Abu Jahal berang
"Berani kamu menghalau kami!" Abu Jahal berang. Dia mengangkat tangannya lalu menampar Asma' yang sedikitpun tidak berganjak dari tempatnya.
"Pang!" Abu Jahal menampar wajah Asma' dengan kuat sehingga anting-anting yang dipakainya tercampak ke tanah.
"Tiada gunanya bercakap dengan kamu yang degil ini. Lebih baik kita pulang sahaja dan mencari maklumat Abu Bakar daripada orang lain," Abu Jahal gagal mendapatkan maklumat daripada Asma' walaupun dia menampar wajahnya.
Asma' mengambil semula anting-anting dari tanah dan masuk ke dalam rumahnya dengan hati yang lapang apabila Abu Jahal dan bangsawan Quraisy beredar meninggalkan kawasan rumahnya.
Pada zaman pemerintahan Bani Umaiyah, anak Abdullah bin Zubir datang meminta nasihat daripada Asma' yang pada ketika itu berusia 100 tahun.
Ini kerana Khalifah Malik bin Marwan memerintahkan Hajaj bin Yusuf memerangi Abdullah supaya dia dapat menguasai Iraq, Hijaz dan Yaman.
Hajaj berjaya mengepung Abdullah di dalam kota Mekah. Dia mengirimkan sepucuk surat meminta Abdullah menyerah kalah dan mengaku Malik bin Marwan sebagai khalifah.
"Ibu, saya mahu minta pandangan ibu, sama ada mahu menerima tawaran Hajaj atau tidak.
"Saya akan dijamin jawatan dalam pemerintahan Bani Umaiyah sekiranya mengaku Malik bin Marwan sebagai khalifah dan menyerah kalah. Bolehkah saya mempercayai kata-kata mereka?" tanya Abdullah yang berlutut di hadapan ibunya.
"Teruskanlah perjuangan kamu sekiranya kamu berada di pihak yang benar. Jangan percaya dengan kata-kata Bani Umaiyah kerana mereka pasti menipu kamu.
"Jangan terpedaya dengan kesenangan dunia sehingga kamu hancur bersama-samanya," kata Asma'.
"Berapa lama lagi kamu akan hidup di atas dunia ini? Mati kerana mempertahankan kebenaran adalah lebih baik daripada segala-galanya.
"Demi Allah, mati di mata pedang adalah lebih terhormat daripada mati dipukul dengan tali cemeti dalam keadaan hina," Asma' menyambung lagi kata-katanya kerana tidak mahu anaknya terpedaya dengan janji kosong yang ditawarkan oleh Hajaj itu.
"Saya bimbang Hajaj akan menyeksa dan menyalib tubuh saya sekiranya berjaya membunuh diri saya nanti," Abdullah tidak mahu mayatnya diperlakukan kejam oleh pihak musuh sebagai membalas dendam.
"Seekor kambing yang sudah disembelih tidak akan berasa sakit apabila dibuang kulitnya. Pergilah berjuang atas nama kebenaran dan mohon bantuan daripada Allah," Asma' memberi kata-kata semangat kepada Abdullah.
"Saya akan berjuang sehingga ke titisan darah terakhir," ucap Abdullah sambil mencium tangan ibunya. Dia beredar bagi menghadapi pasukan tentera Hajaj yang sudah mengepung kota Mekah.
"Sekiranya begitu, nahaslah kamu Abdullah !" balas Hajaj. Dia mengarahkan pasukan tentera menyerang Abdullah dan pengawalnya.
Akhirnya Abdullah terbunuh akibat serangan pasukan tentera Hajaj yang terlalu ramai. Hajaj mengarahkan salah seorang tentera menyalib mayat Abdullah pada sebatang tiang.
Asma' menulis surat kepada Malik bin Marwan meminta supaya mayat anaknya yang disalib itu diturunkan supaya dapat dikebumikan. Seminggu selepas pengebumian Abdullah, Asma' binti Abu Bakar menghembuskan nafas terakhirnya.
No comments:
Post a Comment