ASMA' binti Abu Bakar adalah anak kepada Khalifah Islam pertama, Abi Bakar as-Siddiq dan Qatilah binti Abdul Uzza. Adiknya, Siti Aishah adalah isteri kepada Nabi Muhammad SAW. Beliau dilahirkan pada 27 tahun sebelum hijrah dan adalah antara golongan pertama memeluk agama Islam.
Asma' juga diberi gelaran sebagai wanita yang mempunyai dua tali pengikat atau zat al-Nithaqain. Beliau diberi gelaran itu kerana membelah selendangnya kepada dua bahagian bagi dijadikan tali pinggang.
Peristiwa ini berlaku ketika Nabi Muhammad dan Abu Bakar keluar dari kota Mekah. Mereka bersembunyi di gua di puncak Gunung Thur kerana ancaman Quraisy yang mahu membunuh nabi.
Selama beberapa malam, Asma' meredah kegelapan malam dan menghadapi risiko bagi menghantar makanan kepada nabi dan ayahnya.
"Pada malam ini, ayah dan Rasulullah akan berangkat ke kota Madinah," jelas Abu Bakar kepada anaknya pada malam ketiga makanan dibawa kepadanya.
"Semoga perjalanan ayah dan Rasulullah dilindungi oleh Allah. Saya akan meletakkan makanan dan bekas air di atas kuda," balas Asma' sambil memandang wajah ayahnya dan Rasulullah yang akan memulakan perjalanan ke kota Madinah.
"Saya hanya ada sehelai kain selendang. Bagaimana saya boleh mengikat makanan dan bekas air pada pelana kuda? Oh, ya! Saya koyakkan kain selendang ini kepada dua bagi mengikat makanan dan bekas air," bisik hati kecil Asma'.
"Allah mengganti tali pengikat kamu dengan tali pengikat syurga," kata Nabi Muhammad sambil memberi isyarat kepada Asma' semasa mereka mahu berangkat.
Asma' pulang ke rumahnya selepas melihat ayahnya dan nabi hilang daripada pandangan menuju ke kota Madinah. Walaupun beliau selamat pulang dari gua itu, tetapi beliau masih menghadapi ancaman daripada golongan bangsawan Quraisy yang mahu mendapatkan maklumat tentang lokasi ayahnya dan Nabi Muhammad.
Pada suatu malam, Abu Jahal dan beberapa orang bangsawan Quraisy datang ke rumahnya bagi mencungkil rahsia daripada Asma' tentang lokasi ayahnya. Mereka menyangka Asma' akan memberitahu lokasi Abu Bakar dan Nabi.
"Di mana ayah kamu, Asma'?" tanya Abu Jahal dengan suara yang lembut kerana percaya Asma' akan memberitahunya.
"Saya tidak tahu di mana ayah saya sekarang," jawab Asma' yang tidak mahu menceritakan perkara sebenar kepada Abu Jahal dan sekutunya.
"Kamu jangan berpura-pura tidak tahu di mana ayah kamu berada!" Abu Jahal mula meninggikan suaranya. Dia menggertak Asma'.
"Kenapa saya perlu berbohong? Saya memang tidak tahu di mana ayah saya berada sekarang!" Asma' mempertahankan kata-katanya di hadapan Abu Jahal dan pembesar Quraisy lain. Mereka mula berpandangan antara satu sama lain.
"Jangan cuba menipu saya. Buruk padahnya sekiranya kamu masih mahu merahsiakan lokasi ayah kamu daripada saya," ugut Abu Jahal yang mula menggenggam erat tangannya kerana berasa geram dengan sikap berani Asma'.
"Berapa kali saya perlu nyatakan, saya tidak tahu di mana ayah saya berada sekarang. Tuan-tuan pulang sahaja dan jangan ganggu saya lagi," mohon Asma' yang berdiri di pintu rumahnya.
No comments:
Post a Comment