Tuesday, June 30, 2009

Uruskan masa dan ringkaskan tugas

"Kewajipan kita adalah lebih banyak daripada waktu yang kita ada, oleh itu bantulah saudaramu tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah pelaksanaannya,- Wasiat ke 10 Hassan Al-Banna

Fahamilah mesej dalam surah Al-Muzzammil.

[1] Hai orang yang berselimut! [2] Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, kecuali dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), [3] Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, [4] Atau pun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil."

[5] (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).

[6] Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya. [7] (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya.

Hadis mengenai taubat

Amalkan Solat istiqarah dalam semua pilihan....

Bila di sebut sahaja Solat Istikharah kebanyakan di kalangan kita hanya terkenangkan ketika hendak memilih jodoh. Ia begitu sinonim sekali dalam membuat keputusan untuk memilih bakal teman hidup tidak kira bagi lelaki atau perempuan. Perkara ini mungkin berlaku kerana penekanan di kalangan sesetengah Ustaz dalam soal istikharah ini dikaitkan dengan memilih jodoh sahaja.

Sebenarnya amalan Solat Sunat Istikharah ini skopnya lebih luas. Kita kadang-kadang tidak diberikan peringatan dalam soal ini. Sedangkan amalan Solat Istikharah ini sangat-sangat di galakkan oleh Rasulullah sebagaimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;

Mahfum Hadis:

Dari Jabir ra., ia berkata: "Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:

“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini  membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya”

Betapa pentingnya Solat Istikharah ini sebagaimana pentingnya kita mempelajari al-Quran.

Sebagai satu iktibar dan renungan penulis ingin berkongsi beberapa contoh kisah benar yang berlaku di kalangan sahabat-sahabat yang terlupa mengamalkan solat istikharah. Nama dalam kisah ini bukan nama sebenar.

Kisah 1

Setelah berpindah randah dari satu rumah sewa ke rumah sewa, akhirnya tergerak hati Salim untuk memiliki rumah sendiri. Lalu dia melihat iklan di surat khabar dan berkenan dengan tawaran rumah yang agak munasabah harganya.. Rumah tersebut masih belum dibina lagi tetapi pihak pemaju telah menawarkan pakej jualan yang istimewa. Pihak pemaju perumahan memberi jaminan rumah tersebut akan siap dalam masa dua tahun. Salim berminat dengan rumah tersebut lalu terus membelinya. Kini lima tahun telah berlalu, projek perumahan itu telah terbengkalai kerana pemaju telah bankrupt. Salim terpaksa membayar ansuran bulanan hutang kepada bank walaupun rumah yang diidamkan masih tidak wujud.

Kisah-2

Cikgu Imran telah mendapat arahan pertukaran sekolah dari Sabak Bernam ke Sandakan. Bila menerima surat tersebut hatinya agak gembira kerana ingin memberi khidmat di kawasan pedalaman. Baginya tidak ada masalah sebab masih bujang, dan teringin sangat hendak ke Sabah. Dia solat Istikharah walaupun keputusan telah ditetapkan oleh kementerian kepadanya. Dia berdoa “Ya Allah kalau pemergian aku ke Sandakan ini baik untukku dan agamaku maka permudahkanlah jika tidak kau gantikanlah dengan yang lebih baik dan sempurna”. Selang dua minggu Pengetua disekolahnya memberitahu kepadanya pertukaran dia ke Sabah di tarik balik disebabkan masalah teknikal.. Dia rasa agak pelik namun tidak kecewa malah tetap gembira kerana telah melakukan solat istikharah. Dia yakin ini yang terbaik di pilih oleh Allah untuknya. Selang sebulan dia bertemu Jodoh dengan Ustazah (al-Hafizah) yang baru berpindah di taman tempat dia tinggal.

Monday, June 29, 2009

Doa untuk Anak-anak dan Isteri-isteri

"Wahai Tuhan kami, berila kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. 
- Surah Al-Furqan 74

Doa ini amat sesuai untuk di  baca dan diamalkan pada setiap masa dan ketika khusus untuk anak2 dan isteri-isteri. Mudah-mudahan kehidupan rumah tangga lebih aman dan bahagia dunia dan akhirat.

Berjalan..........

Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahmaan (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan-santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini
-Surah Al-Furqan :63 

Sangat Penting....!!!!!!Baca dan fikirkanlah sekejap

64. Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri,

65.       Dan juga mereka yang berdo'a dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan.

66.       "Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk";

67.       Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan dan bakhil) itu.

68.       Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syara'), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;

69.Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan,

 70.       Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 71.Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal salih, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat;

 72.       Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.

Renungan dari surah al-Furqan

Renungan surah Taubah

71-Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta ta'at kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

72-Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-Syurga yang mengalir dibawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam "Syurga 'Adn" serta keredhaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.

Surah At-Taubah 71-72

Berdasarkan mafhum ayat Quran di atas kita semua digalakkan melakukan amal kebaikan dan mencegah segala bentuk kemungkaran. Allah menjanjikan kepada kita semua tak kira peringkat umur dan jantina bahawasanya balasan dan ganjaran akan diberikan kepada mereka yang beriman dan taat pada perintah agama. 

Janganlah kita rasa selesa dengan apa yang ada pada diri kita. Renungilah kehidupan ini dan apakah matlamat kita dan misi  kita untuk  mencari keredhaan Allah s.w.t. Harta, anak-akan- pangkat, kekayaan, kesihatan, kelapangan waktu, kesenangan hidup, merupakan anugerah allah yang amat ternilai. Sewajibnya kita sebagai hamba Allah menggunakan nikmat yang allah kurniakan pada diri kita dengan sebaik-baiknya. 

Kehidupan dunia adalah kehidupan yang sementara.....

Firman Allah: dalam surah Al-Anam ayat Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

Friday, June 26, 2009

Tatu: Buang tatu untuk elak fitnah

SOALAN:
SAYA berkawan dengan lelaki Iban dan akan memeluk Islam tetapi terdapat tatu pada bahagian lengan lelaki berkenaan. Untuk pengetahuan ustaz tatu itu akan dibuang menggunakan asid.

Jadi perlukah saya merujuk pada doktor atau ustaz adakah tatu yang dibuang menggunakan asid itu sah dan diterima dalam Islam?

------------------------------------------------------------

Jawapan:

Hukum bertatu adalah haram ke atas lelaki dan wanita. Walaupun baginda merujuk kepada golongan wanita, ini tidak bermaksud harus bagi kaum lelaki. Namun hari ini kita dapat melihat bahawa bertatu ini menjadi satu trend di kalangan remaja dan segelintir orang dewasa.

Ada yang bertatu dengan alasan tidak mahu ketinggalan dengan trend semasa. Sedangkan bertatu bukan dari budaya orang Islam malahan budaya jahiliah. Sebab itulah Rasulullah saw mengharamkan amalan jahiliah ini.

Nas yang dijadikan sandaran bagi pengharaman tatu pertamanya daripada hadis Rasulullah SAW daripada Abdullah bin Umar: Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu pada badannya, perempuan-perempuan yang minta dicukur alis (bulu keningnya) dan perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik iaitu perempuan-perempuan yang merubah ciptaan Allah. (riwayat al-Bukhari)

Di dalam al-Quran, Allah SWT menyuruh kita bersegera kepada seruan Allah dan Rasul-Nya SAW.

Maksud firman Allah: Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat”: dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. (al-Nur: 51).

Ada pula di kalangan orang Islam apabila ditanya kenapa bertatu diberi alasan tidak tahu bahawa tatu itu haram.

Beginilah sikap manusia yang sering mencipta alasan untuk menghalalkan cara. Tetapi dalam persoalan kawan saudari yang berbangsa iban itu bertatu sebelum Islam.

Mungkin bertatu adalah budaya masyarakat iban. Namun demikian selepas dia menganut Islam bukan itu yang pertama kena buat.

Persoalan yang pertama perlu diberi penekanan adalah persoalan akidah, membina keyakinan dan kepercayaan yang mutlak terhadap ketuhanan Allah dan menafikan selainnya dari dianggap menjadi tuhan.

Sekiranya penekanan terhadap keimanan dan pengEsaan terhadap Allah lebih utama. Walaupun demikian perlu juga difikirkan bagaimana dapat membantu beliau yang baru Islam untuk memahami Islam yang syumul ini. Termasuklah juga persoalan-persoalan fikah dan akhlak.

Merujuk kepada tatu yang terdapat di lengan kaki lelaki tersebut perlu dilihat kepada bentuk ukirannya.

Sekiranya ukiran tersebut bentuk objek makhluk atau bentuk berhala maka hendaklah dibuang. Namun sekiranya tatu itu sekadar ukiran corak yang tidak membentuk makhluk terpulang kepada lelaki tersebut sama ada ingin buang atau tidak.

Ini kerana Allah mengampun segala dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh seseorang sebelum Islamnya, yang demikian dapat dilihat dalam hadis Rasulullah yang bermaksud: ...Sesungguhnya Islam menghapuskan kesalahan dan dosa seseorang itu sebelum Islam….(riwayat Muslim, no:121, jld:1, hlm:112)

Hadis ini memberi petunjuk sesungguhnya kesalahan yang dilakukan oleh seseorang itu sebelum menerima hidayah adalah dihapuskan serta merta dengan terlafaznya syahadah (pengakuan masuk Islam).

Namun demikian pandangan peribadi saya eloklah dibuang tatu yang ada di lengan kaki bagi mengelak fitnah dan buruk sangka. Tidak semua mengetahui yang saudara itu baru masuk Islam.

Pada masa yang sama sekiranya proses membuang tatu boleh memudaratkan nyawa atau boleh mengundang masalah lain pada kesihatan, tidak perlu dibuang biarpun tatu itu berbentuk makhluk.

Namun, jangan pula didedahkan atau ditayangkan tatu itu kepada orang lain. Di dalam kepesatan teknologi perubatan ada di sana pencapaian teknologi perubatan yang tidak perlu menggunakan asid. Malahan tatu boleh dihilangkan dengan menggunakan sinar infra merah seperti yang dinyatakan melalui petikan berikut: “Pada tahun 1991, Dr. Tolbert Wilkinson dari San Antonio, Texas telah mengemas kini sejenis prosedur yang menggunakan sinar infra merah yang tidak memberi kesan parut yang ketara serta kurang mahal…”.

Proses membuang tatu adalah rumit dan memakan masa. Prosedur tradisional seperti dermabrasion atau pembedahan akan meninggalkan kesan parut. Justeru itu prosedur tersebut sudah jarang digunakan hari ini.

Penyingkiran tatu menggunakan laser pula adalah pendekatan paling umum. Tetapi ia memerlukan kepakaran profesional dan adalah agak mahal khasnya bagi penduduk di negara Dunia Ketiga. Untuk membuang tatu mesti mendapatkan bantuan nasihat daripada doktor dan jangan bertindak menjadi doktor kerana dikhuatiri akan timbul masalah yang lain pada kulit, ini sebab tisu kulit sangat sensitif.

Tunai haji bagi yang mampu sahaja

Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Allah SWT menerangkan kebatilan apa yang menjadi hujah kepada ahli kitab berkenaan dengan ayat terdahulu dan membangkang mereka dengan apa yang ditunjukkan kepada kebenaran kalaulah mereka pencari hidayah dan hakikat yang sebenar yang tidak menyeleweng sama sekali.

"Ayat-ayat yang dibahaskan ini mengarahkan mereka serta menunjuk perkara yang menjadi titik pertemuan bersama dengan bangsa Arab iaitu hubungan dengan Nabi Ibrahim a.s yang mereka bangga dengan menisbahkan kepadanya".

Ayat ke-96

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Mekah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Mawardi berkata: Maksud Bakkah ada tiga pendapat:

*Masjid al-Haram, inilah pendapat Ibn Shihab dan Damrah bin Rabi'ah.

*Mekah itu sendiri, inilah pendapat Abu Ubaidah.

*Tempat terletaknya Baitullah. Inilah riwayat daripada Malik.

Berkenaan dengan nama Bakkah itu sendiri ada dua pendapat:

*Diambil daripada kesibukan kerana sibuk orang ramai ketika tawaf.

*Dinamakan Bakkah kerana tempat tersebut telah menundukkan leher-leher orang yang takbur apabila mereka melakukan dengan kezaliman pasti dibalas dengan segera.

ii. Al-Maraghi berkata, perkataan barakah mempunyai dua pengertian. Pertama, tumbuh dan bertambah. Kedua, kekal dan berterusan sebagaimana kalimah tabarakallah, Allah yang Maha Kekal.

Barakah dengan erti pertama bermaksud kota Mekah yang dilimpahi pelbagai kebaikan bumi dan terdapat aneka jenis buah-buahan padahal ia hanya sebuah lembah yang tidak subur untuk bercucuk tanam.

Perkataan barakah dengan maksud yang kedua adalah kota Mekah yang menjadikan manusia sentiasa rindu kepadanya sehinggakan orang mahu menziarahinya berkali-kali dengan apa cara sekalipun.

iii. Al-Sonhadji berkata, rumah yang kita jadikan kiblat waktu sembahyang itu ialah rumah yang mula-mula dijadikan oleh Allah tempat manusia beribadat iaitu kaabah namanya.

Ia dijadikan kiblat oleh orang Islam waktu sembahyang, dijadikan tempat ziarah waktu haji dan tawaf (mengelilingi kaabah) dan akan berlipat ganda pahala orang yang beribadat di sana.

iv. Mohamad Quraish Shihab berkata, ayat di atas menerangkan bahawa rumah peribadatan pertama untuk manusia adalah kaabah.

Ini memberi isyarat telah ada manusia menjejakkan kaki ke bumi. Manusia memiliki rasa cemas dan harapan. Naluri ini menghiasi manusia sejak kehadirannya di pentas bumi ini, maka sejak itu dia berdoa dan berhubungan dengan Tuhan.

Pakar Psikologi Agama, William James mengatakan, anda tidak menemukan satu tempat di mana manusia dalam masyarakat itu mengadakan hubungan dengan Tuhan yang Maha Kuasa.

Ayat ke-97.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaan-Nya, di antaranya ialah) makam Nabi Ibrahim a.s. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekelian makhluk.

Sebab Nuzul.

Diriwayatkan daripada Umar r.a bahawa beliau berkata: "Aku amat berkeinginan sekali untuk mengirim beberapa utusan ke negeri-negeri ini bagi memerhatikan setiap orang yang mempunyai kemampuan tetapi tidak mahu mengerjakan haji agar mereka ini dipukul sebagai ganti cukai kepala kerana mereka ini bukan orang Islam, bukan orang Islam".

Golongan Yahudi kerana ia apabila turunnya firman Allah SWT yang bermaksud: Siapa yang mencari selain Islam sebagai agama, nescaya tidak diterima daripadanya." Kemudian mereka berkata: "Kami orang Islam, lantas diperintahkan haji tetapi mereka tidak melakukannya". Kemudian Allah SWT turunkan ayat ini.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Perkataan istito'ah atau berkemampuan dalam ayat ini ada tiga pendapat:

*Harta benda, iaitu bekalan dan kenderaan. Inilah pendapat Imam al-Syafie.

*Iaitu dengan tubuh badan. Inilah pendapat Imam Malik.

*Dengan harta dan juga tubuh badan. Inilah pendapat Imam Abu Hanifah.

Berkenaan dengan siapa yang kufur pula, juga terdapat tiga pandangan:

*Siapa yang mengkufurkan dengan fardu haji dan berpendapat tidak wajib. Inilah pandangan Ibn Abbas.

*Siapa yang tidak berpendapat haji satu kebaikan dan meninggalkannya sebagai satu dosa. Inilah pandangan Zaid bin Aslam.

l Golongan Yahudi.

ii. Al-Maraghi berkata, haji diwajibkan kepada setiap orang Muslim yang berkemampuan. Perintah haji merupakan penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim a.s sehingga ke zaman Nabi Muhammad SAW.

Orang ramai sering menunaikan ibadah haji di Baitullah bagi mengikut jejak Nabi Ibrahim.

Hal ini menjadi mercu tanda yang begitu popular mengenai perhubungan antara Nabi Ibrahim dan Baitullah. Maksud kesanggupan kepada sesuatu ialah kemampuan mencapainya.

iii. Al-Sonhadji berkata, kewajipan haji itu diisyaratkan 'kuasa', dan ini adalah mengikut kedudukan seseorang dan mengikut zamannya.

Ini kerana kehormatan terhadap Baitullah, sebab manusia mengerjakan haji itu semenjak zaman Nabi Ibrahim a.s hingga zaman Nabi SAW dengan tidak ada putus-putusnya sebagai mengikuti jejak langkah syariat Nabi Ibrahim a.s.

iv. Mohamad Quraish Shihab berkata, makam Ibrahim a.s adalah tempat beliau berdiri membangun kaabah. Makam yang dimaksudkan adalah seluruh arah di mana kaabah itu mengarah.

Oleh kerana itu ramai yang menganggap makam Ibrahim adalah seluruh Masjid al-Haram.

Ada juga yang memahami istilah itu sebagai satu tempat yang ditandai dengan sebuah batu bekas telapak kedua kaki Ibrahim a.s ketika beliau solat di situ.

Kebesaran rumah Allah wajib dimuliakan dan kefarduan haji jelas membuktikan betapa perlunya umat Islam berusaha bersungguh-sungguh bagi melayakkannya menunaikan perintah Allah serta menjunjung-Nya seperti ibadat haji. Amin.

Oleh: Dr Zulkifli Al-Bakri

Thursday, June 25, 2009

Menarik Hari ini: Tak Baca Rugi............

Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s

Siapakah orang yang manis senyumanya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil
berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan...

Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya...

Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka..


YANG PENTING SEKALI......!!!!!!!
Siapakah org yg KEDEKUT ?
Orang yg kedekut ialah org yg membiarkan atau tidak memperdulikan artikel ini begitu sahaja, malah dia tidak menyampaikan dan menyebarkan pula pada org lain.

*SALAH SATU SAHAM AKHIRAT IALAH MENYAMPAIKAN ILMU KEPADA ORANG LAIN- MAFHUM HADIS.

Wednesday, June 24, 2009

Kewajiban berwasiat, bertaubat sebelum tidur

Imam Ghazali menyatakan; bahawa doa kebanyakan para nabi a.s., ialah berdoa seperti berikut (yang bermaksud): "Ya Allah Tuhanku, aku minta ampun kepada-Mu daripada sebarang dosa yang aku telah bertaubat, tapi setelah itu aku lakukan semula. Aku minta ampun daripada semua yang telah aku janji dalam hati kepada-Mu tetapi tidak aku laksanakan.

"Aku bertaubat daripada dosa waktu aku ibadat untuk-Mu, tetapi tiba-tiba mencelah sesuatu menyebabkan ibadah berubah kepada kerana yang lain daripada-Mu.

"Aku mohon ampun kepada-Mu kerana nikmat yang Engkau kurniakan itu sepatutnya untuk mentaati-Mu, sebaliknya telah aku gunakannya untuk ingkar suruhan-Mu.

"Wahai Tuhan yang Maha Mengetahui sama ada yang zahir atau yang terselindung, aku minta ampun daripada sebarang dosa yang aku lakukan pada siang hari atau pada malam gelap di tempat tersembunyi, ketika beramai atau ketika seorang diri, ampunilah daku wahai Tuhan yang Maha Lemah Lembut."

Demikian doa dan istighfar para nabi sejak daripada Nabi Adam a.s. hingga ke Nabi Muhammad s.a..w., telah dinukilkan oleh Imam Ghazali yang dimuatkan dalam kitabnya untuk mendapat perhatian dan menjadi amalan umat akhir zaman, yang persoalannya sangat penting dan bernilai tinggi.

Kini akan membincangkan mengenai adab tidur. Meskipun tidur itu sebagai perkara tabiei kebiasaan bagi manusia, sebagaimana makan minum dan naluri lain seumpamanya, semua tuntutan naluri tabiei dan segala gerak-geri itu, boleh dijadikan sumber pahala untuk bekalan ahirat.

Tidur merupakan kesinambungan daripada sifat mengantuk. Sesungguhnya sifat mengantuk itu bukan sesuatu yang dicari atau diusahakan, tetapi ia terjadi setelah tubuh letih akibat aktiviti kerja sepanjang hari.

Islam mengajar manusia sama ada perkara yang diikhtiar atau tidak jika seseorang itu tahu, ia akan jadi bekalan hidup di akhirat.

Tidur setelah didahului rasa mengantuk kurniaan Tuhan, akan menjadikan tubuh rehat dan cergas segar semula. Di akhirat ada habuan bagi manusia itu.

Justeru Islam mengajar peraturan dan adab tidur, supaya tidur menjadi suatu ibadah yang berfaedah kepada manusia di dunia dan akhirat.

Peraturan dan adab yang pertama, ialah bersihkan mulut dengan bersugi (gosok gigi) dan bersuci serta berwuduk.

Islam bukan saja suruh berwuduk ketika hendak menunaikan solat atau membaca al-Quran, bahkan Islam anjurkan berwuduk itu mengajar manusia agar tidur dalam keadaan beribadat kepada Allah SWT.

Seseorang yang berwuduk andainya meninggal dunia semasa tidur, maka matinya dalam keadaan suci bersih. Tiada yang boleh beri jaminan bahawa selepas tidur dia akan bernafas semula untuk meneruskan hidupnya.

Oleh itu apabila seseorang hendak tidur dia hendaklah bersiap, kerana dia sendiripun tidak tahu masih adakah baki umurnya selepas tidur.

Setelah bersugi dan berwuduk mereka dikehendaki bersiap menyediakan air (khusus di tempat yang sukar air) untuk bersugi dan berwuduk selepas bangun pagi esoknya.

Jika dia dikurniakan umur lagi, persiapan itu untuk mengulangi keperluan bersugi dan berwuduk sebagai sunnah Nabi s.a.w.

Sebelum meletakkan kepala atas bantal untuk tidur, hendaklah dia menaruh azam dalam hati dengan niat untuk bangun menunaikan ibadat solat tahajud dan witir juga ibadah selainnya.

Kalau tidur berniat begini akan dipermudah oleh Allah SWT untuk bangun pada hujung malam. Ini kerana tidur dengan hasrat untuk melakukan ibadah sebagaimana kelazimannya, tidurnya tidaklah tidur mati tetapi sentiasa teringat-ingat akan niatnya.

Adab tidur seterusnya ialah bagi mereka yang sepatutnya ada wasiat lantaran berhutang, maka kewajiban mereka ialah menyediakan surat wasiat.

Kewajiban orang berhutang ialah berwasiat kepada keluarganya, supaya tanggungjawab itu dipikul keluarganya jika dia meninggal dunia.

Jika orang yang berhutang itu mati menyebabkan rohnya terseksa, tidak dapat ke mana-mana dan tidak dapat menikmati fadilat syahid. Hutang yang belum dilunaskan jadi penghalang menikmati segala fadilat itu.

Orang yang mempunyai keyakinan mengenai bahaya hutang yang belum dijelaskan, wajib baginya berwasiat kerana seseorang itu tidak selamat daripada diambil nyawanya oleh Tuhan semasa tidur.

Hendaklah sedar bahawa seseorang ketika tidur mempunyai peluang lebih luas untuk mati, berbanding peluang untuk terus hidup.

Ini kerana apabila seseorang tidur rohnya akan beredar meninggalkan jasad, meskipun jantung dan nadi bergerak darah terus mengalir dan nafas keluar masuk.

Hal tersebut terserah sepenuhnya kepada kudrat Allah SWT. Justeru dalam keadaan tidak sedar kerana roh naik ke atas seperti benar-benar telah mati.

b seterusnya apabila bersiap untuk tidur, seseorang itu bertaubat daripada semua dosa, dan tidur dalam keadaan hati suci bersih dengan semua orang Islam. Tiada hasrat di hati hendak menganiaya orang apabila terjaga esok.

Dengan adab itu dunia akan aman daripada segala kemungkaran dan penyelewengan juga keburukan. Jika seseorang tidak menghormati janji sendiri yang dibuat sebelum tidur, lalu bagaimanakah orang lain akan menghormati dirinya

Nabi beruzlah daripada berhala di Kaabah

TAHUKAH anda apa yang dimaksudkan dengan dosa warisan (Original sins) yang dihukum kepada umat manusia, yang kemudiannya ditebus oleh Nabi Isa a.s dalam ajaran Kristian?

Dosa itu dianggap yang paling berat kerana akibat kesalahan Nabi Adam dan isterinya Siti Hawa telah menyebabkan manusia tidak lagi berpeluang menemui tuhan, iaitu Allah.

Maka jangan salahkan manusia apabila mereka akhirnya menyembah patung dan berhala kerana semua itu merupakan manifestasi mereka hendak menemui dan mengenali tuhan.

Ini membawakan mereka mempunyai definisi mengenai wahyu yang sangat berbeza daripada apa yang Islam tetapkan mengikut landasan al-Quran dan hadis.

Ini apabila manusia masih berpeluang untuk menemui tuhan mereka dengan kehadiran Nabi Isa itu sendiri, maka apa sahaja yang keluar dari mulut Nabi itu dikenali sebagai Hazrat Isa atau dikenali sebagai Kalimah Allah turut juga dikenali sebagai wahyu!

Nabi Isa dengan lain perkataan dikatakan mempunyai persamaan taraf dengan al-Quran, kalam Allah sementara Nabi Muhammad SAW tidak lebih hanyalah seorang pelapor-pelapor wahyu (Reporters of the Revelation). Adakah benar begitu?

Sebagai umat Islam pastinya apa yang mereka hujahkan mengenai persoalan wahyu itu sama sekali tidak benar. Walaupun mereka cuba meletakkan kedudukan wahyu yang sebenarnya kononnya adalah lebih tinggi berbanding daripada apa yang ditetapkan dalam Islam.

Namun sebelum kita pergi jauh kepada persoalan wahyu ini, lebih-lebih lagi sejarah penurunan wahyu pertama dari Allah kepada Nabi Muhammad ketika baginda berkhalwat di dalam Gua Hira sebagaimana ada yang bertanyakan mengapa baginda tidak menjadikan Kaabah sebagai medan untuk baginda beruzlah (menyendiri daripada orang lain)?

Jawapannya tentu mudah. Ini apabila Kaabah telah dicemari dengan beratus-ratus patung berhala yang diperbuat daripada ukiran batu dan kayu, yang memenuhi di dalam dan di luar Kaabah selain yang boleh didapati disetiap rumah masyarakat Arab Jahiliah pada masa itu.

Bagaimana dalam keadaan ‘sekotor’ seperti itu membolehkan Nabi Muhammad mampu melakukan uzlah. Walaupun kaum keluarga baginda, Bani Quraisy merupakan penjaga Kaabah yang mampu membersihkan Kaabah dari sebarang upacara-upacara kepercayaan karut dan tahyul, percaya kepada benda-benda yang mati itu. Tetapi baginda dalam usaha untuk mengumpulkan kekuatan iman, sekental moyangnya, Nabi Ibrahim yang mampu memusnahkan kesemua berhala-berhala itu seorang diri.

Persoalan ini juga tidak memberikan jawapan kerana baginda takut terpengaruh dan akhirnya turut sama menyembah berhala jika baginda menjadikan Kaabah, medan untuk baginda beruzlah!

Ini kerana kebencian baginda terhadap berhala-berhala berkenaan sudah tertanam kuat sekian lama dan bagaikan pokok yang sudah berakar umbi, kebencian itu tidak akan mudah dapat dicabut!

Bayangkan sahaja dalam penaklukan atau peristiwa Pembukaan Kota Mekah (Fathul Makkah) selepas lapan tahun baginda berhijrah ke Madinah (tahun 8 Hijrah), perkara pertama yang terus baginda lakukan tanpa dapat dihalang-halang lagi ialah memusnahkan kesemua patung-patung berhala itu selain mencium batu hajaral aswad.

Tidak satu pun baginda tinggalkan berhala itu hatta untuk tujuan untuk ditunjukkan kepada anak cucu atau umat Islam yang lain. Sebaik sahaja semua dapat dihancurkan, baginda juga segera membasuh luar dan dalam Kaabah dengan air zamzam seolah-olah Kaabah disamak akibat terkena najis yang berat!

Persoalan kedua mengapa baginda perlu mengasingkan diri, jika segala persoalan mengenai penciptaan alam, kepercayaan terhadap tuhan yang bersarang di minda baginda mungkin dapat dijawab oleh pendita Yahudi atau Nasrani?

Andai ini yang baginda lakukan, tidak dinafikan baginda akan beroleh pelbagai jawapan. Malah baginda akan diajar pelbagai perkara lain termasuk membaca dan menulis demi untuk kebaikan baginda sendiri.

Tetapi telah diaturkan oleh Allah agar pesuruh-Nya ini tidak berguru dengan para pendita tersebut. Jawapannya mudah, supaya kepandaian membaca dan menulis itu kelak tidak akan memakan diri baginda.

Pastinya baginda akan dituduh oleh musuh-musuh Islam sebagai dalang yang menulis semua isi kandungan al-Quran sedangkan kitab itu merupakan kalam-kalam suci dari Allah yang bukan ditulis oleh sesiapa pun terutama sekali Nabi Muhammad.

Walaupun baginda dikurniakan dengan pelbagai kebolehan dan keistimewaan tetapi bukan dalam hal menulis kitab itu.

Lagipun baginda sendiri tidak mengharapkan kebenaran yang dicarinya itu akan terdapat dalam kisah-kisah lama atau dalam tulisan-tulisan para pendita. Melainkan dari alam sekitar itu sendiri, iaitu soal keluasan langit dan bintang-bintang, panahan sinaran bulan dan matahari, padang pasir di kala panas membakar di bawah sinar matahari yang terik dan sebagainya lagi.

Namun, tidak kurang yang berkata, baginda memilih untuk berkhalwat di Gua Hira itu semata-mata berdasarkan atau alamat dari satu mimpi.

Imam Bukhari meriwayatkan sebuah hadis dari Saidatina Aishah r.a mengenai peristiwa penurunan wahyu yang pertama ini.

Daripada Aisyah Ummil Mukminin r.a dikhabarkan bahawa beliau telah berkata: “Permulaan wahyu yang dimulakan kepada Rasulullah SAW ialah melalui mimpi yang baik lagi benar di dalam tidur, maka tiadalah Baginda bermimpi satu mimpi melainkan datanglah mimpi itu seperti cahaya subuh. Kemudian disukakan (dikemukakan) kepadanya untuk berkhalwat berasingan diri. Lalu Junjungan berkhalwat di Gua Hira’ untuk bertahannuth (beribadat) di dalamnya, iaitu beribadat dalam masa beberapa malam”.

Dalam peristiwa kedatangan Malaikat Jibril yang membawakan perintah kerasulan dan wahyu pertama kepada Nabi Muhammad bagaimana baginda diperintahkan oleh Jibrail supaya membaca, “Iqra’!” yang diulang-ulang oleh malaikat itu sebanyak tiga kali. Tetapi baginda hanya dapat menjawab; “Ana biqari!” (Saya tidak tahu! Saya tidak tahu! Saya tidak tahu!)

Persoalannya benarkah baginda tidak tahu?! Adakah baginda benar-benar seorang yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis) atau buta huruf?

Sedangkan yang sebenarnya baginda tahu membaca tetapi jawapan baginda kepada Jibrail yang mengatakan tidak tahu bermaksud sebenarnya, baginda tidak tahu apa yang hendak dibaca!

Ikuti selanjutnya persoalan wahyu ini di keluaran akan datang dan perdebatan benarkah Nabi Muhammad seorang yang ummi!

Salman Al-Farisi: Selepas solat Insyak...............???

Salman berkata: "Selepas Isyak manusia adalah dibahagikan kepada tiga
golongan.


Pertama:
"Ada setengahnya, malam hari itu padanya adalah sumber kebajikan dan keuntungan. Mereka itu menghabiskan malamnya dengan menyembah Allah, sementara orang lain nyenyak tidur. Pada mereka, malam hari itu mendatangkan pahala yang besar daripada Tuhan mereka.

Kedua:

"Pada yang malam hari lain menjadi bebanan dan kutukan baginya kerana mereka mengerjakan pelbagai macam maksiat pada malam hari. Bagi mereka malam hari membawa kepayahan dan kesusahan.

"Golongan yang ketiga: pula ialah selepas saja Isyak terus tidur. Mereka untung tidak, rugi pun tidak."

Hafiz ibn Qayyum menulis bahawa solat menjamin nafkah harian, menyihatkan kesihatan badan dan menghilangkan penyakit.

Sembahyang juga meneguhkan hati, memberi cahaya dan kecantikan pada wajah.

Ia turut menggembirakan rohani, menyegarkan tubuh badan daripada rasa malas, melegakan fikiran, memberi makanan rohani, mencerahkan hati dan menjamin keredaan Allah.

Solat menjadi pelindung pada hari kiamat. Sembahyang juga menjauhkan syaitan daripada kita untuk mendekati Allah.

Pendek kata solat adalah jaminan bagi segala yang diidam-idamkan dan benteng bagi segala yang tidak diingini untuk jasad dan rohani sama ada di dunia atau akhirat.

Tuesday, June 23, 2009

Solat: yang tersurat dan tersirat

SOLAT adalah ibadat yang tidak ternilai harganya. Ia memberikan kepada kita peluang mendapat jaminan Allah memasuki syurga-Nya.

Kita puas hati dan gembira apabila seorang yang terhormat lagi kaya atau mempunyai kuasa pemerintah memberikan jaminan untuk mendapat sesuatu daripada keperluan duniawi ini.

Kita menganggapnya sebagai tugas supaya kekal mentaati-Nya. Di sini, Allah memberikan jaminan-Nya untuk kebahagiaan abadi selepas mati.

Sembahyang lima waktu sehari semalam tidak mengambil banyak masa pun. Jika
dengan ini pun kita tidak mahu menerima peluang ini, maka diri kita sendirilah yang harus dipersalahkan bagi menerima seksa yang menunggu.
Solat adalah cara istimewa dalam interaksi dengan Allah kerana ia dimulakan dengan membersihkan bahagian anggota badan tertentu. Satu daripada tujuan umat berkomunikasi dengan-Nya untuk memohon pertolongan.

Firman-Nya bermaksud : "Kamu mohonlah pertolongan dalam kesabaran dan solat..." (Surah al-Baqarah, ayat 45)

Mohonlah kepada-Nya. Sebaik-baik permohonan adalah menurut apa yang diajar-Nya dalam al-Quran.

Solat juga masa untuk mengingati Allah. Firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tiada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikan solat untuk mengingati aku." (Surah Thaaha, ayat 14)

Abu Qatasah menceritakan bahawa Rasulullah bersabda: "Allah berfirman : Hai
Muhammad! Aku telah mewajibkan lima kali solat sehari semalam bagi umatmu.


"Aku telah berjanji dengan diriKu barang siapa mengerjakan solatnya pada ketika masuk waktunya, maka dia akan dimasukkan ke dalam syurga. Ummatmu yang tidak menjaga solatnya tidak termasuk dalam perjanjian ini."

Adalah diriwayatkan dalam sepotong hadis lagi bahawa Allah mewajibkan sembahyang lima waktu.

Barang siapa menjaga solatnya dengan berwuduk dengan sempurna dan solat pada ketika masuk waktunya dengan ikhlas dan khusyuk, Allah menjamin iaitu dia akan memasuk syurga.

Barang siapa tidak menjaga solatnya, maka tidak ada jaminan ini baginya, dia mungkin diampun atau tidak

Abu Hurairah pula menceritakan: "Dua orang dari satu kabilah datang kepada Rasulullah saw dan memeluk Islam serentak.
"Salah seorang daripadanya mati syahid dalam satu pertempuran dan seorang lagi meninggal dunia setahun kemudiannya.

"Talhah bin Ubaidullah berkata bahawa telah melihat dalam mimpinya bahawa orang yang mati kemudian dimasukkan ke dalam syurga dulu daripada si mati
syahid itu.

"Ini menakjubkan. Aku tidak ingat sama ada beliaukah atau orang lain yang menceritakan mimpi ini kepada Rasulullah.

"Bagaimanapun, Rasulullah bersabda bermaksud: Bukankah orang yang mati kemudian itu berpuasa sebulan Ramadan lebih dan bukankah beliau telah bersolat 6,000 rakaat atau lebih ketika setahun hidup setelah si syahid itu mati?"

"Sesungguhnya kita tidak tahu berapa besar nilainya solat itu.

"Rasulullah kerap didengar bersabda: Sejuk pandangan mataku ialah dalam
bersolat.


"Ini adalah satu kenyataan betapa kasihnya beliau terhadap solat. Demi itu
apakah lagi yang lebih nilainya daripada solat." Ibn Mas'ud pula menceritakan bahawa Rasulullah bersabda: "Menjelangnya waktu solat seorang malaikat ditugaskan supaya menyeru: Hai anak Adam! Bangun dan padamkanlah api yang sedang kamu nyalakan untuk membakar dirimu.


"Manusia pun bangun, berwuduk dan sembahyang Zuhur. Ini menyebabkan dosa yang dilakukan sejak matahari terbit terampun.

"Demikianlah diulangi pada waktu Asar, Maghrib dan Isyak. Selepas Isyak orang tidur, tetapi ada sesetengah sibuk mengerjakan kebaikan dan selebihnya sibuk mengerjakan maksiat."

Friday, June 19, 2009

Hayati perjuangan 10 tokoh sarjana Islam

MUNGKIN tiada kaitan antara tragedi pembunuhan 11 jemaah yang sedang bersolat Isyak termasuk imam yang mati ditembak oleh sekumpulan lelaki di Masjid Al Furqan, Kampung Air Tempayan di daerah Cho-ai-rong, Narathiwat, selatan Thailand baru-baru ini, dengan buku yang menjadi ulasan pada minggu ini.

Tetapi apa yang boleh kita katakan adalah kesedihan (atau lebih tepat kekecewaan yang teramat sangat)! Di kala kita begitu merindui akibat kehilangan ulama-ulama Islam yang berpengaruh ini, luka yang sedia ada bertambah pedih dengan siri pembunuhan terhadap umat Islam di merata ceruk dunia.

Malah sehinggakan untuk umat Islam bebas beribadat di rumah ibadat kita sendiri pun, mereka diserang tanpa dapat mempertahankan diri langsung!

Sedangkan sebagaimana yang memetik kata-kata ulama terkemuka Syria, Mustafa al Syibai'y diambil dari buku ini, beliau berkata; "Prinsip-prinsip peradaban Islam mengharamkan peperangan, tidak boleh menyerang, merampas harta benda dan menghina kehormatan sesuatu bangsa."

Beliau mengambil contoh wasiat sahabat besar Rasulullah, khalifah Islam Saidina Abu Bakar kepada para tentera Islam yang berbunyi; "Jangan menyeksa, jangan membunuh anak-anak kecil, warga tua dan kaum wanita. Jangan menyembelih kambing, lembu ataupun unta kecuali untuk dimakan. Kamu akan melalui orang yang sedang bertapa di kuil-kuil maka biarkanlah mereka dengan apa yang mereka lakukan."

Jadi nampakkah kita perbezaan yang cukup besar apabila prinsip Islam sama ada dalam zon peperangan atau tidak, yang tidak akan menganggu mereka yang sedang bertapa (beribadat) di kuil-kuil tetapi dengan kejadian yang begitu tragis berlaku di Masjid Al Furqan itu?

Apabila berlaku pelbagai penindasan terhadap umat Islam sebegini, di saat-saat inilah menyebabkan kita begitu merasakan kehilangan para ulama. Tidak bermakna andai mereka masih hidup, maka bermakna kejadian-kejadian seperti ini tidak akan berlaku.

Malah sewajarnya apabila mereka sudah tiada di muka bumi ini, maka kita yang masih hidup ini perlu mengingati dan mengambil pengajaran dari segala apa yang telah diperjuangkan oleh ulama-ulama berkenaan semasa hayat mereka.

Penulis buku ini yang kini pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) benar-benar melakukan apa yang disifatkan sebagai tanggungjawab fardu kifayah apabila dalam ruangan dan halaman yang cukup terhad. mampu membawakan kepada kita untuk menghayati perjuangan 10 tokoh sarjana Islam yang terbilang ini.

Tokoh-tokoh yang dimuatkan dalam buku ini terdiri daripada:

1) Tokoh Kebangkitan Syria (wakil Ikhwan di Syria) - Mustafa Al Syiba'iy (1915-1964)

2) Ulama Reformis dan Ahli Falsafah, Mesir - Dr. Yusuf Musa (1899-1963)

3) Tokoh Pembaharuan Universiti Al Azhar, Mesir - Mahmud Shaltut (1893-1963)

4) Pemikir Islam Unggul Mesir - Muhammad Imarah (1931-kini)

5) Pemikir Dakwah dan Pembela Islam - Muhammad Al Ghazali (1917-1996)

6) Ulama Rabbani India - Abu Hassan Ali Al Nadawi (1914 - 1999)

7) Imam Masjid Al Azhar - Sheikh Ismail Sodiq Al Adawi ( 1934 - 1998)

8) Tokoh Tafsir Mesir Abad ke21 - Sheikh Muhammad Al Mutawalli Al Sya'rawi (1911-1998)

9) Pakar Tafsir dan Fikah Terkenal Abad ini - Dr Wahbah Al Zuhayli (1932 - kini)

10) Tokoh Dakwah dan Pendidik Umat Islam Abad ke 21 - Dr. Yusuf al Qaradawi (1926 - kini).

Apabila kehilangan mereka umpamakan sahaja seperti seperti kata Imam Baihaqi; kematian seorang ulama umpama bintang yang hilang sirna di antara bintang-bintang dan matinya satu kabilah itu adalah lebih ringan musibahnya berbanding matinya seorang yang alim.

Buku ini telah diulang cetak buat kali kedua, iaitu sebanyak hampir 10,000 naskhah dan telah habis terjual setelah mula diterbitkan pada tahun ini.

*tokoh ke 8 dan 9 pernah tetemui oleh saya..semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita dalam ilmu2 agama. Al-Fatihah untuk mereka yang telah pergi menemui Allah.
ruj: Utusan today

Ummu Waraqah dianiaya orang.......

UMMU Waraqah adalah puteri Abdullah bin al-Haris. Beliau merupakan golongan wanita awal dari kaum Ansar memeluk agama Islam.

Dia terkenal sebagai seorang yang istiqamah dalam membaca dan memahami isi kandungan al-Quran, menghafalnya dan mengumpulnya pada zaman nabi Muhammad. Malah, dia selalu mengabdikan dirinya untuk beribadah, taat dan mencari keredaan Allah pada setiap masa.

"Ibu harap kamu akan memiliki sifat peribadi mulia Ummu Waraqah apabila dewasa nanti," kata jiran Ummu Waraqah kepada anak perempuannya.

"Mengapa ibu berkata begitu?" soal anaknya yang masih tidak faham maksud ibunya.

"Kamu lihat sahaja kehidupan Ummu Waraqah pada setiap hari. Dia tidak pernah leka dari membaca al-Quran dan beribadah tidak kira waktu siang atau malam.

Malah, dia selalu menjaga solat dan ibadat puasanya. Alangkah mulianya hidup Ummu Waraqah yang menghafal al-Quran dan memahami isi kandungannya," jelas ibunya agar anaknya memahami apa yang sebenar yang ingin disampaikan kepadanya.

"Insya-Allah ibu. Semoga masin kata-kata ibu itu." balas anaknya lalu berjalan menuju ke pintu rumahnya.

"Kamu hendak ke mana?" ibunya hairan melihat kelakuan anaknya.

"Saya mahu belajar mengaji dan menghafal al-Quran daripada Ummu Waraqah," jawab anaknya lalu membuka pintu dan keluar rumah.

Nabi Muhammad menghormati Ummu Waraqah kerana dia menjaga ibadahnya, bertakwa dan mencari keredaan Allah, mengumpul, menghafal dan membaca al-Quran. Nabi Muhammad selalu mengunjungi Ummu Waraqah bertanyakan khabar beritanya.

Dia seorang wanita yang memiliki semangat tinggi terhadap agama Islam dan bercita-cita untuk mati syahid untuk menentang pihak musuh Islam dalam peperangan.

Pada suatu hari, nabi menyampaikan berita gembira kepada Ummu Waraqah bahawa dia merupakan seorang wanita syahid. Semenjak hari itu, nabi memanggilnya dengan gelaran as-syahidah dan akhirnya masyarakat sekeliling beliau mengenalnya dengan gelaran itu.

Pada suatu ketika nabi Muhammad singgah di rumah Ummu Waraqah untuk bertanyakan khabar. Ummu Waraqah menjemput masuk nabi Muhammad masuk ke dalam rumahnya. Nabi Muhammad memuji Ummu Waraqah kerana kecintaan yang mendalam dalam membaca, menghafal dan mengumpul al-Quran sehingga menjadi seorang yang hafaz al-Quran.

"Wahai Ummu Waraqah! Kamu boleh menjadi imam bagi kaum wanita di kawasan tempat tinggal kamu." perintah Nabi Muhammad.

"Ya Rasulullah. Kalau begitu berikan seorang tukang laung azan (muazin) di rumah saya," mohon Ummu Waraqah.

"Baiklah. Nanti saya hantarkan seseorang untuk menjadi muazin di rumah kamu," balas Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad menghantar seorang lelaki tua untuk menjadi muazin di rumah Ummu Waraqah. Maka rumah Ummu Waraqah menjadi tempat solat lima waktu bagi kaum wanita di kawasan tempat tinggalnya dan Ummu Waraqah sendiri menjadi imamnya.

Ini adalah penghormatan yang diberikan oleh Nabi Muhammad kepada Ummu Waraqah kerana dia merupakan seorang yang pakar dalam membaca al-Quran.

Ummu Waraqah seorang wanita yang mahu berjuang di medan perang dan mati syahid seperti sahabat nabi yang lain.

Dia bercita-cita untuk berjihad bersama kaum Muslimin dan mendapatkan pahala mujahidin. Apabila mendengar seruan untuk keluar berjihad dalam Perang Badar, Ummu Waraqah bergegas datang dari tempat tinggalnya yang di luar kota Madinah untuk berjumpa Nabi Muhammad.

"Ya Rasulullah, izinkanlah saya pergi bersama kamu. Saya boleh mengubati orang-orang yang terluka dalam peperangan dan merawat orang sakit. Semoga Allah mengurniakan pahala orang mati syahid kepada saya," pohon Ummu Waraqah kepada nabi Muhammad yang bersiap sedia untuk keluar bersama pasukan tentera Islam.

Mati syahid

"Sesungguhnya Allah akan mengurniakan pahala orang yang mati syahid pada kamu. Pulanglah dan tinggal di rumah kamu kerana sesungguhnya kamu adalah orang yang akan mati syahid," jawab nabi Muhammad.

Ummu Waraqah tidak menentang kata-kata nabi itu. Dia pulang ke rumahnya dan tinggal di rumahnya mengikut arahan nabi. Ummu Waraqah selalu berdoa kepada Allah agar dia mendapat syahadah di jalan Allah sambil menanti hari-hari yang dikatakan oleh nabi itu. Sesungguhnya nabi tidak berkata-kata mengikut sesuka hatinya melainkan ucapannya adalah wahyu.

Ummu Waraqah hidup sehingga zaman khalifah Umar al-Khatab. Pada masa itu, Ummu Waraqah memiliki dua orang hamba iaitu seorang lelaki dan seorang wanita. Hamba inilah yang menjaga kehidupan Ummu Waraqah pada usia tuanya. Ummu Waraqah berjanji akan membebaskan mereka berdua apabila dia meninggal dunia.

"Bagaimana kita bunuh sahaja perempuan tua itu supaya kita bebas dengan cepat?" cadang hamba lelaki kepada hamba wanita yang sedang memasak di dapur.

"Saya sebenarnya tak sabar lagi ingin mengecap hidup sebagai seorang yang bebas," sambung hamba lelaki itu memancing perhatian hamba wanita yang hanya mendiamkan diri.

"Saya takutlah......" jawab hamba wanita dengan nada ketar.

"Kita bunuh dia pada waktu malam semasa semua orang sedang tidur. Kemudian kita larikan diri jauh dari sini. Awak jangan takut. Kita akan selamat..." hamba lelaki itu mendedahkan rancangan jahatnya.

"Seandainya begitu, saya setuju...."

Pada suatu malam, mereka berdua bangun dan memasuki bilik Ummu Waraqah. Ummu Waraqah sedang tidur nyenyak dan tidak menyedari ada orang memasuki biliknya.

Hamba lelaki itu menangkap tubuh Ummu Waraqah lalu hamba wanita itu menyerkapnya dengan guni. Hamba lelaki itu mengikat guni itu dengan sekuat hatinya sehingga Ummu Waraqah lemas lalu meninggal dunia. Kemudian kedua hamba itu melarikan diri keluar dari kota Madinah.

"Demi Allah, saya tidak mendengar suara bacaan al-Quran dari ibu saudara saya, Ummu Waraqah malam tadi. Saya mesti pergi ke rumahnya untuk menjenguknya kerana takut ada sesuatu yang tidak baik berlaku pada dirinya," kata khalifah Umar al-Khatab pada keesokan pagi.

Apabila khalifah Umar al-Khatab sampai di rumah Ummu Waraqah, tiada siapa yang kelihatan di rumahnya. Kemudian beliau memasuki bilik tidur Ummu Waraqah dan mendapati Ummu Waraqah terbungkus dalam guni di atas katilnya. Beliau memanggil semua orang ke rumah Ummu Waraqah untuk memberitahu tentang berita kematiannya.

Ummu Waraqah berjaya mendapatkan apa yang dicita-citakan dalam hidupnya iaitu mati syahid. Allah membuktikan apa yang Rasulullah sampaikan daripada perkara yang akan berlaku.

Petikan daripada buku Srikandi Perisai Nabi terbitan PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Penyembelihan Nabi Ismail

NABI Ismail cukup terkenal dengan kisah penyembelihan agung. Pada Hari Raya Aidiladha, peristiwa ini pasti meresap kembali dalam ingatan seluruh umat Islam di seluruh dunia. Bagi umat Islam yang berkemampuan mereka akan menyembelih haiwan ternakan sebagai korban bersempena dengan peristiwa penyembelihan Nabi Ismail.

Peristiwa penyembelihan ini bermula apabila Nabi Ibrahim bermimpi bahawa Allah memerintahkan baginda untuk menyembelih anaknya.

Nabi Ibrohim sungguh sedih dan terkejut. Sebelum ini pun Allah telah mengujinya dengan berbagai-bagai ujian dan cabaran. Ujian pertama yang diterimanya adalah setelah berkahwin dengan Sarah. Isterinya itu didapati tidak dapat melahirkan anak sedangkan usia Nabi Ibrohim pada waktu itu telah lanjut.

Kemudian baginda berkahwin dengan Hajar dan mendapat seorang anak lelaki yang diberi nama Ismail. Baginda sungguh gembira dan amat menyayangi anaknya itu. Tiba-tiba ujian kedua menimpanya. Allah menurunkan wahyu supaya baginda meninggalkan Hajar dan anak kesayangannya di satu kawasan ketika itu Ismail masih kecil.

Akhir sekali dugaan yang paling mencabar diterimanya dalam mimpi baginda. Allah memerintahkan baginda supaya menyembelih Ismail. Pada masa itu Ismail telah remaja. Nabi Ibrahim berasa sedih kerana itulah satu-satunya anak yang dimilikinya bersama Hajar.

Nabi Ibrohim juga telah tua ketika menerima wahyu tersebut. Namun, baginda tetap taat kepada perintah Allah. Lalu baginda bertemu dengan Ismail.

"Wahai anakku, sesungguhnya aku telah bermimpi seolah-olah aku menyembelihmu. Apakah pendapatmu tentang perkara ini?," tanya Nabi Ibrohim.

Sebagaimana yang diterjemahkan di dalam al-Quran, Ismail pun menjawab, "Wahai bapaku, kamu laksanakanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu. Insya-Allah kamu mendapatiku termasuk dalam golongan orang-orang yang sabar".

Nabi Ibrohim sungguh terharu mendengar kata-kata anaknya itu. Baginda tahu anaknya seorang yang tabah dan taat kepada Allah. Kemudian, baginda bersiap sedia menyembelih Ismail.

Sebelum disembelih, Ismail berpesan kepada bapanya: "Wahai ayahku, ikatlah badanku dengan kuat agar aku tidak meronta-ronta. Kemudian tanggalkanlah pakaianku agar tidak terkena darahku. Aku tidak mahu ibu bersedih apabila melihat pakaianku nanti. Tajamkanlah pisaumu dan percepatkanlah penyembelihanku agar dapat meringankan kesakitanku. Kemudian sampaikanlah salamku kepada ibu dan berikannya pakaianku sebagai tanda kenang-kenangan."

Nabi Ibrohim terus memeluk dan mencium anaknya.

"Aku sungguh bahagia mempunyai anak sepertimu yang taat kepada perintah Allah, berbakti kepada orang Allah, berbakti kepada orang tua dan ikhlas hatinya," kata Nabi Ibrohim dalam nada sedih.

Selepas itu, Nabi Ibrohim pun menjalankan perintah tersebut. Baginda melakukannya seperti yang diminta oleh Ismail, tetapi pisau yang digerakkan di leher Ismail tidak berfungsi dan menjadi tumpul. Beberapa kali dicubanya tetapi gagal. Nabi Ibrahim berasa hairan lalu berdoa kepada Allah dan Allah terus berseru kepadanya:

"Wahai Ibrahim, sesungguhnya engkau telah melaksanakan mimpimu itu, demikianlah Kami membalas orang-orang yang berbuat kebaikan."

Nabi Ibrohim amat bersyukur kerana Ismail telah terselamat daripada disembelih. Tempat Ismail telah diganti dengan seekor kibas.

Petikan daripada buku Untaian 366 kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

Monday, June 15, 2009

Jangan permainkan lafaz cerai

Soalan:
BARU-baru ini saya ada berselisihan faham dengan suami yang disebabkan kerana tiada kepercayaan dalam hubungan. Dalam pergaduhan tersebut saya telah mendesak suami menceraikan saya dan disebabkan desakan saya bertalu-talu (sebanyak empat kali) suami saya telah mengeluarkan perkataan berbunyi, “Abang ceraikan.” Itulah yang saya dengar pada ketika itu.

Pada keesokan harinya bila keadaan kembali tenang saya telah bertanya akan status hubungan perkahwinan kami pada suami, akan tetapi dia menyatakan tidak bermaksud menceraikan saya dan hanya akan menceraikan saya jika saya benar-benar mahukannya.

Saya keliru dan tidak pasti sama ada perkahwinan kami sah atau tidak. Mohon tuan beri penjelasan mengenai status perkahwinan kami ini?

------------------------------------------------------------------------------
Jawapan:

Dalam situasi yang dinyatakan, tidak jatuh talak kerana si suami tidak berniat untuk menceraikan isterinya.
TETAPI jika lafaz cerai itu jelas (sorih) maka talak itu jatuh. "Contoh saya ceraikan awak." Perkataan "cerai" itu merupakan lafaz sorih.
Manakala lafaz lepas, bebas, ialah lafaz kinayah. Ia perlu kepada penjelasan yang selanjutnya.


Oleh yang demikian, dalam hal talak, janganlah dipermain- mainkan atau mudah diucapkan oleh setiap pasangan kerana implikasinya amat berat bagi hubungan suami isteri.

Oleh itu, setiap pasangan suami isteri, hendaklah bersabar dan amalkanlah bermusyawarah jika timbul sesuatu masalah dalam rumah tangga.

Untuk makluman anda, Islam mengajar etika dan menjatuhkan talak.

Oleh itu, untuk mengawal penyalahgunaan lafaz talak serta agar mengikut etika, maka mengikut peruntukan undang-undang, suami hendaklah menjatuhkan talak di dalam mahkamah.

Jika talak dijatuhkan di luar mahkamah, suami berkenaan akan dikenakan denda yang akan ditentukan oleh pihak mahkamah.

Namun demikian puan perlu pergi ke Mahkamah Syariah untuk membuat Pengesahan Lafaz Cerai oleh Suami sama ada talak itu jatuh atau tidak.

Homeseksual: Anak belasah ibu guna buku lima

GOMBAK: Niat murni seorang ibu cuba menasihatkan anak lelakinya yang menjalin hubungan songsang dengan seorang lelaki lain membawa padah, apabila dia dibelasah anaknya menggunakan buku lima di Rumah Pangsa Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Batu 5 di sini, petang kelmarin.

Kejadian itu berlaku jam 4 petang apabila mangsa hanya dikenali sebagai Nor, 38, menyoal kemampuan kewangan anaknya yang berusia 13 tahun tetapi memiliki sejumlah wang yang banyak.

Nor yang curiga dengan kelakuan anaknya juga dikatakan bertanyakan mengenai gigitan cinta di leher, sehingga menyebabkan pelajar Tingkatan Satu itu marah.

Sumber berkata, mangsa yang terkejut dengan pengakuan anaknya bahawa dia seorang homoseksual, cuba memberi nasihat tetapi ia menimbulkan kemarahan suspek.

"Hati ibu mana tak hancur dan marah apabila anaknya mengaku menjual diri dan kesan gigitan di leher, angkara seorang lelaki yang menjadi kekasihnya sejak lima tahun lalu.

"Namun kemarahan dan nasihat supaya insaf dibalas dengan tindakan ganas apabila anaknya menumbuk muka ibunya berkali-kali sebelum mangsa tersungkur kesakitan," katanya.

Sumber itu berkata, mangsa yang terkejut dengan tindakan derhaka anaknya bangun dan menegurnya tetapi anaknya semakin ganas apabila menyarung buku lima.

"Selepas menyarung buku lima, anaknya menumbuk mangsa berkali-kali sambil memaki-hamun dengan mengatakan mangsa tidak layak menjadi ibunya.

"Mangsa yang tidak tahan diperlakukan seperti binatang dan kesakitan dibelasah kemudian menjerit sebelum jirannya datang membantu," katanya.

Mangsa yang cedera di badan dan kepala membuat laporan polis di Balai Polis Setapak dan Gombak.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Keunggulan cinta Rasulullah

SYUKUR kepada Allah kerana dengan limpahan anugerah dan kasih sayang-Nya, kita dapat menikmati nikmat Islam, mengecapi manisnya iman dan menghayati indahnya ihsan. Syukur kepada Allah kerana mengutuskan kepada kita seorang Rasul pembawa risalah kerahmatan sehingga kita dapat mengecapi nikmat-nikmat ini hingga ke hari ini.

Tetapi kemanisan dan keistimewaan nikmat dan limpahan ini tidak akan dapat benar-benar kita rasai tanpa menghayati Islam melalui pintu dan manhaj 'Hubb' atau cinta dan kasih-sayang.

Jika dalam kesempatan yang lepas kita mengimbau keagungan cinta Allah yang menjadi asal segala cinta, marilah pula kita membicarakan tentang cinta Rasulullah SAW yang perlu dijadikan bekal dan azimat bagi umat dalam mengharungi kehidupan ini.

Alangkah bertuahnya umat ini kerana dikurniakan seorang Rasul yang memiliki cinta agung yang tulus dan sejati terhadap umatnya. Baginda SAW mengungkapkan cintanya dengan ungkapan-ungkapan cinta yang paling murni dan sejati, termasuklah cinta seorang ayah kepada anaknya, seperti sabdanya, "Sesungguhnya diriku bagi kalian bagaikan seorang ayah bagi anaknya." (riwayat al-Darimi).

Jika para bapa yang lain lebih banyak berjasa memelihara kebajikan material yang tidak kekal sifatnya, Rasulullah adalah bapa paling mithali dan paling layak menerima segala darjah kebesaran dan pujian kerana Baginda juga adalah bapa yang membelai dan menyubur jiwa dan roh umatnya agar berjaya di sini dan di alam abadi.

Hidup dan matinya sentiasa tamak menghulurkan kasih sayang, inginkan kebaikan dan kesejahteraan untuk anak-anaknya, sentiasa merasa berat melihat kesusahan yang ditanggung oleh umatnya dan sentiasa tamak berusaha memberikan petunjuk kepada mereka agar mereka terselamat daripada lubuk kesesatan dan kerosakan.

Allah SWT menjelaskan kecintaan dan keprihatinan Baginda ini melalui firman-Nya dalam suray al-Taubah ayat 128. Malah Rasulullah pernah bersabda: Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu, sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Apa sahaja yang dilakukan dan difikirkan oleh Baginda semata-mata demi umatnya sehingga Baginda tidak reda seorang pun umatnya terjerumus ke neraka. Diriwayatkan oleh Muslim dalam sahihnya daripada Abdullah ibnu 'Amru ibnu al 'As berkata: Pada suatu ketika, Rasulullah SAW membaca firman Allah mengenai Nabi Ibrahim as: Wahai Tuhanku! Berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka dia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya dia insaf dan bertaubat). (Ibrahim: 36)

Kemudian Baginda SAW membaca pula perkataan Nabi Isa as iaitu dalam surah al-Maidah ayat 118.

Setelah itu, Nabi mengangkat kedua tangannya dan berdoa sambil menangis: Ya Allah! Umatku! Umatku! Lalu Allah berfirman kepada Jibril as, "Wahai Jibril! Pergilah kamu kepada Muhammad - sememangnya Allah lebih Mengetahui - tanyalah kepadanya apa yang menyebabkan dia menangis." Maka Jibril as menemui Nabi SAW, lalu bertanya kepada Baginda SAW dan Baginda mengkhabarkan kepada Jibril as sebab tangisannya. Maka Allah berfirman kepada Jibril as, "Pergilah kamu menemui Muhammad dan katakanlah kepadanya bahawa Allah berfirman kepadanya: "Sesungguhnya Kami akan membuatkan engkau reda pada umat engkau dan Kami tidak akan menyakiti (mendukacitakan) engkau dalam urusan umat engkau.

Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan kesempurnaan sifat kasih Nabi SAW terhadap umatnya, keprihatinan Baginda terhadap kemaslahatan dan keadaan mereka. Ia juga menerangkan tentang kebesaran kedudukan Nabi SAW di sisi Allah dan betapa besarnya kelembutan Allah terhadap hamba-Nya. Pengutusan Jibril as kepada Baginda SAW menzahirkan lagi ketinggian kedudukan Baginda di sisi Allah di tempat yang teratas sehingga Baginda dimuliakan dengan diberikan kepadanya apa yang disukai dan diredainya. (Sohih Muslim bi Syarh Imam al Nawawi jilid 2 H: 438)

Rasullulah utamakan umatnya

Sifat kasih yang mendalam menyebabkan Baginda sentiasa mengutamakan umatnya, tidak mahu umatnya menanggung kesusahan dan segala beban umatnya rela ditanggung sendiri oleh Baginda SAW. Rasulullah SAW bersabda: Aku lebih utama bagi orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri. Sesiapa dari kalangan kaum Mukminin yang meninggal dunia meninggalkan hutang maka ke ataskulah tanggungjawab melangsaikan hutangnya. Sesiapa dari kalangan mereka yang meninggalkan harta, maka ia adalah bagi warisnya. (riwayat Imam Ahmad, al-Bukhari, Muslim, al-Nasai dan Ibnu Majah). Bahkan, Allah telah berfirman mengenainya sebagai mana dalam surah al-Ahzab ayat 6.

Ulama menyatakan, Nabi SAW adalah lebih utama daripada diri mereka sendiri kerana diri mereka mengajak mereka kepada kerosakan, sedangkan Baginda SAW mengajak mereka kepada keselamatan dan kesejahteraan.

Nabi SAW juga mengambil berat tentang keadaan umatnya dan sentiasa mendoakan mereka. Diriwayatkan oleh al-Bazzar daripada Aisyah berkata: Tatkala saya melihat Nabi SAW berada dalam keadaan baik, saya berkata, "Wahai Rasulullah! Doakanlah untuk saya." Rasulullah SAW pun mendoakan, "Ya Allah! Ampunilah dosa Aisyah yang terdahulu dan yang terkemudian, yang tersembunyi dan yang terang." Mendengarnya, Aisyah ketawa gembira sehingga kepalanya jatuh ke ribanya kerana terlalu gembira. Lalu Rasulullah SAW bersabda, "Adakah doa saya menggembirakan kamu?" Aisyah menjawab, "Kenapa tidak, saya begitu gembira dengan doamu itu?" Rasulullah SAW bersabda, "Demi Allah! Inilah doa yang saya panjatkan untuk umat saya dalam setiap solat."

Rasulullah SAW juga menyimpan doa mustajabnya untuk dijadikan sebagai syafaat bagi umatnya pada hari yang paling penting dan sukar iaitu Hari Kiamat. Abu Hurairah ra meriwayatkan, bahawa Nabi SAW bersabda: Setiap nabi mempunyai doa yang mustajab. Maka setiap nabi bersegera memanfaat doa itu. Tetapi aku menyimpankan doa itu sebagai penolong untuk umatku pada Hari Kiamat. (riwayat Muslim dalam kitab al Iman)

Rasulullah adalah duta Allah SWT bagi menyampaikan mesej kasih sayang, dan Baginda telah pun melaksanakan amanah tersebut dengan sempurna. Kasih sayang itu telah pun diterjemahkan dalam segala perbuatan dan perkataan Baginda.

Rasulullah SAW menghulurkan kasih sayangnya, tanpa mengira warna kulit dan agama seseorang, hatta benda-benda tidak bernyawa mengecapi nikmat cinta Baginda. Baginda SAW sentiasa menyuruh bersifat belas dan kasih dan membenci kekerasan dan kekasaran.

Diriwayatkan daripada Aisyah ra bahawa orang-orang Yahudi menemui Nabi SAW, lalu mengucapkan: "Kecelakaan ke atas kamu." Rasululah SAW bersabda: "Dan ke atasmu juga." Lalu Aisyah mencelah: "Semoga kecelakaan ditimpakan ke atas kalian juga, laknat Allah dan juga kemurkaan-Nya ke atas kalian." Rasulullah bersabda: "Perlahan-lahanlah, wahai Aisyah! Berlemah-lembutlah kamu dan janganlah kamu berkasar."Aisyah berkata: "Apakah kamu tidak mendengar apa yang mereka ucapkan?" Rasulullah SAW bersabda: "Apakah kamu tidak mendengar apa yang aku katakan? Aku telah pun membalas ucapan mereka. Maka doaku itu dimustajabkan dan doa mereka tidak diperkenankan." Jelas dalam situasi sebegitupun cinta yang mendalam dalam diri Rasulullah menghalangnya daripada berlebihan dalam membalas kejahatan.

Maka tepatlah Allah telah menggelarkan Baginda sebagai rahmat kepada seluruh alam dan sebagai yang amat pengasih kepada umatnya. Allah SWT telah berkenan mengurniakan kepada Baginda dua daripada nama-nama-Nya yang agung iaitu Ra'uf (Orang yang bersifat belas) dan Rahim (Orang Yang Penyayang).

Di dunia, Nabi SAW sentiasa berusaha memberi keringanan kepada umatnya. Maka Baginda SAW bersabda: "Sekiranya tidak berat ke atas umatku, nescaya aku memerintahkan mereka supaya bersugi pada setiap kali hendak melakukan solat." Manakala di akhirat, Rasulullah SAW bersabda: "Umatku! Umatku! Ketika itu, manusia sibuk mendapatkan pertolongan para Nabi sedangkan mereka pula sibuk memikirkan nasib diri mereka. Tetapi Nabi Muhammad sibuk memikirkan umatnya bukan dirinya.

Justeru, wajiblah bagi kita menyaksikan kemuliaan Baginda dalam setiap nikmat yang diterima oleh seorang Muslim kerana Baginda SAW adalah pembuka jalan-jalan kebaikan untuk kita dan menzahirkan bagi kita jalan-jalan yang mulia.

Rasulullah menghulur cinta bukan untuk dibalas tetapi untuk diteladani. Meneladani cinta Baginda SAW membawa bahagia hingga ke syurga. Orang yang berakal dan mempunyai hati yang sejahtera, menghargai pemberian dan kasih sayang yang diberikan kepadanya dengan sebaik mungkin dan membalas kasih sayang dengan kasih sayang serta ketaatan yang tidak berbelah bahagi.

Para sahabat adalah orang yang paling hebat kecintaannya terhadap Baginda SAW, maka mereka adalah orang yang paling sempurna ikutannya terhadap sunah Baginda. Bagi mereka melaksanakan perintah Baginda SAW merupakan suatu kebahagiaan yang tidak mengenal erti jemu, lemah dan malas.

Cinta Rasulullah SAW juga unggul kerana ia merentasi tempat dan zaman hingga meliputi umatnya yang tidak pernah bersua dengannya mahupun keluarganya atau sahabatnya.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Baginda bersabda yang maksudnya, "Bertuahlah sesiapa yang melihatku dan beriman padaku." Mendengar sabdanya ini mungkin kita umatnya yang datang kemudian agak sedih dan terkilan kerana tidak turut terangkum dalam sabdaannya itu. Tetapi alangkahnya terhibur hati kita apabila mendengar Rasulullah menyambung lagi sabdanya dengan bersemangat, "Bertuahlah, dan bertuahlah, dan bertuahlah, sesiapa yang tidak melihatku dan beriman padaku."

Begitulah sekelumit paparan keunggulan cinta Rasulullah kepada umatnya yang sebenarnya telah melemahkan segala kalam dan lisan. Insya-Allah, minggu hadapan ruangan ini akan mengimbau bagaimana selayaknya kita membalas cinta Baginda.