Friday, March 6, 2009

Nabi Isa diangkat ke langit...

Al-Maraghi berkata: "Pada perbicaraan sebelum ini telah diceritakan bahawa malaikat memberi khabar gembira kepada Maryam akan kelahiran Nabi Isa a.s. yang boleh berbicara dengan orang ramai sejak dari dalam buaian lagi, dan diberi kitab suci, ilmu, kenabian dan menjadi utusan Allah SWT kepada Bani Israel. Juga disebut pembelaan terhadap kesucian ibunya."

Ayat ke-52

Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah ia: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agama-Nya)?" Orang-orang 'Hawariyyuun' (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: "Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (Wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)."

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Alusi berkata: "Perasaan Nabi Isa bahawa adanya unsur kekufuran kerana sikap kaumnya yang sentiasa menyusahkannya dan melampau serta ingin supaya Nabi Isa terkena sesuatu."

ii. Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Nas yang mulia ini berlaku selepas tanda-tanda kekuasaan yang besar daripada menghidupkan orang mati dan lain-lain lagi. Dan kebanyakan mereka bukanlah yang beriman sebagaimana yang diisyaratkan nas. Sekalipun mereka melihat kekuasaan Allah SWT tetapi mereka ingkar dan tertutup nur hidayah dan iman ke dalam hati mereka."

iii. Al-Maraghi berkata: "Pernyataan ini dapat dipandang sebagai sebab kewajipan menolong agama Allah SWT kerana keimanan kepada-Nya menjadikan adanya kewajipan menolong agama-Nya dan membela pendukung-pendukung-Nya serta memerangi musuh-musuh-Nya."

iv. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Kata al-hawariyyun diambil dari kata yang bermakna sangat putih atau cahaya murni. Sahabat-sahabat Nabi Isa a.s. dinamakan demikian kerana hati mereka sangat tulus, putih, bersih tidak ternoda oleh kekotoran yang menampakkan pada wajah mereka cahaya keimanan yang amat murni. Jumlah sahabat yang setia bersama Nabi Isa hanya 12 orang."

v. Hamka berkata: "Segala seruannya dibantah dan ditolak, segala mukjizat yang telah beliau perlihatkan hanya menambah keingkaran mereka belaka. Dia berkata: "Siapakah yang akan menolongku dan membelaku di dalam menegakkan jalan Allah SWT ini? Hawariyyun menjawab: "Kamilah penolong-penolong Allah SWT, kami akan membela engkau dan berdiri di samping kamu dalam menegakkan agama Allah SWT ini."

Ayat ke-53

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut Rasul-Mu, oleh itu suratkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaan-Mu dan kebenaran Rasul-Mu).

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: "Yang sahihnya maksud Hawari ialah penolong setia berdasarkan pada sabda Nabi SAW ketika peperangan Ahzab yang bermaksud: Sesungguhnya setiap nabi mempunyai Hawari (penolong setia) dan penolong setiaku adalah Zubair".

ii. Ibn Jauzi berkata: "Maksud perkataan orang-orang yang menjadi saksi kepada lima pendapat:

Pertama: Mereka adalah Nabi Muhammad SAW dan umatnya. Inilah pendapat Ikrimah daripada Ibn Abbas.

Kedua: Mereka yang beriman sebelum Nabi Isa a.s dan kaumnya di kalangan yang beriman. Riwayat Ibn Soleh daripada Ibn Abbas.

Ketiga: Mereka adalah nabi-nabi. Inilah pendapat Atha'.

Keempat: Mereka adalah orang yang benar seperti kata Muqatil.

Kelima: Mereka yang menyaksikan nabi-nabi dengan kebenaran. Inilah pendapat al-Zajjaj

iii. Al-Maraghi berkata: "Pernyataan mereka yang mengatakan 'mengikut' sesudah menyatakan beriman adalah menunjukkan keimanan mereka. Telah sampai ke tahap yakin yang meresap ke jiwa dan dicerna dalam bentuk perbuatan kerana ilmu yang benar adalah apabila ia dapat menghasilkan amal.

"Sedangkan ilmu yang tidak menghasilkan amal hanyalah merupakan satu pandangan yang kurang mendatangkan keyakinan dan ketenangan. "Ramai yang menyangka bahawa dia tahu sesuatu, tetapi ketika mempraktikkannya ia tidak dapat melakukannya.

"Hal ini membuktikan bahawa pengakuannya tidak menepati seperti orang yang memiliki ilmu pengetahuan".

iv. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Sayid Qutub memahami kesaksian yang mereka mohon itu adalah tentang pembenaran mereka terhadap agama. Kesaksian bahawa mereka mendukung pegangan yang kukuh serta kebajikan yang dianjurkannya.

"Ia hanya akan berlaku jika akhlak dan tingkah lakunya sebagai cermin agama yang dianutinya. Mereka memohon doa dan petunjuk dari Allah SWT untuk membantu dalam penyebaran agama kepada yang masih tidak beriman kepada Allah SWT".

v. Hamka berkata: "Masukkanlah kami dalam golongan orang-orang yang setia kepada Engkau, Ya Ilahi kerana segenap kehidupan kami ini telah kami sediakan buat Engkau dalam mempertahankan agama-Mu".

Ayat ke-54

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka), dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Alusi berkata: "Di mana mereka yang ada kekufuran telah mewakilkan untuk membunuh Nabi Isa secara tipu daya. Walaupun begitu, Allah SWT menyelamatkannya dengan menyerupakannya kepada orang lain yang akhirnya disalib".

ii. Al-Maraghi berkata: "Bangsa yang diketahui kekufurannya oleh Nabi Isa adalah bangsa Yahudi. Mereka telah membuat tipu daya untuk memujuk seseorang yang akan membunuh Isa secara licik. Sebaliknya Allah SWT juga memperdayakan mereka, iaitu dengan menggagalkan rencana, sehingga keinginan mereka tidak berhasil. Nabi Isa a.s kemudiannya diangkat ke langit lalu digantikan dengan seseorang yang wajahnya mirip dengan Nabi Isa sehinggalah orang ini dibunuh".

iii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Kata makar dalam bahasa al-Quran adalah mengalihkan pihak lain daripada apa yang dikehendaki dengan cara tersembunyi dan tipu daya. Makar ada dua bahagian. Makar baik dan makar buruk.

iv. Hamka berkata: "Kaum Bani Israel tidak mahu mempercayai akan risalah Nabi Isa lalu membuat suatu perancangan menamatkan riwayat Isa al-Masih.

"Allah SWT lebih mengetahui setiap yang berlaku maka tipu daya kaum Bani Israel telah ditewaskan dengan helah yang lebih sempurna daripada Allah SWT. Nabi Isa a.s terlepas daripada cengkaman bahaya orang-orang Yahudi laknatullah".

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

No comments: