Dalam ajaran Kristian, bapa dinisbahkan kepada Tuhan yang berada di langit manakala anak Tuhan, Jesus Christ berada di bumi. Nabi Ibrohim a.s digelar sebagai bapa segala nabi. Padanya lahir agama-agama samawi (langit); Yahudi, Islam dan Kristian.
Oleh kerana Ibrohim adalah bapa kepada sekalian nabi, maka daripada baginda juga telah lahir bangsa-bangsa yang agung di dunia ini. Bagi umat Islam, kita ternyata yang paling akrab dengan Ibrohim a.s berbanding umat lain.
Ini kerana, salah satu selawat nabi yang kerap diulang-ulang dalam kalangan Muslimin di seluruh dunia ialah selawat nabi yang mencakupi kesejahteraan ke atas keluarga Ibrohim a.s.
Selawat itu berbunyi begini:-
"Ya Allah, limpahilah selawat ke atas Muhammad dan kepada keluarga Muhammad, seperti mana Engkau telah limpahkan selawat ke atas Ibrohim dan ke atas keluarga Ibrohim. Dan, berkatilah Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, seperti mana Engkau telah berkati ke atas Ibrohim dan ke atas keluarga Ibrohim di dunia ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung."
Oleh kerana selawat ini dibaca dalam tahiyat akhir setiap kali solat fardhu lima waktu, justeru setidak-tidaknya, seseorang Muslim itu secara tidak langsung akan berselawat 5 kali sehari semalam ke atas Nabi Ibrohim a.s dan Keluarga baginda.
Sebelum kedatangan Islam dengan membawa al-Quran, kaum Yahudi dan Kristian sering bertelingkah mengenai status agama Nabi Ibrohim a.s yang sebenarnya. Lalu turunlah ayat Allah untuk menerangkan perihal agama Nabi Ibrohim serta pegangan akidah tauhid baginda:
Firman Allah s.w.t itu bermaksud:
"Wahai Ahli Kitab! (Yahudi dan Kristian) Mengapa kamu berani bertengkar tentang (agama) Nabi Ibrohim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan selepas (zaman) Ibrohim; patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal?"
"Ingatlah! Kamu ini orang-orang (bodoh), kamu telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat), maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? Dan (ingatlah), Allah mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya."
"Bukanlah Ibrohim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah dia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar tauhid sebagai seorang Muslim (Hanif) (yang mendengar, taat serta berserah bulat-bulat kepada Allah), dan dia pula bukanlah dari orang-orang musyrik (golongan yang menyekutukan Allah)."
"Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrohim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umat Islam). Dan (ingatlah) Allah itu adalah Pelindung dan Penolong bagi sekalian orang yang beriman." --- Surah Ali-Imran (65 - 68)
Maka jelaslah bahawa Allah s.w.t telah menetapkan mengenai kedudukan Nabi Muhammad s.a.w sebagai pewaris ajaran Tauhid Nabi Ibrohim a.s. Dan, umat Islam yang menjadi pengikut ajaran Nabi Muhammad s.a.w itulah yang lebih layak digelarkan sebagai golongan yang benar-benar mewarisi ciri-ciri ibadah Nabi Ibrohim a.s.
Dengan sebab itu jugalah, selawat yang kerap diratibkan dalam tahiyat akhir itu terus menjurus kepada selawat ke atas Nabi Ibrohim sendiri.
Hal ini adalah satu perisytiharan kepada orang-orang Yahudi dan Kristian bahawa penganut Islam itulah yang lebih layak digelar sebagai pewaris ajaran Tauhid Ibrohim a.s. Selawat terakhir dalam solat itulah antara bukti-buktinya.
Kita boleh berbangga dengan hal ini dan kita boleh bertanya kepada penganut agama samawi lain; berapa banyakkah mereka menyebut nama Ibrohim a.s dalam ibadat-ibadat mereka?
Kalaupun mereka ada menyebut nama Nabi Ibrohim dalam ibadat mereka, tetapi kekerapan lidah kita menyebutkan selawat ke atas Nabi Ibrohim itu ternyata jauh lebih banyak berbanding mereka lantaran kita menunaikan solat lima kali sehari dan setidak-tidaknya lima kali kita melafazkan selawat tersebut. Itu belum campur solat-solat sunat lagi.
Mari kita teliti dalil-dalil di bawah ini:-
"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrohim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka."
Allah berfirman:" (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali."
"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrohim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."
"Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani."
"Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dalam kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." --- (Al-Baqarah: 126 - 129)
Al-Quran jelas menyebutkan doa ke atas negeri Makkah dan bangsa Arab yang berasal daripada Ismail a.s telah mendapat sebuah negara, hasil titipan doa Ibrohim a.s.
Sementara itu, dalam al-Quran tiada disebutkan doa Nabi Ibrohim a.s ke atas Bani Israel yang berasal daripada Ishak a.s yang menjelaskan hubungan negara Palestin yang bakal menjadi milik Bani Israel.
Maka, Tuhan sebenarnya memihak kepada kita, umat Islam untuk mengambil semula Palestin tersebut. Lagi pun, tiada yang khusus oleh Nabi Ibrohim ke atas Bani Israel tersebut, walaupun Bani Israel termasuk dalam keluarga baginda daripada tulang sulbi Nabi Ishak a.s dan kemudiannya Yaakub a.s yang juga dikenali sebagai Israel.
No comments:
Post a Comment