Friday, July 3, 2009

Allah cela ahli kitab yang engkar

AL-quran bukan hanya untuk dibaca tetapi diamalkan seluruh ajarannya.

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): Wahai ahli Kitab! Mengapa kamu ingkarkan keterangan-keterangan Allah, padahal Allah sentiasa menyaksikan apa yang kamu lakukan? Katakanlah: “Wahai ahli Kitab! Mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman daripada menurut jalan jalan (agama Islam), kamu hendak menjadikan jalan Allah itu bengkok terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)?” Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan. (ali-‘Imran: 98-99)

Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata, dalam ayat terdahulu Allah SWT menerangkan kemuliaan Baitullah yang menjadi rumah ibadat pertama dibina seterusnya ia menjadi tempat setiap orang beriman melakukan haji.

Oleh yang demikian bantahan terhadap Yahudi yang ingkar kelebihan Baitullah al-haram. Mereka mendakwa bahawa rumah Allah yang pertama ialah Baitu al-Maqdis.

Ayat ke-98

Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli Kitab! Mengapa kamu ingkarkan keterangan-keterangan Allah, padahal Allah sentiasa menyaksikan apa yang kamu lakukan?"

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Maraghi berkata, apakah yang menyebabkan kamu mengingkari ayat-ayat Allah SWT, padahal Dia mengetahui segala perbuatan kamu? Tidak ada sesuatu pun luput daripada pengawasan-Nya. Kelak Allah SWT akan memberi balasan kepadamu, oleh sebab itu kamu sewajarnya tidak mengingkari ayat-ayat-Nya.

Isi ayat ini tidak asing lagi, merupakan satu celaan serta mengisyaratkan ketidakmampuan mereka untuk membuat dalih daripada perbuatan kufur mereka.

Seolah-olah dikatakan kepada mereka: "Cubalah kamu kemukakan alasannya jika kamu sanggup melakukannya".

ii. Al-Sonhadji berkata, Tuhan menyuruh Rasul-Nya menanyakan orang-orang Ahli Kitab itu apa sebabnya mereka tidak percaya kepada ayat-ayat Allah (al-Quran) yang membenarkan seruan Muhammad SAW tentang wajibnya haji dan lain-lain sedang Allah menjadi saksi atas apa yang mereka kerjakan dengan memberikan balasannya kelak kepada mereka.

Ayat ini merupakan pertanyaan tetapi mengandungi erti celaan di atas kekufuran mereka.

Ayat ke-99

Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah: "Wahai ahli Kitab! Mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman daripada menurut jalan jalan (agama Islam), kamu hendak menjadikan jalan Allah itu bengkok terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)?" Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Maraghi berkata, kata-kata berikut diulangi "Wahai Ahli Kitab" bermaksud mencela secara halus.

Ungkapan ini menunjukkan pernyataan halus yang mencegah mereka dari jalan sesat dan menyesatkan, serta lebih bersifat memberi nasihat kepada mereka dan menyatakan kasih sayang.

ii. Al-Sonhadji berkata, ketahuilah bahawa Allah tidak lalai daripada mengetahui pekerjaan kamu menghalangi mereka itu yang mana kamu bakal dibalas dengan seksaan kerana kesalahan kamu itu sudah nyata dan kamu saksikan pula.

iii. Muhammad Quraish Shihab berkata, ajakan yang ditujukan kepada mereka dengan panggilan Ahl al-Kitab untuk memperlihatkan keburukan sifat mereka, yakni mereka memiliki kitab suci tetapi mereka berkeras menolak semua ajaran nabi dan rasul.

Nasihat Allah kepada golongan ahli Kitab supaya jangan mengkufuri ayat Allah sewajarnya diberi perhatian oleh umat Islam supaya tidak mendustakan ayat-ayat Allah juga.

Semoga kita menjadi golongan yang beriman dan beramal dengan ayat-ayat Allah. Amin.

RUJ: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

No comments: