SOALAN:
ADAKAH menjadi salah jika kita mengikut mazhab (ikutan) campur-campur?">
JAWAPAN:Perkara ini dibincang oleh para ulama di bawah topik al-Talfiq al-Mazhab, iaitu menoleh kepada mazhab yang berlainan daripada apa yang biasa diamalkan. Adakalanya wujud situasi yang memerlukan seseorang itu menoleh atau menggunakan pandangan mazhab lain untuk keluar daripada sesuatu keadaan, yang jika dia tidak memilihnya akan berhadapan dengan kesukaran.
Contohnya dalam persoalan membayar zakat fitrah. Mengikut mazhab al-Syafie zakat fitrah hendaklah dibayar dengan makanan asas sesebuah negara bukan dengan mengkadarkannya dengan nilai mata wang. Justeru, apa yang dipraktis di sesetengah negara adalah dengan mengambil pandangan mazhab Maliki yang mengharuskan membayar zakat dengan mengkadarkannya dengan menilainya menjadi wang.
Namun ulama mengharuskannya bagi keadaan darurat sahaja dan bukan suatu yang mutlak. Ini bermaksud seseorang mukallaf itu boleh menggunakan pandangan mazhab lain selain daripada mazhab yang menjadi pegangannya bagi membolehkan dia keluar dari situasi yang tidak memungkin dia terus dalam mazhab yang menyukarkan dia.
Mungkin kesukaran itu bukan suatu yang pernah dijangkakan oleh ulama terdahulu. Contoh lain ialah melontar jamrah aqabah pada 10 Zulhijjah. Mengikut mazhab al-Syafie melontar jamrah pada 10 Zulhijjah adalah selepas naik matahari lebih kurang pukul 9 pagi. Tetapi ramai di kalangan orang yang bermazhab al-Syafie melontar pada waktu petang dan malam kerana ada mazhab yang mengharuskan melontar selepas tergelincir matahari pada hari tersebut.
Maksudnya di sini, talfiq dalam persoalan fiqh ada perkara atau persoalan fiqh diharuskan kita untuk merujuk kepada mazhab lain, ini kerana adanya darurat dan ada persoalan yang yang tidak mengharuskan kita daripada merujuk kepada mazhab lain.
Dalam persoalan ini elok kita rujuk kepada pandangan Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaily. Beliau menjelaskan bahawa talfiq ini suatu yang harus dalam keadaan darurat atau dalam keadaan yang sangat memerlukan.
Beliau membawa hujah yang berikut, talfiq adalah mengikut sesuatu mazhab dengan merujuk kepada keperluan dan kemudahan yang ada padanya, yang mana sebagai seorang yang berpegang kepada mazhab tersebut berhadapan dengan kesukaran dan kesempitan dalam masa yang sama ada penyelesaiannya dalam mazhab yang lain.
Talfiq adalah merujuk kepada sesuatu persoalan yang berkaitan dengan fiqh yang mempunyai pandangan berbeza di kalangan imam-imam mazhab.
Contohnya seperti seseorang yang berwuduk, ketika dia berwuduk hanya sebahagian kepalanya disapu dengan air yang merupakan pandangan Imam al-Syafie, kemudian darah mengalir dari tubuhnya, lalu di sentuh isterinya. Maka adakah orang ini sah solatnya dengan wuduk yang sebegini?
Wuduk orang ini jika dilihat dari neraca mazhab yang berbeza akan didapati; wuduknya terbatal kerana menyentuh isterinya, wuduknya batal mengikut mazhab Abu Hanifah kerana darah yang mengalir dari tubuhnya dan menyapu kepala tidak mencukupi kepala, manakala Imam Malik dan Imam Ahmad tidak akan memperakui kesahihan wuduk itu kerana tidak menyapu keseluruhan kepala.
Pada hakikatnya solat dengan wuduk seumpama di atas adalah sah sekiranya keadaan adalah darurat atau kerana sesuatu keadaan yang terdesak.
Inilah yang dinamakan talfiq. Sebahagian ulama membenarkannya dan sebahagian yang lain melarangnya. Pada pandangan saya, sekiranya talfiq ini bertujuan mencari hukum yang termudah dan yang bertepatan serta disukai oleh hawa nafsu tanpa mengira dalil, maka hukumnya adalah tidak harus.
Oleh itu para salaf telah berkata: “Orang yang mencari rukhsah (keringanan) daripada mazhab-mazhab adalah fasik”.
Seorang Mukmin sepatutnya sentiasa bersama-sama kebenaran sama ada kebenaran itu baginya atau ke atasnya (zahirnya menguntung atau merugikannya). Allah telah mencela kaum Munafiq di dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan (di antara orang-orang yang tidak dikehendakinya ke jalan yang lurus ialah) mereka yang berkata: “Kami beriman kepada Allah dan kepada Rasul-Nya serta kami taat”. Kemudian segolongan daripada mereka berpaling (membelakangkan perintah Allah dan Rasul) sesudah pengakuan itu dan (kerana berpalingnya) tidaklah mereka itu menjadi orang-orang yang sebenarnya beriman. Dan (bukti berpalingnya mereka ialah) apabila mereka diajak kepada kitab Allah dan sunah Rasul-Nya supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, maka dengan serta merta segolongan dari mereka berpaling ingkar (menolak ajakan itu kiranya keputusan tidak menguntungkan mereka). Dan (sebaliknya) jika keputusan itu memberi hak kepada mereka, mereka segera datang kepadanya dengan tunduk taat (menerima hukumannya). (al-Nur: 47-49 )
Kaum ini mahukan kebenaran mengikut mereka, bukannya mereka mengikut kebenaran seperti yang dilakukan oleh Mukmin sebenar.
Adapun sekiranya seseorang itu mengikut pendapat yang paling betul (rajih) pada pandangannya (dari segi dalil dan hujah) dan paling kuat pada penilaian hatinya, bolehlah dia mengikut pandangan Abu Hanifah yang mengatakan bahawa menyentuh perempuan tidak membatalkan wuduk, pandangan Syafie yang mengatakan bahawa keluar darah tidak membatalkan wuduk dan pandangan Maliki yang mengatakan bahawa air tidak akan menjadi najis melainkan apabila berubah warna, bau atau rasa, setelah dia merasa tenang dengan dalil-dalilnya.
No comments:
Post a Comment