Keagungan dan kemuliaan Nabi Muhammad s.a.w diistiharkan oleh Allah s.w.t yang meletakkan senarai keempat dalam rukun Iman, dan rukun Iman merupakan faktor utama syarat penerimaan keislaman seseorang.
Allah s.w.t melalui ayat 107 dalam surah al-Anbiya’ telah mengistiharkan bahawa Muhammad s.a.w adalah seorang rasul yang amat besar jasanya kepada manusia khasnya dan kepada seluruh alam amnya kerana baginda s.a.w adalah pembawa rahmat. Darjat kemuliaan Nabi s.a.w juga diistiharkan oleh Allah s.w.t melalui firmannya dalam surah Ali Imran ayat 31 yang merakamkan ucapan selawat bersama para malaikatNya ke atas Nabi s.a.w. Para ulama’ mengertikan maksud ucapan selawat oleh Allah s.w.t adalah jaminan kurniaan rahmat yang berkekalan ke atas Nabi s.a.w yang telah menyempurnakan tanggungjawabnya memikul risalah dan amanah Nya. Manakala ucapan salawat para malaikatNya di ertikan sebagai permohonan doa oleh para malaikat agar Nabi s.a.w sentiasa di tingkat dan di tambahkan rahmat dan martabatnya di sisi Allah s.w.t. Demikianlah mulianya dan tingginya darjat Nabi s.a.w yang tidak di perolehi oleh makhluk-makhluk lain.
Para Sahabat Amat Menyintai Nabi S.A.W
Sejarah mencatatkan perihal tingginya tahap kecintaan dan penghormatan para sahabat yang sezaman dengan baginda s.a.w. Zaman awal kebangkitan Islam di Mekah walau pun Nabi s.a.w yang menghadapi tentangan kuffar Quraish dalam berbagai bentuk dan di segenap penjuru, namun para pengikutnya yang kuat imam di gambarkan telah membuktikan rasa cinta dan kasih mereka kepada baginda s.a.w. Di antaranya seorang remaja iaitu Saidina Ali bin Talib r.a demi cinta dan hormat kepada Nabi s.a.w., beliau sanggup mempertaruhkan nyawanya tidur di katil Nabi s.a.w di saat musuh-musuh ketat Nabi mengepong rumah baginda s.a.w.
Saidina Abu Bakar r.a seorang tokoh bangsawan mengorbankan kebangsawanannya dengan menemani Nabi s.a.w. yang di kejar oleh tentera Quraish di malam hijrah . Di sepanjang perjalanan Saidina Abu Bakar r.a di riyawatkan berjalan kadang-kadang dihadapan nabi s.a.w, dan kadang-kadang dibelakang nabi s.a.w. Perilaku Saidina Abu Bakar r.a ini di tanya oleh Nabi s.a.w dan Saidina Abu Bakar r.a menjelaskan tujuan beliau berjalan di belakang Nabi s.a.w, kerana bimbang Nabi s.a.w di serang dari belakang dan semasa beliau berjalan di hadapan Nabi kerana bimbang Nabi diserang dari hadapan.
Kecintaan para sahabat kepada Nabi s.a.w dalam peristiwa Uhud amat mengkagumkan. Di saat pasukan perang Nabi s.aw. di serang balas oleh tentera Quraish berpunca kecuaian pasukan pemanah yang meninggalkan bukit Uhud kerana keinginan mendapatkan harta rampasan perang, digambarkan para sahabat mengorbankan nyawa demi keselamatan Nabi s.a.w. Abu Dujannah mengorban nyawa melindungi Nabi ketika itu yang di hujani oleh lontaran tombak oleh pasukan tentera Quraish sehingga jasad beliau banyak di tusuki oleh anak-anak panah.
Malik bin Sinan r.a membuktikan kasih sayang, cinta dan hormat kepada Nabi telah menghisap darah yang mengalir di muka Nabi dan menelannya.
Tallah bin Ubaidillah di saat ketiadaan senjata namun bersedia menggunakan tangannya untuk menghadapi musuh sehingga jari tangganya putus dan tangannya mengalami kecatatan. Demikian Mus’ab bin Umai seorang pemuda dari kalangan hartawan Mekah yang memegang bendera Nabi, bersedia mengorbankan nyawanya. Ketika dikafankan jenazahnya kain kafannya tidak dapat menutupi jasadnya.
Selanjutnya seorang remaja yang berusia 16 tahun iaitu Umair bin Abi Waqas, demi kecintaan kepada Nabi s.a.w dan ingin melihat kebangkitan Islam telah menyelinap dalam barisan perang Nabi agar tidak di ketahui oleh Nabi s.a.w akan penglibatannya itu, dan bila mana Nabi s.a.w. menyedarinya dan menghalangnya daripada menyertai peperangan, beliau r.a telah menangis dan meratap agar di benarkan ikut serta dalam peperangan. Nabi kemudiaanya, mengizinkannya dan beliau telah mati syahid di usia 16 tahun.
Kecintaan para wanita di gambarkan penglibatan Fatimah Az Zahrah r.a, Siti Aisyah, Ummu Suliat, Ummu Sulaim yang bertungkus lumus mempertaruhkan jiwa raga demi membantu menyediakan minuman kepada pasukan perang. Tingginya kecintaan seorang wanita dari Bani Dinar di gambarkan bahawa apabila di beritahu bahawa bapa, suami dan abangnya terkorban syahid dalam peperangan Uhud, beliau r.a kurang memberikan perhatian serius’, sebaliknya lebih ghairah bertanyakan perihal Nabi dan keselamatan Nabi s.a.w.
Demikianlah gambaran tingginya tahap kecintaan para sahabat, tanpa mengira kedudukan dan usia rela mengorbankan harta benda, keluarga dan nyawa demi kesejahteraan dan kemenangan Nabi s.a.w menegakkan cahaya Islam.
Allah mewajibkan hambanya menyintai Nabi S.A.W
Allah s.w.t mewajibkan hamb-hambaNYa menyintai Nabi s.a.w. Banyak ayat Al-Quran menjelaskan hal ini, di antaranya :-
(i) Firman Allah, ayat 56, surah Al-Ahzab yang memerintahkan supaya mengucap selawat dan salam, : maksud firman tersebut;
” Sesungguhnya Allah dan malaikatNya bersalawat ( memberi segala penghormatan dan kebaikan ) kepada Nabi Muhammmad, Wahai orang yang beriman bersalawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya”
Ucapan selawat dan salam diwajibkan dalam ibadat solat disamping mewajibkannya di luar solat seperti ketika menyebut, menulis atau mendengar nama Nabi s.a.w, gantinamanya atau pangkat kenabiannya
ii) Firman Allah ayat 31 dalam surah Al-Hasyr yang memerintahkan supaya mentaati suruhan Nabi s.a.w dan meninggalkan tegahanya dalam kehidupan harian”. Maksud firman tersebut; ... dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasullah s.a.w kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka patuhilah larangannya”
iii) Firman Allah ayat 24 dalan surah Al-Taubah yang memerintahkan suapa menyintai Nabi s.a.w, lebih daripada mencintai ibu bapa, suami-isteri, anak pinak serta harta benda. Maksud firman tersebut ; katakan lah (Wahai Muhammad s.a.w) jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri dan suami-suami kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan daripada berjihad untuk agamanya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksanya) ...”
Faedah Menyintai Nabi s.a.w
Terdapat hadis-hadis yang menggariskan beberapa faedah yang akan diperolehi oleh mereka yang benar-benar menyintai Nabi s.a.w, sepertimana berikut :
i) Allah akan melimpahkan rahmat yang berlipat ganda dalam kehidupan harian
ii) Di hari kiamat nanti akan tinggal berdekatan dengan Nabi s.a.w
iii) Akan memperolehi syafaat khas daripada Nabi s.a.w di hari kiamat
iv) Akan terselamat daripada keburukan didunia dan di akhirat
PENUTUP
Sejajar dengan keagongan dan kemuliaan Nabi s.a.w disisi Allah s.w.t, dan besarnya jasa baginda s.a.w kepada umat manusia dan seluruh alam ini, maka bersegeralah kita meningkatkan lagi perasaan dan semangat kecintaan dan penghormatan kita kepada Nabi s.a.w dengan memperbanyakkan ucapan selawat dan sekaligus meningkatkan usaha kearah memahami dan menghayati assunnah dalam kehidupan harian . Semua institusi agama di segenap pelusuk negara seperti masjid, surau, madrasah, sekolah-sekolah agama, pertubuhan dan badan-badan dakwah patut bersama dengan pihak berkuasa agama setiap tahun menganjur sambutan Maulidurrasul.
Demi mengangkat martabat assunnah dalam kehidupan individu, bermasyarakat dan bernegara pula, maka pihak-pihak berautoriti patutlah merangka strategi dan pelan tindakan yang berkesan. Sesungguhnya kejayaan membina peradaban yang cemerlang, gemilang dan terbilang amat memerlukan peranan assunnah.
Renungilah pesanan Nabi s.a.w , yang bermaksud; ”Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, dan jika kamu berpegang kepada keduanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, yaitulah al-Quran dan Assunnah.
No comments:
Post a Comment