SOALAN:
Baru-baru ini saya mengadakan majlis akikah untuk anak lelaki saya yang baru saja dilahirkan. Mengikut hukum anak lelaki harus korbankan dua ekor kambing, jadi saya telah pun menunaikannya. Ketika majlis ini berlangsung ada juga tetamu bangsa Cina yang hadir.
Adakah sah akikah saya yang dimakan oleh tetamu bangsa Cina itu?
JAWAPAN:
Tiada tegahan dalam mana-mana nas secara qatie (muktamad) sama ada di dalam al-Quran mahupun hadis-hadis Rasulullah SAW yang sahih yang boleh difahami bahawa orang bukan Islam tidak boleh memakan daging akikah.
Selagi mana tiada nas yang secara sorih (terang) yang menegah maka selagi itulah perkara itu dilihat suatu yang tidak mutlak dari hukumnya. Apa yang perlu difahami di sini ialah hukum melaksanakan akikah itu sendiri.
Di samping itu daging akikah yang dimasak dengan sedikit rasa manis itu diharapkan agar perangai dan budi pekerti anak tersebut akan menjadi elok dan baik. (Al-Majmu’: 8/322)
Persoalan mengenai memberi makan atau dimakan daging akikah oleh bukan Islam tidak mencacatkan amalan akikah. Biarpun daging akikah itu dimakan oleh bukan Islam, akikah itu tetap sah dan tidak perlu diulangi.
Sebenarnya perbuatan kita melabelkan hidangan dengan ayat hidangan untuk orang Islam sahaja adalah tidak wajar. Seolah-olah kita memperkecilkan tetamu yang datang ke majlis keraian kita dengan tidak mengizin mereka menjamah apa yang dihidangkan oleh tuan rumah. Sedangkan bukan Islam muslim boleh memakan daging akikah.
Setiap ibu bapa atau ahli keluarga apabila mengadakan majlis tersebut mereka mengharapkan doa yang ikhlas daripada sanak saudara dan sahabat andai atau jiran tetangga yang datang bertandang ke majlis itu.
Jika yang diundang itu bukan Islam sekurang-kurang kita dapat menghampiri mereka dan memahamkan bahawa Islam tidak menghalang pergaulan dan penglibatan bukan Islam dalam majlis yang diadakan oleh orang Islam.
No comments:
Post a Comment