SOALAN:
Apakah maksud sebenar ayat al-Quran yang melarang kita menghampiri zina. Bolehkah tuan memberi contoh yang dikatakan menghampiri zina itu?
- Maimunah Salikin, Alor Gajah, Melaka.
JAWAPAN:
Terdapat banyak mukadimah (pandahuluan) yang boleh membawa berlaku perbuatan keji tersebut. Umpamanya, ia bermula dengan jelingan dan pandangan mata, melalui sentuhan, percakapan dan sebagainya. Sebab itu kita dilarang melihat wanita untuk kali kedua, ketiga dan menghampiri atau bercakap-cakap dan bergaul dengan mereka (wanita asing).
Ini ditegaskan oleh Allah dengan firman-Nya bermaksud: Katakanlah kepada kaum lelaki yang beriman supaya mereka tunduk pandangan (kawal pandangan) dari melihat yang haram dan hendaklah mereka menjaga kehormatan mereka, yang demikian itulah lebih baik untuk mereka, sesungguhnya Allah SWT amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Demikianlah sebaliknya kaum wanita hendaklah mengawal pandangan dan menjaga kehormatan mereka dan jangan cuba mendedah aurat melainkan tempat yang terdedah sahaja (muka dan tangannya), jangan dedah aurat mereka kecuali apa yang lahir daripadanya dan tutupilah dengan tudung mereka atas lubang tengkuk baju mereka, dan jangan dedah perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa suami (bapa mertua) atau anak-anak mereka atau anak suami (tiri) atau saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki dan wanita mereka atau wanita Islam atau hamba mereka atau orang gaji lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada wanita atau kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat wanita dan janganlah menghentak-hentak kaki mereka untuk diketahui apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlatlah kamu sekalian kepada Allah supaya kamu berjaya. (Surah al-Nur 30 -31).
Dan firman-Nya lagi bermaksud: Maka janganah kamu bersuara manja (bercakap dengan suara yang menggiurkan (menggoda), maka akan tertarik (tergoda) mereka yang berpenyakit dalam hatinya dan bercakaplah dengan sopan dan baik. (Surah al-Ahzab ayat 32).
Jelas daripada panduan tersebut, semua pintu yang boleh membawa kepada kerja keji hendaklah ditutup dan dijauhi. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment