Monday, November 10, 2008

Tuntut hutang atas harta pusaka bekas suami

SOALAN:
BEKAS suami saya meninggal dunia bulan lepas dan meninggalkan harta seperti tanah kebun, rumah sewa, duit simpanan dan lain-lain. Tetapi arwah telah berkahwin lain dan mempunyai dua anak perempuan. Manakala bersama saya, kami dikurniakan seorang anak lelaki dan dua anak perempuan.

Arwah ada berhutang dengan saya semasa dia hidup. Dia juga ada membuat pinjaman peribadi dan saya adalah penjaminnya. Saya tidak mahu dipertanggungjawabkan atas hutangnya, tambahan pula saya tidak berkemampuan untuk membayar pinjaman tersebut.
Bolehkah saya menuntut harta pusakanya untuk membayar hutang-hutangnya? Selain itu, arwah bekas suami saya masih berhutang duit mas kahwin. Masih bolehkah saya tuntut mas kahwin tersebut?
Marina Marjan,
Perak.


JAWAPAN:
Dari segi perundangan Islam, Malaysia secara amnya mengambil pendapat Mazhab Shafii. Menurut Mazhab Shafie harta peninggalan si mati ialah segala apa yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya kemudian ditinggalkan untuk waris-warisnya, sama ada berupa harta benda, hak kepunyaan. Begitu juga dengan apa yang dikerjakannya semasa hidup tetapi hasilnya diperoleh setelah ia mati.

Pembahagian harta pusaka melalui sistem faraid merupakan cara biasa yang dipakai oleh umat Islam di Malaysia. Tetapi, sebelum harta si mati difaraidkan, ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Pertamanya, harta pusaka itu akan diguna untuk perbelanjaan urusan jenazah dan pengkebumian arwah.
Kemudian, harta pusaka digunakan untuk melangsaikan segala hutang yang masih belum dibayar oleh arwah. Contohnya, jika masih ada hutang di bank, hutang sesama manusia, perlulah dibayar.

Hutang arwah dengan puan dan pinjaman peribadinya wajib dilangsaikan. Puan haruslah menunjukkan dokumen-dokumen yang berkenaan supaya boleh dilampirkan dalam permohonan pembahagian harta nanti. Begitu juga mas kahwin yang masih belum dijelaskan.
Setelah itu, waris-waris arwah haruslah memastikan jika ada wasiat yang ditinggalkan. Wasiat ini perlulah dipenuhi terlebih dahulu sebelum harta pusakanya dibahagikan mengikut faraid.
Akhir sekali, harta pusaka yang masih tinggal akan dibahagikan mengikut faraid. Pembahagian harta pusaka secara faraid adalah pembahagian di mana waris-waris yang berhak akan mendapat bahagian yang tertentu.

Anak hasil daripada perkahwinan puan dan arwah merupakan waris yang sah. Bahagian mereka ialah pada kadar dua bahagian untuk anak lelaki dan satu bahagian anak perempuan.
Permohonan mengenai harta pusaka adalah di bawah dua bidang kuasa perundangan iaitu di mahkamah syariah bagi memperoleh Sijil Faraid dan kemudian mendapatkan perintah pembahagian dari mahkamah tinggi atau Pejabat Pembahagian Pusaka Kecil.

Untuk maklumat lanjut, puan boleh merujuk kepada Biro Bantuan Guaman, Tingkat 4, Blok A, Bangunan Persekutuan Ipoh, Jalan Dato’ Ahmad Sahid (Greentown), 30450 Ipoh, Perak atau telefon 05-2544027/2552240 Faks: 05-2556007.
-petikan utusan 10 nov 2008

No comments: