Terlalu banyak hikmah tersirat di sebalik kejadian ini sebagaimana yang banyak disebut oleh ulama. Di antaranya ialah:
Menzahirkan penguasaan dan pentadbiran Allah terhadap matahari dan bulan.
Menerangkan kejelikan dan kebodohan orang-orang yang menyembah matahari dan bulan. Firman Allah yang maksud-Nya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kejadian malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, sekiranya benar kamu hanya beribadat kepada Allah. (al-Fussilat: 37)
Menggementarkan hati orang-orang yang berasa tenang dengan kelalaian dan dosa-dosa yang dilakukannya.
Memperlihatkan kepada manusia contoh-contoh peristiwa yang akan berlaku pada hari kiamat sebagaimana firman Allah: Maka (hari Kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut), dan bulan hilang cahayanya, dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama. (al Qiyamah 7-9)
Menggambarkan Allah mungkin akan mengazab orang yang tidak berdosa.
Merenung hikmah-hikmah ini, terlintas di fikiran saya, apakah kejadian gerhana matahari yang Allah datangkan sejurus selepas sambutan Israk dan Mikraj merupakan peringatan daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya yang masih lagi lalai dan belum juga insaf dengan segala maksiat yang dilakukan sama ada maksiat zahir atau batin.
Sekalipun telah diperingatkan tentang kekuasaan-Nya melalui peristiwa Israk dan Mikraj?
Apakah telah hampir masanya untuk Allah menunjukkan kehebatan dan kekuasaan-Nya yang sebenar? Moga-moga Allah menggolongkan kita di antara hamba-Nya yang sentiasa sedar dan terselamat daripada kemurkaan-Nya
Amalan sunat semasa gerhana
Menerusi sekian banyak hadis berkaitan gerhana, terdapat beberapa perkara sunat yang dianjurkan supaya dilakukan semasa kejadian gerhana. Di antaranya ialah:
Solat dan berdoa. Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu melihat kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi".
Berzikir dan beristighfar. Abu Musa berkata: "Telah berlaku gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW berdiri dalam keadaan cemas kerana bimbang akan berlaku Kiamat. Lalu Baginda SAW tergesa-gesa pergi ke masjid dan solat dengan berdiri yang terlalu panjang serta rukuk dan sujud yang panjang, yang tidak pernah aku lihat Baginda SAW melakukan seperti itu.
Berlindung daripada azab kubur. Diriwayatkan oleh Aisyah ra: "Setelah Nabi SAW selesai menyampaikan khutbah gerhana matahari, maka Baginda SAW memerintahkan para sahabat supaya memohon perlindungan dari azab kubur."
Bersedekah. Sabda Rasulullah SAW: "Apabila kalian melihat gerhana, maka hendaklah kalian berdoa kepada Allah, mengerjakan solat dan bersedekah."
Memerdekakan hamba. Asma' ra berkata: "Sesungguhnya Nabi SAW menyuruh memerdekakan hamba ketika berlaku gerhana matahari. "Dalam satu riwayat: "Gerhana bulan."
Inilah sunnah Baginda SAW ketika berlakunya peristiwa gerhana bulan atau matahari.
Marilah bersama-sama kita menghidupkan sunnah Nabi kita SAW kerana inilah jalan hakiki menuju kesejahteraan di dunia dan akhirat. Tinggalkanlah sunnah ahli bidaah kerana inilah jalan yang membawa kecelakaan di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment