Soalan:
SUAMI saya mengemukakan permohonan cerai di mahkamah syariah minggu lalu. Kami telah pun menjalani kaunseling di pejabat agama, namun tidak dapat membaiki keadaan rumah tangga kami. Perkahwinan kami telah berlangsung selama 20 tahun. Kami mempunyai empat orang anak. Suami saya berkata bahawa sebaik sahaja talak jatuh, dia mahu saya keluar dari rumah kami. Katanya dia bukan lagi suami saya dan “tak perlu jaga saya lagi”. Bolehkah dia berbuat demikian?
Jawapan:
Ramai suami tidak tahu tanggungjawab mereka terhadap isteri, walaupun sudah bercerai. Tanggungjawab suami tidak tamat serta-merta apabila talak dijatuhkan. Masih ada hak-hak yang perlu dilunaskan terhadap isteri yang diceraikan.
Nafkah idah adalah antara hak yang boleh dituntut oleh isteri ke atas suami apabila berlaku perceraian. Ini adalah selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ahmad dan An-Nasa‘i. Ia menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW telah bersabda: “Hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh suaminya”.
Mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan pemberian nafkah idah. Menurut seksyen 59(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, mahkamah boleh memerintah seorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.
Namun begitu, ada had jangka masa bagi tempoh pembayaran nafkah idah ini; iaitu selama tiga kali kitaran haid. Ini adalah berdasarkan Surah al-Baqarah, ayat 228.
Selama dalam tempoh idah ini, puan berhak terhadap nafkah daripada suami apabila diceraikan kelak. Nafkah idah adalah nafkah atau perbelanjaan yang diperlukan oleh puan untuk menanggung kehidupan puan selama tempoh idah. Nafkah tersebut haruslah mencukupi dan kehidupan puan haruslah sama seperti taraf kehidupan semasa masih berkahwin.
Selain itu, suami juga perlu menyediakan tempat tinggal kepada isteri yang ditinggalkannya, dalam masa tempoh idah itu. Menurut seksyen 71(1) akta, “Seorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa berkahwin selagi suami tidak mendapatkan tempat tinggal lain yang sesuai untuk isteri”.
Oleh itu, puan mempunyai hak untuk terus tinggal di rumah kelamin yang puan diami kini.
Bagaimanapun, jika puan tidak mahu atau tidak dapat tinggal di rumah kelamin itu, suami perlu menyediakan kediaman yang lain. Kediaman ini haruslah sesuai dengan isteri.
Ini merupakan tanggungjawab suami untuk menyediakan tempat tinggal bagi isteri dalam tempoh idah.
Puan perlu menuntut hak ke atas tempat tinggal ini dalam tempoh idah. Sebaik-baiknya hak ini dipohon semasa perbicaraan perceraian. Hak puan akan luput apabila tempoh idah tamat dan tidak boleh dituntut selepas tempoh itu berlalu. Ini adalah berlainan dengan nafkah idah yang boleh dituntut sebagai hutang sekiranya suami tidak membayar nafkah.
Apabila tempoh idah berakhir suami boleh menuntut agar mahkamah mengembalikan rumah tersebut kepadanya. Hak menuntut kembali kediaman tersebut diberikan dalam seksyen 71(2)(a).
Dapatlah disimpulkan bahawa tanggungjawab suami tidak terhenti serta-merta apabila talak jatuh.
Keluarga & Undang-Undang
www.sistersinislam.org.my
No comments:
Post a Comment