227. Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
228. Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (ruju' akan) isteri-isteri itu dalam masa 'iddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak di larang oleh syara'); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
229. Talak (yang boleh diruju' kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (ruju' dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik. Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu), kecuali jika keduanya (suami isteri) takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
230. Sesudah (diceraikan dua kali) itu, jika diceraikan pula (bagi kali ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis iddahnya), maka mereka berdua suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (berkahwin semula), jika mereka kuat menyangkakan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkan kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.
231. Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh 'iddahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (ruju') dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (ruju' semula) dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejekan-ejekan (dan permainan). Dan kenanglah ni'mat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Qur'an) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
232. Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) lalu habis masa 'iddah mereka, maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka dari berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan permpuan) bersetuju sama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh syarak'). Dengan demikianlah diberi ingatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa diantara kamu yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci. Dan (ingatlah), Allah mengetahui (Akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya.
No comments:
Post a Comment