Friday, November 28, 2008

Akikah.....

Akikah dalam pengertian syarak ialah binatang ternakan yang berkaki empat (binatang an’am) yang disembelih ketika hendak mencukur rambut kepala anak yang baru dilahirkan, sama ada disembelih pada hari ketujuh atau selepasnya.

Falsafah tuntutan menunaikan akikah adalah sebagai tanda kesyukuran seseorang setelah mendapat anugerah cahaya mata yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Justeru ia lebih baik di kongsi sesama Islam. Ini kerana ia juga seumpama satu peringatan kepada yang lain untuk berakikah juga untuk anak mereka (jika belum). Bagi bukan Islam, tiada peruntukan akikah.

Hukum melakukan akikah itu adalah sunat muakkad, iaitu sunat yang sangat digalakkan dalam syarak. Perkara ini bukan sekadar nas semata-mata malahan boleh dilihat sebagaimana perbuatan Rasulullah SAW ketika baginda mengakikahkan cucundanya Hasan dan Husain r.a.
Ia bukanlah perkara yang wajib dilakukan kerana hal ini pernah ditanyakan kepada Rasulullah, lalu baginda bersabda yang maksudnya: “Allah tidak menyukai kedurhakaan, seolah-olah Baginda tidak suka menyebut nama itu (akikah).

Baginda bersabda: “Barang siapa yang dikurniakan baginya anak, lalu dia ingin menyembelihkan untuk anaknya maka sembelihlah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing”. (riwayat Abu Daud)

Maksud hadis daripada perkataan (suka atau ingin menyembelihkan untuk anaknya) itu menunjukkan tidak wajib melakukan akikah, melainkan jika akikah itu dinazarkan baharulah ia dipanggil akikah wajib.

Dalam hadis yang lain, sabda Rasulullah SAW: “Anak-anak tergadai (terikat) dengan akikahnya, disembelih (akikah) untuknya pada hari ketujuh (kelahirannya) dan diberi namanya serta dicukur rambutnya”. (riwayat at-Tirmidzi)

Terdapat dua pendapat dalam menghuraikan maksud hadis “anak tergadai dengan akikahnya” di sini.

Pendapat pertama mengatakan bahawa jika tidak diakikahkan, anak itu akan terbantut atau terhalang pertumbuhannya, tidak seperti anak-anak lain yang diakikahkan.

Pendapat kedua mengatakan bahawa maksudnya ialah anak itu tidak akan memberi syafaat kepada kedua ibu bapanya pada hari kiamat kelak jika dia tidak diakikahkan. Pendapat kedua ini adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, dan pendapat ini dilihat pendapat yang lebih utama. (Mughni al-Muhtaj: 4/369)

Akikah disebut dalam hadis yang bermaksud: Bersama bayi yang lahir itu akikah, maka kerana itu mengalirkanlah darah (sembelihan) untuknya, dan jauhkan baginya segala kesakitan (godaan syaitan). (riwayat Bukhari)

Ini bermakna: “Setiap anak perlu dipajakkan (terhutang) dengan akikah, disembelih untuknya pada hari ketujuh umurnya, dan diberi nama dan dicukur rambut kepalanya”. (riwayat Ashabus Sunan)

Akikah itu pula dari sudut bahasanya adalah tolakan iaitu tolakan dari gangguan dan godaan syaitan.

No comments: