Wednesday, November 12, 2008

Tawaf......

Tawaf bermaksud mengelilingi kaabah sebanyak tujuh pusingan bermula dari hajar aswad dan berakhir pada tempat yang sama dengan syarat-syaratnya.


Tawaf haji juga dikenali sebagai tawaf ifadhah. Waktu untuk melakukan tawaf bermula dengan berlalunya separuh malam 10 Zulhijjah. Waktu afdal melakukannya pula adalah pada 10 Zulhijjah setelah melontar Jamratul Kubra dan bergunting.



Syarat-syarat Tawaf
Bagi memastikan tawaf sah jemaah dikehendaki memenuhi beberapa syarat. Syarat-syarat berikut adalah:

*Bermula dan berakhir dari Rukun Hajarul Aswad
*Suci daripada hadas besar dan kecil.
*Menutup aurat.
*Sentiasa mengirikan kaabah semasa tawaf
*Suci Badan, pakaian dan tempat tawaf daripada najis.
*Tawaf mesti dilakukan dalam masjidil haram dan di luar binaan kaabah, Hijir Ismail dan Syazarwan.
*Mengerjakannya semata-mata tujuan tawaf.
*Tawaf mestilah cukup tujuh pusingan.

Sunat-sunat Tawaf
Di samping itu di sana terdapat beberapa perkara yang sunat dilakukan semasa tawaf. Di antaranya adalah:
*Berjalan kaki
*Berittiba bagi kaum lelaki dengan meletakkan bahagian tengah kain selendang di bahagian bawah ketiak kanan. Kedua bahagian penghujungnya pula di atas bahu sebelah kiri dengan bahagian bahu sebelah kanannya terbuka (bagi yang berpakaian ihram).
*Mengucup Hajar Aswad pada permulaan setiap pusingan tawaf. Jika sukar untuk mengucup jemaah boleh melambai dengan tangan kanan dan mengucup tangan tersebut sambil mengucapkan takbir.
*Melakukan ramal yakni berlari-lari anak pada pusingan pertama, kedua dan ketiga bagi tawaf yang diiringi dengan saie (lelaki sahaja).
*Istilam Rukun Yamani atau mengisyarat tapak tangan dari jauh disertai membaca takbir tanpa mengucup tangan.
*Muwalat iaitu mengelilingi kaabah sebanyak tujuh kali pusingan secara berturut-turut.
*Melakukan tawaf dengan tawaduk dan khusyuk.
*Sembahyang sunat tawaf dua rakaat di belakang Makam Ibrahim setelah selesai melakukan tawaf.
*Berzikir, membaca al-Quran atau membaca doa tawaf.



Jenis-jenis Tawaf
Di samping tawaf rukun haji terdapat beberapa jenis tawaf lagi yang ada kaitan dan perlu diketahui oleh para jemaah.
* Tawaf Qudum
Tawaf Qudum ialah tawaf selamat datang. Tawaf ini dilaksanakan oleh mereka yang hendak mengerjakan haji qiran dan ifrad.
* Tawaf Sunat
Tawaf sunat ialah tawaf yang dikerjakan pada bila-bila masa. Selain itu tawaf tahiyatul bait atau tawaf menghormati kaabah juga termasuk dalam tawaf sunat.
* Tawaf Rukun Haji
Tawaf yang mesti dilakukan oleh jemaah haji dalam sebarang keadaan, sekiranya tidak dilakukan sama ada sengaja atau tidak maka tidak sempurnalah hajinya.
* Tawaf Nazar
Tawaf yang mesti ditunaikan oleh seseorang apabila ia berniat nazar pada sesuatu yang dihajatinya.
* Tawaf Wada’
Tawaf Wada’ ialah tawaf selamat tinggal. Ia wajib dikerjakan bagi mereka yang hendak keluar meninggal kota Mekah lebih dari dua marhalah.
* Tawaf Tahallul

Tawaf Tahallul ialah tawaf yang mesti dikerjakan oleh mereka yang telah berniat mengerjakan haji tetapi terluput atau tidak sempat berwuquf di padang Arafah. Tujuan tawaf ini ialah untuk melepaskan orang tersebut dari ihram hajinya.

* Peringatan
Tawaf boleh juga dilakukan dengan menaiki usungan atau kereta sorong asalkan bahu kiri sentiasa menghala kejurusan Kaabah.


Semua tawaf hendaklah dimulakan dengan niat kecuali tawaf rukun haji, tawaf rukun umrah dan tawaf qudum bagi jemaah yang menunaikan haji ifrad atau qudum.

Ibadat haji adalah di antara kemuncak pengabdian diri sesaorang kepada Allah.Ia berkaitan mengorbankan masa, tenaga, perasaan dan harta ke jalan Allah. Justeru, para jemaah hendaklah benar-benar memahami segala-gala yang berkaitan dengan ibadat tersebut agar dapat melaksanakannya dengan sempurna.

Memahami rukun-rukun haji adalah perkara asas dalam menunaikan haji. Semoga kita tidak tergolong dari segelintir jemaah yang menunaikan haji tanpa persiapan ilmu yang mencukupi.

No comments: