehidupan baru. Pasangan harus mengetahui penyebab kepada krisis berlanjutan. Jalan penyelesaian juga mesti dibincangkan bersama dan jangan melengahkan masa untuk memulakan sistem pembinaan semula perkahwinan yang bahagia.

    Islam menganjurkan setiap individu Muslim hidup bahagia dan jika ada masalah yang mengganggu keharmonian, ia hendaklah diselesaikan seberapa upaya. Untuk menguruskan perdamaian akibat perbalahan antara pasangan, pelbagai cara boleh digunakan seperti mendapatkan nasihat daripada orang yang lebih dihormati.

    Pasangan juga perlu berbincang dari hati ke hati dengan meluahkan apa terbuku bagi mengelakkan sebarang salah faham yang boleh berlarutan. Tetapi, ini hanya boleh berlaku jika masih wujud perasaan hormat antara suami isteri, jika sebaliknya, maka tiada perdamaian 'hati' yang boleh diusahakan lagi.

    Selain itu, suami boleh memulihkan keadaan dengan tujuan memberi pengajaran mungkin dalam bentuk teguran, amaran atau pukulan yang tidak menyakitkan. Jika salah satu pihak cuai menjalankan tanggungjawab menyebabkan konflik dalam perkahwinan, suami atau isteri boleh membuat aduan dan tindakan mahkamah. Jika mahkamah menjatuhkan hukuman, maka hukuman ini bolehlah juga dikatakan sebagai amaran.

    Tiada perhatian daripada ibu bapa yang bermasalah mengakibatkan anak mencari kebahagiaan lain, jurang komunikasi pula menidakkan ajaran dan bimbingan dalam sebuah keluarga, akhirnya wujudlah anak menagih perhatian di jalanan.

    Asalnya, dulu mereka melepak untuk menghabiskan masa terluang dan ia sangat menyeronokkan, tetapi hari ini mereka menjadi samseng jalanan untuk membina 'jati diri' menghadapi kemungkinan kemudian hari. Akhirnya rumah tangga bermasalah menjadi semakin punah kerana ibu bapa tidak tegar menghadapi kerenah anak yang lebih mengusutkan.

    Akhir-akhir ini juga banyak konflik perkahwinan membawa kepada krisis yang besar sehingga pasangan bertindak untuk tinggal berasingan. Ia berlaku mungkin disebabkan pasangan tidak langsung cuba menyelesaikan masalah.

    Pasangan juga mungkin boleh meredakan kemarahan dengan berjauhan antara satu sama lain dalam tempoh tertentu. Ia tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan masalah lain yang timbul seperti nusyuz, pengabaian nafkah zahir dan batin.

    Islam membenarkan pengasingan sementara jika ia adalah jalan terbaik untuk meredakan keadaan dan melindungi mana-mana pihak daripada kemudaratan lebih besar. Apabila seseorang lelaki bersumpah untuk menjauhkan diri daripada isterinya, al-Quran menjelaskan bahawa mereka perlu diberi tempoh untuk bertenang dan dapat berfikir semula secara waras.

    Firman Allah bermaksud: "Kepada orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri mereka diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 226)

    Bukan tiada caranya untuk menangani konflik rumah tangga, tetapi jika tidak kembali kepada ajaran-Nya, tentulah masalah menjadi semakin runcing, suami mesti sentiasa menjadi pemimpin, isteri setia dibimbing, anak pula jangan dikesamping.

    Tuesday, May 26, 2009

    Kisah Rasulullah bersemuka dengan Siti Khadijah..........

    SYRIA pernah dikunjungi oleh Nabi Muhammad semasa mengetuai kafilah perdagangan kepunyaan Siti Khadijah. - Gambar hiasan

    Rasullullah SAW dikatakan hanya menerima beberapa qirat (satu qirat bersamaan dengan 1/24 dinar) sebagai upah untuk mengembala kambing milik penduduk Mekah.

    Upah tersebut mungkin jauh dari memadai memandangkan kemampuan bapa saudara baginda Abu Talib yang terhad untuk menyara keluarganya sendiri dan Nabi Muhammad yang dalam jagaan beliau itu.

    Sehinggalah pada suatu hari, Abu Talib berkata kepada anak saudaranya itu: "Khadijah Putri Khuwailid termasuk orang kaya di kalangan Quraisy. Kegiatan perdagangannya sampai ke Mesir dan Ethiopia.

    "Beliau kini sedang mencari seorang yang jujur dan amanah untuk melaksanakan usaha dagangnya itu, iaitu membawa barang dagangannya dalam satu kafilah Quraisy untuk diniagakan di Syam (Syria).

    "Wahai Muhammad, alangkah bagusnya jika kau melamar pekerjaan ini dari wanita itu?"

    Kemungkinan atas rasa segan Nabi Muhammad tidak segera melamar pekerjaan itu walaupun baginda sangat bersetuju memenuhi permintaan bapa saudaranya.

    Ini kerana baginda tidak pernah berkenalan dengan Siti Khadijah sebelum ini dan baginya adalah tidak salah supaya wakil pihak wanita itu untuk menemuinya.

    Apabila permintaan ini sampai kepada pengetahuan Siti Khadijah, dengan segera wanita ini telah menghantar seorang wakil menemui Rasulullah dan menyampaikan pesanan yang berbunyi: "Saya begitu menghormati tuan atas kelurusan, kejujuran dan keunggulan akhlak peribadi yang tuan miliki.

    "Oleh itu, jika barang dagangan saya dalam urusan tuan maka saya akan memberikan upah dua kali ganda banyak berbeza dari yang biasa saya beri kepada orang lain.

    "Di samping saya akan memberi kepada tuan dua budak suruhan yang akan membantu dan menuruti apa juga arahan yang tuan berikan kepada mereka," pesan Khadijah.

    Sebagaimana biasa, Nabi Muhammad akan merujuk kepada bapa saudara bagi mendapatkan pendapat dan nasihat lalu Abu Talib berkata: "Tawaran ini merupakan sumber nafkah yang Allah SWT limpahkan kepadamu wahai Muhammad, terimalah dan laksanakanlah amanah ini dengan jujur dan amanah. Semoga Allah berkati perjalanan dan urusanmu."

    Lalu kepada wakil itu, Nabi Muhammad menyatakan persetujuan menerima tawaran dari Siti Khadijah dan tanpa membuang masa baginda bergegas untuk membantu wanita itu.

    Baginda mengetuai sebuah kafilah barang-barang dagangan milik Siti Khadijah untuk dibawa berdagang ke negeri Syam. Bersama baginda dua orang budak suruhan seperti yang dijanjikan oleh wanita itu.

    Pemergian kali ini merupakan satu lagi usaha baru yang dilakukan oleh Rasulullah. Sebelum ini baginda terlibat dalam pelbagai kegiatan termasuk mengembala kambing yang baginda lakukan sejak dalam jagaan ibu susuannya, Halimah Saadiah sehinggalah terlibat dalam peperangan dan sebagainya.

    Baginda tidak sekadar membawa dagangan milik Siti Khadijah supaya selamat sepanjang perjalanan ke Syria untuk diniagakan, tetapi baginda juga perlu niagakan barang dagangan itu seperti yang diamanahkan oleh wanita bangsawan itu.

    Ini bererti baginda sanggup menyahut apa juga cabaran lebih-lebih lagi melibatkan perkara yang baru atau yang tidak pernah ditempuh oleh baginda sebelum ini.

    Hasilnya, sejurus baginda selamat tiba di Syria, diringkaskan seluruh anggota kafilah yang mengikuti rombongan yang diketuai oleh baginda itu akhirnya pulang semula ke Mekah dengan hasil perniagaan yang sangat menguntungkan!

    Namun keuntungan yang diperoleh oleh baginda sendiri adalah lebih menguntungkan berbanding saudagar-saudagar yang mengikuti rombongan baginda itu.

    Rasulullah s.a.w : Peribadi yang menarik

    Disebabkan ia merupakan pengalaman pertama baginda berniaga dan juga membawa barang dagangan orang lain, tentulah ia suatu keadaan yang menyukarkan kepada baginda.

    Namun ternyata cabaran itu berjaya disahut dan ini menambahkan lagi kematangan dan kemahiran kepada baginda.

    Baginda kemudiannya bersama ahli rombongan yang lain kembali semula pulang ke Kota Mekah dalam satu perjalanan yang dipelihara Allah, selamat dari sebarang mara bahaya.

    Semasa kafilah itu berada tidak jauh dari Mekah, budak suruhan yang bernama Maisarah menyarankan kepada Nabi Muhammad supaya baginda memasuki Kota Mekah lebih dahulu dari mereka.

    "Alangkah baiknya jika tuan memasuki Mekah mendahului kami dan segera khabarkan kepada Khadijah mengenai perdagangan dan keuntungan besar yang kita perolehi dari Syam ini.

    "Tentu beliau gembira dan tuan sendiri akan sentiasa menjadi orang kepercayaan Khadijah setiap kali untuk berniaga jauh dari Kota Mekah, tuan juga yang mendapat untung," kata Maisarah.

    Baginda tidak bermasalah untuk menerima saranan Maisarah itu. Dengan segera baginda berkejar ke Mekah semata-mata untuk menemui Siti Khadijah.

    Di Kota Mekah, Siti Khadijah berlari turun dari kamarnya apabila mendapati seorang pemuda tampan yang beliau kenali datang hendak menemui beliau dengan hati penuh berdebar.

    Beliau segera bertanyakan kepada pemuda tersebut akan berita yang hendak disampaikan kepadanya.

    Walaupun ini merupakan kali pertama baginda bertemu Khadijah secara bersemuka, namun baginda tidak mempunyai masalah berkongsi berita-berita gembira mengenai barang dagangan milik Khadijah yang laris dalam perniagaan di Syam.

    Tidak lama kemudian Maisarah pun tiba dan terus menyertai pertemuan antara Khadijah dan Nabi Muhammad itu dan tanpa sabar-sabar beliau pun bercerita kepada Khadijah.

    Maisarah menceritakan kepada wanita itu pengalaman sepanjang beliau menjadi budak suruhan Nabi Muhammad, termasuk apa yang berlaku dan dilihat sepanjang perjalanan dagangan itu.

    Khadijah diberitahu mengenai Rasulullah mempunyai peribadi yang menarik, akhlak yang mulia, fikiran yang tajam, tutur kata yang benar, sangat amanah dan bijak dalam berurusan dengan para peniaga dan pelanggan-pelanggan.

    Oleh kerana baginda hanya menonjolkan yang terbaik, termasuk tidak pernah meninggikan suara dan berhemah tinggi menyebabkan ramai yang menyukai dan gemar berurusan dengannya.

    Di masa lain, Maisarah juga menceritakan kepada wanita ternama ini bagaimana Rasulullah juga pernah berselisih faham dengan seorang pedagang yang lain yang hendak bersumpah demi berhala Lat dan Uzza.

    Tetapi Nabi Muhammad menjawab: "Saya menganggap Lat dan Uzza yang tuan sembah itu sebagai benda-benda yang paling buruk dan nista di muka bumi ini!"

    "Ini menyebabkan pedagang itu terdiam dan tidak lagi hendak bertelagah dengan Muhammad," kata Maisarah.

    Maisarah juga bercerita mengenai pengalaman mereka ketika berhenti rehat di Busra.

    Ia adalah kisah yang mempunyai persamaan seperti yang berlaku ketika baginda mengikuti rombongan dagangan bapa saudaranya, Abu Talib dahulu.

    Tetapi diceritakan kali ini, di Busra iaitu ketika al Amin (gelaran kepada Nabi) duduk berehat di bawah sepohon pokok dan tanpa disedari perlakuan baginda diperhatikan oleh seorang pendita atau rahib Nasrani yang keluar dari biaranya.

    Rahib itu kemudiannya bertanyakan kepada Maisarah sendiri mengenai Nabi Muhammad yang sedang berehat itu.

    Lalu Rahib itu berkata: "Pemuda yang sedang duduk di bawah naungan pohon itu adalah Nabi, yang mengenainya telah saya banyak baca khabar gembira di dalam kitab Talmud (Taurat) dan Injil".

    Segala kisah yang diceritakan oleh Maisarah ini benar-benar menjadikan Khadijah seperti dikuasai oleh kuasa magis atau terpukau. Khadijah benar-benar amat tertarik kepada Nabi Muhammad.

    Sehinggakan Khadijah meminta supaya Maisarah berhenti dari menceritakan mengenai Muhammad.

    "Maisarah, Maisarah cukuplah, cukuplah!

    "Engkau telah melipatgandakan perhatian saya terhadap Muhammad.

    "Sekarang saya bebaskan engkau dan isterimu dari menjadi hamba saya lagi. Untuk itu juga saya hadiahkan sebanyak 200 dirham, dua ekor kuda dan sepasang baju yang mahal," kata Khadijah.

    Maisarah dan isterinya bebas gara-gara kisah Nabi Muhammad! Siti Khadijah tidak lama kemudian didatangi oleh satu mimpi yang aneh. Ikuti kisah selanjutnya mengenai mimpi itu pada siri akan datang!

    Ummu Sulaim menanti keislaman Abu Talhah


    GAMBAR HIASAN SAHAJA.............

    UMMU Sulaim ialah ibu kepada Anas bin Malik, salah seorang sahabat dan pembantu peribadi Nabi Muhammad SAW.

    Ummu Sulaim menyerahkan Anas bin Malik kepada Nabi Muhammad ketika berusia 20 tahun untuk melayan beliau. Dia memeluk agama Islam ketika Nabi Muhammad masih berada di Mekah.

    Apabila Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah, Ummu Sulaim bersama golongan Muslimin dan Muslimat Madinah menyatakan keimanan mereka di hadapan nabi Muhammad.

    Suaminya, Malik bin Nadir rasa tercabar dan marah apabila isterinya sudah memeluk agama Islam. Dia tidak percaya dengan agama Islam dan Nabi Muhammad.

    "Adakah kamu sudah menjadi gila dengan mengakui agama Islam sebagai agama kamu,!" tengking suaminya dengan nada marah.

    "Saya tidak gila tapi beriman pada Allah dan rasulnya," jawab Ummu Sulaim dengan tegas.

    Kemudian Ummu Sulaim mengajar anaknya Anas mengucap dua kalimah syahadah. Anas bin Malik menurut perintah ibunya lalu mengucap dua kalimah syahadah dengan lancar. Malik menjadi berang dengan tindakan Ummu Sulaim itu dan memarahinya.

    "Jangan kamu rosakkan anak saya!," jerit Malik dengan nada geram.

    "Saya tidak merosakkan anak kamu," balas Ummu Sulaim dengan tenang.

    Malik bin Nadir keluar dari rumahnya dengan perasaan tidak puas hati. Dia tidak faham mengapa isterinya sanggup meninggalkan agama nenek moyangnya yang menyembah berhala lalu menerima agama Islam.

    Hatinya panas dan geram dengan apa yang sudah berlaku di rumahnya tadi. Akhirnya dia membuat satu keputusan drastik setelah berfikir panjang.

    Tak tahan

    "Saya tak tahan dengan sikap isteri saya. Saya akan tinggalkan mereka berdua di Madinah dan berhijrah ke Syam". Malik bin Nadir memulakan perjalanannya ke Syam.

    Apabila tiba di Syam, Malik terserempak dengan musuhnya. Musuhnya yang ingin membalas dendam telah menikamnya sehingga mati. Berita kematian Malik akhirnya tiba di telinga Ummu Sulaim dan dia berjanji tidak akan bernikah selagi Anas tidak meningkat dewasa.

    Apabila Anas memasuki alam dewasa, Abu Talhah al-Anshar datang melamarnya. Namun lamaran Abu Talhah ditolak oleh Ummu Sulaim kerana dia masih belum memeluk agama Islam.

    Walaupun lamaran Abu Talhah ditolak, dia tidak berputus asa. Dia melamar Ummu Sulaim buat kali kedua. Ummu Sulaim menolak lamaran Abu Talhah sekali lagi kerana hatinya masih belum terbuka memeluk agama Islam.

    "Dengar sini Abu Talhah, adakah kamu tidak sedar bahawa apa yang kamu sembah itu adalah ukiran kayu yang tidak dapat memberikan manfaat dan kebaikan kepada kamu?

    "Apabila kamu menyalakan api di sekelilingnya, sudah pasti mereka hangus terbakar. Tidakkah kamu malu untuk menyembah semua itu? Jika kamu sedia memeluk agama Islam, maka saya bersedia untuk bernikah dengan kamu. Saya tak mengharap mas kahwin selain kamu menganut Islam," jelas Ummu Sulaim.

    Setiap kali Abu Talhah melamar Ummu Sulaim, jawapannya sentiasa sama iaitu Abu Talhah harus memeluk agama Islam sebelum bernikah dengannya.

    Lama kelamaan jawapan Ummu Sulaim mempengaruhi fikiran Abu Talhah sehingga dia memeluk agama Islam. Ummu Sulaim gembira mendengar berita itu lalu bersetuju untuk menikahinya.

    Ummu Sulaim tidak meminta mas kahwin melainkan Abu Talhah memeluk agama Islam. Ummu Sulaim memperoleh mas kahwin yang lebih mulia dari mana-mana wanita pada ketika itu. Mas kahwinnya adalah Islam.

    Ummu Sulaim turut serta dalam Perang Uhud bersama Aishah binti Abu Bakar. Mereka berdua mengangkut air di atas bahu lalu membahagikan kepada pasukan tentera Islam yang bertempur di medan peperangan.

    Setiap kali kehabisan air, Ummu Sulaim dan Aishah mengangkut air kembali untuk diberikan kepada tentera Islam yang kehausan.

    Ketika Perang Hunain meletus, kaum wanita juga bergabung dengan pasukan tentera Islam untuk memerangi pihak musuh.

    Nusaibah membawa pedang pada tangannya dan Ummu Sulaim membawa pisau belati yang diikatkan pada pinggangnya. Hatinya bergelora berperang walaupun pada ketika itu dia mengandungkan Abdullah bin Abu Talhah.

    "Saya tak berani nak menunggang unta dalam keadaan sebegini. Seandainya saya terjatuh, ia bahaya pada kandungan saya," bisik hati kecil Ummu Sulaim yang merapatkan mukanya ke badan unta. Tangan dimasukkan ke jalinan bulu yang diikatkan di hidung unta bersama tali kendali.

    "Ya Rasulullah, Ummu Sulaim datang membawa pisau belati di pinggangnya," ujar Abu Talhah kepada Nabi Muhammad ketika Ummu Sulaim menghampiri mereka.

    "Untuk apa pisau belati itu," tanya Nabi Muhammad dengan nada hairan.

    "Jika ada pihak musuh yang mendekati diri saya, maka saya akan robekkan perut mereka dengan pisau belati ini.

    "Saya akan bunuh orang-orang Islam yang cuba melarikan diri daripada melindungi diri mu Rasulullah sebagaimana kamu membunuh orang-orang yang menentang kamu kerana mereka hanya layak untuk dibunuh," jawab Ummu Sulaim lalu memegang pisau belatinya.

    "Sesungguhnya Allah memberikan kecukupan dan kebaikan, wahai Ummu Sulaim," balas Rasulullah sambil tersenyum mendengar jawapan Ummu Sulaim itu.

    Begitulah kisah seorang wanita yang menyerahkan anaknya untuk dijadikan pelayan kepada Nabi Muhammad. Dia tidak gentar atau takut dengan suaminya yang memarahinya memeluk agama Islam.

    Dia hanya berkahwin dengan Abu Talhah setelah memeluk agama Islam. Mas kahwinnya adalah agama Islam. Walaupun dirinya sedang mengandung, Ummu Sulaim tetap menyertai Perang Hunain bagi menegakkan agama Islam.

    Monday, May 25, 2009

    Why You Must Learn English.......

    Wahai anak-anak Adam, Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.
    SURAH AL-ARAF: 31


    Friday, May 22, 2009

    Semua nabi membawa ajaran Allah yang benar

    Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: “Allah menerangkan perihal Yahudi yang semasa risalah Muhammadiah betapa mereka amat taksub dan meminda kalam Allah daripada tempatnya. Di samping itu, Allah menjelaskan tindakan mereka membawa kezaliman dan kerosakan iktikad. Selepas itu Allah menjelaskan kesatuan syariat samawi yang saling lengkap melengkapi samalah seperti istana yang dibina teguh”.

    Iktibar dan fiqh ayat ke-81:

    i. Ibn Kathir berkata, Allah mengkhabarkan bahawa ia mengambil perjanjian setiap nabi yang diutuskannya sejak Nabi Adam a.s hingga Nabi Isa a.s supaya melaksanakan perintah Allah kepada mereka daripada kitab dan hikmah.

    ii. Al-Maraghi berkata, ayat ini mengisyaratkan bahawa agama tidak patut dijadikan sebagai wahana permusuhan dan kebencian, seperti perbuatan ahli kitab yang memusuhi Nabi SAW.

    Padahal kedatangan baginda adalah mengajak mereka kepada kalimah yang sama. Malangnya segelintir mereka menunjukkan sikap melawan, menjauhkan diri, melakukan tipu daya dan mengingkari.

    iii. Al-Maraghi berkata, dialog ini bersifat perlambangan bagi menanam pengertian yang lebih kuat dan jelas ke dalam jiwa manusia.

    Ayat ini tidak bererti bahawa dialog tersebut benar-benar terjadi kerana contoh-contoh dialog seperti ini terdapat pada gaya bahasa Arab.

    iv. Hamka berkata, ayat ini menjelaskan bahawa nabi-nabi yang terdahulu selalu diperingatkan oleh Allah SWT bahawa akan datang pula seorang rasul yang menjadi penutup segala nabi dan rasul untuk selamanya.

    Menurut penafsiran Saad bin Jubair dan Qatadah dan Thawus dan al-Hassan dan al-Suddy, perjanjian di antara nabi-nabi dengan Allah SWT supaya yang setengah membenarkan dan mengakuinya lagi dengan iman.

    Janji

    Allah SWT memegang janji nabi-nabi terdahulu supaya beriman kepada nabi yang akan datang dan membelanya.

    v. Mohamad Quraish Shihab berkata, banyak ulama berpendapat bahawa perjanjian dimaksud adalah yang diambil Allah SWT secara langsung dari para nabi, yakni Allah mengumpul para nabi di satu alam yang kita tidak ketahui. Kemudian mengambil janji mereka untuk percaya kepada Nabi Muhammad SAW dan apabila mereka menemui baginda maka mereka siap mendukung dan membela baginda.

    Ada juga menyatakan perjanjian itu adalah di antara nabi dan disaksikan Allah SWT. Pengikut fahaman pertama menyatakan bahawa Allah SWT telah mengikat janji dengan seluruh nabi agar saling membenarkan dan mempercayai sesama mereka.

    Nabi Musa harus percaya kepada Nabi Isa dan menyokongnya serta berpesan hal yang sama kepada umatnya jika menemui Nabi Isa. Demikian juga Nabi Isa kepada Nabi Muhammad SAW.

    vi. Ibn Jarir al-Tobari berkata, ingatlah kamu hai Ahli Kitab, ketika Allah mengambil kesetiaan nabi-nabi. Adapun perjanjian itu, mereka berjanji mentaati Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

    Iktibar dan fiqh ayat ke-82:

    i. Al-Maraghi berkata, barang siapa yang melanggar janji selepas membuat ikatan janji untuk menyebar agama para nabi, dan menjadikan agama sebagai medium perpecahan dan permusuhan serta tidak mahu beriman kepada nabi yang terakhir, yang membenarkan ajaran-ajaran agama terdahulu serta tidak mahu membelanya, mereka itulah orang yang derhaka.

    Mengingkari

    Oleh itu, Ahli Kitab yang mengingkari kenabian Rasulullah SAW meninggalkan perjanjian Allah SWT dan mengubahnya, perbuatan itu dianggap terkeluar daripada agama yang benar.

    ii. Hamka berkata, berpaling daripada kesatuan itu adalah fasik iaitu derhaka. Tidak lagi menuruti jalan yang lurus. Fasiklah orang kalau telah dibentuknya suatu agama, lalu didasarkannya kepada nama seorang nabi lalu menyisihkan diri dari golongan yang lain.

    Ajaran mereka pun berasal daripada seorang nabi pula, tidak ada maksud hendak menggabungkan semuanya dalam satu ajaran, nabi-nabi bersatu dan umat-umat di belakang mereka berpecah.

    iii. Mohamad Quraish Shihab berkata, setelah Allah menyampaikan janji itu, baik dalam erti mengambil janji untuk percaya dan menyokong Nabi Muhammmad SAW.

    iv. Barang siapa yang melanggar janji selepas membuat ikatan janji untuk menebarkan agama para nabi, dan menjadikan agama sebagai medium perpecahan dan permusuhan, serta tidak mahu beriman kepada nabi yang terakhir, yang membenarkan ajaran-ajaran agama terdahulu, serta tidak mahu membelanya, mereka itulah orang yang derhaka.

    Oleh itu, Ahli Kitab yang mengingkari kenabian Muhammad SAW meninggalkan perjanjian Allah SWT dan mengubahnya, maka perbuatan mereka itu dianggap terkeluar daripada agama yang benar.

    Iktibar dan fiqh ayat ke-83:

    i. Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir berkata, makna patuh dan terpaksa ada enam pendapat:

    l Semuanya Islam pada hari perjanjian secara taat dan terpaksa seperti riwayat Mujahid daripada Ibn Abbas dan A’mash daripada Mujahid.

    l Orang mukmin sujud secara taat sedangkan orang kafir sujud dalam keadaan terpaksa. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas, Ibn Abi Nujaih dan Lais daripada Mujahid.

    l Semuanya patuh bahawa Allah pencipta sekalipun sebahagian daripada mereka syirik. Inilah pendapat Abu al-‘Aliah dan Mansur dari Mujahid.

    l Orang mukmin menyerah dalam keadaan taat sedangkan kafir menyerah kepada Islam dalam keadaan takut kepada mata pedang. Inilah pendapat al-Hasan.

    l Orang mukmin Islam dengan penuh ketaatan sedangkan orang kafir Islam apabila melihat azab Allah, sedangkan ketika itu tidak boleh memberi manfaat. Inilah pendapat Qatadah.

    l Islam keseluruhannya dengan tunduk dan patuh perintahnya secara tabiat kerana tiada seorang pun mampu mencabar kekuasaan Tuhan. Inilah pendapat al-Zajjaj.

    ii. Al-Maraghi berkata, agama yang benar ialah agama yang menyuruh berserah diri kepada Allah SWT dan beribadah kepada-Nya dengan ikhlas.

    Semua nabi berbuat demikian dan mereka mengambil janji seperti itu daripada umat-umat mereka. Mereka kemudiannya melanggar janji itu ketika seorang nabi yang telah dijanjikan datang kepada mereka dan mengajak mereka kepada Islam, malangnya mereka tetap mendustakannya.

    iii. Hamka berkata, matahari dan bulan menyerah kepada Allah. Begitu juga alam cakerawala dengan taat dan suka. Demikian juga sesetengah manusia yang memikirkan maksud Islam sedalam-dalamnya maka masuklah mereka dengan penuh keinsafan.

    Semuanya tunduk menyerah kepada Allah SWT sama ada suka atau pun tidak. Maka bahagialah bagi siapa yang insaf akan hal ini sehingga dia tidak berasa keberatan menerima ketentuan Allah SWT.

    iv. Mohamad Quraish Shihab berkata, ketundukan dan ketaatan apa yang ada di langit dan di bumi menunjukkan kepatuhan hamba-hamba-Nya walaupun mereka diberi pilihan untuk taat atau tidak.

    Sekiranya ia terpaksa ini kerana ia tidak diberi pilihan dan harus menerima apa yang ditetapkan-Nya. Alam ini tunduk kepada Allah SWT dengan jelas pada ketepatan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh-Nya.

    Matahari tidak pernah terbit dari sebelah barat. Hukum-hukum alam bersifat konsisten, kalaupun ia berubah, ia berdasarkan hukum-hukum yang ditetapkan-Nya juga.

    v. Al-Sonhadji berkata, orang yang di langit dan di bumi telah disebutkan sama ada beriman secara rela atau pun secara terpaksa. Semuanya telah tunduk kepada Allah dengan menganut agama Islam.

    Para Ahli Kitab pula masih berdalih mencari agama lain. Akhirnya, mereka akan kembali kepada Allah untuk menerima balasan.

    Sindiran ayat ini jelas menunjukkan betapa besarnya amaran dan ancaman Allah terhadap orang yang menyalahi-Nya di dunia ini.

    Alangkah baiknya jika kita menjadi hamba yang mentaati dan mematuhi perintah-Nya dalam semua keadaan untuk melayakkan kita mendapat segala kurniaan nikmat, rahmat dan hidayah Allah. Amin.

    Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

    Soal Jawab Agama: Adab berjimak

    Soalan:
    Apakah pandangan Islam, mengenai hak seorang isteri ke atas suaminya. Ada di antara suami yang gagal menunaikan hak isterinya khususnya dalam menunaikan jimak, dengan alasan sibuk dengan kerja dan aktiviti di luar.

    Jawapan:

    Jimak adalah hak seorang isteri yang wajib ke atas suaminya merupakan pandangan Ibn Qudamah al-hanbaliy, al-Wat’u, wajib atas seorang lelaki. Maksudnya, wajib ke atas seorang suami ‘mendampingi’ isterinya sekiranya dia tidak uzur, ini pandangan Imam Malik.

    Dalil yang mewajibkan jimak ialah firman Allah SWT yang bermaksud: Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung Dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri Yang lain seperti benda Yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (Keadaan Yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan Yang zalim), maka Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Nisa’: 129).

    Berdasarkan ayat ini Imam al-Jashsas berkata, si isteri wajib mendapatkan nafkah batin daripada suaminya. Ini kerana ayat di atas adalah menjadi dalil bahawa jangan tinggalkan isteri-isteri kamu dalam keadaan tergantung (tidak menunaikan hak jimak ke atas mereka).

    Imam al-Bukhari mengeluarkan hadis daripada Abdullah bin Amru bin al-Ash yang bermaksud: Rasulullah SAW telah bersabda: Wahai Abdullah bukankah aku telah memberitahu engkau bahawa engkau berpuasa di siang hari dan bersolat malam (secara berterusan)? Aku menjawab: ya wahai Rasulullah. Baginda berkata: Jangan buat begitu, puasalah engkau dan berbuka, bangun malam untuk solat dan tidur, sesungguhnya jasad engkau mempunyai hak ke atas engkau, dan sesungguhnya mata engkau mempunyai hak ke atas engkau, dan sesungguhnya isteri engkau mempunyai hak ke atas engkau.

    Dalam mensyarahkan hadis ini ulama berpendapat: Tidak harus bagi seorang suami hanya mementingkan ibadat sehingga lalai dari menunaikan hak seorang isteri.

    Di dalam syariat Islam nikah adalah untuk memelihara kemaslahatan suami dan isteri demi memelihara maruah diri supaya tidak melakukan suatu yang ditegah oleh Allah sehingga melangsaikan keinginan nafsu pada jalan yang haram.

    Di dalam athar sahabah, Umar bin al-Khattab r.a telah memutuskan keputusan di dalam qada ke atas Kaab bin Siwar supaya seorang lelaki hendaklah bermalam bersama isterinya setiap empat malam sekali.

    Dalam memperhalusi fatwa Umar ini Ibn Qudamah menyatakan: “Sesungguhnya keputusan Umar ini tersebar dan tiada yang membantahnya dan ia dipersetujui oleh ulama (ijmak). (Ibn Qudamah, al-Mughniy, jld:7, hlm: 29).

    Maka bagi suami yang bersama dengan isterinya bukan dalam musafir, maka hendaklah menunaikan hak isterinya paling tidak empat hari sekali. Pandangan ini disokong oleh Imam al-Ghazali.

    Di dalam menunaikan hak nafsu pada jalan yang halal ini, Islam telah mengajar umatnya supaya memelihara adab-adab berjimak supaya tidak melampaui batasan syarak.

    Di antaranya ialah:

    1- Melafazkan bismillah, dan mohon perlindungan dari kerterlibatan syaitan dalam jimak.

    Telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, daripada Ibn Abbas r.a daripada Nabi SAW yang bermaksud: “Sekiranya ada di antara kalian yang ingin mendatangi isterinya (jimak) hendak membaca: Bismillah, Allahumma jannibna al-Syaitan wa jannib al-syaitan maa razaqtana, sekiranya mereka berdua dikurniakan anak maka anak itu tidak akan dimudaratkan oleh syaitan”. (al-Bukhari, Syarah al-‘Asqalaniy, jld:9, hlm: 305).

    2. Hampir tidak dipelihara ialah menutup tubuh ketika mengadakan hubungan kelamin.

    Baginda Rasulullah SAW ada berpesan, melalui hadis baginda yang diriwayatkan oleh Ibn Majah yang bermaksud: “Apabila salah seorang di antara kamu ingin mendatangi isterinya maka hendaklah menutup dan jangan telanjang bulat seperti keldai liar”. (Ibn Majah, jld: 1, hlm: 619).

    3. Tidak menyetubuhi isteri di sisi isteri yang lain atau didengari oleh isteri yang lain.

    4. Tidak menghadap kiblat, antara adab yang jarang didedahkan ialah tidak menghadap kiblat ketika jimak.

    Ini kerana Amru bin Hazam dan athar menghukum perbuatan menghadap kiblat ketika jimak dan bercakap banyak ketika jimak sebagai makruh.

    Perkara ini pernah ditegur oleh Rasulullah saw dalam hadis yang bermaksud: “Jangan kamu banyak berbicara ketika berjimak dengan isteri-isteri kamu”. (al-Mughniy, jld:7, hlm: 25).

    5. Mencapai kepuasan dalam jimak. Tidak dikira sempurna jimak itu selagi tidak mencapai kepuasan oleh pasangan suami dan isteri.

    Kesimpulannya, walaupun jimak adalah ibadat, dalam melakukan ibadat kita mengharapkan agar ia membawa maksud yang positif kepada si pengamalnya.

    Justeru, adalah wajar bagi setiap pasangan memelihara adab dan menjaga batasan agar tidak terlalu terikut-ikut dengan kehendak nafsu sehingga melakukan suatu yang bukan dari budaya Islam.

    Thursday, May 21, 2009

    Mukmin patut bersangka baik ketika ditimpa ujian, musibah

    DARIPADA Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi bahawa keduanya masuk melawat seorang sakit, lalu mereka bertanya kepadanya: "Bagaimana keadaanmu pagi ini? Ia menjawab: Aku berada dalam keadaan baik. Syaddad berkata kepadanya: Bergembiralah engkau dengan perkara yang menghapuskan dosa dan menggugurkan kesalahan, kerana aku mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah berfirman: Apabila aku menguji seseorang dari hamba-Ku yang mukmin dengan sesuatu penyakit, lalu ia memuji-Ku kerana ujian-Ku itu maka sesungguhnya ia akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa ia dilahirkan ibunya, bersih daripada segala kesalahan, dan Tuhan berfirman kepada malaikat penulis amal itu: Aku sudah mengikat hamba-Ku itu dan mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya (menulis amal baiknya) ketika ia berkeadaan sihat." (Hadis riwayat Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi) 

    Alangkah beruntungnya mereka ditimpa ujian Allah, tetapi reda dengan keadaannya kerana tidak ramai daripada kita apabila didatangkan ujian sedangkan Allah menjanjikan amalan baik untuk mereka yang tidak merungut. 

    Sepatutnya apabila berhadapan dengan keadaan kurang menyenangkan, hendaklah kita bersangka baik kerana mungkin itu untuk menghapuskan dosa atau peringatan supaya kita bermuhasabah diri.

    Ada kalanya, teguran daripada ahli keluarga atau rakan menyebabkan kita marah dan enggan menerima kritikan, tetapi teguran Allah mungkin dengan cara mendatangkan musibah menimbulkan keinsafan untuk menilai kembali perkara yang kita lakukan. 

    Nabi SAW bersabda bermaksud: "Tidak ada sesuatu menimpa seseorang Islam sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakiti, atau kesusahan mengingatkan apa yang berlaku sehinggakan tikaman duri mencucuknya melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya, sebahagian dari dosanya." (Hadis riwayat Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah) 

    Begitu juga apabila didatangkan sakit berpanjangan, kita dilarang sekali berdoa meminta mati hanya kerana tidak tahan menanggung ujian sakit dan ingin ditamatkan segera kesakitan itu.

    Sebaliknya, jangan kita berputus asa berdoa supaya diberi kesabaran dan pada masa sama mengharapkan belas ehsan-Nya supaya dikembalikan nikmat kesihatan. 

    Ada kalanya, keadaan kita yang terdampar sakit bukan hanya kerana Allah ingin menguji kita, tetapi juga orang di sekeliling seperti ahli keluarga dan saudara mara. 

    Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Jangan sekali-kali seseorang kamu bercita-cita hendakkan mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; jika keadaannya mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata: Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku." (Hadis riwayat Anas)

    Hukuman denda punca kesalahan khalwat dipandang remeh

    SAYA mengikuti kes khalwat di negara ini sejak undang-undang diwujudkan. Saya melihat hakim hanya menjatuhkan hukuman denda dan kadangkala denda serta penjara. Tidak bolehkah undang-undang diseragamkan dengan semua pesalah khalwat dikenakan hukuman penjara. Ini menampakkan seolah-olah hukuman di Mahkamah Syariah bertaraf rendah. 

    Warga Prihatin, 
    Kuala Lumpur.
     

    Seksyen 29 (1) (a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 memperuntukkan: "Lelaki yang didapati berada bersama seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isterinya atau mahramnya di mana-mana tempat terselindung atau dalam rumah atau bilik dalam keadaan boleh menimbulkan syak mereka melakukan perbuatan tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan".

    Apabila sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 

    Peruntukan itu jelas menunjukkan kesalahan khalwat bukan saja membabitkan seorang lelaki dengan perempuan, malah juga antara seorang atau ramai lelaki dengan seorang atau ramai perempuan bukan muhrim. 

    Mereka berada sama ada dalam sebuah rumah, bilik atau tempat terselindung (dalam kereta atau di celah pokok) yang keadaan mereka ketika itu boleh mendatangkan syak sedang melakukan maksiat.

    Hukuman yang boleh dijatuhkan ke atas tertuduh ialah salah satu daripada tiga hukuman diperuntukkan iaitu denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-dua sekali. 

    Ini peruntukan undang-undang dan kuasa menjatuhkan hukuman yang diberikan kepada hakim Mahkamah Syariah. Mereka tidak boleh melangkaui kuasa diberikan. Namun, berdasarkan peruntukan seksyen 29 mahkamah mempunyai budi bicara menjatuhkan hukuman secara khusus (penjara atau denda saja), tidak perlu menurut turutan. 

    Peruntukan berkenaan menggunakan perkataan 'boleh dihukum' yang tidak mengikat mahkamah menjatuhkan hukuman mengikut turutan seperti dalam peruntukan. Seksyen itu juga menggunakan perkataan 'atau' yang diertikan sebagai pilihan. 

    Apa yang berlaku, hakim mengambil pendirian mengenakan denda. Dalam menentukan hukuman, perlu dipertimbangkan adakah ia boleh menjadi iktibar, inzar, pengajaran, peringatan dan balasan bukan saja kepada tertuduh malah masyarakat Islam, supaya tidak melakukan kesalahan sama.

    Dalam kes hukuman takzir, kuasa mahkamah menentukan hukuman agak luas. Merujuk kitab Al Ahkam As Sultaniyyah karangan Al-Mawardi menyebut: "Takzir juga istilah yang jika disebut secara tunggal akan bermaksud hukuman atau keseksaan. Bagi maksud kesalahan ia perlu disebut kesalahan takzir. Sebagai hukuman fuqaha mendefinisikannya sebagai hukuman atau keseksaan yang tidak ditentukan secara terperinci oleh syarak dan dilaksanakan sama ada untuk kepentingan individu atau masyarakat dalam semua kes selain kes hudud dan qisas." 

    Kitab Al-Fiqh al-Islami waadillatuh pula menyebut: "Takzir adalah hukuman ke atas jenayah atau maksiat yang tidak ditentukan hukuman had atau kaffarah." 

    Dr Aziz Aamir dalam kitab At-Ta'zir Fi Al-Syariah Al- Islamiah menyebut: "Fuqaha mentakrifkan (takzir) sebagai satu pembalasan yang ditetapkan kadarnya, diwajibkan sama ada sebagai hak Allah atau manusia, dalam setiap maksiat yang tiada pembalasan had atau kaffarah, mempunyai tujuan sama seperti pembalasan had (hudud) iaitu memberikan pengajaran (takdib), mengadakan pemulihan (islah) dan mewujudkan ingatan yang menakutkan (zajr)." 

    Dalam memutuskan hukuman pesalah khalwat, hakim masih tertakluk kepada peruntukan hukuman seksyen 29 itu. Apa yang penting, hakim perlu pastikan hukuman dijatuhkan terhadap seseorang pesalah adalah setimpal. 

    Hukuman boleh dijadikan panduan, mendidik tertuduh serta masyarakat supaya patuh kepada perintah Allah, Rasul dan pemimpin. 

    Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Taatilah Allah dan Rasul-Nya dan pemimpin kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat mengenai sesuatu maka hendaklah kembalikan ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul-Nya (sunnah). Pemimpin yang kita pilih inilah yang membuat undang-undang dilaksanakan ke atas kita." (Surah an-Nisa', ayat 59) 

    Jawapan disediakan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang. Sila layari http:www.peguamsyarie.org


    Temuramah bersama Us Zahazan: Maksiat berleluasa undang azab Allah

    Apabila berlaku musibah, orang beriman akan menganggapnya sebagai ujian. Adakah terdapat perbezaan antara bala dan azab Allah?

    ZAHAZAN: Secara literal, al-bala' bermakna al-ikhtibar (ujian). Istilah bala' sendiri digunakan untuk menggambarkan ujian yang baik maupun yang buruk (Imam ar-Razi, Mukhtar al-Shihah, hal. 65).

    Dalam kitab al-Tibyan fi Tafsir Gharib al-Quran dinyatakan, bahawa 

    bala' itu memiliki tiga bentuk;

    1. Nikmat (kenikmatan),

    2. Ikhtibaar (cubaan atau ujian), dan

    3. Makruuh (sesuatu

     yang dibenci) (Syihab al-Din Ahmad, al-Tibyan fi Tafsir Gharib al-Quran, juz 1, hal. 85).

    Di dalam al-Quran, kata bala' disebutkan di enam tempat dengan makna yang berbeza-beza. Ada yang bermakna cubaan dan ujian yang dibenci manusia. Ada pula yang bererti kemenangan atau kenikmatan (bala' hasanan).

    Bala' dalam konteks ujian yang buruk, misalnya terdapat di dalam firman Allah SWT yang berikut:Dan pada yang demikian itu terdapat cubaan-cubaan yang besar dari Tuhanmu. (al-Baqarah: 49).

    Musibah adalah al-baliyyah (ujian) dan semua perkara yang dibenci oleh manusia. Imam Ibnu Mandzur, dalam Lisan al-Arab menyatakan, bahwa musibah adalah al-dhar (kemalangan, musibah, dan bencana) (Imam Ibnu Mandzur, Lisan al-Arab, juz 1, hal. 535).

    Menurut Imam al-Baidhawi, musibah adalah semua kemalangan yang dibenci dan menimpa umat manusia. Ini berdasarkan penjelasan Rasulullah SAW, "Setiap perkara yang menyakiti manusia adalah musibah". (Imam al-Baidhawi, Tafsir al-Baidhawi, juz 1, hal. 431).

    Azab pula secara literal adalah al-nakal wa al-'uqubah (peringatan bagi yang lain, dan seksaan [hukuman]) (Imam Ibnu Mandzur, Lisan al-Arab, juz 1, hal. 585).

    Al-nakal adalah peringatan yang berupa seksaan atau hukuman kepada yang lain. Kata al-adzab biasanya digunakan merujuk kepada hukuman atau seksaan kelak di hari akhir. Allah SWT berfirman: Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat berat. (al-Baqarah: 7).

    Azab Allah SWT ada dua jenis. Pertama, azab yang ditimpa kepada penduduk suatu negeri yang berakibat musnahnya keseluruhan penduduk kota tersebut (isti'sal). Misalnya, kaum Tsamud yang dimusnahkan dari muka bumi.

    Kedua, azab yang sangat keras, akan tetapi tidak sampai memusnahkan penduduk negeri tersebut. Contohnya, tsunami hanya kena pada sesuatu tempat dan penduduk sahaja.

    Dalam ayat 58 surah al-Israk, Allah menegaskan bahawa bala itu diturunkan bagi penduduk yang mengingkari Allah. Bolehkah kita kaitkan dengan kemunculan pelbagai penyakit termasuk H1N1 ini dengan peringatan tersebut?

    ZAHAZAN: Pada dasarnya, penyebab datangnya azab Allah SWT adalah kezaliman, kemaksiatan dan kefasikan.

    Allah SWT telah menyatakan hal ini di beberapa ayat. Antaranya adalah firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tidak pernah Kami membinasakan kota-kota, kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman. (al-Qashash: 59).

    Maka tidak dibinasakan kecuali kaum yang fasik. (al-Ahqaf: 35).

    Kami telah membinasakan mereka, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berbuat dosa (al-mujrim). (ad-Dukhan: 37).

    Ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa azab Allah hanya akan dijatuhkan kepada penduduk negeri yang melakukan kezaliman, kemaksiatan, dan kefasikan. Dengan kata lain, azab Allah hanya akan dijatuhkan, tatkala peringatan-peringatan Allah SWT melalui dakwah Rasul-Nya telah diabaikan dan didustakan.

    Jika melihat kepada ayat-ayat di atas kita tidak boleh menolak kemungkinan munculnya influenza A ini adalah akibat keingkaran manusia kepada Allah.

    Adakah benar tersebarnya penyakit membawa maut, berleluasanya zina dan maksiat adalah merupakan antara tanda-tanda kecil menjelangnya hari kiamat?

    ZAHAZAN: Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya di antara tanda-tanda dekatnya hari kiamat ialah hilangnya kemanfaatan ilmu dan makin ketara kebodohan dan banyaknya peminum arak dan meluasnya perzinaan dengan terang-terangan. (riwayat al-Bukhari).

    Demikian juga pendapat Imam Baidhawi apabila menafsirkan ayat 41 dari surah al-Rum di atas.

    Kata Imam Baidhawi, "yang dimaksud dengan kerosakan (pada ayat tersebut) adalah kemarau al-jadb), kebakaran yang bermaharajalela, tenggelam, hilangnya keberkatan dan banyaknya kelaparan, akibat kemaksiatan dan perbuatan manusia. (Tafsir al-Baidhawi, juz 2, hal. 106).

    Kata beliau, musibah diturunkan oleh Allah kerana lima sebab.

    Pertama, zina dibiarkan berleluasa dan jalan-jalan melakukannya seolah-olah terbentang luas melalui 'iklan' yang disiarkan. Apabila berlaku begini, akan diturunkan penyakit taun kepada sesuatu kaum itu.

    Para ulama moden mengkiaskan taun itu sebagai wabak penyakit baru seperti meningitis, hepatitis, Aids, lembu gila, selesema burung dan H1N1. Sebelum ini, kita tidak pernah mendengar tentang penyakit-penyakit tersebut. Punca utamanya adalah zina terlalu berleluasa.

    Kedua, berlaku kemarau disebabkan umat Islam tidak menunaikan zakat. Malah ulama menyebut, jika bukan kerana binatang dan tumbuh-tumbuhan yang melata, tentulah Allah tidak menurunkan walau setitik pun hujan di muka bumi ini.

    Ketiga, perbuatan menipu dalam timbangan atau sukatan. Maka, Allah akan menimpakan inflasi menyebabkan kita sentiasa berasa tidak cukup walaupun dikurniakan rezeki.

    Keempat, apabila kita tinggalkan undang-undang Allah maka musuh-musuh Islam akan berkuasa melakukan apa sahaja ke atas umat Islam. Ini termasuk merampas harta dan kita hanya boleh melihat tanpa boleh berbuat apa-apa.

    Kelima, lanjutan daripada itu Allah akan menimbulkan prasangka antara satu sama lain di kalangan umat Islam. Menyebabkan kita tidak boleh bersatu.

    Apakah prinsip yang perlu ada bagi umat Islam apabila berhadapan dengan musibah seperti H1N1 sekarang?

    ZAHAZAN: Sesungguhnya, musibah maupun azab yang ditimpakan Allah SWT kepada manusia ditujukan agar mereka kembali mentauhidkan Allah SWT. Dan menjalankan seluruh syariat-Nya dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat.

    Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang maksud-Nya: Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepadanya hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (al-Taghabun: 11).

    Sayangnya, banyak orang memandang musibah sebagai peristiwa dan fenomena alam biasa, bukan sebagai peringatan dan pelajaran dari Allah SWT. Akibatnya, mereka tetap tidak mahu berubah dan memperbaiki diri.

    Mereka tetap melakukan kemaksiatan dan mensia-siakan syariat Allah SWT. Mereka lebih percaya kepada kekuatan ilmu dan teknologi yang dicipta manusia untuk menahan bencana dan musibah, dari pada Kekuatan dan Kekuasaan Allah SWT.

    Adanya musibah tidak menjadikan mereka rendah diri dan bersandar kepada Allah, namun menyeret mereka untuk semakin ingkar kepada Allah SWT.

    Benar, salah satu bentuk pertahanan diri untuk menjaga kepentingannya adalah berusaha semaksimum mungkin untuk menangkal bencana dan musibah dengan berbagai saranan dan prasarana.

    Misalnya merancang pelan induk yang komprehensif, membangun sistem hujan yang baik, mendirikan tembok dan benteng yang kukuh dan sebagainya.

    Namun, ia harus tidak hanya berhenti pada aspek-aspek fizikal seperti ini saja, akan tetapi harus mencakupi peningkatan spiritual yang mampu membawa kepada ketakwaan yang hakiki. Iaitu mentauhidkan Allah SWT dan menjalankan seluruh syariat-Nya.

    Ini kerana penyebab utama datangnya azab adalah kemaksiatan, bukan semata-mata kerana lemah mahupun kurangnya infrastruktur fizikal.

    Kisah Mualaf: Dulu gangster, kini imam

    MELIHAT penampilan Chan Narong atau Mohd. Isa Salleh, 19, yang mempunyai raut wajah yang tenang, tentunya tidak ramai yang menyangka anak muda ini sudah lama bergelumang dengan pelbagai kegiatan tidak bermoral sebelum ini.

    Mohd. Isa mula menempuh alam kedewasaan dalam usia masih mentah dan pernah menjadi budak suruhan kumpulan gangster di kampung kelahirannya, Thhooy Thongva, Phnom Penh, Kemboja.

    Pelajar Tahun Kedua Sijil Asas Pengajian Islam di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) di Pengkalan Chepa, Kelantan ini menceritakan beliau melakukan apa sahaja yang diarahkan ketua gengster untuk mendapat upah.

    Mohd. Isa datang ke Malaysia pada tahun 2005 pada usia 15 tahun mengikut jejak ayah dan ibunya yang datang lebih awal untuk mencari pekerjaan kerana tidak gemar untuk terus bersekolah.

    Ketika itu, beliau tidak mengetahui yang ayahnya, Pontat, 47, ibunya, Soerem, 49, sudah menerima Islam dan memilih nama Salleh dan Masitah, diikuti kakak dan adiknya.

    "Selama seminggu saya berada di rumah ayah di Banting, Selangor, saya hairan melihat dia berkopiah. Pada mulanya saya ingatkan itu adalah adat orang di Malaysia dan ayah hanya mengikut resam orang-prang di sini.

    "Tetapi apabila ayah keluar rumah setiap kali azan berkumandang, ia menambahkan lagi kemusykilan saya. Rasa ingin tahu yang membuak-buak menyebabkan saya memujuk ayah memboncengkan saya ke tempat yang selalu dituju.

    "Saya terkejut apabila ayah menunggang motosikal sampai ke surau. Rasa marah meletus di dada apabila terbongkar rupanya ayah sudah jadi orang Islam. Saya terus lari balik ke rumah," cerita Mohd. Isa.

    Katanya, perbuatan itu disifatkannya sebagai melupakan asal usul sendiri dan amat membingungkannya kenapa keluarga menerima Islam kerana sewaktu di negara asal, masyarakat Islam dipandang rendah dan sering diejek kerana kain dan jubah yang dipakai.

    Mohd. Isa terus mengemas pakaian dan menelefon bapa saudaranya, Mohamad Abdullah, 39, yang tinggal di Kanchong Darat untuk tinggal bersamanya.

    Mohamad menganut Islam sejak 1999 dan bekerja menjual ais krim.

    "Saya cuma tidak mahu lihat muka ayah. Saya maklum yang bapa saudara saya sudah memeluk Islam tetapi saya lebih ralat dengan tindakan ayah kerana merahsiakannya dari saya," katanya.

    Mendengar azan

    Semasa di Kemboja, Mohd. Isa akui perkara yang paling dibencinya adalah mendengar azan kerana ia sering dilaungkan tiap kali masuk waktu.

    "Pada saya ia satu perkara yang membingitkan telinga," katanya.

    Pernah Mohd. Isa cuba meninjau apa yang ada di dalam masjid di kampungnya di Kemboja apabila melihat para jemaah sering keluar masuk.

    "Saya perhatikan di bahagian hadapan masjid tidak ada apa pun yang boleh disembah seperti dalam kuil. Saya bertanya seorang pakcik yang kebetulan berada di muka pintu, apa yang dia sembah, katanya mereka menyembah Tuhan.

    "Saya jawab balik, mana ada Tuhan dalam masjid ini? Pakcik itu berkata, anak nampak angin? Saya kata tidak. Dia bertanya kembali, walaupun tidak nampak adakah angin itu ada? Saya jawab ya. Pakcik itu berkata maka itulah juga yang boleh difaham dengan Allah yang disembah orang Islam.

    "Dia tetap wujud walaupun tidak dapat dilihat dengan mata," jelas pakcik itu kepada Mohd. Isa.

    Bagaimanapun pada ketika itu beliau tidak faham penjelasan yang diberi kerana baginya Tuhan perlu dijelmakan seperti patung, barulah boleh disembah dengan baik.

    Namun hidayah Allah tidak boleh ditolak apabila ia sudah mengetuk pintu hati. Hanya tiga minggu berada di rumah bapa saudaranya, Mohd. Isa memeluk Islam pada 27 September 2005 di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

    "Sepanjang tinggal bersama bapa saudara, dia tidak pernah meminggirkan saya dalam aktiviti berkaitan agama. Setiap malam ada majlis taalim (ilmu) bersama sepupu-sepupu saya.

    "Pak cik Mohamad akan membaca kisah nabi dan para sahabat, dalam bahasa Melayu dan kemudiannya akan menterjemahnya ke dalam bahasa Kemboja. Saya tertarik dengan kisah Nabi Muhammad berdakwah kepada kaum Quraisy.

    "Sebelum masuk Islam lagi saya sering dibawa ke masjid bersamanya, malah pernah mengikuti satu rombongan menghadiri pertandingan hafalan. Bacaan ayat al-Quran dan tafsirannya yang diterjemahkan pula kepada saya oleh bapa saudara menggamit hati untuk yakin kepada Islam," ceritanya.

    "Dahulu pun terasa juga diri ini bagai mempersenda Tuhan sendiri. Makanan seperti ayam disembahkan kepada berhala, kadang-kadang saya curi untuk dimakan bersama kawan-kawan," tambahnya.

    Selain mengikuti kursus sijil di IDIP di bawah tajaan JAIS sejak awal 2008, Mohd. Isa juga bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini.

    Dalam masa enam bulan pertama di IDIP, Mohd. Isa berjaya memahami bahasa Melayu sepenuhnya sama ada untuk bercakap, menulis dan membaca.

    "Saya pun tidak menyangka perkara ini tetapi Allah menerangkan hati saya menerima pelajaran," katanya.

    Dia bersyukur kerana kini sudah menghafaz lebih satu juzuk al-Quran dan mendapat kepercayaan tenaga pengajar di IDIP sebagai salah seorang imam di situ.

    Mohd. Isa yang bercita-cita menjadi seorang ustaz dan pendakwah berazam membantu ibu bapanya yang kini bekerja sebagai tukang kebun dan penjual kuih.

    Wednesday, May 20, 2009

    Wajib mempertahankan keimanan anak


    Menghayati ayat Allah SWT sebagaimana yang dicatatkan di atas seharusnya membawa makna yang cukup besar bagi individu yang bergelar Muslim.

    Ini kerana ayat tersebut memberi pengiktirafan dan mengesahkan bahawa hanya Islam adalah agama yang benar dan akan menyelamatkan umat manusia daripada seksaan api neraka di akhirat kelak.

    Justeru, memelihara agama adalah antara lima tonggak yang perlu dipertahankan dalam maqasid (matlamat) syariah yang digariskan oleh Islam.

    Sebagai Muslim, kita wajib mempertahankan agama yang suci ini waima terpaksa mengorbankan nyawa sekali pun.

    Islam pula tidak pernah memaksa orang bukan Islam memeluk agama suci ini. Namun, selepas mengkaji dan mendapat hidayah Allah, biasanya individu itu akan terbuka hatinya kepada Islam. Ini bertepatan dengan maksud firman Allah: Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran dari kesesatan (kufur)...(al-Baqarah: 256)

    Termasuk dalam tugas mempertahankan agama adalah memastikan anak-anak terutama bagi golongan mualaf turut bergelar Muslim dan kekal di dalam Islam sehingga akhir hayat.

    Inilah yang menjadi mauduk perbincangan dalam forum 'Anak Mualaf dalam Syarak' yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, Rabu lalu.

    Forum anjuran Institut Islam Hadhari UKM itu menampilkan dua ahli panel iaitu Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman dan Setiausaha Peguam Pembela Islam, Zainul Rijal Abu Bakar.

    Pemudah cara forum ialah penyandang Kursi Sheikh Abdullah Fahim di UKM, Prof. Datuk Dr. Ismail Ibrahim.

    Ia diadakan untuk membincangkan implikasi dan memberi respons kepada keputusan Kabinet bahawa kanak-kanak kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama.

    Pada 23 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, keputusan itu sebagai langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak berkenaan apabila ibu atau bapa mereka menukar agama.

    Beliau merujuk kes Mohd. Ridzuan Abdullah atau K. Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu, yang kini memeluk Islam.

    Menurut Sheikh Ghazali, tugas ibu bapa dalam membentuk keperibadian anak telah dijelaskan menerusi ayat Allah dan sunah Nabi SAW.

    Antaranya, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci). Ibu bapanya yang menentukan sama ada ia majusi, nasrani atau yahudi. (riwayat Bukhari)

    Justeru itu, kata beliau, para fuqaha sepakat bahawa anak-anak akan mengikut agama ibu atau bapa mereka jika mereka memeluk Islam.

    Sebabnya, kata beliau, Islam adalah agama yang lebih baik malah ia bertepatan dengan beberapa hadis Rasulullah SAW antaranya yang bermaksud, "kanak-kanak orang Islam itu beserta ibu bapa mereka dalam syurga".

    "Demikian juga firman Allah dalam surah at-Tuur ayat 21 yang bermaksud: Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami himpunkan zuriat mereka (di dalam syurga)," kata beliau.

    Sementara itu, Zainul Rijal berkata, keputusan Kabinet itu juga membelakangkan Bahagian Syariah di Pejabat Peguam Negara, para mufti dan Mahkamah Syariah.

    Katanya, ia juga campur tangan Kerajaan Persekutuan ke atas hal ehwal agama di mana bidang kuasanya terletak pada undang-undang negeri.

    "Dalam Islam memelihara agama adalah salah satu daripada maqasid syariah yang perlu dipertahankan.

    "Walaupun seorang anak mualaf murtad itu menjadi masalah bagi kita apatah lagi kalau separuh daripada mereka murtad," tegas beliau.

    Kata Zainul Rijal, masyarakat sering membahaskan tentang kebebasan beragama sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Malaysia.

    Namun, katanya, hak orang Islam mempertahankan kebebasan beragama sering disalah tanggap dan diketepikan terutama dalam kes melibatkan anak mualaf.

    "Apa yang berlaku akan berlaku lagi kerana kita selalu ambil pendekatan mahu melihat keharmonian atau menjaga hati orang lain dengan mengorbankan prinsip kita," katanya.

    Seorang peserta forum iaitu Presiden Dakwah Islamiah dan Kebajikan Saudara Baru India Semalaysia (Al-Hidayah), Abdul Latif Abdullah berharap, satu garis panduan mengenai perkara itu diwujudkan.

    Katanya, ia kemudiannya diserahkan kepada menteri yang berkenaan dan pihak-pihak yang terlibat.

    "Kita jangan pandang ringan isu ini. Memang pada mulanya ia kena pada mualaf tetapi lama kelamaan ia akan melibatkan orang Melayu juga," tegasnya.

    Pada akhir forum, semua peserta bersetuju sebulat suara menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan berhubung isu tersebut.

    Ini kerana, perkara itu bukan saja menyalahi hukum syarak tetapi ia dilihat sebagai tunduk kepada desakan Suruhanjaya Antara Agama (IFC).

    Ismail pada sesi penggulungan forum berkata, memorandum itu penting bagi memastikan kedudukan Islam yang tinggi dalam Perlembagaan negara terpelihara.

    Beliau menegaskan, forum itu tidak mahu Kabinet membuat keputusan berdasarkan kes tertentu akibat laporan tertentu.

    "Sebaliknya, ia perlu melihat kepada implikasi undang-undang dan implikasi agama.

    "Justeru, forum juga bersetuju untuk mencari jalan memperhebatkan penerangan secara sistematik termasuk kepada orang bukan Islam," kata beliau.

    Monday, May 18, 2009

    Menghayati manhaj Nabawi

    Dengan Nama Allah, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian ke hadrat Allah Tuhan Semesta Alam.

    Semulia-mulia selawat dan salam ke hadrat Rasulullah berserta ahli keluarga dan sahabat Baginda.

    Lumrah kehidupan manusia tidak akan sunyi daripada ujian dan cabaran. Bahkan memang hidup kita ini hakikatnya adalah suatu medan ujian besar. Ia seperti dinyatakan dalam al-Quran yang maksud-Nya, Dialah Tuhan yang mencipta hidup dan mati untuk menguji kamu siapakah di kalangan kamu yang lebih baik amalannya. (al-Mulk: 2)

    Oleh sebab itu, cabaran dalam bentuk pelbagai masalah dan krisis akan terpaksa dihadapi meskipun oleh seorang hamba Allah dan masyarakat yang soleh dan baik agamanya.

    Pada masa yang sama, kita diajar oleh ulama bahawa setiap musibah dan masalah yang menimpa harus menjadi ruang untuk kita bermuhasabah diri. Memeriksa dan meneliti kalau-kalau masalah yang muncul adalah akibat kesilapan dan kealpaan kita sendiri.

    Kebelakangan ini ketenangan dan ketenteraman kita agak terganggu dengan pelbagai isu yang lazimnya tidak wajar menjadi terlalu besar dalam sebuah masyarakat beragama dan maju seperti kita. Isu-isu yang kita maksudkan adalah bermacam-macam gejala sosial dan jenayah seperti ragut dan fenomena 'Mat Rempit' di samping suhu pertembungan politik yang panasnya melebihi tahap biasa.

    Nilai rahmat, kasih sayang dan cinta

    Walaupun kita reda menerima semua ini sebagai ujian Ilahi, kita juga patut menganggap semua ini sebagai isyarat untuk menilai semula keberkesanan, ketepatan pendekatan dakwah dan tarbiah keagamaan yang dihayati dalam masyarakat.

    Melihat tahap gejala sosial dan moral dalam negara kita, mungkin ada yang belum tepat dan perlu dipertingkatkan dalam pendekatan Islamisasi kita.

    Kita tahu bahawa Islam sebagai agama dan cara hidup seharusnya sangat berkesan untuk membentuk generasi dan masyarakat yang perkasa. Jika silapnya bukan pada Islam, maka mungkin kurangnya adalah kegagalan kita sendiri menepati acuan dan manhaj (pendekatan) sebenar yang pernah diamalkan oleh generasi Salaf dan Khalaf yang terbukti berjaya.

    Sirah dan sejarah dipenuhi dengan catatan kejayaan risalah Islam dalam merobah kejahilan kepada ilmu, kasar kepada sopan, khianat kepada amanah dan seumpamanya. Apabila Islam difahami dan dihayati bertepatan dengan acuan dan manhajnya yang murni.

    Hakikatnya, acuan dan pendekatan sebenar risalah Islam mempunyai ciri-ciri khusus yang mesti dipenuhi jika kita ingin menghasilkan citra keagamaan yang bertenaga, bersemangat dan segar-menawan bukannya yang kasar, kering-gersang ataupun lesu. Ciri-ciri khusus manhaj Nabawi inilah yang harus kita temukan, teliti dan hayati semula.

    Antara ciri utama citra keagamaan Nabawi yang ingin disentuh dalam kesempatan ini adalah nilai rahmat, kasih sayang dan cinta. Dalam manhaj Nabawi Muhammadi SAW, sifat rahmat dan cintalah yang ditekankan dan diutamakan dalam hubungan antara Khaliq SWT dan makhluk, antara Nabi SAW dan umat, antara sesama Islam dan juga sesama insan.

    Dalam hadis yang sangat masyhur, Rasulullah SAW bersabda, Orang-orang yang kasih-mengasihi akan dikasihi oleh Tuhan Yang Maha Pengasih, kasihilah penduduk di bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh penduduk langit. (riwayat al-Bukhari dalam al-Kuna dan al-Adab al-Mufrad, Ahmad dalam al-Musnad, Abu Daud dalam al-Sunan, Hakim dalam al-Mustadrak, al-Tirmizi dalam al-Jami', al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman dll).

    Hadis ini amat diberi perhatian oleh para ulama. Sehingga sebahagian mereka membiasakan membacanya sebagai hadis pertama yang mereka baca secara musalsal dalam mana-mana majlis pengajian sehingga hadis ini dikenali sebagai hadis Musalsal bil Awwaliyyah (Musalsal Permulaan).

    Menurut Imam al-'Iraqi, hadis ini diutamakan dari hadis-hadis lain dalam periwayatan hadis bagi para penuntut ilmu untuk mengajar. Juga memberitahu mereka bahawa ilmu itu terbina di atas sifat kasih sayang dan saling menyayangi, bukannya di atas permusuhan, pertengkaran dan pertelagahan.

    Islam merupakan agama berkasih sayang. Bukannya agama yang kasar dan gersang dari kasih sayang terutamanya di antara Allah dan hamba-Nya. Hubungan di antara Allah dan orang-orang Islam bukanlah hubungan kepatuhan atau ketaatan kepada kehendak Allah semata-mata dan secara paksaan tetapi lebih kepada hubungan kasih dan cinta yang suci.

    Inilah yang tergambar dalam firman Allah SWT, Tanyalah (wahai Muhammad SAW), milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi? Katakanlah: (Semuanya itu) adalah milik Allah. Dia telah menetapkan atas diri-Nya memberi rahmat. (al-An'aam: 12)

    Bahkan, semboyan Ilahi yang tertulis di atas Arasy-Nya berbunyi: Sesungguhnya rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku (azabKu). (Sahih al Bukhari, Kitab Bad' al Khalq, no hadis: 3194 dan Kitab Tauhid, no hadis 7404)

    Di ketika-ketika yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

    l "Tidaklah kalian beriman sehinggalah kalian saling menyayangi". (riwayat al-Hakim dan al-Tabrani).

    l "Kasihilah orang lain, nescaya kamu akan dikasihi, maafkanlah orang lain nescaya kamu akan dimaafkan". (Lihat Sheikh Muhammad Abdul Baqi al Laknawi, Manahil al Silsilah, H: 11).

    Tidak sekadar itu, penekanan atau keutamaan aspek kasih sayang sebagai suatu keutamaan dalam Islam juga dapat dilihat dalam pelbagai suruhan-Nya yang lain.

    Di antaranya, Islam menyuruh memulakan setiap amal yang baik dengan bacaan Basmalah iaitu dengan nama Allah, al-Rahman dan al-Rahim bagi mengajar umat manusia supaya mengutamakan sifat kasih sayang dalam setiap perkara, selain daripada untuk meraih keberkatan.

    Apa yang wajar dikesali, tanpa disedari, citra Islam yang kita garapkan hari ini, sama ada dalam bentuk kata-kata, perbuatan, polisi, slogan atau motto tampak gersang daripada rahmat dan kasih sayang. Sehingga akhirnya ia menjadi suatu yang asing dan jauh daripada jiwa-jiwa manusia.

    Akibatnya, ikatan ketaatan dan kepatuhan sekadar berlegar di tahap akal dan faham tanpa sampai dirasai hangat, segar dan manis di dalam hati dan perasaan.

    Keislaman dan perasaan beragama di tahap ini sudah pasti tidak akan cukup kukuh untuk menghadapi pelbagai serangan musuh-musuh iman, zahir dan batin.

    Akhirnya, walaupun tidak sedikit wang ringgit dan masa kita habiskan, pelbagai dasar dan program yang kita gagaskan, kita masih seolah gagal menandingi arus syaitan yang hakikatnya lebih lemah daripada arus iman seperti yang disebut dalam firman Allah SWT, Sesungguhnya tipu-daya syaitan itu adalah lemah. (al-Nisa': 76)

    Iman, Islam dan ihsan

    Sebaliknya kita pula yang merasa lemah berhadapan dengan arus syaitan dalam kehidupan serba moden ini.

    Atas kesedaran itulah, kita harus menilai secara bersungguh-sungguh dan menyeluruh manhaj dan acuan pendekatan keagamaan yang kita hayati dan kemukakan kepada masyarakat.

    Dalam kesempatan ini, kolum ini ingin menarik perhatian bahawa antara yang pincang dalam pendekatan keagamaan kita adalah kurangnya keseimbangan dan penekanan terhadap aspek tasauf dan kerohanian. Sedangkan ia jelas merupakan satu daripada sendi al-Deen seperti yang zahir dalam hadis Jibril yang masyhur itu.

    Para ulama dalam tradisi Ahlus Sunnah wal Jamaah sentiasa mengutamakan keseimbangan penggarapan tiga sendi agama iaitu iman, Islam dan ihsan yang terjelma dalam munculnya secara saksama tiga cabang disiplin ilmu agama iaitu Akidah-Tauhid, Syariah-Fiqh dan Akhlak-Tasauf.

    Ketiga-tiga cabang ilmu ini perlu dihayati secara bersama dan saksama. Barulah akan muncul generasi ulama dan umat yang murni pegangan akidahnya, teguh penguasaan hukumnya serta tinggi makam rohaninya.

    Satu lagi di antara ciri utama pendekatan dakwah dan tarbiah para ulama muktabar ialah menyuburkan perasaan cinta dan kasih umat terhadap Nabi Muhammad SAW.

    Para Ulama sangat menyedari bahawa peranan dan keutamaan Rasulullah SAW tidak hanya terhenti setakat penyampai wahyu daripada Tuhan SWT kepada manusia.

    Lebih daripada itu, Nabi SAW adalah pintu dan jalan utama sepanjang zaman untuk sekalian Umat agar mereka benar-benar dapat menghayati dan mengangkat martabat diri mereka ke tahap yang dikehendaki oleh wahyu Ilahi tersebut.

    Oleh itu Rasulullah SAW perlu benar-benar sentiasa didekati, diingati, dikasihi dan dicintai. Rasulullah SAW sendiri telah menegaskan hal ini melalui sabdanya: Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dikasihi dari anak dan bapanya serta manusia seluruhnya. (riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Nasaei dalam kitab al Iman)

    Keterampilan Rasulullah SAW sebagai Rahmatan Muhdatan (Rahmat Kurniaan Tuhan), seperti yang disebut dalam hadis lain (Riwayat al-Tabrani dan al-Baihaqi), perlu diteladani dengan cermat dan diaplikasikan. Sebabnya, inilah modal utama terciptanya kejayaan yang gemilang dan kebahagiaan yang hakiki umat Islam di dunia dan akhirat.

    Hari ini kita melihat manhaj Nabawi dalam menghayati Islam seperti yang difahami zaman berzaman oleh para ulama banyak dilupakan. Lebih malang lagi, ada pula yang mentohmah pendekatan para ulama bagi menghidupkan manhaj Nabawi ini sebagai bidaah dan sesat yang menimbulkan gejala perpecahan di kalangan Umat Islam.

    Pada masa yang sama pendekatan-pendekatan yang jauh lebih rendah mutunya pula diberi keutamaan yang akhirnya gagal membuahkan hasil yang diinginkan.

    Akhirnya, kita menyaksikan al-Quran diraikan tetapi Tuhan ditinggalkan, Sunnah dislogankan tetapi Rasulullah SAW dilupakan, Islam hendak ditegakkan tetapi para ulama dikesampingkan.

    Jika itu yang berlaku, mana mungkin akan terhasil masyarakat dan individu Muslim yang salim-sejahtera yang diingin-inginkan dan kita akan tetap gagal mencari formula berkesan bagi mengharungi pelbagai cabaran duniawi yang terpaksa dihadapi.

    Dengan latar tersebut, ruangan baru ini berhasrat untuk turut menyumbang kepada menekankan semula manhaj Nabawi dalam penghayatan agama seperti yang diwarisi oleh generasi demi generasi para ulama muktabar umat ini.

    Di antara ciri utama pendekatan ini adalah keseimbangan sendi-sendi iman, Islam dan ihsan dalam kehidupan beragama. Menyedari bahawa dimensi ihsan atau tasauf sering kurang mendapat penekanan yang wajar, ruangan ini akan turut banyak menceduk dari kitab-kitab tasauf muktabar terutama kitab Al-Hikam oleh Ibnu 'Atoillah al-Sakandari r.a.

    Semoga usaha ini mendapat taufik, inayah dan tilikan rahmat Ilahi Rabbul Jalil. Wallahu a'lam.

    Nikmat anugerah Tuhan....

    SOALAN:

    SETIAP nikmat yang diberi oleh Allah kepada manusia akan ditanya di akhirat kelak. Untuk apa, dan apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan “nikmat” itu.

    Alang, Temerloh, Pahang

    JAWAPAN:
    Nikmat yang dimiliki oleh setiap hamba yang beriman kepada Allah akan ditanya di akhirat kelak, agar manusia memahami bahasa nikmat itu tidak kekal buat selama-lamanya, malah dunia yang menghijau-indah ini pun tidak kekal. Nikmat itu sebenarnya amanah Allah yang diberi ke atas pundak setiap hamba, yang mesti dipikul diurus dengan sebaik mungkin, menurut kepercayaan yang dimiliki. Dengan pemahaman seumpama ini manusia tidak akan melakukan sesuatu, dengan menggunakan nikmat tersebut menurut nafsunya semata-mata. kerana penyalahgunaan nikmat Allah itu akan menyebabkan kesengsaraan terhadap hamba berkenaan iaitu balasan neraka jahanam.

    Nikmat Allah terlalu banyak, termasuklah harta benda yang dimiliki, kesihatan tubuh badan, waktu dan lain-lain lagi membolehkan seseorang itu hidup di dunia ini. Nikmat ini pinjaman, dan Allah berkuasa mengambilnya pada bila-bila masa.

    Allah swt memerintahkan Muhammad saw agar memberikan mereka yang bertanyakan roh, bahawa roh itu adalah urusan Ilahi. Setiap sesuatu yang terjadi, termasuk penyakit dan masalah mempunyai sebab musabab. Pencipta masalah ialah Allah, Al-Khaliq yang maha berkuasa melakukan sesuatu.

    Asas perubatan ada dua, iaitu penjagaan diri dan rawatan. Penjagaan diri lebih baik daripada merawatnya. Allah melarang membinasakan diri, sama ada ia melibatkan pemakanan yang memberi mudarat, yang terlarang, berlebihan dan sebagainya. Allah swt menyuruh setiap orang itu makan dan minum, tetapi melarang daripada mengambilnya berlebihan (al-An’am: 141).

    Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud: Perut itu ialah tempat penyakit. Menurut Shamsuddin Muhammad, keperluan pada makanan itu ada tiga tahap, iaitu semata-mata untuk keperluan, mencukupi dan berlebihan. Baginda Rasulullah saw memberitahu bahawa makanan itu mencukupi dengan suapan kecil yang menguatkan tulang belakang, ataupun makan memenuhi satu pertiga daripada ruang perut, satu pertiga lain untuk air manakala yang bakinya untuk bernafas.

    Inilah kaedah utama yang paling memberi manfaat pada penjagaan badan, kerana perut itu penyakit. Perut apabila penuh dengan makanan, ruang minuman menjadi sempit. Apabila minuman itu berlebihan, ruang bagi bernafas menjadi sempit, menyebabkan seseorang itu sukar bernafas, penat dan terasa berat. Semuanya ini menyebabkan berlakunya kerosakan hati, pergerakan tubuh menjadi lembap dan malas untuk melakukan ketaatan dan membangkitkan nafsu syahwat.

    Kesihatan adalah nikmat yang besar yang sering terabai. Sebuah hadis daripada Ibn Abbas menyatakan tentang adanya seorang Arab yang bertanyakan Rasulullah s.a.w. apa yang perlu ia pohon setiap kali selepas sembahyang lima waktu. Baginda menjawab agar ia memohon kesihatan daripada Allah. Lelaki tersebut merasa tidak puas hati dengan jawapan tadi. Setelah bertanyakan buat kali ketiga, baginda akhirnya menjawab agar ia memohon kesihatan di dunia dan akhirat.

    Sesetengah ahli tafsir menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah “nikmat” yang tersebut dalam ayat al-Quran (at-Takathur: 8), yang akan ditanya oleh Allah terhadap hamba-Nya pada hari kiamat kelak ialah kesihatan. Dalam sebuah hadis lain, daripada Abu Bakar as-Siddiq, menyatakan yang ia mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: Pohonlah kepada Allah keyakinan dan kesihatan. Tidak ada yan lebih baik yang didatangkan kepada seorang selepas keyakinan itu selain kesihatan - Maksud hadis riwayat An-Nasaiy.

    Selain bersifat sederhana dalam pengambilan makanan, kesihatan memerlukan kebersihan, iaitu pada makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Kebersihan adalah faktor utama bagi kesihatan luaran dan dalaman diri. Allah swt menegaskan agar setiap orang yang hendak sembahyang membasuh muka, tangan, menyapu kepala dan kaki (al-Maidah: 7). Mesti badan bersih, tempat sembahyang dan pakaian kerana amalan seperti ini membawa kepada kesihatan badan dan roh. Sesungguhnya Allah itu sukakan orang yang bertaubat dan orang yang menyucikan diri (al-Baqarah: 222).

    Rasulullah saw juga mengajar agar setiap orang itu menjauhkan diri daripada penyakit berjangkit, Rasulullah s.a.w. seperti yang tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Naim, seperti yang tersebut dalam At-Tibbu ‘n-Nabawi, tidak menggauli isterinya yang sakit mata sehinggalah sembuh.

    Dalam sebuah hadis daripada Ibn Abbas ia berkata, telah bersabda Rasulullah saw Jangan kamu amalkan memandang mereka yang sakit kusta – Maksud hadis riwayat Ibn Majah.

    Tersebut dalam at-Tibbu ‘n-Nabawi bahawa sakit kusta ialah penyakit yang berjangkit dan sakit keturunan. Baginda menegah seseorang itu daripada terus menerus memandang mereka. Baginda juga pernah mengumpulkan para pesakit kusta untuk hidup di kalangan mereka. Menurut Ibn Qutaibah, sakit ini boleh menjangkiti mereka yang menghampiri pesakit dengan perantaraan bau. Ciuman bau merupakan salah satu cara jangkitan.

    Dalam sebuah hadis riwayat oleh Abu Daud dan At-Tarmizi daripada Usmah bin Syuraik ia berkata bahawa orang-orang Arab telah bertanya kepada Rasulullah saw sama ada mereka perlu berubat. Baginda menjawab yang bermaksud: Ya, wahai hamba Allah, berubatlah. sesungguhnya Allah tidak menurunkan penyakit kecuali ia telah menerapkan baginya penawar kecuali satu.

    Mereka bertanya, apakah yang satu itu. Baginda menyatakan “al-haram”, iaitu tua. Ternyata di sini bahawa setiap penyakit itu ada ubatnya. Allah s.w.t. memberi penyakit, Allah juga telah menetapkan ubat ataupun penawarnya, kecuali tua. Berdasarkan keterangan hadis ini juga difahamkan bahawa tua itu adalah termasuk dalam kategori penyakit, tidak kira sama ada tua itu benar-benar penyakit ataupun ia merupakan satu proses yang semestinya dilalui oleh semua orang, yang biasanya disertai dengan pelbagai penyakit dan masalah, yang tidak ada penawarnya, ataupun ubat, membolehkan orang yang tua menjadi muda, kerana setiap orang itu mempunyai had umur. Apabila tiba masa mati, ketentuan itu akan datang tanpa dapat dielakkan (al-A’raf: 33). Maut adalah penghujung setiap kehidupan, segala-galanya telah ditetapkan di Loh Mahfuz (Al-An;am: 38).

    Keterangan di atas membuktikan bahawa telahan mengenai umur seseorang sama ada panjang ataupun pendek itu adalah urusan Ilahi. Begitu juga dengan harapan untuk hidup ataupun untuk sembuh biarpun manusia, melalui pengalaman yang dilalui, menurut lazimnya dapat menjangkakannya.

    Allah SWT menurunkan penyakit, dan setiap penyakit sama ada sakit fizikal, mental ataupun yang berkaitan dengan hati ada penawarnya. Rasulullah s.a.w. menyuruh agar setiap orang yang sakit berusaha untuk berubat, dengan pertolongan orang lain, yang pakar dalam bidang yang dimiliki, ataupun oleh diri sendiri andainya berkeupayaan. Jelas terbukti bahawa tugas manusia di sini ialah berusaha untuk memperoleh kesembuhan, menurut keupayaan dan kemajuan akal, tanpa putus asa. Usaha dan ikhtiar adalah tugas manusia, manakala kesembuhan adalah urusan Allah yang telah ditetapkan, termaktub di Loh Mahfuz.

    Tidak dinafikan bahawa setiap sesuatu itu berlaku mempunyai sebab musabab, dan boleh dikaitkan dengan tingkah laku manusia, namun pada hakikatnya di sebalik fakta-fakta yang dapat diterima akal rasionalnya, qada dan qadar Ilahi itu mengandungi rahasia-rahasia Ilahiyah yang tidak mudah difahami oleh manusia. Jelas di sini membuktikan bahawa setiap pihak itu perlu memainkan peranan masing-masing, Rasulullah saw menyuruh orang yang sakit agar berubat. Pakar-pakar perubatan perlu berusaha, menyelidik dan mencari penemuan-penemuan baru untuk menangani penyakit berdasarkan latar belakang dan kepakaran masing-masing. Masalah kesembuhan adalah urusan Allah.

    Sesungguhnya kesihatan adalah di antara nikmat Allah yang sering terabai, yang akan ditanya oleh Allah bagaimana manusia menggunakan nikmat anugerah Allah itu ketika hidup.

    Mukmin yang bijak ialah mereka yang menggunakan nikmat sebagai jambatan atau wasitah untuk menuju ke akhirat yang berakhir dengan nikmat syurga. Namun mereka yang tidak bijak akan meredah amaran Allah dengan menggunakan nikmat yang dimiliki, yang melibatkan kekayaan, keunggulan nama, harta benda juga kuasa untuk memenuhi runtunan nafsunya. Kerana itulah orang yang seumpama ini tidak pernah merasa puas biar betapa banyak nikmat yang telah diberi oleh Allah.