Ibu bapa adalah orang yang patut kita hormati dan rendahkan suara pada mereka apabila bercakap dengannya. Dialah yang membesar dan menjaga kita sewaktu kita kecil. Ingatlah jasa2 mereka dan selalulah mendoakan kesejahteraan kepada mereka setiap masa dan ketika. Firman Allah:-
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." [Al-Isra': 23-24]
Melakukan amal kebaktian kepada ibu bapa adalah jalan termudah mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Dalam hubungan ini, baginda Rasulullah s.a.w bersabda:-
"Syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu." dan sabda baginda lagi; "Keredhaan Allah itu terletak di atas keredhaan Allah s.w.t."
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat), dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentu mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. [Ali Imran:159]
Diriwayatkan, pernah suatu ketika, seorang anak muda mendaftar diri untuk pergi berperang ke medan jihad. Rasulullah s.a.w merenung wajah anak muda itu dengan pandangan kasyafnya.
"Anak muda, jelaskan kepadaku bagaimana keadaan orang tuamu tatkala kamu keluar daripada rumahmu tadi," kata baginda.
"Ya Rasulullah, hamba mesti beritahu kepadamu bahawa dengan sesungguhnya aku ingin syahid di jalan Allah. Tetapi kedua orang tuaku menangis, meminta aku tidak pergi berperang kerana aku satu-satunya anak tunggal mereka."
"Engkau mendapat pahala. Sekarang.. dengan perintah Rasulullah, kembalilah ke rumah. Gembirakanlah hati kedua-dua ibu bapamu," demikian baginda memutuskan.
Maka, pulanglah si anak muda itu dan gembiralah kedua-dua ibu bapanya. Anak muda tadi telah beroleh pahala sekali gus mendapat keredhaan Allah di rumahnya dan bukan di medan jihad.
Sementara itu, Nabi Ibrahim a.s adalah antara contoh anak yang menyeru bapanya, Aazar (pembuat patung berhala) ke arah jalan Tauhid dengan baik dan tabah hati.
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: "Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata." [Al-An'aam:74]
Malah, baginda telah mendoakan kebaikan kepada ayahnya sendiri, walhal tindakan itu dilarang agama..
Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik sekali pun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.
Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar. [Surah at-Taubah: 113 - 114]
Disebutkan di situ, ada dua nilai yang menyebabkan baginda bersikap baik kepada orang tuanya. Pertama, baginda lembut hati dan bersikap penyabar. Hal inilah yang mesti hadir dalam jiwa seorang anak yang mahu keredhaan Tuhan dengan cara melakukan kebaikan kepada orang tuanya.
Maka, hal bercakap nyaring kepada orang-ramai, menjerkah dengan marah-marah, bersuara dengan keras tidak melambangkan kelembutan hati seseorang pendakwah itu.
No comments:
Post a Comment